Friday, October 11, 2013

KJ & Shahrizat Hampir Pasti Menang, Tapi Sejauh Manakah Undi Bakal Diperolehi...


Hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu apabila lebih 200,000 perwakilan yang mewakili tiga sayap Umno iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di seluruh negara (kecuali Sarawak) mengundi untuk memilih pemimpin mereka untuk penggal baru.

Inilah buat pertama kali dalam sejarah parti itu, keputusan untuk memilih pucuk pimpinan parti tidak lagi ditentukan oleh hanya sekadar kurang dari seribu perwakilan ke Persidangan Agung Tahunan di Kuala Lumpur.

Sebaliknya kuasa itu diserahkan kepada jumlah yang lebih besar di peringkat cawangan dan bahagian dari seluruh negara. Barisan kepimpinan baru yang akan dipilih nanti ini akan memegang kuasa di peringkat bahagian dan juga nasional selama tiga tahun.

Mata sudah pastinya akan terus tertumpu kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil - kedua-duanya adalah penyandang jawatan Pemuda dan Wanita Umno.


Walaupun kedua-duanya tidak mempunyai pencabar yang benar-benar kuat dan hebat atau memiliki nama besar dalam parti, tetapi bukan itu yang ingin dilihat oleh ramai orang di seluruh negara, sebaliknya berapakah undi yang bakal mereka perolehi.

Sudah tentulah Khairy dan Shahrizat mengharapkan mandat yang besar dan kukuh kerana itu bakal menentukan masa depan mereka dalam parti.

Shahrizat Abdul Jalil Kepada Shahrizat khususnya, jika beliau berjaya mengharungi ujian getir terakhir ini, ramai yang berpendapat, tiada apa lagi yang boleh menghalang kemunculan semula karier politiknya sama ada dalam Umno dan juga kerajaan.


Untuk sekian lamanya beliau dihantui oleh permasalahan yang bukan berpunca dari diri atau karier politiknya sendiri tetapi oleh orang di sekelilingnya.

Tetapi andainya beliau berjaya mempertahankan kedudukannya dalam Pergerakan Wanita Umno kali ini, masa depan politiknya akan kembali cerah kerana beliau telah membuktikan yang perwakilan percaya apa yang telah berlaku selama ini bukanlah kerana salahnya atau perbuatannya. Maka itu beliau tidak harus dihukum.

Kedua-dua pencabar Shahrizat iaitu ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah, Datuk Maznah Mazlan (kiri) dan Raihan Suleiman bukanlah pemimpin di peringkat nasional yang benar-benar mampu mengugat kedudukannya.

Mereka tidak mungkin menang tetapi berkemungkinan besar mencuri perhatian ramai menerusi ‘undi protes’ yang bakal mereka perolehi nanti.

Dalam mana-mana proses demokrasi pun, tidak mungkin seseorang itu memperolehi undi seratus peratus tetapi yang tidak ingin dilihat oleh Shahrizat ialah sejumlah undi yang besar diberikan kepada lawan-lawannya walaupun tidak memadai untuk menewaskannya.

Namun daripada sejak awal lagi, semua dapat melihat dengan jelas yang Shahrizat menikmati sokongan yang boleh dikatakan sangat padu dan kukuh daripada seluruh Pergerakan Wanita Negeri dan juga bahagian.

Dalam hal Khairy pula, daripada empat orang pencabarnya, hanya Akhramsyah Sanusi sahaja yang dilihat memberi cabaran yang sedikit hangat. Itu pun beliau tidak mempunyai rangkaian di dalam Pemuda melainkan beliau adalah anak kepada bekas setiausaha agung parti dan ketua pemuda cawangan.

Akhramsyah Sanusi
Yang lain-lainnya seperti Syed Rosli Syed Harman, Irwan Ambak dan Karim Ali langsung tidak dikenali ramai.

Logiknya, tidak ada sebab mengapa para perwakilan mahu mengundi dan memilih mereka berbanding Khairy yang sudah memiliki kedudukan yang kukuh dalam parti dan juga kerajaan. Beliau juga menang pilihan raya umum yang lalu dengan majoriti yang besar dan bertambah.

Tetapi sekali lagi, yang ingin diperhatikan ialah sejauh manakah undi protes yang akan dilontar oleh perwakilan yang enggan bernaung di bawah kepimpinan Khairy kepada lawan-lawannya itu.

Adalah menarik untuk melihat sejauh manakah para penyokong tegar Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir yang pernah menentang Khairy untuk jawatan ketua pemuda pada tahun 2009 dulu mengundi kali ini.

Ini kerana secara semulajadinya, Khairy adalah pesaing terdekat kepada Mukhriz dalam kancah politik Umno. Khairy selaku kedudukannya sebagai ketua pemuda adalah juga bertaraf naib presiden.

Mukhriz baru mahu bersaing untuk menduduki kerusi naib

Beliau perlu menang kerusi ini jika mahu terus berada sebaris dengan Khairy dalam hirarki kepimpinan parti. 

Kemenangan Khairy adalah hampir pasti tetapi sejauh manakah bukan penyokong Khairy mahu membuang undi kepada pencabarnya adalah sesuatu yang sangat menarik untuk dilihat.

Mahu tidak mahu kedua-dua Khairy dan Mukhriz perlu bersaing untuk menaiki hirarki parti atau pun bersatu untuk memastikan kelangsungan survival masing-masing.

Bagi Pergerakan Puteri pula, persaingan adalah terbuka luas untuk dua orang pesaing iaitu Jamilah Hanim Othman dan Mas Ermieyati Samsudin (kiri).

Ini kerana penyandang jawatan tidak mempertahankan kerusinya kali ini.

Oleh yang demikian, anggota Pergerakan Puteri Umno mempunyai kebebasan yang lebih luas untuk membuat perhitungan tanpa sebarang ikatan atau nostalgia kepada sesiapa.

Keseluruhannya 191 bahagian akan mengundi hari ini. Di bawah sistem pemilihan baru ini, setiap bahagian akan membawa satu undi kepada calon.

Monday, October 7, 2013

Shafie, Mukhriz Cadang Debat Terbuka, Hishamuddin Tidak Mahu


"(Perdebatan itu) sememangnya penting bagi para perwakilan untuk mengetahui daya upaya calon-calon dalam beberapa isu, bukan sahaja mengenai pentadbiran kerajaan dan isu politik semasa, malah penting untuk mengetahui wawasan mereka." 
- Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyambut baik cadangan perdebatan diadakan dalam kalangan calon yang bertanding bagi pemilihan Umno tetapi beranggapan ia perlu dibuka untuk semua.
Masanya juga terlampau suntuk untuk dilaksanakan, terutama bagi ketiga-tiga sayap iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengadakan pemilihan Sabtu ini.

"Kalau hanya tertumpu kepada jawatan naib presiden, macam mana pula dengan Majlis Tertinggi (MT) dan sayap-sayap lain?," kata Mohd Shafie yang juga Menteri Luar Bandar dan Wilayah kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat dan East West Center hari ini.

"(Perdebatan itu) sememangnya penting bagi para perwakilan untuk mengetahui daya upaya calon-calon dalam beberapa isu, bukan sahaja mengenai pentadbiran kerajaan dan isu politik semasa, malah penting untuk mengetahui wawasan mereka," katanya.

Mohd Shafie, yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna, berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam agar keenam-enam calon naib presiden dalam Pemilihan Umno 2013 bersemuka dalam satu perdebatan di televisyen

Melalui perdebatan ini akan membolehkan perwakilan dan masyarakat mengetahui keupayaan serta visi dan hala tuju calon-calon bertanding, kata Mohd Shafie.

Beliau akan mempertahan jawatan naib presiden Umno bersama dua penyandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Hishammuddin Tun Hussein.

Mereka akan dicabar Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, dilaporkan berkata beliau sudah bersedia untuk berdebat, kerana ia memberi peluang untuk meyakinkan para perwakilan agar memilih calon naib presiden yang tepat.

Namun Hishammuddin pula berpendapat adalah tidak sesuai untuk mengadakan perdebatan di televisyen kerana pemilihan Umno bukanlah ditentukan oleh masyarakat.

Pemilihan Umno kali ini akan menyaksikan 146,000 anggota perwakilan, diberi peluang mengundi melalui mekanisme pengiraan 'Electoral College'.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian serta pemilihan Exco sayap pusat diadakan serentak Sabtu ini, dan mesyuarat perwakilan dan pemilihan peringkat Bahagian dan MT akan diadakan serentak pada 19 Oktober.

Friday, October 4, 2013

PRK Sungai Limau : Mukhriz Akui Cabaran Besar Buatnya


Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah pada 4 November ini merupakan cabaran besar kepadanya selaku Menteri Besar yang baru.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu berkata, jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) pasti akan berdepan tentangan sengit memandangkan DUN Sungai Limau merupakan kubu kuat PAS. Beliau berkata BN yang kini mentadbir Kedah ingin membawa pembangunan pesat ke Kedah dan semua itu mudah dilaksanakan sekiranya semua kawasan termasuk DUN Sungai Limau berada di bawah BN.

"Gandingan antara dua ini (kerajaan pusat dan negeri) diharapkan membawa pembangunan dan kemajuan bagi negeri Kedah," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi memperkenalkan calon bagi pemilihan peringkat tertinggi Umno di Stadium Indera Mulia di Ipoh, hari ini.

Ketika ditanya mengenai ciri yang perlu ada pada calon BN untuk merampas kerusi itu, Mukhriz berkata antara faktor penting dalam pilihan raya sama ada kecil atau umum ialah apa yang calon dan BN telah lakukan selama ini

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil DUN Sungai Limau pada 23 Okt dan pengundian 4 November.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai kosong susulan kematian penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah pada 26 September lepas.

Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 pada pilihan raya umum ke-13, Mei lalu selepas mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd Ali dari BN dengan majoriti 2,774 undi.