Monday, October 7, 2013

Shafie, Mukhriz Cadang Debat Terbuka, Hishamuddin Tidak Mahu


"(Perdebatan itu) sememangnya penting bagi para perwakilan untuk mengetahui daya upaya calon-calon dalam beberapa isu, bukan sahaja mengenai pentadbiran kerajaan dan isu politik semasa, malah penting untuk mengetahui wawasan mereka." 
- Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyambut baik cadangan perdebatan diadakan dalam kalangan calon yang bertanding bagi pemilihan Umno tetapi beranggapan ia perlu dibuka untuk semua.
Masanya juga terlampau suntuk untuk dilaksanakan, terutama bagi ketiga-tiga sayap iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengadakan pemilihan Sabtu ini.

"Kalau hanya tertumpu kepada jawatan naib presiden, macam mana pula dengan Majlis Tertinggi (MT) dan sayap-sayap lain?," kata Mohd Shafie yang juga Menteri Luar Bandar dan Wilayah kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat dan East West Center hari ini.

"(Perdebatan itu) sememangnya penting bagi para perwakilan untuk mengetahui daya upaya calon-calon dalam beberapa isu, bukan sahaja mengenai pentadbiran kerajaan dan isu politik semasa, malah penting untuk mengetahui wawasan mereka," katanya.

Mohd Shafie, yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna, berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam agar keenam-enam calon naib presiden dalam Pemilihan Umno 2013 bersemuka dalam satu perdebatan di televisyen

Melalui perdebatan ini akan membolehkan perwakilan dan masyarakat mengetahui keupayaan serta visi dan hala tuju calon-calon bertanding, kata Mohd Shafie.

Beliau akan mempertahan jawatan naib presiden Umno bersama dua penyandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Hishammuddin Tun Hussein.

Mereka akan dicabar Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, dilaporkan berkata beliau sudah bersedia untuk berdebat, kerana ia memberi peluang untuk meyakinkan para perwakilan agar memilih calon naib presiden yang tepat.

Namun Hishammuddin pula berpendapat adalah tidak sesuai untuk mengadakan perdebatan di televisyen kerana pemilihan Umno bukanlah ditentukan oleh masyarakat.

Pemilihan Umno kali ini akan menyaksikan 146,000 anggota perwakilan, diberi peluang mengundi melalui mekanisme pengiraan 'Electoral College'.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian serta pemilihan Exco sayap pusat diadakan serentak Sabtu ini, dan mesyuarat perwakilan dan pemilihan peringkat Bahagian dan MT akan diadakan serentak pada 19 Oktober.

No comments:

Post a Comment