Monday, September 14, 2015

BN Akan Bentang Kad Laporan Akujanji PRU13 – Najib



Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan kad laporan akujanji kepada rakyat yang telah dibuat dalam bentuk manifesto pada pilihan raya umum ketiga belas (PRU13) lalu yang kini telah memasuki fasa pertengahan penggal parlimen ini, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun setengah ini BN telah melaksanakan pelbagai projek dan program bersandarkan kepada akujanji tersebut dan sudah sampai masanya dalam sedikit masa lagi membentangkannya kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur malam semalam.
YUSL6352
“Kita akan maklumkan bentuknya dan cara mana dengan prinsip akuantabiliti kepada rakyat berdasarkan kepada akujanji yang telah buat ini oleh BN.
“Kita juga akan bentangkan perkembangan pencapaian kita dan apa yang perlu kita lakukan dalam tempoh dua tahun setengah yang akan datang,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata mesyuarat telah membincangkan secara panjang lebar mengenai cadangan kumpulan tertentu untuk mengadakan perhimpunan pada 16 September.
“Parti-parti komponen BN telah beri banyak pendapat dan kita telah bersetuju untuk tidak bersetuju atas pendirian-pendirian yang telahpun dibentangkan.
“Ada yang lahirkan kebimbangan, ada yang kata tidak setuju dan ada yang kata 16 September bukanlah hari yang sesuai dan sebagainya.
“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati pandangan-pandangan yang telah rakan-rakan kita dalam komponen. Sekiranya pertemuan tersebut hendak diadakan ia hendaklah patuh kepada undang-undang yang sedia ada maknanya kena dapat kelulusan tempat, mesti ikut peraturan polis dan semua undang-undang negara mesti dipatuhi termasuk Akta Hasutan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati penganjur perhimpunan agar patuh kepada undang-undang serta memohon kerjasama polis untuk memastikan kawalan yang ketat dan laluan-laluan yang bersesuaian.
“Macamanapun pemimpin-pemimpin BN akan berada di Kota Kinabalu kerana itulah menjadi tempat kita menzahirkan komitmen kita kepada pembentukan sebuah negara Malaysia pada tanggal 16 September 1963.
“Dan semangat kekitaan, semangat kita sebagai sebuah negara bangsa akan kita semarakkan pada majlis tersebut dan komitmen BN kepada dasar parti terus kita perjuangkan,” tambahnya lagi.
Berkenaan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin tinggi akibat jerebu yang melanda negara sekarang, Perdana Menteri berkata kerajaan telah menyediakan garis panduan mengenainya dan akan mengumumkan langkah seterusnya apa tindakan yang perlu dibuat dari sama ke semasa. – Media UMNO.

Thursday, September 10, 2015

Mesyuarat MT Dalam Keadaan Harmoni, Muhyiddin Ikrar Perkukuh UMNO


Sesuatu yang positif hasil meryuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam ialah ia dapat  memfokuskan kepada dua agenda penting parti iaitu perpaduan dan usaha melangkah ke hadapan untuk memperkukuhkan parti.

Ternyata UMNO semakin mampu untuk menyelesaikan apa juga masalah yang dihadapinya dalam kedudukan sebagai sebuah keluarga yang besar.

Semua ahli MT sudah pasti berpuashati kerana UMNO  kini lebih fokus kepada  unity (bersatu) dan moving forward (bergerak ke depan). Selain itu, mesyuarat turut mempamerkan semangat kekeluargaan yang besar.

Ahli MT, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mesyuarat semalam  mencerminkan semangat dalam kalangan kepemimpinan parti sama ada mereka berada dalam kerajaan atau sebaliknya, bagi mempertingkatkan prestasi UMNO pada pilihan raya umum akan datang.
“Alhamdulillah, parti bermesyuarat dalam suasana hormat-menghormati serta mengetahui peranan masing-masing,” katanya.

Jaminan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus membantu presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak bagi memperkukuhkan parti sangat dialu-alukan.

Dengan msyuarat berlangsung dalam suasana tiada perkara luar biasa yang berlaku dan semuanya baik – tiada ketegangan – UMNO semakin melangkah ke hadapan.

Mesyuarat MT UMNO yang julung kali diadakan selepas rombakan Kabinet dua bulan lalu dengan tiada penggantungan mahupun pemecatan ahli berlaku mungkin mengecewa pihak yang mahu melihat UMNO bergolak.

Suasana yang harmonis pada mesyuarat itu amat nyata menidakkan segala khabar angin kononnya Muhyiddin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan dipecat pada mesyuarat tersebut selepas dilihat lantang mengkritik kepemimpinan kerajaan.

Perkara sebaliknya pula yang berlaku apabila Muhyiddin dan Mohd. Shafie menyatakan komitmen serta semangat setiakawan yang terpuji apabila berikrar akan bekerja keras membantu memperkasakan UMNO bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara.

Kedudukan itu pastinya menggembirakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ini diserlahkan dengan kata-kataanya bahawa  MT mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Muhyiddin dan Mohd. Shafie kerana tetap komited untuk bersama parti walaupun tidak lagi berada dalam kepemimpinan kerajaan.

“Tan Sri Muhyiddin selaku timbalan presiden parti telah menyatakan kesetiaannya untuk terus berjuang bagi memastikan kekuatan UMNO serta kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang. Atas komitmen beliau itu saya ucap terima kasih.

“Datuk Seri Mohd. Shafie juga menyatakan komitmen yang sama iaitu beliau akan sentiasa bekerja keras untuk memperkukuhkan parti,” kata Najib.

Kepada soalan bagaimana UMNO mahu memastikan isu mengenai pemecatan Muhyiddin tidak terus menjadi hambatan dilema sehingga menimbulkan keresahan ahli di peringkat akar umbi, Najib berkata, semua pihak mesti menunjukkan solidariti.

Namun ada sedikit nada menyindir oleh Najib apabila menyebut: “Kita bagi masa, kalau kita dah buat komitmen dalam mesyuarat, kita amalkan. Perlihatkan tindakan serta apa-apa yang kita lakukan termasuk ucapan menjurus kepada solidariti, keutuhan parti dan masing-masing ada peranannya nanti.”

Apa yang nyata, pada mesyuarat itu dua ketetapan dibuat berkaitan dengan isu-isu yang lantang diperkatakan oleh banyak pihak. Ia membabitkan:

1.     MT UMNO mengambil ketetapan bahawa isu-isu berkait rakyat akan sentiasa diperjuangkan kerajaan dengan menterjemahkannya dalam Bajet 2016 yang bakal dibentangkan.;

2.     Isu-isu semasa seperti dana politik dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diperjelaskan secara lebih berkesan bagi memastikan tidak timbul lagi kekeliruan dan seluruh kepemimpinan perlu bersama dengan kerajaan.

Berkaitan dengan perkara ini, MT mengambil maklum ada beberapa isu yang perlu diperjelaskan bagi memberi kepuasan kepada rakyat antaranya soal 1MDB dan juga dana politik.

Bagi MT, bagi 1MDB kerajaan dalam idah untuk menyelesaikan masalah hutang dan rasionalisasi.

Sementara untuk isu dana politik, MT mengambil maklum bahawa tiada undang-undang mengenainya dan tiada keperluan untuk didedah sumbernya.

Kata Najib: “Kita juga ambil maklum parti politik pembangkang juga mengamalkannya,” ujarnya. 

Monday, September 7, 2015

Masihkah Muhyiddin Dalam UMNO Selepas 9 September?



Tajuk asal - Kekalkah Kedudukan Muhyiddin Dalam UMNO?
Daripada - mStar

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok (9 September 2015)  menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu selepas khabar angin bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa yang lain akan dipecat daripada Umno bertiup kencang.

Perhatian media terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah lenyap sejak beliau digugurkan daripada Kabinet.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang mendarat di KLIA selepas pulang daripada bercuti bermain golf di Australia minggu lalu turut menjadi tajuk berita.

Beliau disambut oleh penyokong-penyokongnya yang memakai baju-T hitam dengan wajahnya dicetak di bahagian depan bersama tulisan 'I Am Not A Yes Man' di bahagian belakang.

Beliau begitu 'sporting' memegang baju-T itu tetapi ketika ditemui pemberita, beliau hanya tersenyum dan melambai.

Situasi pastinya lebih panas esok apabila Majlis Tertinggi Umno bersidang buat kali pertama sejak Muhyiddin hilang jawatan dalam Kabinet.

Khabar angin telah bertiup kencang dan kuat kononnya Muhyiddin, bekas menteri dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal serta beberapa yang lain akan dipecat daripada Umno dan ramai membayangkan ia akan berlaku pada mesyuarat Majlis Tertinggi.

Sebenarnya khabar angin ini bermula sehari selepas rombakan Kabinet pada Julai lalu. SMS yang didakwa sebagai 'Berita Panas dari bilik kebal Umno' telah tersebar.

Selain Muhyiddin, nama lain yang termasuk dalam senarai yang akan dipecat adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Menteri Besar Kedah), Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir (MP Kulim Bandar Baru), Datuk Seri Ahmad Said (bekas Menteri Besar Terengganu), Datuk Jumat Idris (MP Sepanggar) dan ahli politik Perak Datuk Hamidah Osman.

Khabar angin ini enggan 'dimatikan' kerana pemecatan Muhyiddin dan Shafie daripada Kabinet juga telah didahului oleh khabar angin.

Ketika itu, tidak ramai menyangka bahawa Najib mempunyai keberanian untuk menggunakan kuasanya tetapi beliau telah melakukannya dan sebab itulah khabar angin ini tetap dianggap sebagai sesuatu yang lebih serius.

Walau bagaimanapun, tidak ada siapa yang dapat menjelaskan mengapa pemimpin-pemimpin ini akan dipecat.
Ya, Muhyiddin dan Najib tidak lagi berada dalam gelanggang yang sama dan beliau telah dipecat daripada Kabinet. Tetapi adakah beliau akan dipecat dari parti kerana suara yang bertentangan? Ia tidak masuk akal.
Ahmad pula telah muncul di atas pentas yang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi adakah ianya alasan untuk pemecatan?
Alasan yang lebih kukuh untuk pemecatan adalah percubaan tidak senonoh Ahmad untuk menjatuhkan kerajaan Terengganu tahun lepas.

"Tidak ada kebijaksanaan jika Muhyiddin atau Shafie dipecat. Anda tidak boleh menghukum seseorang sebanyak dua kali," kata Timbalan Ketua Umno Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad.

Terdapat suara-suara kritikal terhadap Muhyiddin tetapi hanya dua Umno bahagian secara rasmi telah meluluskan resolusi menentangnya.

Umno Bahagian Penampang di Sabah meminta agar beliau diheret ke jawatankuasa disiplin manakala Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor mahukan beliau meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden.

Majlis Tertinggi amat dikuasai oleh Najib tetapi sangat sedikit daripada mereka akan bersetuju untuk memecat sama ada Muhyiddin atau Shafie yang dipilih parti.

"Selagi tidak terbukti bahawa mereka telah membawa kemudaratan kepada parti, saya akan membantah sebarang langkah untuk memecat mereka. Najib tidak pernah meminta mana-mana di kalangan kami untuk menyerang Muhyiddin.

"Muhyiddin juga tidak berkelakuan seperti Datuk Seri Anwar, beliau terus setia bersama dengan Umno," kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican.

Beberapa pemimpin Umno secara terbuka menolak khabar angin pemecatan tersebut.

Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia tidak ada dalam agenda mesyuarat dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan berkata, 'hati kecil saya tahu bahawa ia tidak akan berlaku'.

Pemecatan Muhyiddin akan menyebabkan berlakunya riak politik yang lebih dalam Umno JOhor. Najib tidak memerlukan krisis lain dalam pentadbirannya.

Dalam keadaan normal, jawatankuasa pengurusan Umno, yang diketuai oleh Muhyiddin akan bertemu sebelum setiap mesyuarat Majlis Tertinggi.

Sebaliknya pada Isnin, Biro Politik yang dipengerusikan oleh Najib bertemu, menguatkan lagi khabar angin pemecatan.

Majlis Tertinggi adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam Umno dan biro politik hanya berada satu tahap di bawahnya.

Semua pimpinan utama, termasuk Muhyiddin dan Shafie, hadir dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menulis di Twitter tentang 'suasana positif' mesyuarat.

Tetapi itu tidak akan menghentikan khabar angin yang akan terus bertiup sekurang-kurangnya sehingga esok.