Oleh Muhyiddin Yassin
Setelah lebih empat dekad
saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam Umno, semalam Majlis
Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti.
Saya tidak pernah
meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar
kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.
Malangnya saya dipecat
kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan
paling besar dalam sejarah Umno dan negara yang melibatkan perdana menteri.
Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat
dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya
kerana kami mengambil langkah berani menegur perdana menteri yang sudah
jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal.
Saya berasa kecewa kerana
Umno yang ada pada hari ini bukan lagi Umno yang sebenar. Ia telah berubah
menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup
melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya.
Mereka yang melakukan
perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima
hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan
kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.
Berakhirlah
sejarah panjang
Mereka yang menguasai Umno
boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut.
Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang
pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.
Keputusan pemecatan saya
ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang
perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam Umno.
Sejarah ini akan terus
terpahat dalam ingatan saya kerana Umno telah sekian lama menjadi sebahagian
daripada denyut nadi dan darah daging saya.
Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun
hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati Umno. Saya hanya menentang
pemimpin Umno yang korup dan menyeleweng.
Namun, jika mereka
beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus
berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan
melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di
dalam jiwa saya akan terus menyala.
Walaupun tindakan terhadap
saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti
bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan
merayu.
Saya redha dengan
ketentuan Allah Taala. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai
pemimpin Umno dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada
agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini.
Bangkitlah bangsa Melayu
memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah
diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba.
Semoga
tabah, sabar
Kepada para penyokong,
saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan
kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada.
Insya-Allah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini.
Kepada seluruh rakyat
Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah,
yang mana baik dan yang mana buruk.
Anda pastinya tidak rela
membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus
menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan
yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.
Saya menganggap pemecatan
saya ini adalah satu lagi dugaan Allah Taala terhadap saya dalam bulan Ramadan
yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya.
Saya berdoa semoga
sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan
segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.
Allah Taala berfirman
dalam Surah at-Taghabun ayat 11 yang bermaksud: "Tidak ada kesusahan (atau
bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa
yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang
telah berlaku dengan tenang dan sabar), dan ingatlah Allah maha mengetahui akan
tiap- tiap sesuatu."
Sempena bulan Ramadan yang
mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon
kemaafan daripada seluruh ahli Umno sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang
saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.
Selamat tinggal Umno.
Kepada Allah saya
berserah.
No comments:
Post a Comment