Friday, February 28, 2014

BN Pilih Calon Paling Sesuai Bagi P/raya Kecil DUN Balingian - Najib


Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dan akan memilih calon paling sesuai untuk bertanding di kawasan tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita sedang tunggu tarikh pilihan raya yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta BN Sarawak akan sediakan calon yang paling sesuai untuk kawasan tersebut," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin tertinggi parti komponen BN.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Tan Sri Abdul Taib Mahmud kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, hari ini.

Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima bagi menggantikan Taib.

Najib berkata Adenan dilantik menjadi Pengerusi BN Sarawak atas kapasitinya sebagai ketua menteri baharu.

Mengenai pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac depan, Najib berkata segala persiapan berjalan lancar dan jentera parti amat komited untuk memberi sokongan padu kepada calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun.

"Kita lihat bahawa sambutan adalah menggalakkan walaupun kita tidak nafikan bahawa BN akan menerima tentangan yang hebat daripada calon (pembangkang) yang akan bertanding.

"Tetapi kita tahu bahawa calon kita ini seorang yang disenangi masyarakat tempatan dan mempunyai track record yang baik, mempunyai pendirian yang tegas serta seorang yang mahu memberi khidmat bakti kepada pengundi di DUN Kajang," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

Najib berkata BN juga menyelaraskan strategi antara parti komponennya, selain mengatur pelbagai program bagi memperoleh keputusan terbaik pada pilihan raya kecil itu.

Mesyuarat itu turut bersetuju untuk menerima Persatuan India Malaysia dan Parti Punjabi Malaysia sebagai anggota gabungan BN, katanya.

Monday, February 24, 2014

Chew Mei Fun Jadi Pengukur Penerimaan Rakyat Terhadap MCA

"MCA amat yakin untuk menghadapi pilihan raya ini dan kami tidak akan berputus asa...parti (MCA) meletakkan calon yang berwibawa dan dengan jujurnya memberitahu para pengundi Kajang supaya menilai keikhlasan kami dan meminta mereka supaya memberi peluang kepada kami."
- Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai 

Pemilihan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi pengukur kepada penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baharu parti itu.

Berikutan itu,  peluang bertanding itu tidak harus dipersia-siakan meskipun ada pihak mencadangkan BN supaya tidak bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac ini.


Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Naib Presiden MCA itu sebagai calon BN pada Jumaat lepas dilaporkan berkata, Chew yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan persekutuan.

"Kalau tidak ada kesempatan ini diambil, maka lebih sukar untuk mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat Cina ataupun rakyat terhadap kepimpinan baharu (MCA). "Apapun keputusan itu nanti, akan dijadikan satu gambaran di mana mereka (MCA) berada, dan langkah-langkah pemulihan yang boleh diambil dan asas-asas perjuangan yang hendak diperjuangkan untuk masyarakat Cina mungkin dapat disampaikan pada pilihan raya seperti ini."

Demikian kata Muhyiddin selepas melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Pagoh kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kepimpinan baharu MCA juga diberi kesempatan untuk membuktikan kepada pengundi di situ dan masyarakat Tionghua bahawa mereka bersedia membantu kaum itu.

"Saya fikir ada baiknya kita beri peluang (kepada MCA) walaupun ada cadangan untuk kawasan itu diberikan pada wakil parti komponen (BN) yang lain," katanya.

Menurutnya Chew merupakan calon yang sesuai bagi kerusi DUN Kajang kerana beliau berpengalaman menyandang jawatan kerajaan dan seorang yang berprinsip dari segi perjuangannya dan mempunyai perwatakan baik.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata BN tidak mahu memberi laluan mudah kepada pembangkang dengan tidak bertanding, meskipun dilihat sebagai "bukan pilihan" pada pilihan raya kecil itu.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam berkata parti komponen BN itu bersedia menghadapi cabaran PRK Kajang yang dijangka sengit.

Justeru itu, katanya parti itu tidak akan berundur walaupun ada pihak yang menggesanya berbuat demikian.

"Berdasarkan keputusan 505 Pilihan Raya Umum (2013), kami berada dalam kedudukan lemah, namun kami akan mempamerkan sikap yang baharu dalam menghadapi pilihan raya kecil ini.

"MCA amat yakin untuk menghadapi pilihan raya ini dan kami tidak akan berputus asa," katanya semasa berucap pada sambutan ulang tahun ke 65 parti itu di Wisma MCA.

Liow berkata parti itu meletakkan calon yang berwibawa "dan dengan jujurnya memberitahu para pengundi Kajang supaya menilai keikhlasan kami dan meminta mereka supaya memberi peluang kepada kami.

"MCA akan tampil dan mendedahkan rupa sebenar parti ini (PKR), dan memberitahu para pengundi bahawa pilihan raya kecil ini berpunca daripada usaha peribadi untuk merebut kuasa," katanya.

Beliau berkata pilihan raya kecil itu diadakan bukan untuk kepentingan para pengundi Kajang sebaliknya kerana pemimpin PKR yang mementingkan diri.

Kerusi DUN Kajang dikosongkan penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi selepas menewaskan lima calon lain pada PRU13. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari pengundian dan penamaan calon pada 11 Mac ini.

Di Kajang semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas BN bagi PRK DUN Kajang di pejabat Umno Hulu Langat.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN tiba pada pukul 9 pagi, disambut oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Turut hadir calon BN bagi pilihan raya itu Datin Paduka Chew Mei Fun. Hadir sama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kong, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Mesyuarat lebih sejam itu bertujuan membincangkan perancangan dan strategi BN bagi menghadapi pilihan raya kecil itu yang akan dilangsungkan pada 23 Mac depan.

Bekas timbalan menteri pembangunn wanita, keluarga dan masyarakat itu dijangka akan berdepan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil itu. Bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim, Senator S. Nallakaruppan dan peguam Yuktes Vijay juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 11 Mac. PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari lepas.

Saturday, February 22, 2014

Najib - Pemberian BR1M Mengikut Syariat Islam, Diteruskan Selagi Pertumbuhan Ekonomi Kukuh


"Penambahbaikan dalam pemberian BR1M dilakukan sejajar dengan pelaksanaan subsidi bersasar dalam usaha meringankan beban hidup rakyat. Oleh itu, kerajaan akan mengubah dasar pemberian subsidi iaitu daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaan subsidi yang adil."
- Datuk Seri Mohd Najib Razak 
Perdana Menteri tidak kisah dengan sikap pembangkang yang sentiasa mengutuk kerajaan, termasuk dalam konteks pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), walaupun langkah yang dilakukan kerajaan itu memberi manfaat kepada rakyat.

"Kita pegang pada hadis, Insya-Allah apa yang kita lakukan akan diredai Allah," demikian tegas Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika berucap pada majlis penyampaian BR1M Parlimen Pekan di Dewan Seri Perdana Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) Pekan, semalam.

Lantas Najib memetik suatu peristiwa dalam Islam iaitu :"Seorang sahabat Rasulullah SAW pernah bertanya kepada baginda, Ya Rasulullah siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai Allah. Jawab Rasulullah manusia yang paling dicintai ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain, menggembirakan manusia lain dengan melunas hutang orang tak mampu bayar, beri makan kepada orang kelaparan dan berjalan untuk membantu orang yang susah, itu lebih baik daripada beriktikaf selama sebulan di masjid.”.


Berikutan itu Bagi Perdana Menteri, BR1M yang diperkenalkan kerajaan adalah selaras dengan syariat Islam. Beliau turut memetik sepotong hadis, Najib berkata Islam menggalakkan umatnya membantu meringankan bebanan yang ditanggung orang lain termasuk melunaskan beban hutang.

"Saya tahu ada orang yang bayar hutang apabila mendapat bantuan BR1M ini, kita tolong orang lunas hutang, besar pahala yang kita dapat," katanya.

Pada majlis semalam, Perdana Menteri menyampaikan bantuan kepada 1,000 penerima daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Chini, Peramu Jaya, Bebar dan Pulau Manis. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Berdasarkan kebaikan dan sifat kebajikan melalui BR1M ini, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan pemberian bantuan berkenaan kepada rakyat selagi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dapat dikekalkan.

Dengan pertumbuhan ekonomi negara yang baik, ia menjurus kepada kemampuan kerajaan melaksanakan program pembangunan demi menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Dengan kata lain, adalah menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara terutama berkaitan pertumbuhan ekonomi.

"Pada masa sekarang, BN dapat menguruskan negara dengan baik ketika negara lain berdepan masalah, melalui dasar-dasar yang mengukuh dan memacu pertumbuhan ekonomi yang sihat walaupun keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu.

"Tetapi di Malaysia, kita telah dapat menentukan ekonomi kita serta memacu pertumbuhan ekonomi begitu baik dan bila hasil negara bertambah, kita agihkan kekayaan itu kepada rakyat," katanya ketika berucap melancarkan BR1M 2014 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di Kuantan.

Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014, Najib berkata kerajaan memperuntuk RM4.6 bilion untuk memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima.

Pembahagian BR1M kepada warga emas di Kuching pada 22 Februari 2014.
Beliau berharap penambahan nilai BR1M kali ini dapat meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan yang tinggal di bandar selain memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan ini.

Pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi RM650 selain  Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.

Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

i-BR1M menyediakan nilai perlindungan minimum RM1,000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, ia perlu melakukan konsolidasi fiskal untuk mengekalkan momentum ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya ini perlu dilakukan secara berperingkat bagi meringankan beban rakyat di samping menyakinkan pasaran dunia bahawa kerajaan sentiasa berusaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Perdana Menteri juga berkata penambahbaikan dalam pemberian BR1M dilakukan sejajar dengan pelaksanaan subsidi bersasar dalam usaha meringankan beban hidup rakyat.

"Oleh itu, kerajaan akan mengubah dasar pemberian subsidi iaitu daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaan subsidi yang adil," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan menunaikan janjinya yang terkandung dalam manifesto BN pada pilihan raya umum lepas, yang antara lain menyatakan mengenai pertambahan secara berperingkat jumlah pemberian BR1M.

Perdana Menteri menjelaskan pelaksanaan subsidi pukal dilihat sebagai pembaziran dan ketirisan kerana ia turut dinikmati golongan yang tidak sepatutnya seperti pelancong dan pekerja asing. "Contohnya, subsidi petrol RON95 seliter ialah 63 sen oleh kerajaan. Bayangkan beza pengguna kereta berkapasiti rendah dan tinggi yang menikmati subsidi petrol yang sama. Mana adilnya? Tidak adil.

"Jadi, kerajaan memutuskan untuk ubah dasar daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar secara berperingkat dan pindahkan penjimatan ini kepada rakyat melalui BR1M. BR1M ialah contoh subsidi bersasar," jelas Najib.

Perdana Menteri berkata BR1M 2014 merupakan manifestasi kepada pengurusan ekonomi yang baik oleh kerajaan, yang menjurus kepada pengukuhan ekonomi yang sihat.

"Bayaran BR1M sudah mula dikreditkan terus ke dalam akaun penerima sejak semalam.

Yang tidak mempunyai akaun bank pula, mereka akan menerima baucar secara berperingkat.

"Ini kerana rakyat amat memerlukan bantuan ini sekarang dan tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan kerajaan dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup," katanya.

Sementara itu, pemohon BR1M yang ditolak permohonannya boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk dipertimbangkan semula.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata mereka boleh berbuat demikian dengan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang LHDN di www.hasil.gov.my atau terus ke pejabat LHDN berhampiran.

"Mereka yang ditolak permohonan boleh merayu dengan kaedah yang ditetapkan, contohnya tahun lepas seorang bapa kita tolak permohonannya untuk mendapatkan BR1M kerana rekod kita mendapati beliau baru sahaja membeli sebuah kereta Proton Perdana model baharu.

Namun beliau kemudian membuat rayuan dan memaklumkan kereta itu milik anaknya dan kita telah meluluskan permohonannya untuk mendapatkan bantuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Seri Perdana, Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Goh di Kuantan, semalam.

Menurutnya kerajaan sentiasa berusaha menambah baik pemberian BR1M untuk mengurangkan bebanan rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa kini, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan BN sentiasa berusaha menunaikan perkara yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU13) termasuk menambah nilai insentif BR1M sehingga RM1,200 dalam tempoh lima tahun.

"Ramai salah faham dan tidak baca sepenuhnya. Kita kata dalam tempoh lima tahun. Kerajaan BN mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat. Manifesto PRU13 adalah janji kerajaan kepada rakyat.

Kita tambah secara berperingkat. Makna tahun depan, tambah lagi. "Komitmen kerajaan RM1,200 dalam tempoh lima tahun adalah Janji Ditepati," katanya.

Sumber BERNAMA

Thursday, February 20, 2014

BN Tidak Perlu Tanding, Beri Kemenangan Percuma Kepada Anwar Di DUN Kajang?

Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, jika tidak mahu dilihat 'menari mengikut paluan gendang PKR'.

Beberapa ahli politik dan penganalisis politik berpendapat BN perlu membuat kajian mendalam agar tidak terperangkap dalam permainan politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah terdapat desakan supaya Presiden BN Datuk Seri Najib Tun Razak memegang ketetapan pucuk pimpinan BN yang tidak bertanding pada PRK DUN Penanti, Pulau Pinang pada tahun 2009 kerana kekosongan kerusi itu bukan disebabkan oleh peruntukan perlembagaan.

PRK DUN Penanti pada tahun 2009 diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR dengan alasan melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan rasuah.

Timbalan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat BN perlu lebih fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan menyusun struktur ekonomi negara daripada melayan kerenah politik pembangkang.

"Pada pandangan saya secara peribadi, biarlah Pakatan Rakyat terus bermain dengan politik mereka sementara BN terus berkhidmat pada negara dan membela nasib rakyat," katanya dalam laman blog beliau hari ini. Salleh berkata BN perlu menimbang untuk tidak meletakkan calon di Kajang kerana PRK itu pada realitinya diadakan untuk memenuhi politik nafsu Anwar.

"Oleh kerana Kajang dikatakan kawasan (kerusi tradisi) MCA, kita berpandangan MCA perlu fokus kepada usaha memperkukuh parti di bawah kepimpinan baharu dan memberi tumpuan persediaan menghadapi PRU akan datang," katanya.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

PKR menamakan Anwar sebagai calon parti itu, sementara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, turut menyatakan hasrat bertanding di PRK itu sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari mengundi dan penamaan calon pada 11 Mac.
Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie pula berkata PRK Kajang merupakan satu pembaziran yang hanya diwujudkan secara paksa demi menyelesaikan krisis dalam PKR.

Beliau menyifatkan PRK yang 'dicipta' pembangkang dengan memaksa seorang wakil rakyat meletak jawatan tanpa sebarang alasan munasabah demi kepentingan rakyat sebagai menghina demokrasi negara. 

"Maklum balas yang saya terima daripada akar umbi, kalau kita bertanding, kita akan mengikut rentak mereka. Ia merugikan negara sedangkan wang itu boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan bantuan kepada orang miskin," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, MCA yang baru sahaja selesai menjalani pemilihan parti perlu diberi lebih peluang dan usaha untuk fokus kepada transformasi parti dan seterusnya menambah baik penyampaian kepada rakyat.

Dalam pada itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata lebih baik PRK DUN itu diboikot semua pihak jika peletakan jawatan penyandangnya tanpa alasan kukuh tidak disiasat dan diambil tindakan perundangan.

"Bukan niat kita hendnak memboikot demokrasi tetapi perlu ada penghormatan kepada undang-undang. "Ini bukan soal takut, atau soal siapa hero atau tidak. Kalau nak jadi hero lebih baik masuk gusti, ini lebih kepada strategi politik, kalau tak ada keperluan dan kepentingan maka lebih baik sahaja elak pertandingan," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian pula berkata BN sebelum ini pernah tidak bertanding di Penanti berikutan senario yang agak sama yang berlaku di Kajang ketika ini.

"Presiden dah pernah buat ketetapan di Penanti, pada ketika itu beliau berkata BN tidak akan bertanding kerusi itu yang sengaja dikosongkan dan bukannya disebabkan faktor-faktor seperti dalam peruntukan perlembagaan," katanya.

Sivamurugan berpendapat BN seeloknya terus berpegang kepada ketetapan itu yang secara tidak langsung dapat mempamerkan kematangan yang lebih berkualiti.

Sementara itu, Persatuan Alumni UiTM dalam satu kenyataan menyifatkan PRK DUN Kajang suatu yang tidak perlu dan dipaksakan ke atas pengundi kawasan itu yang baru sahaja mengundi tidak sampai setahun lepas.

"Ia menodai prinsip dan amalan demokrasi. Oleh demikian, BN tidak perlu mengambil bahagian dalam PRK tersebut," menurut kenyataan itu.

Tuesday, February 18, 2014

Go To Hell Waythamoorthy…Orang Melayu Tidak Akan Lupakan Kamu…


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pembohong dan khianat kepada komuniti India?

Demikian kata pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) P Waythamoorthy , 48, yang muncul kali pertama selepas seminggu meletakkan jawatannya sebagai senator dan timbalan menteri.

Sebelum menilai sikap bekas pemimpin radikal India ini, kita kenali siapa India radikal ini:

Waythamoorthy, anak kelahiran Kelantan, meninggalkan Malaysia tiga hari selepas bantahan besar-besar oleh Hindraf pada 25 Nov 2007 yang menyaksikan beberapa aktivis kumpulan itu ditahan pada 13 Dis 2007. Terdahulu, pada Mac 2008, kerajaan Malaysia membatalkan pasport Waythamoorthy.


Berikutan itu, beliau memohon dan diberi suaka politik oleh kerajaan Britain. Pada bulan Oktober tahun yang sama, kerajaan mengharamkan Hindraf.

Pada 1 Ogos tahun lepas, Waythamoorthy kembali ke Malaysia dengan pasport dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura selepas tinggal di England selama 56 bulan. Bagaimanapun, pada Januari lepas, kerajaan menarik balik pengharaman selama tahun tahun itu bagi membolehkan Najib, selaku Pengerusi BN dan Waythamoorthy mengadakan rundingan untuk menyelesaikan masalah kaum India.

Sekarang kita teliti apa yang sudah Najib sebagai Perdana Menteri memberikan kepada kaum India. Hakikatnya orang Melayu pun bengang dengan Najib dalam konteks memberikan muka kepada orang India:

1. Ada dua Menteri dan empat timbalan menteri daripada kaum India. Selain Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel yang dilantik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan timbalannya Datuk Seri Dr S.Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan, empat yang lain dilantik sebagai timbalan menteri – Datuk M.Saravanan (Belia dan Sukan), P.Kamalanathan (Pelajaran dan Pengajian Tinggi), Datuk Dr J.Loga Bala Mohan (Wilayah Persekutuan) dan P.Wyathamoorthy (Jabatan Perdana Menteri).

Berapa kerusi mereka menang dalam PRU ke13 dan apakah semua undi daripada orang India? Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) MIC berjaya merangkul empat kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada pilihan raya umum kali ini, MIC bertanding sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN. Pada PRU 2008, MIC mengalami kekalahan teruk apabila hanya berjaya memenangi tiga daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 kerusi DUN yang ditandingi.



2. Dalam tempoh lima tahun jadi Perdana Menteri, hampir RM500 juta peruntukan telah disalurkan oleh Najib bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini. Ia bagi memastikan kaum India berjaya dalam bidang ekonomi termasuk pemilikan ekuiti sebanyak tiga peratus melalui pelbagai dana yang disediakan kerajaan.

3. Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) sahaja telah memperuntukkan sejumlah RM34.5 juta untuk membantu peniaga kaum India antara tahun 2008 hingga 2011. Pada 2012 Tekun menyalurkan peruntukan RM30 juta sementara 2013 sebanyak RM50 juta dan tahun ini juga RM50 juta. Tekun turut membantu 65 syarikat milik kaum India untuk menyertai Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dengan peruntukan berjumlah RM4.4 juta.

4. Bagi dana lain, dalam tempoh dari Ogos 2012 hingga Oktober 2013, sebanyak 8,107 permohonan daripada usahawan India diterima dan sebanyak RM119.4 juta sudah disalurkan.

5. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula sudah menyalurkan pinjaman berjumlah RM47.5 juta kepada 774 usahawan India manakala Tekun melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga memberi pinjaman RM153.9 juta kepada 12,319 usahawan India.

6. Sejumlah 22 syarikat atau bengkel milik kaum India mendapat manfaat daripada peruntukan berjumlah RM1.3 juta daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui program Pemodenan Bengkel Automotif (Atom).

7. Sementara bagi menjamin anak-anak India tidak ketinggalan, kerajaan menyalurkan peruntukan RM100 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sama seperti yang diperoleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Apakah perbuatan Najib ini khianat pada orang India?

Waythamoorthy mendakwa beliau telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak 16 kali tetapi tidak membuahkan sebarang hasil.


"Saya ingin menyatakan bahawa dalam tempoh lapan bulan lepas saya telah mengadakan pertemuan dengan PM sebanyak 16 kali. Dalam setiap pertemuan itu saya mengusulkan penamaan unit baru dan bajet seperti yang dijanjikan kepada saya sebelum ini, " katanya.

Waythamoorthy selain itu turut menjadikan kegagalan kerajaan menunaikan janji seperti yang ditandatangani dalam MOU antara Barisan Nasional (BN) dan Hindraf pada 18 April 2013 sebagai punca beliau meletak jawatan.

"Saya melakukannya (meletak jawatan) selepas berbulan bersabar selain sentiasa cuba untuk bekerja menerusi perjanjian MOU yang telah ditandatangani antara BN dengan Hindraf," jelasnya.

Kenapa dia 'tidak dilayan' oleh Najib?

Jawapannya ialah:

“Perlantikan beliau sebagai timbalan menteri adalah merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk jalin kolaborasi dengan Hindraf dalam menyelesaikan isu-isu kaum India. Dari awal lagi beliau menghadapi kesukaran untuk sesuaikan diri dan memahami sistem pentadbiran kerajaan yang mungkin tidak dapat memenuhi keperluan beliau,” menurut sumber-sumber kerajaan.

Waythamoorthy dimaklumkan membuat tuntutan supaya Perdana Menteri memberi jaminan bertulis termasuk peruntukan wang yang jelas tidak mengikut peraturan. Memetik sumber-sumber kerajaan, jaminan bertulis oleh Najib itu dikehendaki Waythamoorthy untuk satu peruntukan berjumlah RM750 juta kepada Waythamoorthy atas nama melaksanakan agenda pembangunan kaum India.

“Beliau mahu Perdana Menteri beri jaminan bertulis untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM750 juta kepada beliau untuk laksana agenda pembangunan kaum India, tuntutan ini tidak teratur dari segi peraturan,” kata sumber itu

Selain peruntukan berkenaan, Waythamoorthy berharap disokong oleh sebuah jabatan khusus dengan 50 orang pegawai dengan peruntukan sebanyak RM4 bilion.


Waythamoorthy pada 10 Februari lalu, meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta senator selepas didakwa kecewa.

Dalam sidang medianya selama 20 minit semalam, Waythamoorthy turut menggesa Najib supaya meletakkan jawatan yang dipegangnya kerana tindakan itu. Muncul dalam keadaan lesu dan letih, beliau enggan mengambil soalan daripada pemberita yang sesak dalam satu bilik dalam majlis di Brickfields.

Beliau juga meninggalkan sidang media dengan tergesa-gesa selepas membuat kenyataannya. "Tindakan itu tidak akan dilupakan oleh generasi akan datang. Kisah ini akan diulang cerita berkali-kali," bidas Waythamoorthy.

Memang tindakan perkauman Waythamoorthy ini tidak akan dilupakan juga oleh orang Melayu yang menyokong UMNO dan Najib, apalagi dengan tuduhan Najib khianati masyarakat India.

Banyak pihak menganggap perlantikan Waythamoorthy ini merupakan satu kesilapan besar yang bakal membawa nanah kepada orang Melayu, UMNO dan Barisan Nasional. Sudah terbukti, dia melakukan ikut perasaan dan cuba pula mencanang kononnya kerajaan tidak pernah ikhlas membantu kaum India di Malaysia.

Ada Menteri kanan mengatakan penyiasatan secara terperinci telah dilakukan terhadap Waythamoorthy dan HINDRAF dan 'comfirm' inilah strategi paling padu dalam membawa masyarakat India kekal dengan BN dalam abad ini.

Menteri tersebut juga kononnya memang master bab 'blue ocean strategy' ini berjanji untuk melakukan pemantauan berkala kepada HINDRAF dan sekaligus meletakkan HINDRAF setara dengan MIC (bagi tujuan back up jika MIC gagal menawan kembali pemikiran masyarakat India di Malaysia). Sekarang apa sudah jadi?

Strategi memilihWaythamoorthy adalah satu kesilapan yang cukup besar tidak wajar dilakukan lagi. Ini strategi makan tuan. Orang yang mencadang itu pun sepatutnya diminta letakkan jawatan!

Malah, kalau ada pemimpin India berperangai seperti Waythamoorthy ini, sila bertandinglah dalam pilihan raya untuk menegakkan ‘hak mereka’.

Rasakan sendiri bagaimana sukarnya menjadi calon dan memang pilihan raya.

Tetapi untuk India radikal ini, Najib petiknya dari keadaannya yang entah bagaimana untuk dijadikan rakan dalam pentadbiran Putrajaya.

Bukan mudah untuk dilantik menjadi Timbalan Menteri.

Tetapi Waythamoorthy mahu mempertahankan kesombongan dirinya dan rela mengorbankan harapan kaum India agar memperjuangkan nasib mereka ke arah yang lebih baik.

Seperti kata Najib,perletakkan jawatan P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendukacitakanwalaupun menghormati keputusan pemimpin Hindraf  itu dengan mengharapkan yang terbaik untuk usaha beliau di masa hadapan.

"P.Waythamoorthy mungkin mempunyai pendekatan yang berbeza, namun beliau sepatutnya berjumpa dan berunding dengan saya terlebih dahulu sebelum mengumumkan perletakan jawatannya," kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat.

Apapun Waythamoorthy seharusnya seharusnya menyesuaikan diri di dalam sistem pentadbiran kerajaan serta menjalin kerjasama bagi mendapatkan konsensus untuk melaksanakan program kerajaan.

Bagi kita,  Go To Hell kamu Waythamoorthy...kami juga tidak akan lupakan kamu!!!

Saturday, February 15, 2014

Dua Juta Terima BR1M Secara Beperingkat Dalam Tempoh 20 Hari - Ahmad Husni


Kira-kira dua juta penerima bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2014) yang tidak mempunyai akaun bank, akan menerima baucar secara berperingkat dalam tempoh tidak melebihi 20 hari, bermula 23 Feb ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata agihan kepada penerima yang tidak mempunyai akaun itu akan dilakukan para pemimpin di kawasan parlimen masing-masing.

"Walaupun agihan kepada penerima tanpa akaun bank akan ambil masa kerana ia melibatkan jumlah yang besar, kerajaan ingin melaksanakan pemberian baucar itu dalam tempoh tidak melebihi 20 hari.

"Ini adalah kerana rakyat amat memerlukan bantuan ini sekarang dan tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup," katanya dalam sidang akhbar mengenai BR1M di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu seramai 5.4 juta penerima BR1M yang mempunyai akaun bank pula akan menerima terus bantuan berkenaan dalam akaun mereka pada 22 Feb ini.

Ahmad Husni berkata bayaran itu akan terus dikreditkan ke dalam akaun penerima secara serentak di seluruh negara sebaik sahaja program BR1M dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Sekolah Menengah Aminuddin Baki di ibu negara.

"Pendekatan membuat pembayaran BR1M menggunakan akaun bank merupakan langkah yang lebih efisien dan memastikan rakyat tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan tersebut seperti sebelum ini," jelas beliau.

Ahmad Husni berharap penerima akan menggunakan wang bantuan secara berhemah dan berbelanja mengikut keperluan masing-masing.

Beliau berkata secara keseluruhan, program BR1M 2014 dijangka memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang. "Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan seramai 7.9 juta penerima," katanya.

Ahmad Husni berkata penambahan nilai BR1M 2014 ini diharap dapat meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan yang tinggal di bandar bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan.

Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Katanya, di bawah BR1M 2014, kerajaan juga memperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bernilai RM50 kepada penerima isi rumah BR1M dengan nilai perlindungan minimum RM1,000 (kematian biasa) dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

Kepada soalan kononnya pengagihan bantuan BR1M ada kaitan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Selangor pada 23 Mac ini, Ahmad Husni berkata: "BR1M dilaksanakan sejak tahun 2012 dan telah lama dirancang untuk diedarkan pada bulan Februari, dan isu PRK Kajang pula baru wujud. Jadi, pemberian BR1M tidak ada kaitan dengan Kajang".

Monday, February 3, 2014

Wanita Umno Mahu Teresa Kena Tindakan Tegas


Pergerakan Wanita Umno Selangor meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung penerbitan video berbaur sindiran sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Ketuanya Datuk Nor Hayati Onn menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum terutama semasa masyarakat Cina sedang menyambut perayaan mereka.

"Dalam suasana perayaan kaum di negara ini, seharusnya Teresa sensitif dengan apa yang ingin dilakukannya. Walaupun video itu hanya video Tahun Baharu Cina, mengapa ia mempunyai kenyataan berunsur provokasi termasuk apa yang berlaku di Lahad Datu," katanya dalam kenyataan semalam.

Nor Hayati menambah tindakan tegas itu juga perlu sebagai memberi pengajaran kepada mana-mana pihak untuk tidak menerbitkan apa jua bahan yang berunsurkan provokasi.

Ini kerana kebelakangan ini, terdapat pihak yang cenderung untuk sengaja menimbulkan provokasi melalui media sosial yang medium capaiannya amat luas dan pantas, katanya.

Teresa, yang juga Naib Pengerusi DAP, didakwa terbabit dalam penerbitan klip video bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014 Video Clip' yang tersebar luas dalam laman YouTube sejak Isnin lepas.

Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, Teresa 'berlakon' sebagai pengacara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina untuk tahun ini dan tetamu undangan

Teresa pula mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.

Sindiran-sindiran lain didakwa turut ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) membuat laporan polis pada 11.15 pagi tadi untuk menuntut tindakan tegas diambil terhadap Teresa.

Khairy - Jenayah Sebenar Video Teresa Kok Ialah Tidak Kelakar



KUALA LUMPUR (3 Februari 2014) - Jenayah sebenar video 'Onederful Malaysia CNY2014’ ialah ianya langsung tidak kelakar, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

 Menurut beliau, video sindiran yang dikeluarkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sempena Tahun Baharu Cina itu berada di bawah tahap sederhana.

“Setakat video sindiran politik Teresa Kok yang di bawah tahap sederhana. Tak kelakar, tak ada jenaka dan bukan original. Itulah jenayah sebenarnya,” tulisnya di laman mikro Twitter, hari ini.


Video yang didakwa Teresa hanya bersifat sindiran dan gurauan serta tidak menghina sesiapa itu mendapat reaksi yang pelbagai dari beberapa pihak.

Pihak polis sedang menyiasat video yang dimuat naik pada 27 Januari itu dan tindakan akan diambil jika didapati bersalah. Beberapa NGO sudah membuat laporan polis ke atas Teresa dan menggesa siasatan segera dilakukan kerana dianggap menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas isu sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan melalui Twitternya berkata: “Tak perlu untuk Kok meminta maaf kerana sejujurnya, jika dia suka untuk terus merosakkan semangat Tahun Baharu Cina, teruskan. Silakan,” tulisnya.

Saturday, February 1, 2014

Agong Minta Rakyat Sokong Kerajaan Untuk Pastikan Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR (1 Februari 2014) - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah agar semua lapisan rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam usaha memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.

Seri Paduka bertitah usaha pembangunan negara yang dilakukan kerajaan ketika ini seharusnya dipuji kerana ia telah dapat melonjakkan Malaysia ke kedudukan ke-12 negara paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan.

"Beta bangga dengan kejayaan yang dicapai oleh kerajaan. Beta yakin usaha transformasi yang dilakukan ketika ini akan memastikan Malaysia mencapai negara maju menjelang tahun 2020," titah baginda pada majlis penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Istana Negara, Jalan Duta di Kuala Lumpur, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan hadir ke majlis tersebut.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tuanku Abdul Halim bertitah status sebagai negara ke-12 paling berdaya saing dalam menjalankan perniagaan perlu ditingkatkan kerana ia merupakan kekuatan yang akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan terutama oleh pelabur asing.

Seri Paduka turut mengingatkan rakyat mengenai betapa pentingnya perpaduan kaum yang wujud ketika ini dikekalkan kerana ia merupakan benteng dan tunjang utama dalam menghadapi segala cabaran mendatang selain dapat terus memacu Malaysia ke arah kemajuan.

"Ketepikanlah perbezaan politik dan sikap perkauman dalam diri. Utamakanlah kepada perpaduan kaum yang menjadi asas sejak negara merdeka 56 tahun lepas," titah baginda.

Mengenai Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong melahirkan harapan agar kawasan yang menjadi ibu negara Malaysia ini dapat membangun dengan lebih pesat lagi dan seterusnya menjadi bandar raya paling berdaya saing menjelang tahun 2020.

Baginda yakin segala usaha dan projek yang dilakukan kerajaan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar seperti MyRapid Transit (MRT), River of Life dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang dapat terus menjadikan ia sebagai bandar raya yang selesa untuk kesejahteraan penduduk.

"Beta berharap agar Kuala Lumpur dapat menarik banyak syarikat multinasional dan antarabangsa untuk datang serta menjadi bandar raya destinasi kewangan," titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka bertitah, Kuala Lumpur perlu mengambil kesempatan daripada Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan menganjurkan pelbagai program serta aktiviti untuk memastikan sasaran ketibaan 15 juta pelancong tahun ini berjaya.

"Tahun Melawat Malaysia 2014 perlu menjadi misi nasional untuk pastikan ketibaan 28.3 juta pelancong berjaya. "Pastinya Kuala Lumpur akan turut jadi tumpuan pelancong.

Beta berharap sasaran 15 juta pelancong Kuala Lumpur dan keuntungan RM24.9 juta daripada perbelanjaan (pelancong) dapat dicapai", titah baginda.

Seri Paduka juga mahu agar Wilayah Persekutuan Labuan dapat terus dibangun dan dimajukan bukan sahaja sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa, malah dipromosikan sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat antarabangsa.

"Labuan merupakan Wilayah Persekutuan yang berpotensi dari segi ekonomi kerana ia mempunyai industri minyak dan gas serta sebuah kawasan bebas cukai," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga bertitah agar Wilayah Persekutuan Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti komersil dalam usaha menarik kehadiran pelabur tempatan dan antarabangsa.

"Hanya dengan usaha sebegini Wilayah Persekutuan Putrajaya dapat menjadi sebuah bandar yang termaju dan berdaya saing," titah baginda. Yang di-Pertuan Agong mengakhiri titah ucapan dengan mengingatkan para penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat agar menjaga maruah diri.

Pada majlis itu, sebanyak 320 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat daripada Seri Paduka dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang dianugerahi Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, mendahului senarai penerima.