Monday, August 29, 2016

Dr Ahmad Zahid Selar Muhyiddin Buat Dakwaan Berdasarkan Khabar Angin


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan tidak berasas berdasarkan khabar angin bahawa  Datuk Seri Najib Razak memiliki hampir RM1 bilion dalam akaun bank peribadinya.
 .
Dr Ahmad Zahid mahu Muhyiddin menunjukkan bukti berhubung dakwaannya mengenai Perdana Menteri memiliki hampir RM1 bilion dalam akaun bank peribadinya.

Muhyiddin kelmarin berkata  beliau hampir pengsan selepas melihat angka-angka dalam akaun bank peribadi Najib.

Dakwaan Muhyiddin dilihat menyokong laporan ABC Newsyang berpengkalan di Australia pada Mac yang meletakkan angka dalam akaun bank Najib berjumlah AS $ 1.051 bilion (RM4.2 bilion) berdasarkan penyata bank.

 “Minta dia berikan bukti jika dia ada. Dia menuduh perdana menteri kita, jadi dia mesti menunjukkan bukti.

“Jangan buat dakwaan berdasarkan khabar angin,” kata Dr Ahmad Zahid ketika diminta mengulas satu laporan Muhyiddin mendakwa hampir RM1 bilion sudah ada di dalam akaun bank peribadi perdana menteri malah sebelum kontroversi yang dilaporkan secara meluas mengenai RM2.6 bilion.

Dr Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat kerjasama keselamatan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan di Putrajaya hari ini.

Najib sebelum ini mendakwa AS$ 681 juta yang diterimanya pada Mac 2013 adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab selepas dihebahkan pada Julai tahun lepas.


Muhyiddin berkata beliau mendapat tahu mengenai deposit yang diterima sebelum 'derma Arab' itu apabila peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail berkongsi maklumat dengannya.

"Sah tuan-tuan. Saya tengok, waktu peguam negara itu ialah Gani Patail. dia tunjuk dengan saya, macam saya nak pengsan ada duit banyak itu dalam akaun Datuk Seri Najib.

"Tengok duit masuk akaun peribadi. Sebenarnya disebutkan peguam negara dahulu, sebelum dia juga nasibnya sama macam saya dipecat, dah ada hampir RM1 bilion dalam akuan Datuk Najib sebelum itu.

"Jadi semua yang disebutkan hampir RM4 bilion dalam akaun perdana menteri. Kamu percaya tak," soalnya dalam satu ceramah di Ketereh, Kelantan semalam.

Rakaman video ceramah itu dimuat naik di TV Gerakan Harapan Baru dan KiniTV.

Menurut laporan ABC, sebelum deposit RM2.6 bilion daripada Tanore Finance, Najib juga menerima AS$ 120 juta daripada Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd (BVI), AS$ 80 juta dari Kementerian Arab Saudi dan AS$ 75 juta daripada Putera Faisal bin Bandar Al Saud.


Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat juga menekankan beberapa deposit tidak disebut atau didedahkan dalam laporan ABC News, termasuk tambahan sebanyak AS $ 10 juta pada 23 Februari 2011 dan AS$ 10 juta pada 13 Jun 2011 dari Putera Turki Abdullah Al Saud yyang dirujuk sebagai "pengasas bersama PetroSaudi".

Tambahan AS$ 5 juta pada 30 Oktober 2012 dan AS$ 25 juta pada 19 November 2012 juga datang dari Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd (BVI), menurut DOJ.

Ini meletakkan jumlah keseluruhan sebelum deposit RM2.6 bilion pada AS$ 325 juta, atau di bawah RM1 bilion berdasarkan kadar pertukaran pada tahun 2011 dan 2012.

DOJ mendakwa deposit daripada Tanore Finance, Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd dan pengasas PetroSaudi berasal daripada 1MDB. DOJ banyak memberi fokus kepada jejak wang melalui sistem kewangan AS.

Najib menafikan salah laku dan berkata beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi. Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan perdana menteri daripada sebarang tuduhan salah laku.

Muhyiddin dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas.


Muhyiddin mendakwa beliau dipecat selepas menentang isu kemasukan wang berkenaan ke akaun perdana menteri. Pemecatannya kebetulan sama dengan penyingkiran peguam negara waktu itu, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Sunday, August 28, 2016

Mufti Perlis Antikerajaan, Sebar Fahaman Wahabi – Veteran UMNO


"Veteran UMNO kesal kerana menteri yang bertanggungjawab dalam hal agama tidak mampu berbuat apa-apa untuk membendung gerakan 'mewahabikan' Malaysia.."

Veteran UMNO hari ini mencabar Mufti Perlis Datuk Dr Mohad Asri Zainal Abidin supaya meletak jawatan dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya berminat dalam politik.

"Mohd Asri boleh memilih untuk bertanding atas tiket pembangkang yang dia suka," kata setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub melalui satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, Mustapha juga mendakwa Mohd Asri seorang 'pemimpin Wahabi' yang berusaha keras mengembangkan fahaman itu di Malaysia, malah dilindungi oleh menteri pusat untuk mempromosi 'dakyahnya'.

Siapa menteri yang dimaksudkan Mustapa?

"Veteran UMNO bimbang pengaruh Wahabi sudah mula bertapak dalam UMNO dan kerajaan. Sekiranya ini tidak dibendung, maka Malaysia akan berdepan dengan masalah akidah yang boleh membawa kepada perpecahan ummah
.
"Veteran juga kesal kerana menteri yang bertanggungjawab dalam hal agama tidak mampu berbuat apa-apa untuk membendung gerakan 'mewahabikan' Malaysia," katanya yang meminta kerajaan Perlis mengkaji semula pelantikan Mohd Asri sebagai mufti di negeri itu.

Apakah ini pendirian Veteran UMNO atau Mustapha seorang?

Bimbang pengaruh Wahabi dalam UMNO.
Menteri pusat itu mungkin orang baru atau di kalangan veteran. Jika dia juga pengikut Wahabi, bagaimana boleh dikekalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak?
 Kenapa Mustapha tidak meminta supaya Najib turut menggugurkan menteri berkenaan?

Mustapa bagaikan menggunakan sebiji batu untuk ‘membunuh’ beberapa burung, termasuk menteri serta mereka yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di peringkat pusat dan negeri.

Bagaimana dengan Menteri Besar Perlis wahai Mustapha?

Juga bukankah pelantikan Mufti itu dipersetujui oleh istana?

Kenapa serang Mohd Asri dan menteri tetapi tidak menteri Besar UMNO Perlis dan yang memperkenankan pelantikan berkenaan?

Mustapha turut mendakwa Mufti Perlis itu kini sedang mengukur pengaruhnya di kalangan orang muda yang akan menentukan kekalahan BN dalam PRU akan datang.

"Mohd Asri akan menggunakan pengaruhnya untuk menghasut golongan muda supaya meneruskan demonstrasi sebagaimana dalam postingnya yang terbaharu menyokong demonstrasi mahasiswa di Sogo yang didokong oleh DAP.

"Mohd Asri dan gerakan Wahabinya amat berbahaya kepada negara ini. Membiarkan mereka bererti negara ini mengundang bencana," katanya.

Menurut Mustapha,  Veteran UMNO turut kesal dengan sikap Mohd Asri yang dilihatnya terus mengkritik kerajaan pimpinan Najib.

Malah, berkata Mohd Asri turut menyokong gerakan antikerajaan yang didokong oleh pembangkang.

"Perlakuan mufti ini telah keterlaluan dan tidak boleh diterima lagi.

Campur tangannya secara terbuka dalam politik dan pentadbiran kerajaan sudah berlebihan dan menjolok mata.

"Sebagai seorang mufti, beliau sepatutnya tahu bidang tugas dan tanggungjawabnya.

"Tidak salah dia menegur kepimpinan dengan cara berhemah sesuai dengan jawatannya. Tetapi bukan secara berterusan campur tangan sehingga melebihi batas kemuliaan institusi mufti itu," katanya.


Mustapha dipercayai merujuk kenyataan Mohd Asri yang didakwa menyokong Perhimpunan #Tangkap MO1 anjuran sekumpulan mahasiswa di ibu kota semalam.


Mufti Perlis itu di laman Facebooknya semalam menulis "Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!"

Thursday, August 25, 2016

‘Persenda’ Agong - Apa Jadi Kalau Dia Bukan Pemimpin UMNO?


Katakan jika dia bukan anggota parlimen UMNO/Barisan Nasional Langkawi yang dikatakan mengaitkan 'Malaysian Official 1' (MO1) dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah?

Katakanlah Datuk Nawawi Ahmad itu rakyat biasa atau pemimpin politik pembangkang yang ‘mempersendakan’ sedemikian, apa akan berlaku?

Tetapi oleh kerana Nawawi adalah pemimpin UMNO, isu ini cuba disejukkan seberapa yang boleh dan seboleh-bolehnya dielak atau sorok daripada diperbincangkan.

Tidak ada kenyataan dan tidak ada amaran oleh pemimpin utama parti.

Sehingga ke hari ini pemimpin UMNO mengunci mulut dan mengelak daripada menyerang Nawawi walaupun jelas dia 'mempersendakan' Agong.

Jika perkataan ‘mempersenda’ seperti dilakukan Nawawi, rasanya sudah pasti akan berduyun-duyunlah pemimpin UMNO menghentam orang yang membuat kenyataan sedemikian.


Pastinya juga media perdana serta stesen tv milik kerajaan akan menjadikannya tajuk utama berita mereka. Mungkin berminggu atau berbulan-bulan dengan follow-up (susulan) yang tidak akan berakhir...

Itulah istimewanya pemimpin UMNO.

Punyalah banyak hak imuniti, walaupun mempersendakan Agong.

Anehnya juga, selepas agak lama baru  polis mengatakan pihaknya akan  menyiasat Nawawi selepas ia menjadi perbahasan di media?

Apa alasan polis untuk siasat kenyataan Nawawi? Kerana mempersendakan Agong?

Atau hanya kerana ada laporan polis terhadap beliau?

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata kelmarin ( 24 Ogos), pihaknya menerima lebih 10 laporan berkaitan kenyataan Nawawi di Facebooknya.

Bukankah Nawawi  sudah menegaskan tidak bercakap mengenai MO1 dalam konteks saman mahkamah DOJ, tetapi sebaliknya dari segi perlembagaan?

Anina...Polis atau UMNO perlu ambil tindakan.
Malah, Isnin lalu, Nawawi memohon ampun daripada Agong berhubung kekeliruan istilah 'Malaysian Official 1' atay 'MO1' di laman Facebooknya minggu lalu.

Nawawi sebelum ini juga mendakwa kenyataannya disalah tafsir dan bukan merujuk kepada tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

MO1 adalah individu yang didakwa oleh DOJ menerima sekurang-kurangnya AS$ 731 juta daripada AS$ 3.5 bilion yang didakwa disalga ahgunakan daripada 1MDB.

DOJ berkata ia dihalang oleh kaedah-kaedah mahkamah daripada menamakan pegawai itu dalam saman sivil berkenaan, yang mendorong spekulasi mengenai identiti sebenar MO1.

Nawawi berkata beliau tidak berniat mengaitkan baginda tetapi ia menjadi viral oleh pihak tertentu dengan fahaman yang lain daripada apa yang cuba dinyatakan.

Dalam permohonan maaf kepada Agong Isnin lalu, Nawawi melahirkan rasa kesal berhubung perkara itu dan berjanji untuk lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan di media sosial pada masa akan datang.

Pertanyaan ialah jika tidak mensasarkan atau mengaitkan MO1 dengan Yang di-Pertuan Agong kenapa mesti  minta maaf?

Jika tidak bersalah, kenapa mesti minta maaf? Kenapa ambil risiko dengan berbuat demikian?

Hanya yang bersalah sahaja meminta maaf, kalau tidak bersalah PEDULI APA!

Apa yang dikatakan olehnya?

Baru-baru ini  Nawawi dalam catatan di Facebook mendakwa MO1 tidak lain dan tidak bukan adalah Agong yang juga merupakan ketua negara ini. Posting itu kemudian disunting untuk membuang rujukan kepada Agong empat jam kemudian, tetapi menerima kritikan meluas.

Dalam tulisan di Facebook minggu lalu, yang disunting empat jam kemudian, ahli parlimen Langkawi itu berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab terhadap kerajaan.

Dalam versi yang disunting, baris terakhir dalam posting telah digantikan dengan perkataan, "Maka, mengikut perlembagaan MO1 bukan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) kerana dia (adalah sama ada) MO2, MO3, atau MO4."

Ekoran kenyataan itu, Majlis Kerabat Diraja Kedah memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak melangkaui batas dengan menarik pihak istana terutama Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, ke kancah politik tanah air.

Amat benar apa yang titimbulkan oleh bekas anggota UMNO Langkawi Anina Saadudin yang tertanya-tanya apa akan jadi jika anggota DAP mendakwa Malaysian Offcial 1 (MO1) adalah Yang di-Pertuan Agong.

Anina mengulas permohonan maaf Nawawi kepada Agong atas kenyataannya mengenai MO1.

"Cuba bayangkan komen itu datang daripada ahli DAP, isu itu akan dimainkan di TV3, saya rasa tidak kurang satu bulan," katanya kepadaMalaysiakini.

Oleh itu, Anina berpendapat pihak polis dan UMNO sendiri mesti mengambil tindakan terhadap Nawawi kerana kenyataan tersebut.

Malah katanya, permohonan maaf Nawawi kepada Agong tidak mencukupi dan beliau perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah.

"Sultan Kedah adalah sultan di hati rakyat. Baginda adalah sultan di hati semua rakyat Kedah. Kalau kamu mahu memohon maaf kepada sultan, kamu juga mesti mohon maaf kepada semua rakyat Kedah," katanya.

"Kenyataan itu bersangkut paut dengan perlembagaan. Kamu kata maaf dan tu sahaja? Sebagai pemimpin kena tunjuk contoh kepada rakyat. Kalau seorang pemimpin buat silap, cakap maaf dan terlepas. Rakyat boleh buat benda yang sama dan kemudian mohon maaf.

"Nanti sesiapa saja di jalan akan buat komen berkaitan Agong dan cuma cakap maaf. Polis mesti ambil tindakan, buka fail dan siasat," katanya.

Bukit Aman berkata pihaknya menyiasat  kes berhubung tindakan ahli parlimen Langkawi itu dan  siasatan kini dibuka bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, lapor Berita Harian.

"Siasatan awal, Nawawi mendakwa kenyataannya dimanipulasi tetapi kita serahkan kepada Bukit Aman untuk menyiasat termasuk mengambil keterangannya untuk perhatian peguam negara," kata Zamri dipetik Berita Harian Online.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 20 Ogos lalu mengesahkan pihaknya akan memanggil anggota parlimen Langkawi itu selepas menerima beberapa laporan mengenai perkara itu dan siasatan akan dijalankan.
  
Dalam isu ini, apa yang lebih mengejutkankenyataan itu datang daripada pemimpin UMNO, sebuah parti yang mendakwa memperjuang Raja-Raja Melayu tetapi bagaimana seorang pemimpin parti itu bebas daripada tindakan walaupun ‘mempoersendakan Agong?

Wednesday, August 24, 2016

'Enggan Mohon Maaf, Notis Saman Sampai Rumah' - Sandiwara Atau Apa?


Notis saman untuk siapa? Ke rumah siapa?

Tetap dihantar walaupun status di Facebook sudah dipadamkan?

Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, peguamnya sudah menghantar notis saman kepada seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik status berkenaan dakwaan mengatakan beliau pembuli jalan raya.

Nazir berkata, tindakan itu dilakukannya, selepas tempoh yang diberikan kepada pemilik akaun Facebook tersebut, untuk membuat permohonan maaf kepadanya tamat.

Menurutnya, walaupun pemilik itu sudah memadamkan status berkenaan pada Ahad lalu, namun dek kerana keenggannya memohon maaf telah menjejaskan nama baiknya, sehingga memberi impak negatif dalam kehidupannya.

"Statusnya sudah dikongsi lebih 30,000 pelayar, jadi dia kena tampil mohon maaf dan beri penjelasan, ingat siber buli ini lebih teruk kesannya...saya harap kita semua tolak perbuatan siber buli ini," katanya.

Tidak cukup dengan menarik balik status di Facebook pemilik berkenaan?
  
Nazir memberitahu,  peluang sudah diberikan jadi beliau berharap dengan tindakannya itu dapat memberi pengajaran kepada pemilik akaun Facebook itu, supaya tidak mengulangi perbuatannya disamping memberi kesedaran kepada orang lain untuk tidak bertindak sedemikian.

"Peguam saya sudah hantar notis saman ke rumahnya semalam...sebenarnya saya nak saman dia bukan kerana duit, sebab saya tidak nyatakan jumlahnya.

"Saya saman dia kerana perbuatannya, untuk beri pengajaran kepadanya kerana dia masih berdegil, jadi kenalah tanggung akibatnya, kini bergantung kepadanya," katanya kepada Sinar Onlline.

Sebelum ini, Nazir memberi memberi tempoh sehingga Ahad lalu, untuk pemilik akaun Facebook itu membuat permohonan maaf.

Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik status yang mengaitkan kereta yang kononya pemiliknya adalah Nazir memandu secara berbahaya dan hampir membuatnya terlibat dalam kemalangan

Dalam pada itu Nazir menjelaskan, dia sentiasa bersikap lapang dada sekiranya pemilik akaun Facebook itu memohon maaf.


"Kalau dia salah dia minta maaf, itu sahaja kalau tidak undang-undang yang akan tentukannya," katanya.

Saturday, August 20, 2016

Umno Johor Perlu Tebus Maruah, Rampas Kembali Kerusi Pada PRU14

Dr Ahmad Zahid (empat, kiri) dan Hishammudin (empat, kanan) menyiram pokok bunga pada gimik perasmian Rumah Komuniti Parlimen Sembrong di Taman Seri Lambak, Sabtu pagi.
UMNO Johor perlu bangkit dan menebus semula maruah dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan merampas kembali kerusi yang hilang kepada pembangkang.

Naib Presiden UMNO, Datuk  Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  yang juga timbalan perdana menteri berkata meskipun pada mulanya dibolosi atas kesilapan teknikal, pihak pembangkang bagaimanapun berupaya meningkatkan pegangan kerusi di Johor pada PRU13.

"Mengikut profil di Johor ini, saya bimbang dengan apa yang kita (UMNO dan Barisan Nasional) perolehi (pada PRU13 lepas), Johor adalah tapak kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi telah dibolosi pihak pembangkang," katanya.

Namun beliau percaya UMNO Johor yang dipimpin oleh menteri besar dan ketua badan perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mampu membuat penebusan maruah dan merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen tersebut.

"Bagaimanapun, ia tidak akan berjaya tanpa dukungan rakan-rakan yang terdiri daripada sayap-sayap di bawah UMNO dan BN," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Sembrong, di Kluang hari ini.

Dr Ahmad Zahid berkata selagi dirinya menjadi pembantu kepada presiden parti, beliau akan memberi tumpuan untuk membantu rakyat dan kerajaan negeri Johor untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN di Johor.

Beliau berkata kemenangan UMNO dan BN di Johor adalah penting memandangkan ia adalah kubu kuat parti itu dan mempunyai hubung kait senario politik di Malaysia.

"Bangun orang Johor, bangkit orang Johor, bangkit UMNO Johor! Tebus balik kerusi-kerusi yang kalah, kita rampas balik kerusi-kerusi yang majoritinya (undi) kecil di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Saya yakin beliau mampu melakukan penebusan maruah ini semula," kata timbalan perdana menteri.

Pada PRU13, BN memenangi 21 daripada 26 kerusi Parlimen dan 38 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Johor.

Selain itu, Dr Ahmad Zahid turut mengingatkan betapa pentingnya kerjasama, semangat perpaduan dan bersatu antara UMNO dan parti komponen BN yang lain.

Katanya, pada dua pilihan raya umum yang lepas parti MCA, MIC serta beberapa parti komponen BN yang lain mengalami masalah "trust deficit" atau "kurang keyakinan" dan krisis kepimpinan sementara UMNO pula berjaya mengekalkan prestasi yang baik.

"Tetapi ketika kita (UMNO) susah, parti-parti inilah (komponen BN) yang menolong UMNO. Ketika UMNO mengalami krisis pada tahun 1987-88, UMNO diharamkan, parti-parti inilah yang membantu memenangkan.

"Saya ingin mengingatkan diri saya, ketika ini parti-parti ini sedang susah, bukan kerana mereka susah sebab mereka lemah tetapi dilemahkan oleh pihak yang tidak suka dengan pemikiran parti-parti itu dan memecahbelahkan orang-orang Cina, orang-orang India dan orang bukan Melayu yang lain," kata Dr Ahmad Zahid.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga naib presiden UMNO dan ketua UMNO Bahagian Sembrong dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Md Jais Sarday.


Terdahulu, timbalan perdana menteri turut merasmikan Rumah Komuniti Parlimen Sembrong.

Thursday, August 18, 2016

Boleh Tidur Nyenyak – BERSATU Tidak Mampu Jatuhkan UMNO’


Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertujuan memulihkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara.

Usaha itu penting kerana pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa Dr Mahathir telah menafikan hak undang-undang dan demokrasi di Malaysia.

"Parti baharu akan memberi perhatian kepada perubahan pemikiran rakyat Malaysia, dan memulihkan negara," katanya dalam blognya kelmarin.

Walaupun didakwa demikian, namun usaha untuk melunturkan UMNO sebagai parti yang mengamalkan demokrasi sama ada melalui pentadbiran dan perjalanan parti serta sistem pilihan raya yang diamalkan sejak merdeka adalah sukar digugat.

Malah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang bertunjangkan kepada kekuatan dan keutuhan UMNO pasti sukar untuk digoyahkan.

Jika demokrasi dijadikan asas untuk menumpaskan UMNO, ia suatu usaha yang sukar walaupun mungkin nasib parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan di negara-negara lain sudah lama berkecai .

Benar, kebanyakan parti seusia UMNO sudah banyak lenyap. Memang mereka tewas kepada parti baru yang dibentuk selepas kemerdekaan.

Tetapi ia  bukan kerana sebab-sebab tidak mengamalkan demokrasi tetapi akibat isu-isu seperti penyalahgunakan kuasa, selain pemimpinnya bertindak untuk kepentingan peribadi.

Ia sama sekali tidak ada kena mengena dengan sama ada parti berkenaan tidak mengamalkan demokrasi atau sistem sesebuah negara berkenaan tidak lagi demokratik.

Jepun, India, Pakistan, Bangladesh serta beberapa negara jajahan Britih lain memang mengamalkan demokrasi namun, parti yang memerintah kini, bukan lagi parti asal ketika negara berkenaan mencapai kemerdekaan.

UMNO dapat bertahan begitu lama kerana menjunjung demokrasi tetapi dengan sistem yang ada itu ia tidak akan menjamin ketahanannya jika pemimpin tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas perjuangannya.

Yang menjadi ancaman kepada UMNO ialah apabila pemimpinnya tidak lagi berfungsi memeperjuangakan kepentingan rakyat sebaliknya memenuhi selera dan kepentingan pemimpin semata-mata.

Persoalannya apakah Malaysia kini berkedudukan sedemikian?


Analisis yang dibuat oleh CNBC tidak memberikan harapan tinggi kepada parti baharu iaitu BERSATU untuk menjatuhkan UMNO.

Penganalisis politik dan ekonomi – walaupun bimbang dengan keadaan di Malaysia ketika ini – melihat BERSATU mungkin bukan lawan digeruni.

Ahli ekonomi di bank pelaburan Natixis, Tringh Nguyen memberitahu CNBC, kekebalan UMNO ialah kerana penguasaan bersejarah parti itu yang sekian lama bertapak di Malaysia.

Malah, beliau ragu-ragu dengan kemampuan parti baharu itu, memandangkan pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad kini berusia 91 tahun.

Bukan sahaja usianya lanjut tetapi pengaruh politiknya juga semakin merosot.

“Tidak mungkin Mahathir boleh meraih sokongan untuk menjatuhkan (Datuk Seri) Najib Razak,” katanya.

Laporan itu menyatakan landskap politik negara yang berselerak, khasnya dengan pembangkang yang kelihatan berpecah-belah adalah satu lagi sebab UMNO akan terus berkuasa.
“Ada banyak cabaran menanti BERSATU, khasnya dengan pembangkang yang berpecah-belah,” kata Norshahril Saat, felow Iseas-Institut Yusof-Ishak yang merupakan sebuah kumpulan penyelidikan khusus dalam kajian Asean.

Norshahril berkata, perbalahan dalaman antara pembangkang, iaitu PKR, DAP, PAS dan AMANAH turut memperkukuhkan penguasaan Barisan Nasional.

Bekas setiausaha politik Najib dari 2009 hingga 2011,  Oh Ei Sun yang kini felow kanan di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura berkata, BERSATU ditubuhkan hanya untuk menggulingkan perdana menteri.

Menurut laporan itu, Pakatan Harapan yang terdiri daripada Amanah, PKR dan DAP tewas dalam dua pilihan raya kecil, baru-baru ini, manakala satu lagi pakatan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama menggabungkan beberapa parti pembangkang kecil.

BERSATU pernah menegaskan ia tidak keberatan bersekutu dengan Pakatan Harapan dan jika itu berlaku, Oh berkata, ia hanya akan lebih mengelirukan landskap pembangkang.

Saat bagaimanapun berkata, beberapa pakatan itu akan menjadikan Pilihan Raya Umum 2018 lebih menarik.

“Harapan Mahathir ialah sentimen terhadap kerajaan BN tidak berubah sejak 2013, apabila lebih separuh rakyat Malaysia mengundi pembangkang,” katanya.

Kurangnya alternatif berdaya maju buat Najib dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, Malaysia secara keseluruhannya berada dalam “survival strategik”, kata Nguyen kepada CNBC.


Beliau berkata, dalam suasana politik huru-hara, wujud ruang tidak berkembang terhadap ramalan jangka sederhana dan kekurangan perbincangan untuk membawa Malaysia ke tahap pembangunan seterusnya.

Sunday, August 14, 2016

Perbetul Apa Sahaja Yang Tidak Kena Dalam Keluarga Umno Sendiri

Najib (dua, kiri) menyarungkan keris ke dalam sarungnya sebagai simbolik merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Kota Tinggi di Sedili Besar semalam.
Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyeru ahli UMNO supaya terus mempertahankan parti keramat itu, malah turut mengingatkan mereka agar memperbetulkan apa sahaja yang tidak kena dengan parti dalam lingkungan keluarga UMNO sendiri.

Perdana menteri dan presiden UMNO itu berkata, tiada pilihan lain bagi ahli UMNO sebagai pejuang parti untuk mempertahankan parti itu sendiri dalam memastikan kelangsungan perjuangan martabat orang Melayu pada masa akan datang.

"Ibarat kita dalam sebuah rumah, kalau tidak kena perabot, kita boleh ganti, kita boleh alih perabot itu. Kalau ada pinggan-mangkuk yang sumbing, kita boleh beli yang baharu. Kalau ada langsir yang robek, kita boleh ganti dengan langsir yang baharu.

"Tetapi kalau kita ni membakar rumah UMNO ini, di mana kita nak cari tempat kita hendak berteduh? Datuk Seri (Mohamed Khaled Nordin) baca pantun tadi, kalau UMNO tersungkur, di mana orang Melayu nak berteduh? Maknanya, kalau Umno mati, rumah UMNO ini kita binasakan, di mana kita nak bernaung, di mana kita nak bergantung harapan? Jawabnya tiada," kata Najib.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dataran Sedili Besar, Tanjung Sedili, semalam.

Najib yang diringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor bersalaman dengan anggota akar umbi parti.
Najib berkata,  sebagai presiden parti, beliau sentiasa berjiwa besar dan sebagai contoh, pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas, beliau mengambil langkah menghulurkan tangan perdamaian dan tangan perpaduan tetapi malangnya tidak disambut.

Malah, beliau berkata pemimpin-pemimpin terdahulu UMNO memilih jalan lain yang bertentangan dengan wadah perjuangan parti UMNO.

"Sebab (itu) kita perlu UMNO sebagai sebuah parti yang menyatupadukan orang Melayu, roh perjuangan kita lahir di perkarangan tangga Istana Besar Johor Baharu, bukan calang-calang tempat, kerana kita meniupkan roh semangat perjuangan nak menyatupadukan orang Melayu, nak meneruskan perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara," kata beliau.

Najib turut menyelar parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang bercadang untuk bekerjasama dengan DAP, yang sama sekali tidak pernah menyokong perjuangan atas nama pribumi dan hak Bumiputera.

"Malah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dalam UMNO sendiri telah menyelar mereka sebagai parti anti-Islam, anti-Melayu, cauvinis. Mereka telah menyatakan dengan jelas, ayat itu keluar daripada mulut mereka sendiri waktu mereka dalam Umno, maka jelaslah bahawa hari ini mereka cakap lain.

"Macam mana Parti Pribumi nak bekerjasama dengan parti DAP yang terang-terangan tidak menyokong perjuangan atas memartabatkan bangsa, agama dan tanah air.

"Di mana soal Peruntukan 153 dalam Perlembagaan Hak Istimewa Orang Melayu, di mana letak pendirian mereka dalam perjuangan untuk menegakkan syiar Islam di bumi yang bertuah ini, di mana perjuangan mereka untuk mempertahankan institusi diraja-raja Melayu dan sebagainya. Jelas, tidak ada," kata Najib.

Justeru, presiden UMNO yakin bahawa anggota UMNO, termasuk UMNO Johor, akan mempertingkatkan usaha untuk menaikkan semangat agar Johor muncul sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Ikrar sahaja tidak cukup, seperti kata menteri besar tadi, ia mesti ada perancangan. Mesti ada usaha dan mesti ada kebersamaan. Saya yakin tiada sebab mengapa Johor tidak boleh pertahan sebagai kubu kuat," kata Najib.

Najib, yang merupakan perdana menteri pertama yang menjejakkan kaki ke Kampung Sedili Besar, turut mengumumkan kelulusan peruntukan melebar dan meluruskan jalan masuk ke kampung berkenaan untuk keselesaan masyarakat setempat.

Lebih 1,000 anggota UMNO dan penduduk setempat menunggu seawal 7 pagi untuk menyambut ketibaan presiden UMNO itu.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Daing A Malek Daing A Rahman.

Bernama

Saturday, August 13, 2016

UMNO Bukan Dilahirkan Daripada Kebencian, Kekecewaan - Najib


UMNO bukanlah parti yang dilahirkan daripada perasaan benci, kekecewaan atau atas dasar menolak pemimpin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Beliau berkata sebaliknya, UMNO adalah parti suci yang dilahirkan di tangga istana besar di Johor dengan gema semangat nasionalisme untuk menolak penjajah dan bangkit daripada roh orang Melayu yang mahu membela martabat dan maruah.

"UMNO tidak lahir di atas kebencian, UMNO tidak lahir di atas kekecewaan,UMNO tidak lahir kerana mahu menolak pemimpin lain. Kalau itulah jadi asas perjuangan kita, maka, apa-apa yang kita lakukan bukanlah bertunjangkan idealisme dalam perjuangan yang berpaksikan kepada sesuatu yang mulia dan suci.

"Tidak ada satu wadah perjuangan yang jelas, hanya sekadar marah, benci dan cita-cita peribadi yang tidak kesampaian maka perjuangan itu tidak bertahan lama," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO BahagianJelebu dan Jamuan Rakyat Sehati Sejiwa di Stadium Mini Kuala Klawang di Jelebu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua UMNO Jelebu Datuk Jalaluddin Alias dan Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.


Kira-kira 15,000 menghadiri majlis Jamuan Rakyat 'Sehati Sejiwa' yang itu dan  Najib yang tiba jam 3.30 petang disambut oleh Mohamad Hasan dan Jalaluddin Alias, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri.

Perdana Menteri kemudian memeriksa perbarisan oleh kumpulan Sukarelawan UMNO Jelebu yang aktif dalam pelbagai aktiviti di daerah ini sebelum menyampaikan ucapan perasmian di majlis itu. Pada majlis sama, Najib turut merasmikan majlis penutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu yang bermesyuarat pagi tadi. 

Najib yang juga Presiden UMNO berkata sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana parti politik yang dibangunkan atas sifat-sifat sedemikian, tidak dapat bertahan lama.

"UMNO boleh menjadi teras kepada kepimpinan negara kita kerana kita berdiri atas perjuangan idealisme yang teruji, bertahan sejak sekian lama dan terbukti membawa negara kita kepada kejayaan. Dalam apa jua era dan krisis, kita telah berjaya melalui krisis itu.

"Sama ada kita melawan komunis, berdepan zaman kemelesetan ekonomi, UMNO boleh bertahan kerana kita mempunyai wadah perjuangan yang lahir ditengah-tengah semangat untuk membela martabat dan maruah kita dan hari ini dunia melihat Malaysia berjaya,"kata beliau.

Mengulas lanjut, Najib berkata rakyat juga tidak seharusnya menjadikan media sosial sebagai hiburan atau menjadikan satu dua akhbar antarabangsa sebagai panduan.

"Rakyat Malaysia tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar, kita lebih sayang kedaulatan negara kita,"katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata tindakan pihak tertentu yang mengemukakan referendum dan deklarasi rakyat terhadapnya adalah suatu yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Rakyat tak boleh hidup atas politik macam ini...rakyat boleh terus hidup bila kita bagi bantuan kepada rakyat susah seperti BR1M (Bantuan Rakyat1 Malaysia), bantuan persekolahan, bagi projek kecil, bagi duit raya, bagi bonus dan macam-macam lagi.

"Inilah yang akan membela kesejahteraan dan kebajikan rakyat, bukankerja-kerja yang tak berfaedah ini,"katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Malaysia turut dijadikan negara contoh bagi negara lain dalam aspek keselamatan dan keamanan.

Beliau berkata proses damai di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan Filipina menyaksikan Malaysia dipilih sebagai orang tengah bagi menjayakan agenda penting itu.

"Pagi tadi saya dapat mesej, kedamaian di selatan Filipina akan diteruskan...menakjubkan (ialah) proses kedamaian bangsa Moro di Selatan Filipina mesyuaratnya dibuat di Kuala Lumpur, maknanya kita dianggap sebagai 'big brother'.

"Mereka tidak akan lakukan perkara ini kalau negara kita huru hara, tak ada peranan di rantau ini...tetapi kerajaan Filipina dan MILF hormat kita. Itulah negara Malaysia pimpinan UMNO dan BN (Barisan Nasional),"katanya.

Najib juga meluahkan  rasa terharunya di atas sokongan padu yang diberikan UMNO Bahagian Jelebu serta rakyat di sini terhadap kepimpinannya sebagai presiden dan perdana menteri.

"Meremang bulu roma saya...menyokong saya dalam apa jua keadaan. Saya nak mandat daripada rakyat untuk saya jalankan tugas saya.

"Janganlah ganggu saya, saya bertanggungjawab terhadap 30 juta rakyat. Biar halilintar membelah bumi, saya tidak akan berundur walau seinci...tidak berundur, tidak menyerah.

"Kita berada di landasan yang betul dan benar. Kalau ada yang tidak betul, kita betulkan bersama tapi jangan sampai meruntuhkan institusi politik kita," kata beliau.

Perdana menteri menegaskan 'rumah' yang dibina di atas keringat pejuang terdahulu wajarlah dipertahankan demi kelangsungan generasi akan datang.

"Jangan rosakkan rumah kita. Kalau nak ubah sikit, kerusi, meja yang sumbingbolehlah kita baiki, tetapi jangan pula kita bakar rumah kita...itu sahaja rumah kita.

"Rumah inilah yang kita telah bina atas keringat dan jerih payah kita. Darah pemimpin dulu yang berkorban jiwa raga untuk membina rumah ini untuk kita dan cucu kita. Rumah ini mesti kita pertahankan kalau tidak apa yang kita nak wariskankepada anak kita," katanya.

Najib berkata selagi beliau diberi mandat daripada parti dan rakyat, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik. Pada program itu, ia dihadiri seramai 15,000 termasuk anggota parti komponen, exco kerajaan negeri, ketua-ketua UMNO bahagian dan rakyat. 

Bernama & Berita Harian

Monday, August 8, 2016

Ahmad Razif - Krisis Politik Terengganu Kini ‘Selesai’


Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman semalam menyifatkan krisis politik di negeri itu selesai dan berharap tidak timbul lagi masalah seumpama itu yang boleh menjejaskan kepimpinan negeri di masa depan.

Beliau lega sidang Dewan Undangan Negeri hari ini tidak menampakkan “situasi panas” seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

“Alhamdulillah, keadaan hari ini terkawal dan tak ada apa-apa perkara yang berlaku…keadaan (kemelut) politik di Terengganu sudah selesai.

"Yang penting sekarang ini kita hendak bergerak ke hadapan untuk memastikan agenda pembangunan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya sebaik sahaja selesai sidang DUN semalam.

Beliau berkata, apa yang berlaku membuatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya lebih bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Razif...bergerak ke hadapan
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib turut  menyatakan komitmennya untuk terus menyokong kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menerajui negeri ini.

Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau mengharapkan kepimpinan sedia ada akan terus kukuh dan tiada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus pilihan raya negeri.

"Biasalah kami semua satu pasukan dan satu kepimpinan serta kepimpinan negeri sekarang berjalan macam biasa dan lancar," katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi rehat Sidang DUN Terengganu bagi penggal keempat di Wisma Darul Iman semalam.

Kemelut politik di Terengganu menjadi tumpuan apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal dan Ghazali mengkritik kepimpinan Ahmad Razif.

Baru-baru ini beberapa akhbar tempatan melaporkan Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri meminta kepimpinan tertinggi Umno mengambil tindakan segera menyelesaikan kemelut pentadbiran negeri yang didakwanya gagal berfungsi sehingga memberikan kesan kepada rakyat.

Ghazali berkata, laporan kemelut itu telah disensasikan media sedangkan tiada sebarang masalah dan berjalan dengan baik. 

"Biasalah adik-beradik saling ingat mengingati ... media sukakan (benda) sensasi, jadi benda yang saya bagi tahu adalah benda yang baik tetapi diambil peluang pihak yang mengharapkan kehangatan," katanya.

Mohd Jidin...semua 17 ADUN datang

Sementara itu, ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, kesemua barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tetap bermuafakat menghadapi sebarang masalah dalam pentadbiran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata, persidangan DUN yang berlangsung lancar pada Isnin dengan tiada usul tergempar membuktikan laporan kemelut itu sekadar digembar-gemburkan tanpa asas kukuh pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu hari ini selesai ...tidak ada apa-apa yang berlaku ...kesemua 17 kita (Adun Barisan Nasional) datang. Kadang-kadang kebebasan IT (teknologi maklumat) ini menyebabkan pelbagai andaian tersebar," katanya.

Ditanya mengenai sokongannya kepada Ahmad Razif, beliau berkata: "Kita semua ini duduk dalam kerajaan yang ada ketua dan satu pasukan. Jadi kita kena jaga parti".

Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat pula meminta agar semua pihak tidak lagi menggembar-gemburkan krisis politik di Terengganu selepas ini kerana yakin kesemua Adun boleh berkhidmat dengan baik untuk rakyat.

"Jadi rakyat tidak perlu risau serta gusar kerana kerajaan negeri masih mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik," katanya.

Rozi berkata kesemua wakil rakyat (BN) memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri sedia ada malah perbahasan dibuat secara matang dan positif.


"Semua pihak memainkan peranan masing-masing yang mana pihak kerajaan memainkan peranan sebagai kerajaan memerintah manakala pembangkang dengan peranan mereka," katanya.

Sunday, August 7, 2016

Siapa 6 ADUN Yang Mahu Boikot Sidang DUN Esok?


Provokasi daripada siapa? Pemimpin dan 'barua' UMNO sendiri?

Siapa kata ada enam (6) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok?

Siapa cipta cerita demikian?

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang hari ini berkata “Boikot Sidang DUN Hanya Provokasi...”.

Sejauh ini tidak ada laporanpun mengatakan ada enam ADUN berhasrat berbuat demikian.

Mungkin provoksi yang dikaitkan itu untuk mengeruhkan keadaan kerana ‘memang ada lebih enam’ ADUN yang bersimpati dengan apa yang dituntut oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Tetapi di kalangan enam ADUN itu (termasuk EXCO), mereka tidak mahupun sidang DUN esok berjalan dalam keadaan kelam kabut.


Juga mereka tidak pernah meminta Ahmad Razif Abdul Rahman meletakkan jawatan.

Mereka seboleh-bolehnya berusaha memujuk Datuk Seri Ahmad Said jangan menjadikan mesyuarat esok sukar.

Bukan begitu A Latiff?

Jadi jangan komen perkara yang tidak benar, kalaupun ditanya soalan berbentuk provoksi oleh wartawan.

Jawapan biar jelas. Lagipun A Latiff semalam hadir pada mesyuarat dengan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Ingat apa pesanan dan hasrat  Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO pada mesyuarat itu?

Menurut laporan mStar, A Latiff yang juga ADUN  Pengkalan Berangan,  pemulauan berkenaan tidak mungkin berlaku kerana ketika ini kesemua exco berada teguh menyokong kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

"Saya yakin ia tidak akan berlaku sebab ketika ini tahap kecintaan kami semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sangat tinggi terhadap Terengganu. Tidak mungkin akan berlaku perkara di luar jangkaan kerana kami tetap bersama MB (Menteri Besar)," katanya.

Beliau menyatakannya ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Transformasi Terengganu Baharu (TTB) di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

“Ia hanya khabar angin dan satu provokasi pihak tidak bertanggungjawab," itu jawapan beliau.


Sebaik-baiknya nyatakan siapa buat provoksi itu. Siapa pihak tidak bertanggungjawab itu.

PAS, AMANAH dan Ahmad Said tidak buat kenyataanpun ada enam ADUN akan berbuat demikian.

Apakah orang UMNO sendiri atau penyokong Menteri Besar sengaja sebarkan berita sedemikian untuk memburukkan Ahmad Said.

Juga apakah cara itu untuk memburukkan imej ADUN yang disyaki ‘tidak menyokong Menteri besar’?

A Latiff sendiri kata semua EXCO dan ADUN BN sayangkan Ahmad Razif dan menykong beliau, jadi jangan disebut ada yang menentang Menteri Besar.

A Latiff  kena bijak menjawab. Sebagai Bekas EXCO Komunikasi jangan keruhkan keadaan.

Matikan sebarang soalan  mengenai spekulasi yang mendakwa enam orang EXCO dijangka memulaukan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 yang akan bersidang esok, adalah lebih baik.

Jangan layan soalan wartawan. Jawapan yang baik ialah mengulas harapan beliau bahawa tiada perkara luar biasa yang akan berlaku dan Sidang DUN dapat berlangsung seperti biasa.

"Saya menaruh harapan agar Sidang DUN esok dapat berjalan lancar dengan tertib dan kita juga berharap Sidang DUN kali ini akan memberi impak dan kesan yang baik kepada negeri Terengganu," katanya. Ini jawapan yang baik.

Dalam keadaan kemelut sekarang, ADUN dan EXCO sebaik-baiknya mengelak jawapan bersifat provoksi dan yang boleh mendatangkan persepsi.

Jika Najib , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mahu isu ini diselesaikan dengan baik, pemimpin UMNO Terengganu, khususnya pemimpin UMNO Bahagian Marang seperti A Latiff,  perlu elak menyebut kumpulan atau pihak tertentu cuba menggugat perjalanan persidangan DUN esok.

Diharap A Latiff mempelajari cara menjawab soalan wartawan dengan bijak dan mengelak sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan wujud persepsi pada masa hadapan.


Tuesday, August 2, 2016

Mesti Berani Tentang Mereka Yang Keluar UMNO - Seru Khairy


Aspek mentaliti untuk berjaya, keberanian dan kesamaan perlu diterapkan di dalam hati dan minda anggota UMNO bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah negara ini buat selama-lamanya.


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata ketiga-tiga aspek itu perlu diberi perhatian bagi menghadapi pelbagai dugaan dan kontroversi melibatkan nama baik negara mahupun presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun sokongan terhadap UMNO dan BN belum 100 peratus pulih, Khairy yang merupakan Menteri Belia dan Sukan menyifatkan keyakinan serta mentaliti untuk berjaya itu amat penting bagi mendapatkan mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Inilah kunci kejayaan kita. Kita perlu ada 'mentaliti untuk berjaya'. Ada kalanya kita sedang melalui masa sukar tetapi kita perlu ada keyakinan diri sekiranya mahu menang dalam PRU14.

"Kalau kita sendiri tidak yakin, bagaimanakah orang luar boleh yakin bahawa UMNO mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya 2016 hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata anggota UMNO juga perlu berani ketika berdepan dengan cabaran beberapa individu yang bukan calang-calang orangnya keluar parti UMNO dan menentangnya secara habis-habisan.

"Ini adalah cabaran langsung, dan kita tidak boleh leka sebaliknya bangkit untuk berdepan dengan mereka bagi mempertahankan dan meneruskan perjuangan parti. Tidak kira siapakah mereka, kita mesti berani berdepan dengan mereka," katanya.

Katanya, saat seseorang pemimpin keluar daripada UMNO, mereka keluar daripada wadah perjuangan bangsa Melayu, dan orang Melayu juga tidak akan bersama dengan mereka.

“Jangan kita dalam UMNO pula yang berkata, ya, betullah, apa yang Dr Mahathir Mohamad kata adalah betul, apa yang Tan Sri Muhyiddin Yassin kata adalah betul, ini telah disahkan oleh Amerika Syarikat.


“Kita fikir, guna akal kita, dan juga semangat kebersamaan dengan presiden,” katanya.

Bagi aspek kesamaan pula, Khairy menekankan warga UMNO terus menunjukkan perpaduan dan sentiasa bersama dengan kepimpinan negara walapun isu-isu baharu meletup dengan mengetengah agenda tersirat pihak-pihak tertentu.

"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan. Siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat seolah-olah berbentuk tuduhan tanpa diiringi bukti dan fakta. Kita berhadapan dengan tahap bias dan prejudis yang tinggi.

"Inilah masa kita guna akal dan perlu menunjukkan kebersamaan bersama dan berdiri teguh di belakang Presiden UMNO untuk menegakkan kebenaran dan keadilan," katanya.

Khairy mengulangi bahawa saman sivil oleh DOJ berkaitan 1MDB adalah semata-mata hasil siasatan yang masih perlu dibuktikan di mahkamah.

Di sebalik itu, beliau berkata, beberapa pengkritik Najib mengandaikan dakwaan itu sebagai kebenaran.

Kita kena berani, walaupun dikecam, walaupun dicemuh di media sosial, kata ini semua balaci-balaci dan macai-macai UMNO dan sebagainya.

“Tak apalah, kita jadi balaci, kita jadi macai tak apa. Sebab apa? Kebersamaan dengan presiden kita cuba menegakkan kebenaran dan keadilan," kata Khairy.

Menurut Khairy, bagi beliau, yang keramat adalah UMNO dan bukan individu.

Dalam pada itu, Khairy turut menyentuh beberapa strategi dalam menghadapi PRU14, antaranya mendekati masyarakat bandar agar mereka tidak terpengaruh dengan sentimen-sentimen negatif yang dibawa pihak pembangkang.

"Pertarungan hari ini adalah antara servis (perkhidmatan) berlawan sentimen.
UMNO sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Putrajaya tetapi ada kalanya, sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan selalunya terpahat dengan mudah di hati dan minda pengundi.

"Kita berdepan gelombang tsunami dari bandar ke luar bandar. Oleh itu, kita perlu ada corak perang saraf yang lebih cerdik dan canggih bagi menghadapi perkara-perkara yang kita tidak nampak. Carilah bagaimana untuk atasi sentimen negatif dalam PRU14," katanya.
Ketua Pemuda UMNO itu juga menggesa ahli-ahli parti supaya berani dan berdiri bersama presiden parti walaupun mereka diperlekehkan kerana berbuat demikian.