Pelancaran Proton Perdana baharu, sedan eksekutif terkini
oleh Proton Holdings Bhd (Proton), terbukti menjadi titik perubahan kepada
pembuat kereta nasional itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana
Menteri berkata pelancaran itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk
mengembalikan kegemilangan Proton ke landasan kejayaan bagi menjana lebih
banyak keuntungan dan memberi manfaat kepada negara.
Beliau
berkata Proton boleh membuktikan bahawa ia merupakan penggiat yang serius dalam
industri automotif, dan akan terus memain peranan utama dalam pembangunan
bakat, vendor dan usahawan tempatan.
"Saya
harap pelancaran Perdana baharu ini akan menjadi titik perubahan untuk Proton,
dan akan membawa manfaat kepada ekonomi negara dan rakyat.
"Saya
yakin Proton akan terus melakukan inovasi dan membuat penambahbaikan,
menghasilkan kereta untuk rakyat Malaysia dan pelanggan di luar negara,"
katanya pada pelancaran generasi keempat Proton Perdana di Putrajaya hari ini.
Pelancaran itu menandakan kemasukan
semula pembuat kereta nasional itu ke dalam pasaran segmen D.
Model
tersebut ditawarkan dalam dua varian, 2.0 dan 2.4 liter yang masing-masing
dijual pada harga dari RM113,438 hingga RM138,888 seunit.
Perdana
baharu varian 2.0 didatangkan dengan enjin SOHC empat silinder 16 injap
Bagi
varian 2.4 pula dipadankan dengan enjin DOHC empat silinder 16 injap yang
menghasilkan 178 bhp dan 222Nm tork.
Turut
hadir pada majlis itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),
Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri MITI II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Pengerusi
Proton Datuk Seri Syed Faizal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk
Ahmad Fuaad Kenali.
Ahmad
Fuaad berkata sejak tempahan dibuka pada Februari 2016, Proton Perdana sudah
menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara.
"Kami
menjangkakan penjualan kira-kira 3,000 unit menjelang akhir tahun ini,"
katanya.
Kereta ini boleh didapati dalam enam warna
iaitu Ruby Red, Sterling Silver, Graphite Grey, Cotton White, Midnight Black
dan Citrine Gold.
Sementara
itu, Najib yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata Proton tidak berada
pada kedudukan seperti yang sepatutnya, kurang penyelidikan yang tepat dan
keupayaan pembangunan selain skala pengeluaran yang diperlukan untuk kekal
kompetitif.
"Ada
masanya ada sifat angkuh bahawa Proton boleh buat apa sahaja kerana kerajaan
akan sentiasa menyokongnya. Dua kilang dibangunkan (Tanjong Malim dan Shah
Alam), yang berkeupayaan mengeluarkan 400,000 unit setahun.
"Namun,
tahun lepas Proton hanya menjual 102,000 kereta," katanya dan menambah
penguasaan dalam pasaran automotif negara hanya kira-kira 15 peratus berbanding
74 peratus semasa kemuncaknya pada 1993.
Setakat
ini kata Najib kerajaan sudah menyalurkan geran hampir RM14 bilion, pelbagai
bentuk bantuan dan cukai ke atas Proton sejak ditubuhkan pada 1993.
Pada
April, beliau berkata kerajaan meluluskan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada
Proton Holdings, tertakluk kepada beberapa syarat yang mesti dipenuhi oleh
pembuat kereta nasional itu.
"Ini
bukan penyelamat memandangkan pinjaman itu mempunyai syarat ketat. Namun,
keperluan mendesak untuk suntikan tunai menunjukkan hakikat bahawa wujud
kelemahan serius dalam struktur Proton," katanya.
Najib
berkata Proton berjaya atas bantuan besar kerajaan dan industri kereta nasional
berkembang di bawah perlindungan, kuota ke atas saiz enjin dan rakyat Malaysia
membayar duti import yang tinggi ke atas kereta asing.
Menerusi
bantuan kerajaan, perdana menteri berkata Proton mesti memenuhi standard ketat
pengurusan profesional untuk bergerak ke depan, dan memastikan syarikat itu
mempunyai model kestabilan jangka panjang dan segera mengenal pasti rakan
strategik asing.
"Pinjaman
itu bukan cek kosong. Syarikat mesti membuktikannya, dalam pasaran domestik dan
antarabangsa. Pada dasarnya Proton mesti membagunkan program eksport yang kukuh
dan kurang bergantung kepada pembeli Malaysia," katanya.
Najib
berkata kerajaan mahu melihat Proton kembali berjaya dan atas sebab itu
syarikat itu dibantu oleh Pasukan Petugas Khas yang baru dibentuk.
Pasukan
petugas khas yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris
Jala, akan mengenal pasti rakan strategik asing dan memantau proses pemulihan
Proton.
"Kita
sudah belajar daripada pengalaman lepas Proton oleh itu Pasukan Patugas tidak
akan campur tangan dalam operasi harian syarikat," katanya.
Najib
juga berterima kasih kepada Proton dan pekerjanya atas usaha dan sumbangan
mereka dalam sektor automotif.
"Saya
yakin syarikat akan terus menambah baik dan melakukan inovasi bagi mengeluarkan
kereta terbaik untuk pelanggan Malaysia dan luar negara.
"Pelancaran
Proton Perdana baharu hari ini wajar menjadi permulaan baharu dalam sejarah
syarikat. Proton mesti menjual kereta yang memenuhi keperluan pelanggan,"
katanya.
Bernama
No comments:
Post a Comment