Monday, October 24, 2016

Ahmad Husni Bimbang Kesan 1MDB Terhadap Persepsi, Survival Malaysia...


Apabila bekas Menteri Kewangan II,  Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mempersoalkan beberapa perkara di Dewan Rakyat semalam, khususnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ia sesuatu yang tidak sewajarnya berlalu begitu sahaja.

Apalagi, bagi Ahmad Husni, 1MDB akan terus menghantui Barisan Nasional (BN) pada masa hadapan, kalaupun Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum nanti.

Bagaimanapun, beliau tetap memberikan amaran, bahawa skandal berkenaan akan menjejaskan peluang BN dalam pilihan raya.

Bekas menteri itu nyata sekali bimbang dengan siasatan yang dijalankan terhadap 1MDB oleh banyak pihak antarabangsa.

Berikutan itu beliau mengemukakan pertanyaan : “Apa yang akan berlaku apabila siasatan itu selesai nanti? Apa akan berlaku sekiraya siasatan tidak menyebelahi kita?”

Ini adalah kali pertama Ahmad Husni membahaskan isu kontroversi 1MDB sebagai wakil rakyat selepas menghabiskan tujuh tahun sebagai seorang menteri kabinet, yang kebetulan bertepatan dengan jangka hayat 1MDB.

Ketika membahaskan ucapan Bajet 2017 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, Ahmad Husni mahu kerajaan mempertimbangkan beberapa kesan negatif akibat kontroversi 1MDB.

Pada pendapatnya, beliau tidak pasti “apa yang akan berlaku selepas itu”. Ini kerana terdapat banyak isu berkaitan 1MDB yang belum selesai.

Lagipun syarikat pelaburan strategik negara itu akan terdedah kepada risiko, selain daripada hakikat ia disiasat oleh banyak negara, termasuk Switzerland dan Britain.
  

Berikutan itu beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan bagaimana masalah kewangan dan skandal 1MDB akan memberi kesan kepada survival Malaysia.

 Kata Ahmad Husni: “Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) cakap persepsi menentukan survival kita, katalah, saya tak sebut DOJ (saman sivil Jabatan Keadilan, Amerika Syarikat) lah, katalah kes itu tak menyebelahi kita, bagaimana persepsi terhadap negara kita?”

“Katalah kes AS$4 bilion dengan Aabar (BVI) itu hilang, sekarang pun tak dapat, apa jadi kepada persepsi terhadap negara kita?” soalnya di Dewan Rakyat.

 IPIC dan anak syarikat Aabar Investments PJS dalam satu kenyataan besama April lepas berkata syarikat Kepulauan Virgin British itu yang mempunyai nama yang hampir sama, Aabar Investments PJS Ltd, “bukan entiti dalam kumpulan mereka”.

“Apakah tindakan yang diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana melabur wang bukan di tempat sepatutnya?” soal beliau.

Ahmad Husni merujuk kepada dana 1MDB yang bertujuan untuk usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI) tetapi sebaliknya disalurkan ke dalam sebuah syarikat lain yang tidak berkaitan.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menuntut penjelasan tentang unit pelaburan bernilai AS$1 bilion (RM4.17 bilion), yang sepatutnya matang tahun lepas.

Husni, yang meletakkan semua jawatan dalam Umno dan Barisan Nasional, mempertikaikan alasan sebalik keputusan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk meminjamkan RM4 bilion secara sekaligus kepada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

“Lazimnya pinjaman diberi secara berperingkat.”

Ahli Parlimen Tambun itu turut menyoal bagaimana persepsi ke atas Malaysia akan terjejas jika International Petroleum Investment Co (IPIC) ke atas 1MDB menang di mahkamah timbangtara antarabangsa bagi mendapatkan semula AS$ 6.5 bilion.


Bekas menteri itu – selepas dua bulan meletakkan jawatan - pernah mengatakan beliau  sangat tertekan urus isu 1MDB, dan melalui soalan-soalannya pasti memerlukan jawapan yang meyakinkan daripada pihak kerajaan untuk menepis persoalan yang ditimbulkan.


Soalan lain dikemukakan ialah apa motif kerajaan menubuhkan 1MDB yang beliau dakwa menyaksikan banyak penggelapan berlaku tanpa dikenakan tindakan.

Pada 11 September lalu, Ahmad Husni pernah menyebut bahawa walaupun memegang jawatan menteri kewangan kedua, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang penubuhan 1MDB pada 2009.

"Sebenarnya saya tidak tahu tentang penubuhan 1MDB. 1MDB ditubuhkan pada 2009. Saya tak dirujuk walaupun saya menteri kewangan II. Bila dapat tahu tentang penubuhannya, saya mempersoalkan mengapa perlu tubuh 1MDB?”


Menurutnya, bagi penubuhan sesebuah syarikat pelaburan memerlukan kajian mendalam melibatkan Kajian Fisibiliti, Risiko Perniagaan, Risiko Kewangan, Unjuran Aliran Tunai, Unjuran Untung Rugi dan Unjuran Imbangan Kewangan.

Namun, apabila kontroversi syarikat pelaburan itu memuncak, beliau ditugas menyediakan jalan penyelesaian hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunainya yang negatif.

"Saya tidak libatkan diri dalam urusan 1MDB sehinggalah tahun 2015 di mana pada awal tahun tersebut saya diminta untuk merangka jalan penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunai yang negative,” tegasnya.


Di Dewan Rakyat semalam beliau turut persoalkan alasan sebalik tender terhad dalam perolehan kerajaan tanpa pengetahuan jawatankuasa tender.

“Juga terdapat perjanjian yang menyebelahi syarikat swasta.”

Beliau turut menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat kos Lebuhraya Pan Borneo.


Tuesday, October 18, 2016

Perlakuan Ganas Penyokong Anti-Bersih - Jamal Ditahan Dan Akur


Penahanan Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Seri Jamal Yunos berkaitan tindakan kumpulan anti-Bersih di Teluk Intan dan Sabak Bernam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,  Datuk Seri Mohmad Salleh  mengesahkan Jamal ditahan pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi Rabu.

Jamal ditahan bagi membantu siasatan berkaitan perlakuan ganas yang berlaku di Teluk Intan dan Sabak Bernam melibatkan penyokong anti-Bersih.

"Kedua-dua insiden berlaku ketika konvoi Bersih," katanya.

Ketika dihubungi Jamal berkata, dia ditahan pada kira-kira pukul 8.30 pagi sebaik tiba dari Dubai.

Ketika dihubungi,  beliau dalam perjalanan ke balai polis Dang Wangi dan tidak tahu punca penahanannya.

Pada 11 Oktober lalu, laporan polis terhadap Jamal dibuat kerana kenyataan di laman sosial Facebook yang berbau ugutan mengenai rusuhan kaum 13 Mei akan berulang.

Beliau bagaimanapun menafikan memuatnaik kenyataan itu dan mendakwa ia dari akaun palsu.

Laporan awal menyebut, Jamal ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Ketika dihubungi mStar Online, Jamal yang baru pulang dari London dan dalam perjalanan ke balai polis berkata, anggota polis yang bersiap sedia di KLIA 'menjemput'nya di pesawat.

"Saya 'dijemput' dari dalam kapal terbang. Penahanan ini dilakukan di lapangan terbang, saya bukan nak melarikan diri. Selepas hantar keluarga balik saya boleh datang ke balai polis," katanya kira-kira sejam selepas ditahan.

Setiausaha Jamal, Durrany Izam, mengesahkan Jamal ditangkap pada kira-kira jam 8:30 pagi sebaik sahaja dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Satu sidang akhbar dijadual diadakan di luar balai polis pada jam 10 pagi dan Jamal akan bercakap kepada media jika dia keluar pada masa itu. "Jika tidak, saya akan mengadakan sidang akhbar itu," kata Durrany kepada Malaysiakini.

Polis sebelum ini menunggu kepulangan Jamal dari Dubai untuk merakamkan kenyataannya mengenai pertembungan antara baju merah dan konvoi BERSIH 5 di Sabak Bernam dua minggu lalu.
   
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengumumkan polis akan menyiasat ketua Umno Sungai Besar itu berhubung posting dakwaan amaran tentang ‘rusuhan 13 Mei’ jika perhimpunan BERSIH 5 diteruskan.

Jamal berkata, sebelum ini beliau telah memaklumkan bahawa beliau sendiri akan berhubung dengan pihak polis sebaik pulang ke Malaysia.


"Mereka (polis) tak ada hubungi saya tapi saya ada maklumkan akan datang ke balai.

"Saya kesal kerana ditangkap di depan keluarga, anak-anak dan orang rumah saya. Setabah mana pun keluarga kita, mereka pasti akan tersentuh perasaan," katanya yang berada di London selama seminggu atas urusan perniagaan.

Jamal berkata beliau masih belum pasti punca penahanannya.

Katanya, setakat ini beliau hanya dimaklumkan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Saya pun tak tahu, mungkin ada kena-mengena dengan perhimpunan Bersih yang kita tentang," katanya.


Jamal kemudian mengatakan akur dengan tindakan pihak polis dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Sunday, October 16, 2016

JKKK Perlu Kreatif, Jangan Hanya Pandai ‘Minta Projek’ - PM


Kerajaan tidak akan meminggirkan penduduk luar bandar walaupun peratusan populasi penduduk di kawasan tersebut semakin mengecil.

Ini janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  hari ini.

Tegas Perdana Menteri, kerajaan pimpinan beliau akan memastikan agenda pembangunan luar bandar tetap diteruskan bagi membolehkan keadaan ekonomi di luar bandar dan bandar seimbang.

“Kita akan pastikan penyampaian projek kerajaan dapat dirasai oleh semua masyarakat luar bandar.

“Setelah agenda membasmi kemiskinan sudah hampir selesai kita akan berusaha agar pendapatan luar bandar akan lebih tinggi selaras dengan kemajuan ekonomi negara ,” katanya ketika berucap ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Sedang hari ini.


Berikutan itu, Perdana Menteri mahu pemimpin akar umbi dikampung memainkan peranan lebih hebat dalam menyebarluaskan setiap inisiatif yang diumum dan dilaksanakan kerajaan yang membawa faedah kepada masyarakat di luar bandar.


Selain itu, pemimpin masyarakat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga perlu berfikir dan bertindak di luar kebiasaan merangka strategi memanfaatkan inisiatif yang diumum kerajaan untuk kebaikan masyarakat setempat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata pengenalan inisiatif Digital Ekonomi dan MyFarm Outlet perlu dipergunakan sebaiknya oleh pemimpin tempatan untuk tampil dengan kaedah atau pendekatan lebih berdaya saing dan selari dengan perkembangan semasa agar masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada ledakan pembangunan.

Najib mahu kepemimpinan JKKK keluar daripada ruang lingkup konvensional serta tradisional dalam usaha memacu ekonomi digital. Perdana Menteri berkata, JKKK di seluruh negara sewajarnya tampil dengan inisiatif yang lebih berdaya saing, selari perkembangan semasa bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada ledakan pembangunan.


Sehubungan itu, katanya, sikap 'meminta projek' yangmenjadi amalan JKKK setiap kali wakil rakyat atau menteri turun kawasan perlu diubah.

"Kita nak JKKK memainkan peranan untuk perluaskan digital ekonomi Malaysia kerana pasaran e-dagang ini begitu luas sehingga berupaya melonjak taraf pendapatan masyarakat luar bandar.

"JKKK yang mempunyai usaha inovatif akan cuba mengoptimumkan peluang yang terbentang di depan mereka berbanding hanya meminta projek setiap kali menteri atau wakil rakyat turun padang.

"Sebagai kepimpinan akar umbi dalam struktur kerajaan di kampung-kampung, JKKK seharusnya lebih inovatif mengoptimumkan peluang yang disediakan kerajaan berbanding hanya meminta projek setiap kali bertemu wakil rakyat atau menteri," katanya.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Pengerusi Majlis Belia Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Selanjutnya di : 
http://www.bharian.com.my/node/202757.

Mengambil MyFarm Outlet yang kini beroperasi di Putrajaya sebagai contoh, Najib berkata walaupun terletak di bandar, JKKK seharusnya menggunakan inisiatif berkenaan untuk menggalakkan penduduk bertani dan menternak haiwan dan hasil pertanian itu kemudiannya dijual di pasar harian tersebut bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Perdana Menteri turut menarik perhatian 12,000 hadirin pada majlis itu dengan mengulangi komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan pembangunan luar bandar walaupun populasi penduduk semakin mengecil akibat penghijrahan.

"Ketika ini 25 peratus atau 7.8 juta daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini adalah mereka yang tinggal di luar bandar, dan jumlah itu terus mengecil namun, saya beri jaminan agenda pembangunan luar bandar tetap jadi keutamaan kerajaan.

"Walau di mana anda berada, kita akan pastikan capaian pembangunan oleh kerajaan tetap akan sampai dan akan dilaksanakan secara inklusif dan saksama supaya setiap rakyat akan 'disentuh' dalam perancangan yang dibawa," katanya.

Najib bagaimanapun menegaskan kerajaan tetap memerlukan sokongan padu dan komitmen daripada 16,549 JKKK untuk secara aktif menggembleng tenaga dan fikiran dalam memastikan agenda yang dirancang dan dilaksana berjaya sepenuhnya.

Pada majlis itu, Kampung Parit Tengah, Muar, Johor dinobat sebagai johan kampung tradisional apabila menewaskan 482 kampung lain, sekali gus membawa pulang wang RM50,000 dan hadiah dalam bentuk projek bernilai RM650,000.

Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang Selangor pula membawa pulang hadiah wang tunai RM70,000 dan hadiah projek RM250 apabila muncul juara kategori Kampung Orang Asli.

Kampung Baru Kangkar Bahru, Batu Pahat, Johor dan Rumah Bihai, Mukah, Sarawak pula membawa pulang hadiah kemenangan masing-masing bernilai RM525,000 dan RM150,000 apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Kampung Baharu Cina dan Rumah Panjang.

Mula dipertandingkan pada 2014, ADS1M 2016 disertai oleh 581 kampung membabitkan 483 kampung tradisional, Kampung Orang Asli (enam), Rumah Panjang (20) dan Kampung Baharu Cina (72).

Saturday, October 15, 2016

Keluar Untuk Sertai 'Parti Pecah Melayu Bhd', Apa Nak DiBimbangkan?


Lebih 30 pemimpin akar umbi UMNO petang ini mengumumkan keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Pengumuman itu dibuat pada ketika Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkataUMNO  tidak bimbang ada yang berpaling menyertai parti yang baru ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kumpulan itu diketuai oleh bekas ahli exconya Mohd Rafiq Naizamohideen, yang sebelum ini mengecam apa yang disifatkannya sebagai tindakan "terpilih" selepas beliau digantung keahliannya kerana dikatakan cuba mensabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron,  melalui program Bicara Negarawan yang dicadang dianjurkan di Melaka pada tahun lalu..
  
Tengku Adnan ditanya mengenai sekumpulan pemimpin UMNO yang mengumumkan untuk menyertai BERSATU lewat hari ini dalam satu majlis di Ampang mengatakan UMNO tak bimbang ada berpaling ke 'Parti Pecah Melayu Bhd'

BERSATU adalah parti serpihan yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas timbalan perdana menteri yang dipecat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka adalah pengkritik lantang Najib dan 1MDB sejak tahun lepas.

"Kami tak bimbang. Ezam Mohd Nor (sertai BERSATU), kami tak bimbang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Putrajaya Community Ride di Putrajaya hari ini.

Ezam Mohd Nor adalah bekas senator yang mengumumkan hasrat untuk keluar UMNO awal bulan ini dan pada hari Khamis lalu berkata beliau telah memohon untuk menyertai BERSATU.
  
Pada sidang media yang diketuai oleh bekas exco Pemuda UMNO  Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen di sebuah hotel di Ampang petang ini, kumpulan 30 pemimpin itu berkata mereka tindakan mereka berkuatkuasa serta merta.

"Kami bersetuju dan bersedia keluar UMNO berkuatkuasa serta merta.

Mohd Rafiq...ramai hilang keyakinan.
"Walau berat tapi yakin ramai yang hilang keyakinan dan barisan kepimpinan yang sebelum ini kami pertahankan sehingga hujung nyawa.

"Kerana apa kami buat, kerana matlamat perjuangan UMNO tak letak rakyat keutamaan, tetapi membenarkan, menyokong kemungkaran dan salah guna kuasa berleluasa di Malaysia," katanya dalam sidang media di Hotel De Palma Ampang sebentar tadi.

Mohd Rafiq turut mendakwa, selain pemimpin UMNO terdapat 150 anggota UMNO lain yang turut menyertai keluar parti pada hari ini.

Katanya, UMNO kini telah lari daripada perjuangan dan dirosakkan oleh kepimpinan parti yang tidak bertanggungjawab.

“Kami semua sependapat bahawa UMNO hari ini sudah pun tersasar daripada perjuangan asalnya.

"Imej UMNO dan kerajaan Malaysia yang ditunjangi oleh Barisan Nasional telah tercemar dengan teruknya susulan daripada pelbagai skandal dan isu-isu besar yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi UMNO,” katanya.

Malah katanya, Lembaga Disiplin UMNO kini dilihat menjadi alat bagi menyekat kemaraan karier politik mana-mana pemimpin tertentu dan tindakan yang diambil berdasarkan pilih kasih serta mengikut kepentingan politik pimpinan.


“Sebelum ini terdapat pemimpin yang didapati bersalah dalam Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang dalam pemilihan UMNO lepas tetapi hanya diberi amaran atau dihalang bertanding.

“Mereka yang terlibat dalam rasuah politik ini dilantik dan dikekalkan sebagai barisan menteri di pelbagai peringkat,” katanya.

Tengku Adnan menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai hak pemimpin Pemuda UMNO itu untuk keluar parti itu dan menyertai mana-mana parti yang mereka pilih.

"Ya, ia adalah haknya. Anda tahu bahawa PPBM (BERSATU), Parti Pecah Melayu Berhad, Parti Pemecah Melayu Bersatu atau apa sahaja yang anda memanggilnya, ini adalah mereka yang mungkin tidak puas hati, yang tidak dapat apa sahaja yang mereka mahu dalam Umno," katanya .

Menurutnya, mereka meninggalkan parti, tetapi akhirnya, rakyat tahu bahawa BN yang merupakan gabungan pelbagai kaum, yang akan menyediakan dan berkhidmat kepada rakyat untuk kebaikan negara ini.

Sementara itu, Rafiq turut mengulas kenyataan Tengku Adnan yang mendakwa ramai bekas anggota UMNO merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

“Katalah ada ribuan ahli UMNO yang dah dipecat merayu masuk UMNO, saya cabar dia senaraikan sebab dia janji nak bagi senarai.

“Tolong tunjuk berapa juta, berapa puluh ribu yang kena pecat ni. Tapi kami semua memang tak nak masuk balik,” katanya sambil disahut sorakan mereka yang hadir.

Terdahulu Rafiq digantung sebagai anggota UMNO selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda UMNO juga digugurkan.

Wednesday, October 12, 2016

Apabila Pemimpin UMNO Sokong Kasino, Menentang BN Di Pulau Pinang...

 

Pulau Pinang akan dijadikan seperti Macau, pusat pelancongan yang bertunjangkan kasino?

Memalu dan menyedihkan apabila yang terbabit dengan usaha itu adalah pemimpin UMNO yang mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak.

Apa sudah jadi dengan pemimpin UMNO sekarang? Kerana sesuatu kepentingan atau sudah tidak tahu apa yang wajar diperjuangkan.

Mengejutkan apabila orang luar Pulau Pinang sedang melakukan sesuatu kononnya 'demi kepentingan rakyat Pulau Pinang'.

Sebelum ini orang yang dikaitkan dengan isu kasino dan parti baharu di Pulau Pinang - Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin - pernah menimbulkan kontroversi apabila sebagai Pengerusi RISDA beliau mencadangkan supaya tanaman ketum di komersilkan..

Tepat sekali jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan pertanyaan apakah UMNO menyokong  dasar diperjuangkan parti baharu, Penang Front Party (PFP) yang mahu menjadikan Pulau Pinang seperti Macau?

Penubuhan PFP bertujuan mendapatkan sokongan orang Cina di negeri itu bagi menentang DAP dan menggantikan pemerintahan sekarang.


Berkaitan ini Guan Eang bertanya: “Adakah ini dasar baharu UMNO yang menyokong mereka (PFP) untuk membuka kasino di negeri ini?

"Kalau nak tumbangkan kerajaan negeri itu terpulang kepada mereka namun tapi adakah UMNO bersetuju untuk PFP membuka kasino di negeri ini?

Zahidi dan UMNO perlu jawab persoalan ini," katanya pada sidang media semalam.

Pengerusi Penaja PFP, Lee Poh Kong berjuang untuk membawa suara rakyat bagi menentang DAP yang dilihat gagal menerajui kerajaan negeri dengan baik.

Selain itu Poh Kong berkata, pihaknya juga akan memohon lesen daripada kerajaan persekutuan untuk mewujudkan kasino di negeri ini dalam meningkatkan lagi industri pelancongan di mata dunia.

"Sekiranya kita menang, kita akan mohon kepada kerajaan persekutan untuk  menimbangkan cadangan kita ini bagi menggalakkan lagi industri pelancongan dan menjadikan Pulau Pinang sama seperti Macau,"katanya.

Guan Eng menegaskan  kerajaan negeri tidak sama sekali bersetuju untuk membuka kasino di negeri itu.

Reezal..pastikan tidak ada satu pun kasino.
Malang sekali apabila PFP yang disokong oleh Ahli Parlimen UMNO itu dikatakan mahu memohon lesen daripada kerajaan persekutuan mewujudkan kasino di negeri ini.

Soal diluluskan atau tidak itu soal lain tetapi apakah wajar seorang pemimpin penting UMNO menyokong diwujudkan kasino?

Menyokong PFP bermakna menyokong parti itu mewujudkan kasino dan menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.

Membantah cadangan itu,  UMNO Kepala Batas dalam satu kenyataan berkata, UMNO Bahagian itu menolak sekeras-kerasnya untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang.

Ketua UMNO Bahagaian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata selagi beliau menjadi Ketua UMNO Kepala Batas dan Ahli Parlimen Kepala Batas, akan dipastikan tiada sebuah pun kasino akan wujud di atas bumi Pulau Pinang.

"Cadangan Penang Front Party untuk mewujudkan sebuah kasino di Pulau Pinang sekiranya mereka menang dalam Pilihanraya Umum 14 adalah cadangan yang dangkal dan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan," katanya.

Mengulas mengenai pembabitan Zahidi sebagai penasihat PFP, katanya penglibatan Zahi di atas kapasiti peribadinya sendiri dan tidak mewakili parti UMNO.

Zainal (kiri), Zahidi (kanan)
Sementara  UMNO Pulau Pinang pula menyatakan kesalnya  dengan penglibatan Zahidi dalam parti baharu itu.

Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, penglibatan Zahidi sama sekali tidak mewakili UMNO malah beliau dilantik sebagai Penasihat PFP atas kapasiti peribadi beliau sendiri.

Walaupun dalam kapasiti peribadi, apakah Zahidi tidak sedar atau peka dengan penggalakkan judi dan  sensitiviti umat Islam dan rakyat Pulau Pinang dengan aktiviti judi?

Juga cadangan PFP untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang akan menyebabkan  UMNO terpalit, selain perbuatannya bergabung dengan PFP akan meresah dan menimbulkan persoalan di kalangan pemimpin dan penyokong Gerakan di MCA di negeri itu?

Zainal Abidin menegaskan UMNO Pulau Pinang turut kesal dan kecewa dengan tindakan Zahidi yang membenarkan dirinya dipergunakan oleh PFP yang mampu menggugat kerjasama dan persefahaman antara parti-parti komponen BN yang sekian lama terjalin di Pulau Pinang.

Penubuhan parti PFP  dan pelantikan Zahidi sebagai penasihat PFP tidak pernah dirujuk kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO ataupun UMNO Pulau Pinang malah tiada sebarang  persetujuan diberikan UMNO kepada beliau untuk dilantik ke jawatan itu.

Jelas Zahidi sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen UMNO/BN dan yang mendapat perhatian Perdana Menteri tifak beretika.

Soal mesra BN atau tidak, PFP yang dikatakan berhasrat untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan berdepan dengan parti BN sendiri dan ini cara yang tidak betul.

Mana mungkin parti mesra BN boleh  meletakkan calon bertanding menentang calon BN kerana ia bertentangan dengan prinsip dan semangat setiakawan yang didokong kukuh oleh parti-parti dalam BN.

Juga mana mungkin parti mesra BN, khususnya UMNO menyokong diwujudkan kasibno kerana judi adalah haram di sisi Islam, malah kepimpinan bukan Islam di Pulau Pinang turut menolak kasino.


Apa kena dengan Zahidi dan apa tindakan UMNO dan BN terhadap beliau selepas ini?

Saturday, October 1, 2016

Batal Sahaja Kontrak Syarikat Terbabit Dengan Bersih 5 – Pemuda UMNO

Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah menaiki beca pada pelancaran Bersih 5 di Kota Bharu semalam.
Agaknya tidak puas hati kerana laporan kurang meluas tiga hari lalu, Pemuda UMNO semalam sekali lagi menggesa kerajaan membatalkan  kontrak syarikat dikaitkan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Utusan Online melaporkan pada 28 September lalu,  Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii mahukan supaya syarikat-syarikat yang mempunyai kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tetapi terlibat secara langsung dalam perhimpunan Bersih patut diberhentikan kontrak mereka serta-merta.

Mohd Razlan menegaskan,  pihaknya mempunyai banyak bukti bahawa syarikat-syarikat yang mengambil kontrak dengan Kerajaan Persekutuan terlibat secara langsung dalam BERSIH yang lepas.

Diharapkan Pemuda UMNO akan mendedahkan bukti yang mereka ada bukan sahaja untuk tindakan tetapi membuktikan cakap mereka berintegriti.

Mohd Razlan...ada bukti
Kita tidak mahu peristiwa 27 September lalu berulang apabila Pemuda UMNO menyatakan mahu membuat laporan polis terhadap anak seorang jutawan dan proksi sebuah gergasi korporat yang didakwa terlibat dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri.

Exconya Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, kedua-dua pihak itu dikatakan menjadi penaja untuk “gerakan” itu.

Bagaimanapun Armand membatalkan laporan polis sehari selepas itu kerana semakan yang dibuat mendapati maklumat itu tidak sahih dan tidak mahu ‘dikatakan bodoh’..

Menurut Mohd Razlan, setiap daripada rakyat ada peranan untuk menjaga keamanan negara, syarikat-syarikat ini yang mewah dan menikmati limpahan keuntungan daripada kestabilan negara di bawah Kerajaan Persekutuan perlu diberi amaran agar sama-sama menjaga kepentingan negara.

Kerana itu Kerajaan Persekutuan tidak perlu lagi berlembut dengan mereka yang terang-terangan mahu menjatuhkan tampuk kepemimpinan.


“Sekiranya mereka bersedia untuk turun untuk berdemonstrasi, maka mereka juga patut bersedia sekiranya kontrak syarikat mereka ditamatkan,” katanya.

Mohd Razlan menjelaskan, ini bukan isu hak peribadi, ini isu mempertahankan sistem demokrasi bagi menjaga hak majoriti rakyat yang sudah memilih kerajaan secara sah.

“Jika mereka merasakan mereka ada hak untuk berdemonstrasi, maka kerajaan persekutuan juga ada hak untuk memastikan gerakan menjatuhkan kerajaan ini tidak dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau membuat gesaan itu selepas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah sehari sebelum itu mengumumkan akan melepaskan peserta konvoi BERSIH 5 yang akan berkonvoi dari Kota Baru pada 1 Oktober ini.

Laporan Malaysiakini, semalam memetik Mohd Razlan yang sekali lagi  menggesa kerajaan membatalkan kontrak syarikat yang didakwa terlibat dengan perhimpunan BERSIH sambil mempertahankan pihaknya memiliki banyak bukti.

Tindakan sedemikian wajar dibuat kerana menurut  Mohd Razlan,  syarikat-syarikat berkenaan menikmati keuntungan daripada kestabilan negara dan kini mahu menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.

"Pada mana-mana pihak syarikat yang bergantung dengan kerajaan yang melibatkan diri dengan BERSIH patut diberhentikan kontrak mereka serta merta.

"Sekiranya mereka bersedia untuk turun berdemo, maka mereka juga patut bersedia sekiranya kontrak syarikat mereka ditamatkan," katanya pada kenyataan media hari ini.

Mohd Razlan menegaskan,  pihaknya akan mengumpul data mereka yang terlibat dalam perhimpunan 'menjatuhkan kerajaan' yang dirancang pada 19 November depan.

Beliau juga memberi amaran kepada peserta BERSIH supaya bersedia 'menerima kesan' daripada tindakan mereka.

"Kerajaan persekutuan tidak perlu lagi berlembut dengan mereka yang terang-terangan mahu menjatuhkan kerajaan hari ini," katanya.


Mohd. Razlan menegaskan, pihaknya akan menggerakkan rangkaian anak muda bandar media sosial di dalam Pemuda Wilayah bagi mengumpul data mereka yang terlibat dalam perhimpunan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan.