Sunday, July 31, 2016

Muhyiddin - UMNO Ibarat Kereta Buruk Yang Tak Boleh DiBaiki


Berbicara mengenai rancangan parti baru, bekas timbalan presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyamakan parti pemerintah tersebut sebagai 'kereta rosak yang perlu diganti'.

"UMNO sekarang seperti kereta buruk, bila baiki rosak lagi, jadi kita tukar kereta baru lah," ujar beliau, memetik laporan Sinar Harian, semalam.

"Nak baiki macam mana lagi UMNO ini? Nak pinda perlembagaan? " tanya beliau.

Menurut Muhyiddin, beliau bersama-sama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempengerusikan jawatankuasa perlembagaan parti, namun, tiada apa yang telah berubah.

"Tapi tak berubah, macam itu lah juga UMNO, lebih lagi bila presiden partinya menjadi seorang yang amat tak bertanggungjawab," jelasnya, menurut laporan akhbar berbahasa Melayu itu.

UMNO akhirnya memecat Muhyiddin bulan lalu selepas dia berulang kali mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Terdahulu, beliau dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dalam tindakan drastik yang turut menyaksikan tempat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail digantikan dan pasukan petugas khas menyiasat 1MDB dibubarkan.

Sejak pemecatannya dari parti pemerintah, Muhyiddin bersama-sama dengan Mahathir telah beralih platform kepada pakatan pembangkang untuk menangani Barisan Nasional.

Semalam, Muhyiddin menyertai bekas musuhnya, PKR untuk memulakan kempen menjelaskan kepada umum mengenai skandal 1MDB bagi meningkatkan kefahaman awam mengenainya.

Saturday, July 30, 2016

'Saya Istiqamah, Tidak Ada Apa-Apa, Semua Macam Biasa...’ - Najib

  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan terus istiqamah dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan dari dalam mahupun luar negara.

"Tidak ada apa-apa, semua macam biasa... saya mesti istiqamah pada tugas serta tanggungjawab saya sama ada sebagai Anggota Parlimen Pekan mahupun perdana menteri untuk menjaga kepentingan hampir 30 juta rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pelbagai cabaran dan tekanan yang beliau hadapi sejak akhir-akhir ini termasuk mengenai isu 1MDB yang dibangkitkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Beliau ditemui pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang diadakan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan semalam.

Kira-kira 50,000 tetamu pelbagai kaum termasuk dari Terengganu dan Kuala Lumpur menghadiri majlis berkenaan yang berlangsung dari pukul 10.30 pagi sehingga 3.30 petang.

Najib bersama Rosmah melambai tetamu yang hadir dalam majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pekan 2016 di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam. 
Turut berangkat ke majlis berkenaan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda-anakanda baginda.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, timbalan ketua Umno bahagian Pekan Datuk Abu Bakar Harun dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Mengulas tentang majlis berkenaan, Najib berkata kehadiran ramai tetamu pada majlis rumah terbuka itu jelas membayangkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau.

"Terima kasih kerana telah beri sokongan yang baik selama ini. Memang hubungan saya dengan pengundi Pekan khasnya amat erat dan baik, kalau tidak mereka tidak mungkin akan datang.

"Rumah terbuka ini juga satu daripada cara saya untuk beramah mesra dengan kebanyakan mereka yang jarang saya jumpa," kata Najib.

Di majlis itu, tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa termasuk nasi arab, kambing bakar, puding raja, dan sate di 165 gerai yang disediakan di kawasan itu.

Sebanyak 3,000 batang lemang dan 5,000 biji ketupat yang disediakan secara gotong-royong oleh masyarakat di Parlimen Pekan disajikan kepada tetamu.

Najib bersama isteri memotong pulut kuning sempena harijadi Perdana Menteri. 
Selain pelbagai juadah, mereka dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datin Alyah, Ameng Spring, Azlan Typewriter dan pengacara Sharifah Shahirah serta Karl Shafiq.

Paling istimewa, mereka turut berpeluang mendengar persembahan nyanyian Tengku Abdullah dengan dendangan lagu 'Butakah Cinta' yang dipopularkan oleh kumpulan Spring.

Tengku Abdullah yang menyambut ulang tahun ke-57 keputeraan pada hari ini, juga diberi kejutan dengan acara memotong kek serta nyanyian lagu ulang tahun kelahiran oleh para tetamu.

Di majlis itu, Najib meraikan 100 bakal haji dari Parlimen Pekan dan menyampaikan sumbangan barangan kelengkapan mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Terdahulu, perdana menteria bertemu dan menyampaikan amanat kepada pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO Malaysia di majlis yang diadakan secara tertutup di Ancasa Royale di Pekan.

Ketibaan Najib pada pukul 10.05 pagi disambut pengerusi biro IT Umno, Datuk Ahmad Maslan dan beliau berada kira-kira 30 minit untuk bersama-sama dengan perwakilan yang menghadiri pemukiman itu.

Thursday, July 28, 2016

UMNO Cabar PKR, Bentuk Kerajaan Campuran Dengan Barisan Nasional


Dengan pertarungan politik mengambil corak baru di Malaysia apabila sekutu bertukar menjadi seteru dan sebaliknya, seorang pemimpin UMNO merancakkan lagi perbalahan semalam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sharkar Shamsudin mencabar PKR sama ada parti itu berani menentang keputusan DAP yang mahu membubarkan DUN di Pulau Pinang dan sebaliknya bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, jika PKR mengutamakan masa hadapan dan kepentingan rakyat maka tidak menjadi masalah untuk parti itu tetap berpegang teguh menolak pilihan raya negeri.

“Politik adalah peluang… Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) sendiri pernah mengatakan bahawa ‘tiada kawan atau musuh yang kekal dalam politik’... jadi tidak mustahil PKR bersatu bersama BN demi kepentingan rakyat di Pulau Pinang.

“PKR boleh menjadi ketua menteri dan timbalanya daripada UMNO/BN. Walaupun berlainan ideologi namun perkara ini tidak mustahil sekiranya PKR benar-benar mahu membela nasib rakyat seperti BN, ” katanya yang dipetik portal UMNO Online.

Sharkar...perbezaan ideologi
Menurut Sharkar, walaupun ada perbezaan ideologi antara kedua-dua parti, kerjasama itu tidak mustahil jika PKR seperti BN mahu membela nasib rakyat.

“Cuma persoalannya kini beranikah PKR mahu menentang DAP?” katanya.

Menurut Sharkar kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa parti itu belum yakin dengan cadangan DAP adalah satu langkah untuk membuktikan bahawa mereka juga mempunyai suara dan bukan hanya boneka kepada parti Cina tersebut.

“Sekiranya DAP tetap mahu mengadakan pilihan raya negeri, sudah pasti PKR sekali lagi menjadi mangsa agar kerusi mereka dikorbankan dan diserahkan kepada parti ciptaan DAP iaitu AMANAH.

“Jadi jalan alternatif untuk PKR adalah untuk bersama UMNO dan BN...

“Sekiranya PKR tidak berani maka PKR terpaksa terus berhadapan dengan DAP yang pastinya agenda mereka untuk mengadakan pilihan raya negeri adalah bagi meneruskan legasi Lim,” katanya lagi.

Susulan keputusan pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013, DAP menang 19 kerusi, manakala PKR dan BN masing-masing mempunyai 10 kerusi.

PAS cuma memiliki satu kerusi dalam DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi.

Cadangan mengadakan pilihan raya mengejut itu adalah berikutan dua pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

DAP mendakwa bahawa Lim menjadi mangsa penganiayaan politik dan oleh itu mahu mendapatkan mandat baru.


Walau bagaimanapun, PKR dilaporkan kuathir akan kehilangan beberapa kerusi di kawasan majoriti Melayu jika pilihan raya negeri diadakan.

Monday, July 25, 2016

Tiada Pemimpin Pemuda Umno Akan Keluar Parti - KJ


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan tiada pimpinan sayap parti itu yang berhasrat untuk meninggalkan UMNO berikutan isu saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, setakat ini kesemua pemimpin Pemuda UMNO memahami proses kehakiman yang perlu dilakukan bagi menentukan kesahihan tuduhan berkenaan.

"Tidak ada setakat ini di dalam Pemuda UMNO (keluar parti), saya boleh bercakap bagi pihak Pemuda, tidak ada sesiapa dalam pimpinan peringkat kebangsaan, negeri mahupun bahagian yang menyatakan keinginan untuk keluar parti disebabkan isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Pemuda UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur semalam.

Khairy memberitahu, proses pembuktian di mahkamah perlu dijalankan supaya kesahihan berhubung tuduhan dapat dibuktikan.

Bagaimanapun kata Khairy, Pemuda UMNO bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya individu yang disenaraikan dalam laporan DOJ itu perlu bertanggungjawab untuk membela diri masing-masing.

"Kita setuju dengan perdana menteri bahawa mereka yang dikenal pasti dalam laporan tersebut mestilah bertanggungjawab membela diri dalam kes saman sivil tersebut.

"Mereka mesti bertanggungjawab agar tidak ada lagi spekulasi timbul selepas perbicaraan di mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata: "Walaupun kita tidak mahu buat andaian tetapi sangat penting bagi agensi penguatkuasaan tempatan untuk membuat siasatan sekiranya ada apa-apa penyelewengan berlaku yang boleh dikaitkan dengan jenayah.

Rabu lalu, DOJ memfailkan saman sivil untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB.

Saturday, July 23, 2016

Saman DOJ - Dr Puad Zarkashi Dakwa Muhyiddin Berbohong


"Jabatan Kehakiman AS tidak membuat pendakwaan dan merampas aset-aset ini adalah kerana ia tidak mempunyai bukti kukuh...tindakan dibuat bersandarkan aduan Sarawak Report dan individu tertentu tentang kecurian."

Kenyataan Datuk MOHD PUAD ZARKASHI anggota Majlis Tertinggi Umno

Saya sengaja mengambil sedikit masa sebelum membuat kenyataan kerana mahu melihat kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu dan melihat apakah lagi pembohongan yang ingin beliau lakukan.

Sebelum ini, terbukti beberapa kenyataan beliau berkaitan 1MDB bukan saja ternyata dangkal tetapi sarat dengan pembohongan.

Kenyataan terbaru beliau berkaitan Jabatan Kehakiman AS menunjukkan bahawa beliau tidak memahami proses undang-undang yang sedang berlaku dan masih mahu membohongi rakyat.

1.      Muhyiddin berbohong apabila menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengambil serius mengenai kenyataan Jabatan Kehakiman AS ini. Jelas perdana menteri dalam kenyataannya telah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia memandang serius dakwaan Jabatan Kehakiman AS ini dan akan memberikan kerjasama penuh jika diminta.

Bagaimanapun, pendirian Malaysia adalah jelas bahawa proses undang-undang mesti dihormati. Biarlah tindakan saman sivil ini melalui proses yang sepatutnya dan setiap pihak yang dinamakan wajar diberi peluang membela diri dalam perbicaraan yang adil sebelum sebarang kesimpulan dibuat.


2.      Muhyiddin juga berbohong apabila mendakwa bahawa tindakan saman sivil ini adalah "bukti penipuan pihak yang dinamakan dan mereka mencuri duit 1MDB."

Muhyiddin gagal memahami kenapa Jabatan Kehakiman AS tidak mendakwa semua penama yang terbabit dan merampas setiap aset yang disenaraikan, sebaliknya hanya membuat saman sivil.

Sebenarnya perkara ini telah diulas oleh ramai pengamal undang-undang dan mereka menjelaskan bahawa antara sebab utama kenapa Jabatan Kehakiman AS tidak membuat pendakwaan dan merampas aset-aset ini adalah kerana ia tidak mempunyai bukti kukuh.

Kes ini juga sedikit pelik kerana tindakan dibuat bersandarkan aduan Sarawak Report dan individu tertentu tentang kecurian.

Bagaimanapun sejak hari pertama lagi, pihak yang didakwa menjadi mangsa kecurian ini, iaitu 1MDB telah menafikan bahawa wang mereka telah dicuri dan mereka telah membuktikannya dengan dokuken-dokumen berkaitan dan penyata kewangan diaudit.

Muhyiddin mendakwa terdapat kehilangan berbilion ringgit dari 1MDB sedangkan pada waktu yang sama 1MDB berulang kali menyatakan bahawa tiada bukti wang dalam kawalannya yang hilang.

Jika ada pertikaian sekalipun, ia hanya melibatkan wang yang berada di dalam kawalan syarikat IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi yang kini menjadi kes arbitrari.

3.       Muhyiddin mendakwa apa yang terkandung dalam laporan Jabatan Kehakiman adalah "penemuan pasukan penyiasat AS", sedangkan ia bukan penemuan sebaliknya hanya syak wasangka berdasarkan aduan yang dilaporkan kepada mereka.

Atas sebab itu sehingga kini Jabatan Kehakiman AS tidak mampu untuk membuat pendakwaan menggunakan prosiding jenayah biasa dan tiada sebarang pihak dalam kalangan penama yang didakwa.

4.      Pelik apabila Muhyiddin mahu kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Lo dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS hanya berdasarkan kenyataan Jabatan Kehakiman AS.

Soalan yang perlu ditanya kepada Muhyiddin adalah apakah asas untuk kerajaan mengambil tindakan? Jabatan Kehakiman AS sendiri belum benar-benar pasti mengenai dakwaan mereka kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh.

Dalam saman sivil ini tiada penama-penama yang didakwa atas kesalahan jenayah. Bagaimanakah Muhyiddin pula mahu kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera semata-mata kerana kenyataan Jabatan Kehakiman AS ini? Adakah kemahuan Muhyiddin ini masuk akal dan mengikut lunas undang-undang?

Kes saman sivil Jabatan Kehakiman AS ini sama sekali berbeza dengan kes skandal banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Dalam kes Lim Guan Eng, terdapat bukti-bukti yang menunjukkan beliau terlibat dalam salah laku.

Bukan saja siasatan telah dibuat malah Lim Guan Eng juga telah didakwa di mahkamah.

Tidak pernah pula kita mendengar Muhyiddin bercakap mengenai hal yang lebih nyata seperti ini. Sikap double standard dan berdendam Muhyiddin amat jelas dalam hal ini.


Saturday, July 16, 2016

Parti Baru Dr M Tamparan Buat DAP, PKR Dan AMANAH?


Pergerakan Pemuda UMNO melihat hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu, sebagai tanda ketidakyakinan beliau terhadap parti-parti pembangkang sedia ada.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata kegagalan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, menyebabkan Dr Mahathir terpaksa menubuhkan parti baharu dan tidak boleh bergantung harap kepada parti pembangkang yang lain.

Khairy...tamparan buat pembangkang
"Kalau beliau yakin dengan rakan-rakan pembangkang beliau yang baharu ini iaitu DAP, PKR dan Amanah, tak perlu beliau tubuhkan parti baharu.

"Ini bagi saya satu tamparan buat DAP, PKR dan Amanah sampai negarawan usia 90 tahun terpaksa keluar daripada persaraan dunia politik untuk tubuhkan parti sendiri," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Gadong, Rembau hari ini, yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Di Larut, Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir secara tidak langsung mendedahkan matlamat bekas anggota UMNO itu yang selama ini kononnya berjuang demi parti.

Hamzah berkata penyertaan bekas anggota UMNO dalam parti baharu tersebut jelas menunjukkan mereka merupakan individu yang gilakan kuasa.

"Kami tidak mahu musang yang berbulu ayam dalam parti. Bila Tun Mahathir buat parti baharu, kita nampak dengan jelas siapa yang nak sangat kuasa.

"Sebelum ini mereka beriya kata penyertaan dalam UMNO adalah atas nama perjuangan, tapi sekarang siapa yang tamak nak kuasa," kata Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan 2016 sempena program kepenggunaan Parlimen Larut di Ijok hari ini yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.
Sehubungan itu, Hamzah menolak dakwaan bahawa penubuhan parti baharu itu dibuatatas nama kesepakatan bersama pembangkang.

Noh...tanpa matlamat
Di Serdang, anggota MT UMNO Tan Sri Noh Omar berkata penubuhan parti baharu tanpa matlamat perjuangan yang jelas tidak akan mampu menyaingi UMNO dalam meraih kepercayaan dan sokongan rakyat.

Beliau berkata walaupun mungkin diterajui bekas individu tersohor dan dikenali seperti Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sesebuah parti baharu mesti mempunyai falsafah dan matlamat perjuangan yang jelas seperti UMNO, bukannya sekadar untuk menjayakan agenda individu tertentu atau atas nama deklarasi rakyat.

"Dalam berpolitik, bila hendak tubuh parti mesti ada falsafah atau matlamat perjuangan dan dalam hal ini apa falsafah dan matlamat perjuangan parti baharu yang kononnya akan digerakkan Tun Mahathir itu.

"Kalau matlamatnya hanya sekadar untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau bagi menjayakan deklarasi rakyat, ia tentunya tidak akan tercapai malah terbukti telah ditolak rakyat seperti ditunjukkan melalui PRN Sarawak dan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini, Noh berkata sejarah juga membuktikan parti tunjang orang Melayu itu akan terus bertahan, malah makin kukuh walaupun pernah tercatat bahawa pengasas penubuhannya iaitu Allahyarham Datuk Onn Jaafar sendiri meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti baharu.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata parti itu juga kekal utuh dan terus diterima rakyat walaupun ada pemimpinnya keluar parti dan menubuhkan parti baharu iaitu PAS dan Semangat 46, khusus bagi menyaingi UMNO.

"Jadi, perbezaan antara UMNO dan parti-parti lain ialah UMNO ditubuhkan atas dasar perjuangan bukan kerana menyokong pemimpin sebaliknya UMNO menyokong perjuangan...pemimpin datang dan pergi namun parti kekal teguh, ini prinsip kita," katanya, yang menambah parti yang ditubuhkan kerana seseorang individu akan berkubur apabila pemimpin tersebut tidak ada.

Di Sandakan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Juslie Ajirol menyifatkan kewujudan pakatan baharu diketuai Dr Mahathir itu tidak menggugat kekuatan UMNO di Sabah.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Libaran melihat UMNO Sabah tetap kukuh dan kuat di bawah kepimpinan Najib sebagai presiden parti dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.

Beliau tidak menafikan ada individu yang mungkin menyertai pakatan berkenaan.
"Semangat perpaduan dan berjuang untuk parti UMNO, iaitu pemimpin dan anggota akan terus bersama UMNO dalam meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbukanya di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Tiram Batu 19, dekat Sandakan, hari ini.

Juslie yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah berkata UMNO merupakan sebuah parti yang besar dan telah menjadi parti yang amat berjasa pada seluruh rakyat Malaysia.

"Kita tahu dia (Mahathir) berjasa kepada rakyat Malaysia tetapi kita juga tahu, jasanya semua datang daripada UMNO," katanya. 

Monday, July 11, 2016

Pertikai Tindakan Kerajaan Pulau Pinang Mahu Adakan Pilihan Raya Negeri

Zainal - bazirkan wang rakyat.
Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang mempertikai tindakan kerajaan negeri itu  yang didakwa sedang mempertimbang cadangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihan raya.

Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mendakwa, tindakan untuk membubar DUN telah dilaporkan oleh media kerajaan negeri yang ditadbir oleh DAP berikutan pendakwaan salah laku rasuah terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng di mahkamah.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan turut melahirkan rasa terkejut mengenai cadangan pemimpin DAP Pulau Pinang untuk mengkaji kemungkinan mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukur tahap sokongan rakyat terhadap Guan Eng.

“Melakukan (pilihan raya negeri) pada masa ini merupakan satu lagi aksi politik murahan daripada mereka. Sama seperti kempen derma dan dakwaan penganiayaan politik," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di Twitter pada Isnin.

Abdul Rahman - aksi politik murahan.
Zainal mempersoalkan apakah cadangan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal ini satu muslihat politik oleh DAP dan Pakatan Harapan untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kemungkinan salah laku dan rasuah oleh Guan Eng apabila kes dibicarakan nanti?


"Apakah Guan Eng dan Pakatan Harapan takutkan kebenaran yang muncul di mahkamah nanti bila perbicaraan bermula akan secara langsung menjejas sokongan rakyat terhadap DAP dan Pakatan Harapan.

"Ini adalah suatu cadangan yang akan membazirkan wang rakyat. Adalah tidak wajar berjuta-juta ringgit wang rakyat dibelanjakan untuk mengadakan referendum hanya kerana Guan Eng tidak mahu bercuti atau melepaskan jawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

DAP telah mencadangkan dua pilihan sebagai tindak balas kepada tuduhan rasuah yang difailkan terhadap Lim.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata kelmarin, salah satu daripadanya ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi bagi menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

Pilihan satu lagi pula ialah menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan selewat-lewatnya bulan Ogos 2018.

Lim, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, setiausaha agung DAP itu dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town, Pulau Pinang daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Zainal berkata, pembubaran DUN lebih awal kebiasaannya dilakukan oleh seorang ketua menteri yang sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap dirinya.

"Rakyat perlu ingat bahawa yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan salah laku rasuah adalah Guan Eng dan bukannya kerajaan negeri.

"Kenapa Guan Eng dan kerajaan negeri perlu mengheret rakyat dalam kes rasuah yang sedang dihadapinya sedangkan ruang dan peluang luas telah disediakan oleh sistem kehakiman untuk membuktikan beliau tidak bersalah.

"Apakah cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal ini satu muslihat politik DAP dan Pakatan Harapan untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kemungkinan salah laku dan rasuah oleh Guan Eng apabila kes dibicarakan nanti?" soalnya.

Beliau menambah, sekiranya kerajaan negeri berasa khuatir atau gusar mengenai tahap sokongan rakyat terhadap ketua menteri dan kerajaan, satu kaji selidik dan tinjauan boleh dilakukan oleh badan bebas.

Abdul Rahman sebaliknya medangkan DAP harus mula mengenal pasti seorang ketua menteri yang baharu jika mahkamah memutuskan bahawa Lim bersalah.

Selain itu Abdul Rahman turut mempersoalkan keputusan untuk mengadakan pilihan raya tergempar pada masa ini.

"Jika pilihan raya mengejut adalah referendum sokongan kepada kepimpinan Lim, tidakkah anda berfikir bahawa ia perlu dilakukan selepas keputusan mahkamah?.

"Sekurang-kurangnya pengundi mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang jelas dengan keterangan yang dikemukakan di mahkamah.


Oleh itu, mereka akan mengundi sebagai pengundi berdasarkan maklumat," katanya.

Friday, July 1, 2016

Noh tegur Mat Sabu, 'Buka Mata, Cakap Ikut Fakta'


Pengerusi badan perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meminta Presiden AMANAH, Mohamad Sabu supaya berhenti daripada terus mendakwa Malaysia kini diperintah oleh "mafia" ekoran ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Noh yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, berkata ini kerana Lim bukanlah pemimpin pertama yang didakwa di mahkamah.

"Mat Sabu jangan menipu rakyat. Saya nak tanya dalam sejarah kita, (adakah) Lim Guan Eng ketua menteri yang pertama didakwa?

"Kenapa masa (bekas MB Selangor) Dr Mohamad Khir Toyo (didakwa) dia (Mat Sabu) tak cakap benda sama dan DAP tak bangun menentang?" soal Noh lagi dalam satu temubual dengan Malaysiakini semalam.

Mohamad Khir dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada September tahun lalu selepas disabitkan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan dua bidang tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta untuk dirinya dan isterinya.

Pada bulan Mac, Mohamad Khir menjalani perintah parol selepas menjalani enam bulan hukumam penjara sebelum dia dibebaskan dua bulan kemudiannya.

Noh mengulas dakwaan Mohamad Sabu bahawa tindakan pihak berkuasa mendakwa ketua menteri Pulau Pinang atas dua pertuduhan penyalahgunaan kuasa menunjukkan Malaysia kini diperintah “mafia”.

Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dalam satu kenyataan berkata, pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Lim kelmarin juga adalah siaran ulangan.

Mengulas lanjut, Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang berkata, kelantangan Mat Sabu ini lahir kerana merasakan pakatan pembangkang itu 'kebal dan suci seperti malaikat' hingga tidak boleh berdepan tindakan undang-undang.

"Saya ingat pembangkang ini rasa mereka lebih hebat (hingga dapat mengatasi) undang-undang, macam malaikat yang tidak boleh disentuh langsung, seolah-olah mereka suci.

"(Bagi mereka kalau) nak tangkap, tangkap BN sebab BN (didakwa) rasuah. Tangkap pemimpin kami (BN), ini politik (BN), ini perancangan (BN), (BN) ini mafia," tegas Noh.
Lim yang juga setiausaha agung DAP didakwa atas dua tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kelmarin.

Semalam, Lim yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua tuduhan itu, dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah tidak memerintahkan Lim menyerahkan pasportnya tetapi beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah dan Jabatan Peguam Negara, dua hari sebelum ke luar negara.

Mahkamah Tinggi menetapkan 22 September depan untuk pengurusan kes.

Rafidah Tanya - "UMNO, Mengapa Begini, Ke Mana Sudahnya?”.

 

Oleh Tan Sri Rafidah Aziz
(Bekas anggota kabinet dua perdana menteri sebelum ini – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi)

Rafidah Aziz
Sementara United Kingdom melalui peristiwa Brexit, dengan referendum untuk keluar dari Kesatuan Eropah, kita di Malaysia juga tidak ketinggalan.

Umno telah berterusan melakukan "Umno-exit" sendiri dengan penyingkiran beberapa pemimpin-pemimpin Umno atas beberapa alasan-alasan.

Dan ada yang sendiri meninggalkan parti. Umno dalam setengah abad yang lalu telah mengalami pelbagai peristiwa dan gegaran.

Setiap peristiwa secara berterusan telah menghakis kekuatan dan ketahanan parti, terutama dengan semakin ramai anak-anak muda yang tidak kenal dengan perjuangan Umno di masa lalu.

Pasti Umno tidak boleh hanya bersandar kepada sentimen perjuangan lama kerana suasana politik, sosial dan ekonomi memerlukan strategi serta penekanan-penekanan yang berbeza.

Namun kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa perpaduan, pada mana jua zaman dan era, adalah kunci kepada kejayaan parti seterusnya.

Dan perpaduan tersebut akan pasti terjejas apabila terdapat perpecahan parti mengikut kelompok dan kumpulan, serta antara "orang saya" dan "orang dia", serta "orang kita" dan "orang mereka".

Dan apabila kepelbagaian pendapat tidak dapat diterima, dan dianggap sebagai "tentangan". Sekarang nyata sudah berlaku "peperangan terbuka".

Segala kain kotor dikirai kepada awam. Kata-kata kesat dikeluarkan. Dendam mendendam sudah menjadi asas.

Setiap pemimpin mencuba sedaya upaya untuk menunjukkan pemimpin yang satu lagi betul-betul hodoh dan buruk.

Masing-masing menconteng arang ke muka antara satu dengan yang lain hingga setiap yang terlibat nampak begitu buruk dah hodoh kepada awam.


Pasti ramai yang beranggapan bahawa tiada seorang pun pemimpin "yang betul" dan menganggap "semuanya tak boleh pakai" oleh kerana pemimpin-pemimpin sendiri yang mencaci dan memburukkan sesama sendiri!

Politik telah menjadi peribadi atau personal. Adakah ini matlamat perbalahan antara pemimpin-pemimpin dalam Umno?

Mengapa dibiar dendam dan sakit hati menjadi pendorong tindakan? Di mana letaknya pegangan dan komitmen kepada cogan kata Umno "bersatu, bersetia, berkhidmat”, apabila yang sebenarnya berlaku ialah berbalah, berdendam dan berpecah-belah?

Umno pernah diharamkan. Orang-orang Umno telah menubuhkan parti-parti politik sendiri dan menentang Umno.

Mengapa dibiarkan permusuhan menular dalam parti sehingga kawan jadi lawan dan lawan dibawa tidur sebantal?

Tidakkah kita belajar daripada masa lepas, dari peristiwa-peristiwa pahit yang telah banyak menjejaskan parti?

Menjelang Syawal ini, wajar kita renungkan bersama ke mana arah haluan parti. Kita tidak memupuk kekuatan jika tidak ada perpaduan sebenarnya.

Perpaduan bukan bererti menjerit-jerit slogan, berpeluk-pelukan atau mencium-cium tangan atau “photo opp” dan kenyataan-kenyataan yang "mencerminkan" yang "semua OK"!

Anak-anak muda ada opsyen dan pilihan lain.

Sepatutnya kita yang telah lama dalam Umno, menunjukkan contoh-contoh kepimpinan yang baik, supaya anak-anak muda menjadi penokok tambah kepada kekuatan Umno.

Sememangnya masih ada isu-isu dan masalah yang perlu diselesaikan supaya tidak terus terjejas kredibiliti kepimpinan parti dan kerajaan.

Yang betul tetap betul. Yang salah tetap salah. Tetapi penyelesaian tidak akan diperoleh dengan cara perbalahan dan dendam peribadi. Ia hanya mengeruh dan mengusutkan keadaan.

Fokus kepada isu, bukan peribadi. Kesetiaan mestilah kepada parti, bukan kepada mana-mana indeividu kerana individu datang dan pergi.

Sudah ramai yang telah pergi meninggalkan segala gelaran, harta dan pangkat serta kuasa tetapi parti mesti kekal.

Hentikanlah perbalahan, carilah jalan penyatuan.

Pemimpin-pemimpin masa lalu juga berselisih faham, tetapi seperti air yang di cincang tidak akan putus.

Jangan dibiarkan masalah-masalah yang menular itu menyebabkan ahli-ahli sendiri kecewa, apatah lagi orang-orang Melayu.

Umno sebagai parti tidak bersalah. Manusia dan gelagatnya yang mencemar nama baik Umno dengan tindak-tanduk yang tidak selari dengan semangat perjuangan sebenarnya.

Jangan kerana manusia, Umno dipersalahkan.

Berperang sesama sendiri, didorong oleh dendam dan mungkin juga ego merugikan parti.

Di samping menambah dosa dan memburukkan diri masing-masing pada khalayak ramai, pasti di Syawal ini ramai yang perlu memohon ampun maaf antara sesama sendiri.

Sama-samalah kita ingat apa kata orang tua-tua, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Dan berpesan juga orang-orang tua, jangan menang sorak kampung tergadai.

Nota - Tajuk asal - “Mengapa begini, ke mana sudahnya?”, kali pertama dimuatkan di Facebook peminat beliau.