Friday, June 10, 2016

Budiman - Kenapa ‘Laga’ Saya Dengan Kaum Cina?

Poster Budiman Mohd. Zohdi diperagakan oleh penyokong BN secara bergerak menjadi tarikan di pasar Ramadan, Sekinchan, Selangor, semalam.
Sehingga malam tadi, calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd. Zohdi masih tidak percaya DAP sanggup menggunakan taktik licik untuk mencemar imej dan reputasinya sebagai wakil rakyat dengan sentimen berbaur perkauman dalam kalangan masyarakat Cina.

Budiman, 44, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang yakin tindakan terdesak DAP itu dalam kempen yang memasuki hari keenam hari ini memperlihatkan parti itu ketan­dusan isu untuk dipolitikkan.

“Apa yang dibuat DAP hanyalah menanam api kebencian. Apabila Ng Suee Lim (ADUN DAP Sekinchan yang juga Setiausaha Publisiti DAP Selangor) meluru ke arah saya semalam dan menyalahkan saya kononnya saya punca kepada pemasangan iklan berunsur provokatif, saya sungguh terkejut, ada juga taktik kempen seumpama ini.

“Mujurlah saya boleh kawal, bayangkanlah kalau saya ‘melatah’ dan membalasnya balik tentu berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya percaya kaum Cina mene­rima baik kehadiran saya. Dalam kempen dari rumah ke rumah, me­re­ka mengenali Budiman sebagai orang yang sederhana dan boleh dibawa berbincang,” katanya kepada Utusan Malaysia di Sabak Bernam semalam.

Daripada 42,000 pengundi ber­daf­tar dalam kawasan Parlimen Sungai Besar, kira-kira 13,000 pe­ngundi adalah kaum Cina termasuk 9,000 berada di Sekinchan.

AMANAH yang dikatakan menjadi ‘kuda tunggangan’ DAP dikatakan memfokuskan pengundi Cina di Se­kinchan selain mengharapkan penambahan sekurang-kurangnya 3,000 undi Melayu sebagai ‘benteng’ untuk parti itu memenangi kerusi Parlimen tersebut, 18 Jun ini.

Budiman berkata, masyarakat Cina mahukan pemimpin yang sederhana, terbuka serta mampu memperjuangkan isu yang menjadi keutamaan kaum itu antaranya pendidikan.

“Kepada DAP, amalkanlah politik sederhana yang menyemai be­nih kebenaran. Buat masyarakat Cina, nilaikanlah perkhidmatan yang telah saya lakukan sebagai ADUN Sungai Panjang dan aktivis masyarakat di Sungai Besar,” katanya.

No comments:

Post a Comment