Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU)
Persendirian yang dibentangkan Presiden PAS di Dewan Rakyat minggu lalu dibuat
atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri AzalinaOthman Said berkata, beliau menerima arahan itu selepas melaporkan maklumat
yang disampaikan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak membantah
untuk usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibahaskan.
Katanya, maklumat bertulis 'tiada bantahan' itu telah
disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
"Dalam tugas saya sebagai menteri menjaga urusan
parlimen, saya bertanggungjawab kepada pemimpin majoriti, iaitu perdana menteri
dan ketua whip, iaitu timbalan perdana menteri.
"Justeru arahan untuk membawa ke depan (usul RUU
Persendirian) dari nombor 15 ke nombor satu sudah pasti daripada pemimpin
majoriti dan ketua whip kerana itulah prosedur yang diperlukan di
parlimen," katanya selepas majlis penutup Kayuhan Cinta Malaysia Ambang
Ramadan di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, di Sungai Besar, hari ini.
Azalina berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau
memperoleh kelulusan Kabinet atas tindakannya mempercepatkan pembentangan RUU
Persendirian itu pada hari terakhir sidang parlimen 26 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang ini berkata,
terdapat perbezaan di antara kandungan usul dan tugasnya sebagai menteri yang
menyelia peraturan dan menguruskan prosedur.
Tambahnya, Jamil Khir adalah individu yang
bertanggungjawab terhadap kandungan usul dan memberi kebenaran untuk usul itu
dibahaskan.
"Tugas saya tiada kaitan dengan kandungan usul itu.
Saya menyelia peraturan, jadi saya hanya menguruskan prosedur kerana usul itu
berada di nombor 15 dan perlu dibawa ke nombor satu di antara usul lain
kerajaan.
"Mengikut Peraturan Mesyuarat 14 seorang anggota
Kabinet atau menteri mesti mendapatkan kebenaran Speaker. Saya hanya
bertanggungjawab dalam isu teknikal, bukan kandungan usul itu," katanya.
Tambahnya lagi, adalah kurang matang jika isu ini diberi
fokus dalam PRK kali ini kerana ia baharu di peringkat pembentangan usul.
"Kalau nak lihat pada isu nasional seperti di
Parlimen baru-baru ini, ia agak kurang matang kerana pembentangan yang dibawa
Ahli Parlimen Marang baru di peringkat usul, belum pun dibahas atau diundi.
"Oleh itu, carilah kesinambungan pengganti wakil
rakyat BN dengan isu-isu tempatan khususnya bantuan dan pembangunan yang
dilaksanakan kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.
No comments:
Post a Comment