Saturday, February 22, 2014

Najib - Pemberian BR1M Mengikut Syariat Islam, Diteruskan Selagi Pertumbuhan Ekonomi Kukuh


"Penambahbaikan dalam pemberian BR1M dilakukan sejajar dengan pelaksanaan subsidi bersasar dalam usaha meringankan beban hidup rakyat. Oleh itu, kerajaan akan mengubah dasar pemberian subsidi iaitu daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaan subsidi yang adil."
- Datuk Seri Mohd Najib Razak 
Perdana Menteri tidak kisah dengan sikap pembangkang yang sentiasa mengutuk kerajaan, termasuk dalam konteks pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), walaupun langkah yang dilakukan kerajaan itu memberi manfaat kepada rakyat.

"Kita pegang pada hadis, Insya-Allah apa yang kita lakukan akan diredai Allah," demikian tegas Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika berucap pada majlis penyampaian BR1M Parlimen Pekan di Dewan Seri Perdana Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) Pekan, semalam.

Lantas Najib memetik suatu peristiwa dalam Islam iaitu :"Seorang sahabat Rasulullah SAW pernah bertanya kepada baginda, Ya Rasulullah siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai Allah. Jawab Rasulullah manusia yang paling dicintai ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain, menggembirakan manusia lain dengan melunas hutang orang tak mampu bayar, beri makan kepada orang kelaparan dan berjalan untuk membantu orang yang susah, itu lebih baik daripada beriktikaf selama sebulan di masjid.”.


Berikutan itu Bagi Perdana Menteri, BR1M yang diperkenalkan kerajaan adalah selaras dengan syariat Islam. Beliau turut memetik sepotong hadis, Najib berkata Islam menggalakkan umatnya membantu meringankan bebanan yang ditanggung orang lain termasuk melunaskan beban hutang.

"Saya tahu ada orang yang bayar hutang apabila mendapat bantuan BR1M ini, kita tolong orang lunas hutang, besar pahala yang kita dapat," katanya.

Pada majlis semalam, Perdana Menteri menyampaikan bantuan kepada 1,000 penerima daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Chini, Peramu Jaya, Bebar dan Pulau Manis. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Berdasarkan kebaikan dan sifat kebajikan melalui BR1M ini, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan pemberian bantuan berkenaan kepada rakyat selagi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dapat dikekalkan.

Dengan pertumbuhan ekonomi negara yang baik, ia menjurus kepada kemampuan kerajaan melaksanakan program pembangunan demi menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Dengan kata lain, adalah menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara terutama berkaitan pertumbuhan ekonomi.

"Pada masa sekarang, BN dapat menguruskan negara dengan baik ketika negara lain berdepan masalah, melalui dasar-dasar yang mengukuh dan memacu pertumbuhan ekonomi yang sihat walaupun keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu.

"Tetapi di Malaysia, kita telah dapat menentukan ekonomi kita serta memacu pertumbuhan ekonomi begitu baik dan bila hasil negara bertambah, kita agihkan kekayaan itu kepada rakyat," katanya ketika berucap melancarkan BR1M 2014 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di Kuantan.

Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014, Najib berkata kerajaan memperuntuk RM4.6 bilion untuk memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima.

Pembahagian BR1M kepada warga emas di Kuching pada 22 Februari 2014.
Beliau berharap penambahan nilai BR1M kali ini dapat meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan yang tinggal di bandar selain memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan ini.

Pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi RM650 selain  Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.

Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

i-BR1M menyediakan nilai perlindungan minimum RM1,000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, ia perlu melakukan konsolidasi fiskal untuk mengekalkan momentum ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya ini perlu dilakukan secara berperingkat bagi meringankan beban rakyat di samping menyakinkan pasaran dunia bahawa kerajaan sentiasa berusaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Perdana Menteri juga berkata penambahbaikan dalam pemberian BR1M dilakukan sejajar dengan pelaksanaan subsidi bersasar dalam usaha meringankan beban hidup rakyat.

"Oleh itu, kerajaan akan mengubah dasar pemberian subsidi iaitu daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaan subsidi yang adil," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan menunaikan janjinya yang terkandung dalam manifesto BN pada pilihan raya umum lepas, yang antara lain menyatakan mengenai pertambahan secara berperingkat jumlah pemberian BR1M.

Perdana Menteri menjelaskan pelaksanaan subsidi pukal dilihat sebagai pembaziran dan ketirisan kerana ia turut dinikmati golongan yang tidak sepatutnya seperti pelancong dan pekerja asing. "Contohnya, subsidi petrol RON95 seliter ialah 63 sen oleh kerajaan. Bayangkan beza pengguna kereta berkapasiti rendah dan tinggi yang menikmati subsidi petrol yang sama. Mana adilnya? Tidak adil.

"Jadi, kerajaan memutuskan untuk ubah dasar daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar secara berperingkat dan pindahkan penjimatan ini kepada rakyat melalui BR1M. BR1M ialah contoh subsidi bersasar," jelas Najib.

Perdana Menteri berkata BR1M 2014 merupakan manifestasi kepada pengurusan ekonomi yang baik oleh kerajaan, yang menjurus kepada pengukuhan ekonomi yang sihat.

"Bayaran BR1M sudah mula dikreditkan terus ke dalam akaun penerima sejak semalam.

Yang tidak mempunyai akaun bank pula, mereka akan menerima baucar secara berperingkat.

"Ini kerana rakyat amat memerlukan bantuan ini sekarang dan tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan kerajaan dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup," katanya.

Sementara itu, pemohon BR1M yang ditolak permohonannya boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk dipertimbangkan semula.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata mereka boleh berbuat demikian dengan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang LHDN di www.hasil.gov.my atau terus ke pejabat LHDN berhampiran.

"Mereka yang ditolak permohonan boleh merayu dengan kaedah yang ditetapkan, contohnya tahun lepas seorang bapa kita tolak permohonannya untuk mendapatkan BR1M kerana rekod kita mendapati beliau baru sahaja membeli sebuah kereta Proton Perdana model baharu.

Namun beliau kemudian membuat rayuan dan memaklumkan kereta itu milik anaknya dan kita telah meluluskan permohonannya untuk mendapatkan bantuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Seri Perdana, Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Goh di Kuantan, semalam.

Menurutnya kerajaan sentiasa berusaha menambah baik pemberian BR1M untuk mengurangkan bebanan rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa kini, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan BN sentiasa berusaha menunaikan perkara yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU13) termasuk menambah nilai insentif BR1M sehingga RM1,200 dalam tempoh lima tahun.

"Ramai salah faham dan tidak baca sepenuhnya. Kita kata dalam tempoh lima tahun. Kerajaan BN mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat. Manifesto PRU13 adalah janji kerajaan kepada rakyat.

Kita tambah secara berperingkat. Makna tahun depan, tambah lagi. "Komitmen kerajaan RM1,200 dalam tempoh lima tahun adalah Janji Ditepati," katanya.

Sumber BERNAMA

No comments:

Post a Comment