Saturday, February 18, 2012

Isu Hadir Ke Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves - Dr Asri, Jamil Khir Pertahan Najib


“Tidak pula kita kata pemimpin itu (Nik Aziz) gadai akidah kerana berada di kuil. Pokok utamanya, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan umat Islam apabila bercakap mengenai perpaduan. Saya sedih apabila ada pemimpin Islam diberi ugutan kerana cuba membawa konsep perpaduan dan lebih suka melihat sesama kita terus berpecah-belah…Begitu juga apabila umat Islam mementingkan agenda politik untuk menawan Putrajaya daripada menyelesaikan masalah akidah, perpaduan, Islam dan apa yang berlaku di Palestin,” - Datuk Seri Jamil Khir Baharom


Sudah sudahlah mahu mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan isu kehadiran beliau di majlis sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lalu.

Dua individu yang berathoriti dalam agama semalam menyifatkan langkah Perdana Menteri menghadiri nya tidak salah kerana itu adalah tuntutan tugas selaku seorang pemimpin kerajaan dan negara.


Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sama-sama berpendapat kehadiran Najib bukan menyambut perayaan.

Berikutan itu Asri menggesa pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai “senjata politik” kerana ia dilihat merendahkan martabat Islam dan boleh mengelirukan orang ramai.

Beliau yang juga felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, Perdana Menteri hadir untuk berhujah “bukannya nak menyokong… beliau pemimpin rakyat, takkan nak buat tak peduli kepada rakyatnya yang berbilang kaum."

“Masuk ke kuil atas rasa tugas seperti polis tidak apa, macam itulah juga pemimpin politik, beliau tidak menyambut perayaan itu tetapi hadir sebagai seorang Muslim dan pemerintah,” kata beliau.

Sambil itu Asri meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan garis panduan berkenaan kesesuaian umat Islam melibatkan diri dalam majlis agama lain supaya tidak berlaku kekeliruan.

Jamil Khir pula menempelak pihak yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggadaikan akidah kerana melawat Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves semasa perayaan Thaipusam lalu.

Perkara itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan kebencian terhadap Najib sebagai pemimpin Islam dan beliau kecewa kerana ia dilakukan oleh umat Islam sendiri.

Menurutnya, perkara ini tidak timbul kerana Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi garis panduan mengenai hukum ketika beliau berada di kawasan berkenaan.

“Najib tidak terlibat dalam upacara keagamaan dan acara yang dianjurkan, justeru, tidak timbul soal akidahnya. Beliau (Najib) telah mengikut garis panduan yang ditetapkan. Beliau tahu mana yang boleh dan mana yang tidak…Ini yang merosakkan agama (Islam) apabila umatnya sendiri sanggup menuduh dan membuat pelbagai dakwaan berniat jahat semata-mata tidak sehaluan dengan pemimpin negara,” katanya semasa memberi ucapan dalam Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, semalam.

Menurut Jamil Khir, Najib telah mengikut nasihat pakar dan ulama melalui susun atur perjalanan majlis dengan berada di dalam dewan untuk menerangkan program kerajaan kepada masyarakat India beragama Hindu.

Menjawab mengenai pakaian 'purta' yang dipakai Najib, beliau berkata, ia adalah kostum kebudayaan orang India dan bukan ‘pakaian agama Hindu’.

“Kalau lelaki India pakai baju Melayu dalam majlis, itu tidak bererti mereka telah masuk Islam dan menjadi orang Melayu. Sama juga yang berlaku pada Najib, beliau tetap orang Islam,” katanya.

Sekiranya yang dilakukan Najib boleh dianggap menggadaikan akidah, kata Jamil Khir, perkara yang sama perlu diajukan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila bertemu dengan penganut agama lain di kuil dan pada masa yang sama menghulurkan sumbangan wang.

“Tidak pula kita kata pemimpin itu (Nik Aziz) gadai akidah kerana berada di kuil. Pokok utamanya, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan umat Islam apabila bercakap mengenai perpaduan. Saya sedih apabila ada pemimpin Islam diberi ugutan kerana cuba membawa konsep perpaduan dan lebih suka melihat sesama kita terus berpecah-belah…Begitu juga apabila umat Islam mementingkan agenda politik untuk menawan Putrajaya daripada menyelesaikan masalah akidah, perpaduan, Islam dan apa yang berlaku di Palestin,” katanya.

Menurut Jamil Khir, umat Islam lemah perlu mengetepikan pendapat, sebaliknya merujuk kepada pakar dan ulama serta tidak menjadikan laman sesawang sebagai hukum-hakam untuk kehidupan seharian.

Pemimpin Pembangkang Lebih Pentingkan Parti Daripada Perjuangan Islam - Dr Mahathir

Pemimpin pembangkang lebih pentingkan parti daripada perjuangan Islam, malah sanggup menyokong tindakan kejam Israel untuk memastikan pakatan politik mereka tidak tergugat, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut menyelar tindakan pemimpin Pakatan Rakyat yang bersetuju serta terpengaruh dengan kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong kewujudan Israel dan sebarang usaha melindungi keselamatan negara itu dalam akhbar antarabangsa The Wall Street Journal.

"Kalau terpaksa memihak kepada Yahudi pun, mereka (pembangkang) akan memihak kepada Yahudi, sedangkan orang ini dulunya begitu keras, kononnya berjuang demi Islam, khususnya Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat)," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz, kelamrin, yang menyifatkan kenyataan Anwar itu sebagai pendirian Parti Keadilan Rakyat.

"Saya katakan terus terang... dia (Nik Aziz) tak boleh nak kecam Anwar kerana membuat dakwaan tersebut, dan hari ini pulak, kita baca dalam akhbar dia (Nik Aziz) cuma nasihat sahaja, bukan dia arah.

"Ini tidak akan memecahkan Pakatan Rakyat, pasal yang lebih utama bukan Islam, tetapi pakatan yang lebih utama. Kalau terpaksa sokong Israel kerana nak kekal, Pakatan akan sokong Israel," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Keamanan Wakaf Water4Gaza di Melaka, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Perdana Global Peace Foundation (PGPF) Tan Sri Norian Mai.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Presiden PGPF, berkata program Jelajah Keamanan Wakaf Water4Gaza diadakan bagi membantu menyalurkan sejumlah 1.5 juta botol air mineral kepada penduduk Gaza.

Beliau berkata program itu penting dalam usaha membantu penduduk Palestin yang menderita kekurangan bekalan air bersih akibat sekatan dan pemusnahan sistem pembetungan serta loji penapisan air di Gaza oleh rejim Zionis.

"Walaupun jika dilihat dengan mata kasar ia tidak mampu untuk menampung keperluan air minuman penduduk Gaza, namun ia diharap mampu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan seharian," katanya.

Melaka merupakan destinasi pertama program itu yang mendapat sambutan luar biasa dengan kutipan berjumlah RM100,000 hasil sumbangan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan perseorangan dalam usaha menjenayahkan peperangan serta memperjuangkan keamanan dunia sejagat.

Friday, February 17, 2012

Tak Perlu Tangisi Mereka Yang Tinggalkan Umno Masuk DAP

Oleh Ahmad Shukran Shaharudin

Tindakan dua bekas anggota Umno menyertai DAP dan kini ligat mengkritik kerajaan, tidak pernah dan tidak akan ditangisi oleh Umno, kata beberapa pemimpin Umno.

Kesediaan DAP menerima bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, dan anggota Umno Negeri Sembilan, Aspan Alias, sebaliknya dilihat sebagai petunjuk bahawa DAP semakin hilang kepercayaan terhadap kemampuan rakan mereka dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat dan Pas.

Umno di negeri asal kedua-duanya iaitu Pahang dan Negeri Sembilan tidak akan terjejas sedikitpun kerana perjuangan dan kekuatan Umno dan Barisan Nasional bukan disebabkan oleh individu tetapi kerana kerjasama berpasukan dengan parti-parti komponen BN, kata pemimpin-pemimpin Umno.

Kenapa kedua-dua mereka itu meninggalkan Umno?

Ada pemerhati berpendapat mereka mungkin dijanjikan tiket sebagai calon DAP dalam pilihan raya umum nanti untuk menarik sokongan pengundi Melayu kepada parti itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohamad Sharkar Shamsuddin berkata beliau pernah bersemuka dengan Ariff Sabri dan bertanya kenapa bekas anggota Umno Bahagian Pekan itu menyertai DAP.

"Beliau kata beliau mahu menjadi calon. Tetapi pada pandangan saya beliau tidak akan bertanding di Pahang kerana masyarakat di sini mengenali siapa beliau. Sentimen politik di kawasan Melayu berbeza terhadap DAP.

"Mungkin beliau akan bertanding di negeri lain seperti Pulau Pinang atau negeri lain. Sekiranya DAP menang kerusi terbanyak di peringkat DUN, mungkin calon Melayu inilah akan dilantik menjadi Menteri Besar, dan Pas mahupun PKR akan berputih mata," katanya.

Namun, adakah semudah itu untuk termakan janji menjadi calon mahupun Menteri Besar kerana bukan mereka berdua sahaja orang Melayu yang menyertai DAP?

Sejak pilihan raya umum 2008, orang Melayu yang menyertai DAP termasuk bekas naib presiden Transparency International Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, selain Zairil Khir, anak bekas Menteri Pelajaran Tan Sri Khir Johari dan bekas presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Hata Wahari.

Mohamad Sharkar berkata dalam negara yang mengamalkan demokrasi, seseorang boleh menyertai parti apa sekalipun asalkan ia tidak melanggar perlembagaan negara.

"Kita tak perlu menangisi pemergian orang Umno yang masuk DAP. Itu hak dia. Cuma yang jelasnya ialah dengan kemasukan orang Melayu ke dalam parti itu menunjukkan DAP tidak lagi percaya kepada Pas mahupun PKR untuk meraih undi orang Melayu," katanya kepada Bernama.

Mohamad Sharkar berkata DAP dilihat mahu mendominasi gabungan parti pembangkang dan mahu berkuasa sendiri.

Katanya DAP sudah belajar daripada pengalaman bahawa ia perlukan wakil rakyat Melayu untuk menjadi Menteri Besar di negeri-negeri seperti Perak, Selangor dan Pahang yang memperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan masing-masing bahawa hanya orang Melayu boleh memegang jawatan itu.

Mohamad Sharkar berkata beliau percaya DAP akan merekrut lebih ramai orang Melayu menjadi anggotanya menjelang pilihan raya umum ke-13 kerana matlamatnya ialah untuk menumbangkan kerajaan Umno dan BN.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, berkata Umno mengamalkan demokrasi dan terpulang kepada individu membuat pilihan jika merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan Umno.

"Kalau seorang keluar Umno, ribuan yang lain nak masuk. Siapa suka nak sokong boleh masuk, dan siapa yang rasa mereka tidak, boleh keluar. Ini tidak menjejaskan usaha kita untuk mengukuhkan parti dan mengekalkan kekuatan BN mentadbir Negeri Sembilan," katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai tindakan Aspan, bekas anggota Umno Bahagian Kuala Pilah.

Beliau berkata Umno dan BN tidak akan terjejas dengan satu orang yang masuk DAP.

"Kita bergantung kepada pasukan iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain," katanya.

Mohamad berkata apabila DAP membawa masuk orang Melayu ke dalam DAP, mereka mahu mengabui mata orang ramai khasnya pengundi Melayu yang rata-rata melihat DAP sebagai parti yang sememangnya rasis.

"DAP suka memainkan isu bersifat rasis. Dia kata Umno, MCA, MIC rasis tetapi sebenarnya merekalah yang rasis. Sekarang dia nak ambil orang Melayu, India.

"Padahal tak ada tempat untuk orang Melayu di dalam DAP sebenarnya. Jadi orang Melayu yang termakan dengan lagu dan nyanyian kosong DAP sahaja yang akan menyanyi bersama parti itu, selain untuk memburu kepentingan sempit masing-masing," katanya.

Mohamad berkata DAP memanipulasi sepenuhnya PKR dan Pas untuk kepentingan mereka.

"Yang tak sedar diri ialah Pas dan PKR," katanya.

Rencana Bernama