Sunday, May 20, 2012

Nashrudin - PAS, UMNO Perlu Berlapang Dada Jayakan Muzakarah

"Saya antara yang mempromosikannya dari dulu lagi, kerana saya yakin bahawa untuk masa depan negara kita perlu mengurangkan politiking antara dua parti politik besar orang Melayu Islam di negara ini, bukan hanya untuk kepentingan orang Melayu Islam tapi juga untuk kepentingan negara...Walaupun syarat-syarat yang ditetapkan itu mungkin payah untuk diterima oleh tapi saya harap kepimpinan kedua-dua parti berlapang dada dalam mengusahakan sesuatu untuk kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek." Nasharudin Mat Isa

Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata pucuk pimpinan Umno dan PAS perlu berlapang dada agar kedua-dua pihak boleh bermuzakarah dan mengusahakan sesuatu untuk kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek.

Beliau berkata jika kedua-dua parti besar dalam negara itu dapat duduk semeja untuk berbincang, banyak perkara akan dapat dihuraikan.

"Isu muzakarah ni saya rasa semua orang dah tahu pendirian saya. Saya antara yang mempromosikannya dari dulu lagi, kerana saya yakin bahawa untuk masa depan negara kita perlu mengurangkan politiking antara dua parti politik besar orang Melayu Islam di negara ini, bukan hanya untuk kepentingan orang Melayu Islam tapi juga untuk kepentingan negara.

"Walaupun syarat-syarat yang ditetapkan itu mungkin payah untuk diterima oleh tapi saya harap kepimpinan kedua-dua parti berlapang dada dalam mengusahakan sesuatu untuk kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek," katanya yang ditemui pemberita pada majlis perkahwinan anak sulungnya di Bandar Bukit Mahkota, di Bangi hari ini.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mengeluarkan kenyataan bersetuju untuk PAS bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno, yang menerima reaksi positif daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nik Aziz kemudian meletakkan beberapa syarat untuk muzakarah itu termasuk perlu diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 dan Umno perlu menerima rakan pakatan PAS, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat, serta menukar dasar kebangsaan yang diguna pakai ketika ini kepada dasar Islam secara rasmi.

Mengulas mengenai pengharaman program yang melibatkan seorang pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Irshad Manji di negara ini, Nasharudin berkata beliau amat menyokong tindakan itu.

"Kerajaan, NGO, rakyat dan semua pihak harus menolak apa saja program atau individu yang membawa pemikiran sedemikian kerana ini akan membawa kesan negatif kepada masyarakat kita," katanya.

 Manji, 48, merupakan seorang Muslim berfahaman liberalisme, pluralisme dan feminisme dan dia merupakan pendukung LGBT di peringkat antarabangsa yang datang ke negara ini bagi melancarkan buku terbarunya bertajuk 'Islam, Liberty and Love'.

Ditanya mengenai hasrat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Nasharudin berkata perkara itu bergantung kepada keputusan parti.

No comments:

Post a Comment