Showing posts with label Selesai. Show all posts
Showing posts with label Selesai. Show all posts

Sunday, August 14, 2016

Perbetul Apa Sahaja Yang Tidak Kena Dalam Keluarga Umno Sendiri

Najib (dua, kiri) menyarungkan keris ke dalam sarungnya sebagai simbolik merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Kota Tinggi di Sedili Besar semalam.
Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyeru ahli UMNO supaya terus mempertahankan parti keramat itu, malah turut mengingatkan mereka agar memperbetulkan apa sahaja yang tidak kena dengan parti dalam lingkungan keluarga UMNO sendiri.

Perdana menteri dan presiden UMNO itu berkata, tiada pilihan lain bagi ahli UMNO sebagai pejuang parti untuk mempertahankan parti itu sendiri dalam memastikan kelangsungan perjuangan martabat orang Melayu pada masa akan datang.

"Ibarat kita dalam sebuah rumah, kalau tidak kena perabot, kita boleh ganti, kita boleh alih perabot itu. Kalau ada pinggan-mangkuk yang sumbing, kita boleh beli yang baharu. Kalau ada langsir yang robek, kita boleh ganti dengan langsir yang baharu.

"Tetapi kalau kita ni membakar rumah UMNO ini, di mana kita nak cari tempat kita hendak berteduh? Datuk Seri (Mohamed Khaled Nordin) baca pantun tadi, kalau UMNO tersungkur, di mana orang Melayu nak berteduh? Maknanya, kalau Umno mati, rumah UMNO ini kita binasakan, di mana kita nak bernaung, di mana kita nak bergantung harapan? Jawabnya tiada," kata Najib.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dataran Sedili Besar, Tanjung Sedili, semalam.

Najib yang diringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor bersalaman dengan anggota akar umbi parti.
Najib berkata,  sebagai presiden parti, beliau sentiasa berjiwa besar dan sebagai contoh, pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas, beliau mengambil langkah menghulurkan tangan perdamaian dan tangan perpaduan tetapi malangnya tidak disambut.

Malah, beliau berkata pemimpin-pemimpin terdahulu UMNO memilih jalan lain yang bertentangan dengan wadah perjuangan parti UMNO.

"Sebab (itu) kita perlu UMNO sebagai sebuah parti yang menyatupadukan orang Melayu, roh perjuangan kita lahir di perkarangan tangga Istana Besar Johor Baharu, bukan calang-calang tempat, kerana kita meniupkan roh semangat perjuangan nak menyatupadukan orang Melayu, nak meneruskan perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara," kata beliau.

Najib turut menyelar parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang bercadang untuk bekerjasama dengan DAP, yang sama sekali tidak pernah menyokong perjuangan atas nama pribumi dan hak Bumiputera.

"Malah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dalam UMNO sendiri telah menyelar mereka sebagai parti anti-Islam, anti-Melayu, cauvinis. Mereka telah menyatakan dengan jelas, ayat itu keluar daripada mulut mereka sendiri waktu mereka dalam Umno, maka jelaslah bahawa hari ini mereka cakap lain.

"Macam mana Parti Pribumi nak bekerjasama dengan parti DAP yang terang-terangan tidak menyokong perjuangan atas memartabatkan bangsa, agama dan tanah air.

"Di mana soal Peruntukan 153 dalam Perlembagaan Hak Istimewa Orang Melayu, di mana letak pendirian mereka dalam perjuangan untuk menegakkan syiar Islam di bumi yang bertuah ini, di mana perjuangan mereka untuk mempertahankan institusi diraja-raja Melayu dan sebagainya. Jelas, tidak ada," kata Najib.

Justeru, presiden UMNO yakin bahawa anggota UMNO, termasuk UMNO Johor, akan mempertingkatkan usaha untuk menaikkan semangat agar Johor muncul sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Ikrar sahaja tidak cukup, seperti kata menteri besar tadi, ia mesti ada perancangan. Mesti ada usaha dan mesti ada kebersamaan. Saya yakin tiada sebab mengapa Johor tidak boleh pertahan sebagai kubu kuat," kata Najib.

Najib, yang merupakan perdana menteri pertama yang menjejakkan kaki ke Kampung Sedili Besar, turut mengumumkan kelulusan peruntukan melebar dan meluruskan jalan masuk ke kampung berkenaan untuk keselesaan masyarakat setempat.

Lebih 1,000 anggota UMNO dan penduduk setempat menunggu seawal 7 pagi untuk menyambut ketibaan presiden UMNO itu.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Daing A Malek Daing A Rahman.

Bernama

Monday, August 8, 2016

Ahmad Razif - Krisis Politik Terengganu Kini ‘Selesai’


Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman semalam menyifatkan krisis politik di negeri itu selesai dan berharap tidak timbul lagi masalah seumpama itu yang boleh menjejaskan kepimpinan negeri di masa depan.

Beliau lega sidang Dewan Undangan Negeri hari ini tidak menampakkan “situasi panas” seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

“Alhamdulillah, keadaan hari ini terkawal dan tak ada apa-apa perkara yang berlaku…keadaan (kemelut) politik di Terengganu sudah selesai.

"Yang penting sekarang ini kita hendak bergerak ke hadapan untuk memastikan agenda pembangunan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya sebaik sahaja selesai sidang DUN semalam.

Beliau berkata, apa yang berlaku membuatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya lebih bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Razif...bergerak ke hadapan
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib turut  menyatakan komitmennya untuk terus menyokong kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menerajui negeri ini.

Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau mengharapkan kepimpinan sedia ada akan terus kukuh dan tiada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus pilihan raya negeri.

"Biasalah kami semua satu pasukan dan satu kepimpinan serta kepimpinan negeri sekarang berjalan macam biasa dan lancar," katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi rehat Sidang DUN Terengganu bagi penggal keempat di Wisma Darul Iman semalam.

Kemelut politik di Terengganu menjadi tumpuan apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal dan Ghazali mengkritik kepimpinan Ahmad Razif.

Baru-baru ini beberapa akhbar tempatan melaporkan Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri meminta kepimpinan tertinggi Umno mengambil tindakan segera menyelesaikan kemelut pentadbiran negeri yang didakwanya gagal berfungsi sehingga memberikan kesan kepada rakyat.

Ghazali berkata, laporan kemelut itu telah disensasikan media sedangkan tiada sebarang masalah dan berjalan dengan baik. 

"Biasalah adik-beradik saling ingat mengingati ... media sukakan (benda) sensasi, jadi benda yang saya bagi tahu adalah benda yang baik tetapi diambil peluang pihak yang mengharapkan kehangatan," katanya.

Mohd Jidin...semua 17 ADUN datang

Sementara itu, ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, kesemua barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tetap bermuafakat menghadapi sebarang masalah dalam pentadbiran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata, persidangan DUN yang berlangsung lancar pada Isnin dengan tiada usul tergempar membuktikan laporan kemelut itu sekadar digembar-gemburkan tanpa asas kukuh pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu hari ini selesai ...tidak ada apa-apa yang berlaku ...kesemua 17 kita (Adun Barisan Nasional) datang. Kadang-kadang kebebasan IT (teknologi maklumat) ini menyebabkan pelbagai andaian tersebar," katanya.

Ditanya mengenai sokongannya kepada Ahmad Razif, beliau berkata: "Kita semua ini duduk dalam kerajaan yang ada ketua dan satu pasukan. Jadi kita kena jaga parti".

Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat pula meminta agar semua pihak tidak lagi menggembar-gemburkan krisis politik di Terengganu selepas ini kerana yakin kesemua Adun boleh berkhidmat dengan baik untuk rakyat.

"Jadi rakyat tidak perlu risau serta gusar kerana kerajaan negeri masih mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik," katanya.

Rozi berkata kesemua wakil rakyat (BN) memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri sedia ada malah perbahasan dibuat secara matang dan positif.


"Semua pihak memainkan peranan masing-masing yang mana pihak kerajaan memainkan peranan sebagai kerajaan memerintah manakala pembangkang dengan peranan mereka," katanya.