Showing posts with label Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Rakyat. Show all posts

Tuesday, May 15, 2012

Najib - Tidak Harus Berlaku Anarki Di Negara Kita...



"Jika anda tidak hiraukan peraturan undang-undang, akan berlaku anarki dalam negara. Tidak harus berlaku anarki di negara kita. Kita boleh terima pertentangan pendapat dam pandangan tapi saya tidak akan hormati jika anda melanggar undang-undang negara. Itulah satu-satunya perlindungan yang kita ada untuk masa depan rakyat Malaysia," 
- Mohd Najib Razak

Warga Malaysia yang tinggal di bandar raya London berkesempatan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin petang.

Ramai daripada mereka berebut-rebut menyapa dan bersalaman dengan beliau selepas perdana menteri berucap.

Sebahagian besarnya mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam sebuah negara demokrasi dan pilihan rakyat melalui pilihan raya.

Najib berkata dalam mana-mana demokrasi akan ada mereka yang mengundi menyokong dan menentang, tetapi akhirnya, apa yang paling utama ialah pilihan rakyat.

"Rakyat Malaysia akan mempunyai pilihan itu. Kita telah membuktikannya. Anda tidak perlu mengadakan demonstrasi jalanan di Malaysia kerana jika diadakan juga, tidak dapat tidak akan timbul masalah, akan berlaku pertelagahan," katanya jelas merujuk kepada demonstrasi Bersih 3.0 di Kuala Lumpur bulan lepas.

Perdana Menteri berucap kepada kira-kira 1,500 warga Malaysia di sini yang sanggup melalui kesesakan lalu lintas di London untuk hadir pada majlis "Sepetang Bersama Perdana Menteri" yang diadakan di dewan konsert 02 Arena di Greenwich, timur London.

Najib berkata seseorang itu mempunyai hak untuk menyokong kerajaan atau pembangkang tetapi "anda harus melakukannya mengikut lunas undang-undang yang ada".

"Jika anda tidak hiraukan peraturan undang-undang, akan berlaku anarki dalam negara. Tidak harus berlaku anarki di negara kita. Kita boleh terima pertentangan pendapat dam pandangan tapi saya tidak akan hormati jika anda melanggar undang-undang negara. Itulah satu-satunya perlindungan yang kita ada untuk masa depan rakyat Malaysia," katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa telah terbukti sejumlah 100,000 orang boleh berkumpul di sebuah stadium, dan melakukannya dengan begitu aman sekali, merujuk jelas kepada perhimpunan besar-besaran yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno pada 11 Mei.

"Itulah caranya yang betul. Jika Bersih mahu mengadakan perjumpaan, kita boleh berikan mereka stadium yang sama, dan kita akan pastikan keamanan dan keselamatannya.

Tiada siapa yang akan dicederakan dan itulah cara yang sebenarnya bagi kita sebagai sebuah negara yang matang. Kita percayakan demokrasi, tetapi demokrasi dengan tangungjawab."

Ucapan Najib, yang disampaikan dalam suasana yang santai, diterima dengan penuh bersemangat oleh warga Malaysia di London  yang berkumpul di dewan konsert itu, dengan sesetengahnya membawa bersama anak-anak mereka.

Ada dua tiga orang yang berbuat bising dalam kalangan audien itu, membuatkan perdana menteri berkata "ini bukan adab orang Malaysia dan tidak sopan untuk mengganggu", bagaimanapun hadirin yang lain amat tekun mendengar ucapan beliau.

Thursday, May 10, 2012

Perjuanganan UMNO Memanfaatkan Semua Rakyat Malaysia - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata perjuangan Umno selama ini telah memanfaatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman ideologi di negara ini.

Katanya, Umno yang ditubuhkan 66 tahun lalu dan 55 tahun menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) bersama-sama rakan-rakannya dalam Perikatan dan BN, "telah menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia."

 "(Malah telah juga turut) membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf, merencana kejuruteraan sosial yang menyaksikan pembentukan kelas menengah yang besar.

 "Selain, melaksanakan prakarsa pembaharuan tanah melalui FELDA, melakukan pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan prasarana asas negara dan merubah status negara dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, katanya.


Najib, yang juga Presiden Umno, berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan ulang tahun Umno ke-66 hari ini (11 Mei 2012) yang disiarkan oleh www.umno-online.com malam semalam.

Perdana Menteri berkata, Umno sesungguhnya ialah pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik, dan keunikan Umno ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat.

"Tuduhan liar pihak tertentu bahawa Umno ialah parti rasis, anti demokrasi mahupun parti elitis tidak benar sama-sekali," katanya.

Najib berkata walau bagaimanapun kejayaan yang telah dicapai oleh parti itu tidak boleh menjadikan "kita alpa terhadap keperluan untuk terus memugar semangat yang mendasari penubuhan Umno itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan bumi tercinta."

"Masa berlalu persekitaran berubah cabaran parti era pasca merdeka sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pramerdeka dan ketika awal merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara," tegas Najib.

Presiden Umno itu turut berkata: "Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan Umno ini tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan dinostalgiakan.

"Hari ini Umno mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap Dasar Transformasi Nasional berserta semua komponennya ke arah merealisasikan Wawasan 2020, tetapi juga untuk menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya," katanya.

Beliau berkata inilah masanya untuk ahli Umno mengukuhkan barisan yang ada, demi memastikan masa depan bangsa dan negara dan perjuangan ini tidak boleh berhenti.

"Ahli-ahli Umno mesti memastikan kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur," katanya.