Showing posts with label Felda. Show all posts
Showing posts with label Felda. Show all posts

Saturday, January 7, 2017

Kedatangan Shahrir ke FELDA Hanya Bagai ‘Tikus Membaiki Labu?’


Maka gegar gempitalah akan berlaku rombakan di FELDA untuk menggembalikan kedudukan agensi itu seperti dilaporkan media semalam.

Malah FELDA dikatakan  bakal menyaksikan rombakan pengurusan dalam usaha agensi itu mengembalikan kedudukannya untuk meningkatkan kesejahteraan dan menyelesaikan permasalahan warganya masa kini.

Pertanyaan ialah apakah yang diwar-war itu lebih kepada publisiti semata-mata atau memang bertujuan mengatasi masalah dan kebimbangan peneroka FELDA dari segi pendapatan, beban hutang dan perumahan generasi kedua?

Juga apakah Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan mampu memperbetulkan perkara-perkara berkaitan pelaburan FELDA dalam konteks faedah dan risiko serta impak daripada penyenaraian  FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan mengambil pandangan semua pihak.

Apakah akan berlaku penyahsenaraian FGV yang selama ini tidak pun diberikan perhatian oleh pengerusi sebelum ini, Tan Sri Isa Samad?

Juga apakah akan ada jawapan kepada kehilangan dan kerugian jutaan ringgit disebabkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan projek pemerolehan perkhidmatan pengumpulan data LiDAR atau Light Detection and Ranging, projek jalur lebar serta tiga projek lain?

Audit yang dijalankan antara Januari dan Jun tahun ini, mendapati perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengurusan projek oleh Felda dan subsidiarinya tidak memuaskan serta tidak mencapai objektif yang ditetapkan.


Sebagai Pengerusi yang baru dilantik, Shahrir yang mendapat perhatian media dan netizen berkata langkah awalnya termasuk meneliti semula barisan anggota lembaga pengarah untuk memberi nafas baharu dan nilai tambah kepada proses rombakan itu sendiri.

Publisiti meluas itu bukan kerana Shahrir dilihat sebagai orang yang diyakini mampu memperbaiki FELDA tetapi lebih kepada persoalan apakah yang akan terjadi kepada FELDA yang kini dilihat ‘tenat’ selepas ini.

Shahrir dilantik ke dalam FELDA selepas tempoh khidmat Isa sebagai pengerusi tamat pada 31 Disember, 2016.

Isa bagaimanapun kekal sebagai Pengerusi FGV dan sebelum ini Isa dipersalahkan kerana menyebabkan  prestasi kewangan lemah FGV.

Apakah melalui kepimpinan Shahrir, FELDA akan menjadi bertambah baik atau berterusan dalam keadaan yang sama. Dibimbangi akan berlaku ‘tikus membaiki labu.”

Juga dengan menyebut akan melakukan rombakan, apakah itu menggambarkan bahawa FELDA di bawah pentadbiran Isa memang ‘teruk’ atau ia sesuatu untuk menambah baik.

Selain berdepan dengan Isa yang masih menguasai FGV yang menjadi tunjang atau ibu kepada masalah FELDA yang banyak diperkatakan, apakah agensi seperti FELDA yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini ‘lembaga pengarah dan pengurusan FELDA dan FGV?

Bagaimana dengan pelan pemulihan FGV yang sudah dirangka dan apakah Shahrir akan akur dengan pelan yang sedia ada?

Juga FELDA mempunyai Pengarah Besarnya sendiri dan apakah tidak akan berlaku pertentangan pendekatan dalam menguruskan isu yang membabitkan FELDA?

Isa Samad....kekal Pengerusi FGV
Selain pengarah besar, Shahrir juga berdepan dengan ketua-ketua di 20 bahagian dalam FELDA termasuk ta bidang pembangunan – ekonomi, komuniti dan pengurusann – yang memang berpengalaman dan ‘hidup mati’ mereka dengan hal ehwal FELDA.

Ini belum lagi jabatan-jabtan seperti pengurusan tanah, perladangan, tanam semula, makanan negara, usahawan dan sebagainya.

Apakah mereka akan ‘mendengar serta mematuhi’ saranan dan rancangan Pengerusi yang merupakan lantikan politik berbanding mereka yang merupakan penjawat awam?

Tidakkah Shahrir akan merasa ‘rimas’ berdepan dengan kakitangan kerajaan dan agensi ini kerana pendekatan yang berbeza?

Harapan ialah apabila bertemu peneroka dan pengurusan FELDA, Shahrir akan akur dengan kebimbangan di atas banyak perkara yang diperkatakan selama ini, khusnya hala tuju agensi itu.

Bukan sekadar isu FELDA membeli 37% pegangan dalam PT Eagle High Plantation Tbk daripada Rajawali Group, sebuah daripada syarikat minyak sawit terbesar di Indonesia, pada harga AS$505.4 juta juga perlu diteliti.

Untuk rekod pengambilalihan itu dibuat setahun selepas FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membatalkan rancangan membeli kepentingan sama di Eagle High pada harga AS$680 juta.

Ahli politik dan pelabur mengkritik perjanjian itu terlalu mahal.


Malah, Shahrir boleh juga meneliti cadangan bahawa  FELDA perlu kembali kepada perniagaan terasnya, iaitu minyak sawit dan menumpukan peningkatan produktiviti ladang serta kadar perahan minyak daripada purata 17% hingga 18% kepada 20%.

Semalam Shahrir menegaskan rombakan diperlukan dibuat dengan munasabah dan sesuai dengan matlamat yang mahu dicapai, terutama dalam mengembalikan kesejahteraan hidup warga FELDA supaya lebih terjamin pada masa hadapan.

"Anggota lembaga (pengarah) FELDA mesti kuat, dan mesti memahami tentang segala kekuatan dan kelemahan FELDA. Jadi, barulah kita tahu ke mana hala tuju FELDA," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Selain itu, model perniagaan FELDA ketika ini juga perlu diteliti semula secara keseluruhan.

Ketika ini, FELDA merupakan pemegang saham majoriti dalam FGV iaitu sebanyak 20 peratus.

Shahrir akan melakukan lawatan kerja ke kawasan rancangan, selain bertemu pengurusan FELDA mulai esok.

Shahrir menghargai peluang yang diberikan oleh kerajaan kepada beliau dalam keadaan FELDA dan kerajaan dikritik pihak tertentu dengan berjanji akan memperbaiki  dan menyelesaikan masalah yang dihadapi warga FELDA.

"Biasalah, orang cakap lebih mudah. Kalau kita nak kritik, nak katakan FELDA ini tak baik, itu ini masalah, bercakap lebih mudah. Tetapi, saya sebenarnya berterima kasih kerana diberi peluang untuk menyelesaikan masalah bukannya setakat bercakap tapi berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan," katanya.

Apapun dengan persetujuan untuk menerajuinya, Shahrir perlu berbuat sesuatu dan membuktikan beliau boleh melakukannya.

Jika Shahrir dapat menyediakan jawapan baik dan pengurusan FELDA menyokong usaha pemulihan agensi itu beliau akan mendapat sokongan peneroka dan dihargai sumbangannya.


Jika tidak, jadilah seperti tikus membaiki labu, atau kalaupun tidak seteruk itu, keadaan FELDA akan ‘pi mai, pi mai, tang tu jugak’.

Thursday, May 31, 2012

Saham FGVH Yang Disenaraikan Beri Keutamaan Kepada Peneroka - PM


Peneroka Felda tetap mendapat keutamaan dalam langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) apabila lebih 70 peratus saham terbitan penawaran runcit FGVH diperuntukkan kepada golongan peneroka, warga pekerja Felda dan individu yang menyumbang kepada organisasi itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melancarkan prospektus FGVH hari ini sempena penyenaraian gergasi perladangan itu, mengumumkan daripada 255,371,000 saham terbitan penawaran runcit, sebanyak 182,408,000 saham terbitan diperuntukkan kepada peneroka, pekerja dan mereka yang telah memberi sumbangan kepada organisasi tersebut manakala 72,963,000 saham selebihnya adalah untuk pelabur awam.

Sehubungan itu, Najib berkata dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan akan memanipulasikan golongan peneroka dengan penyenaraian tersebut sebagai tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa apa yang kita lakukan ini adalah sebagai menepati amanah yang ditinggalkan oleh ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, saya dan rakan-rakan berjanji tidak akan sekali-kali membiarkan kemudaratan bukan sahaja kepada warga Felda tetapi juga kepada generasi terkemudian dan negara.

Kita tetap akan memperjuangkan Felda sebagai institusi lambang kejayaan rakyat Malaysia," katanya di Kuala Lumpur.


Saham FGVH dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Jun ini.

Najib berkata penyenaraian FGVH mencatat dua detik bersejarah bukan sahaja kepada Felda tetapi juga negara apabila penyenaraian itu merupakan yang terbesar di Asia pada tahun ini dan tawaran awam permulaan (IPO) itu merupakan yang kedua terbesar di dunia pada tahun ini selepas Facebook.

Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila langkah penyenaraian itu telah mencetuskan penerimaan yang luar biasa dan kini pihak Felda berdepan dengan satu masalah baru iaitu memenuhi kepuasan semua pihak yang memohon saham FVGH.

"Walaupun orang kata, ini satu masalah yang menyenangkan, ini adalah masalah kejayaan tetapi juga terpaksa membuat keputusan yang sebaik dan seadil mungkin," katanya.

Beliau berkata penyenaraian itu akan melonjakkan FGVH untuk menjadi sebuah syarikat bertaraf dunia apabila menarik minat dua buah syarikat komoditi utama di Eropah iaitu Louis Dreyfus Commodities Asia dan Vitol Group untuk menjadi rakan kongsi strategik.

Beliau berkata FGVH berada dalam kedudukan yang baik untuk menggunakan kedudukannya sebagai pengendali minyak sawit ketiga terbesar di dunia melalui pemilikan 49 peratus saham dalam Felda Holdings Bhd dan untuk berkembang dengan lebih maju.

Katanya selain akan menguntungkan Felda dan peneroka, penyenaraian itu juga akan membawa keuntungan kepada rakyat Malaysia kerana badan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera juga akan memiliki saham FGVH.

Perdana Menteri berkata langkah itu bukan sahaja dapat melimpahkan kemakmuran dan kejayaan Felda tetapi juga bagi kemakmuran rakyat dan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap agar peneroka Felda terus memberi keyakinan kepada penyenaraian itu dengan melabur dan menyimpan saham mereka bagi jangka panjang.

"Ingatlah, jika kita tabah dan sabar, Insya-Allah, Tuhan akan menambah rezeki kita sepertimana ketabahan sebagai peneroka. Para peneroka hari ini merupakan golongan yang sudah mendapat pendapatan sederhana dan segala kemudahan telah dapat kita sediakan selama ini.

Saya percaya, pemilikan saham ini akan menambah jumlah pendapatan," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bahawa pusingan kedua durian runtuh sebanyak RM5,000 kepada isteri peneroka akan diberi pada 7 Julai ini sempena Hari Peneroka dan perasmian Menara Felda.

Awal bulan ini, Perdana Menteri mengumumkan pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka yang melibatkan tiga fasa, iaitu RM5,000 bagi ketua keluarga yang telahpun diagihkan, manakala RM10,000, iaitu masing-masing RM5,000 kepada isteri peneroka dan anak peneroka akan diagihkan mengikut fasa.