Thursday, April 20, 2017

Mohamed Khaled Terima Surat Peletakan Jawatan Abdul Latif


Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin berharap proses keadilan dapat berlangsung mengikut peruntukan undang-undang yang disediakan terhadap bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi

Dalam kenyataannya, Mohamed Nordin memberitahu bahawa pihak Kerajaan Negeri Johor dan dirinya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas jasa dan khidmat bakti yang telah diberikan.

Menteri Besar itu mengesahkan penerimaan surat peletakan Abd Latif Bandi pada 20 April (hari ini) dan surat peletakan jawatan itu memaklumkan bahawa Abdul Latif melepaskan semua jawatan rasmi Kerajaan Negeri Johor.

"Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Johor menghormati keputusan yang diambil oleh beliau dan pastinya ia bersandarkan penilaian yang terbaik untuk semua pihak.

"Pihak kerajaan negeri berharap dan mendoakan agar segala urusan beliau selepas ini dipermudahkan berjalan lancar", katanya.

Laporan awal mnyebut, Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor itu mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.

Perletakan jawatan tersebut adalah susulan daripada pendakwaan ke atas dirinya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru melibatkan kes dakwaan rasuah.

Abdul Latif mengumumkan keputusan itu melalui satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya.

Beliau turut merakamkan penghargaannya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Menteri Besar Khaled Nordin kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran.

“Saya dengan ini mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan sebagai Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.


“Di kesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan Exco, masyarakat Mersing, rakyat  serta pihak yang memberi sokongan kepada saya untuk melalui proses perundangan ini dengan seadil-adilnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment