Friday, January 20, 2017

Siapa Yang Cuba ‘Memalukan Mukhriz’ Pada Ceramah PPBM Di Dungun?


Apakah ada pihak dalam partinya sendiri yang mahu memalukan kehadiran Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Terengganu?

Persoalan ialah kenapa kedatangan itu mahu dibolot oleh satu bahagian Parlimen PPBM sahaja iaitu Dungun?

Sedangkan Mukhriz adalah pemimpin untuk semua yang menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.

Siapa yang bertanggungjawab?

Siapa yang menganjurkan majlis berkenaan? Kenapa tiada jemputan rasmi kepada pemimpin PPBM lain di seluruh daerah di negeri berkenaan?

Apakah pemimpin di Dungun hanya mahu ‘membolot populariti’ atau menjadikan kehadiran Mukhriz dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM untuk menonjolkan dirinya sahaja?

UMNO dan BN boleh bertepuk tangan kerana penganjurnya jelas tidak 'cerdik' dan berlagak pandai sendirian.

Sudah ada kedengaran bahawa PPBM di Terengganu kini bercelaru dan berpecah menjadi beberapa kumpulan.

Ia gara-gara ada ‘permainan’ seorang pemimpin yang bimbang dengan kemunculan kumpulan penggerak yang lain.

Mereka tidak bersetuju dengan kepimpinan seseorang yang menganggap dirinya sebagai ketua parti di Terengganu sedangkan beliau hanya Ketua Pendaftar (ahli).

Banyak cerita mengenai orang ini, termasuk kisah peribadi yang tidak sedap didengar.

Citi-ciri kepimpinannya ialah menekan sebarang perbincangan terbuka dan perlu menurut arahannya sahaja. Beliau menganggap pihak lain sebagai ‘tidak berpengaruh sepertinya’.

Sedangkan di pihak atau  kalangan penyokong lain PPBM Terengganu, mereka pernah menjadi calon pilihan raya. Bukan sahaja calon UMNO, malah ada calon pembangkang dan Bebas.

Juga  ada di kalangan mereka yang pernah menang pun dan tahu semua taktik pergerakan parti dan pilihan raya.

Sedangkan orang yang  mengatakan dirinya hebat itu sebenarnya hanya pekerja parti yang menumpang populariti seorang wakil rakyat yang kalah dalam pilihan raya umum lalu (bertanding di atas tiket UMNO/BN).

Katanya antara orang yang disifatkan ‘mabuk kuasa’ ini ada pertalian keluarga dengan wakil rakyat UMNO/BN yang kalah dalam pilihan raya dalam Parlimen Dungun.

Memalukan apabila Terengganu Times mendedahkan  tidak sampai 100 orang hadir.


Malah, menurut laporan itu, lebih memalukan, lebih separuh daripada yang hadir malam itu merupakan orang dari luar Terengganu.

“Nyata sekali aura Mukhriz di negeri Terengganu tiada dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghantar anaknya itu hanya sia-sia dan gagal sama sekali kerana Mahathir telah banyak menguriskan hati orang Melayu terutamanya di Terengganu ini yang mempunyai purata 98 peratus Melayu,” lapor Terengganu Times.

Mungkin Terengganu Times (milik UMNO Terengganu) turut berniat memperkecilkan Mukhriz, namun sumber menyebut, sememangnya tidak sampai 200 orang yang hadir.

Jumlah kira-kira 200 orang itu terlalu kecil dibandingkan dengan kedudukan Mukhriz di mana paling tidak pun majlis seperti itu sepatutnya dihadiri oleh lebih 1,000 orang jika di war-warkan dengan baik.

Dalam ucapannya, Mukhriz turut membaca beberapa manifesto PPBM jika menang PRU14 antaranya mahu meneruskan pemberian BR1M seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan BN ketika ini.

Mukhriz dikatakan tetap bersemangat berucap walaupun hadirin kecil demi mengembangkan parti itu di Terengganu.

Kepada Mukhriz, pengalamannya itu mungkin dibawa ke pengetahuan majlis pimpinan tertinggi parti bahawa penyelesaian segera perlu dilakukan terhadap pergolakan kepimpinan dalam PPBM Terengganu ketika ini.

Jika tidak lupakanlah dengan kehadiran PPBM di Terengganu. Apalagi UMNO dan PAS sudah lama diterima rakyat di negeri itu.

Malah, menurut satu sumber, PPBM sepatutnya bimbang dengan keadaan di mana yang mendekati PPBM kini ramai yang ‘mula tawar hati’ akibat tindak tanduk pemimpin ‘gila kuasa’ berkenaan.

Apakah kepimpinan pusat PPBM akan terus membiarkan keadaan sebegini berterusan?

Yang pasti, menurut sumber itu, semakin dibiarkan, keadaan akan menjadi lebih buruk, dan PPBM di Terengganu tidak akan ke mana-mana.

Akhirnya UMNO juga yang dominan!

No comments:

Post a Comment