Friday, April 5, 2013

Muhyiddin Beri Amaran - Calon Buat Hal, Bermasalah Akan Digugur

"Penilaian lebih terperinci dilakukan di peringkat Parlimen atau Dun bagi menentukan siapa calon sesuai dan diterima serta mendapat sokongan besar seterusnya capai kemenangan...Selain faktor penapisan itu katanya, calon juga mesti mengemukakan laporan kesihatan yang terkini bagi memastikan kelayakan mereka kerana tidak mahu masalah tersebut akan mengganggu perkhidmatannya nanti."
 - TS Muhyiddin Yassin

Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan akan menggugurkan calonnya jika didapati mereka bermasalah walaupun penilaian senarai calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kini boleh dikatakan sudah selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian peringkat akhir masih dijalankan bagi meneliti calon terpilih mempunyai kes atau tidak dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi dan pihak polis.

“Senarai yang diputuskan walaupun belum muktamad lagi, ada masa untuk dapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan. Jika didapati terbabit kes, ada sedikit sebanyak perubahan akan dilakukan selepas terima laporan pihak itu.

“Walaupun masa lalu juga dibuat pemilihan calon dengan rapi tetapi kali ini terlalu rapi, kerjasama dengan semua pemimpin di peringkat negeri dan komponen parti dibuat dengan begitu fokus.

Kita bertemu mereka banyak kali dan bukan sekali,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya BN Bahagian Pagoh, di Kompleks Sri Pekembar, semalam. Turut hadir Pengerusi BN Pagoh Datuk Tahir Mohd Taat.

Muhyiddin berkata, penilaian lebih terperinci dilakukan di peringkat Parlimen atau Dun bagi menentukan siapa calon sesuai dan diterima serta mendapat sokongan besar seterusnya capai kemenangan.

Selain faktor penapisan itu katanya, calon juga mesti mengemukakan laporan kesihatan yang terkini bagi memastikan kelayakan mereka kerana tidak mahu masalah tersebut akan mengganggu perkhidmatannya nanti.

Katanya, BN tidak mahu tumpuan perkhidmatan bakal wakil rakyat itu nanti menjejaskan prestasinya dan bertambah teruk disudahi dengan pilihan raya kecil (PRK).

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, semua yang dilakukan itu adalah bagi membolehkan calon diterima, tidak mewujudkan banyak bantahan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa pemilihan itu adalah terbaik untuk kawasan mereka.

Muhyiddin turut mengingatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional(BN) supaya tidak mengamalkan sikap berpuak-puak sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau berkata sikap itu perlu dihindari kerana ia akan memberi kesan negatif kepada hasrat BN untuk mencapai keputusan terbaik pada PRU13.

"Kebimbangan kita adalah amalan factionalism (berpuak-puak)...ini berlaku dalam banyak parti...kalau ada kawasan tak bersatu sebab mungkin proses pemilihan peringkat parti, peringkat bahagian belum selesai...maka kita bimbang ia akan bawa kesan kepada kejayaan calon.

"Ia akan jadi halangan kepada matlamat capai kejayaan dalam pilihan raya. Sehubungan itu saya ingatkan semua pemimpin parti di setiap peringkat supaya beri perhatian kepada perkara ini," katanya.

Sumber - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment