Pengerusi badan perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh
Omar meminta Presiden AMANAH, Mohamad Sabu supaya berhenti daripada terus
mendakwa Malaysia kini diperintah oleh "mafia" ekoran ketua menteri
Pulau Pinang, Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Noh yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah,
berkata ini kerana Lim bukanlah pemimpin pertama yang didakwa di mahkamah.
"Mat Sabu jangan menipu rakyat. Saya nak tanya dalam
sejarah kita, (adakah) Lim Guan Eng ketua menteri yang pertama didakwa?
"Kenapa masa (bekas MB Selangor) Dr Mohamad Khir
Toyo (didakwa) dia (Mat Sabu) tak cakap benda sama dan DAP tak bangun menentang?" soal Noh lagi dalam satu temubual dengan Malaysiakini semalam.
Mohamad Khir dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada
September tahun lalu selepas disabitkan atas tuduhan menggunakan kedudukannya
untuk mendapatkan dua bidang tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai
RM6.5 juta untuk dirinya dan isterinya.
Pada bulan Mac, Mohamad Khir menjalani perintah parol
selepas menjalani enam bulan hukumam penjara sebelum dia dibebaskan dua
bulan kemudiannya.
Noh mengulas dakwaan Mohamad Sabu bahawa tindakan pihak
berkuasa mendakwa ketua menteri Pulau Pinang atas dua pertuduhan penyalahgunaan
kuasa menunjukkan Malaysia kini diperintah “mafia”.
Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dalam
satu kenyataan berkata, pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) terhadap Lim kelmarin juga adalah siaran ulangan.
Mengulas lanjut, Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong
Karang berkata, kelantangan Mat Sabu ini lahir kerana merasakan pakatan
pembangkang itu 'kebal dan suci seperti malaikat' hingga tidak boleh berdepan
tindakan undang-undang.
"Saya ingat pembangkang ini rasa mereka lebih hebat
(hingga dapat mengatasi) undang-undang, macam malaikat yang tidak boleh disentuh langsung, seolah-olah mereka suci.
"(Bagi mereka kalau) nak tangkap, tangkap BN sebab
BN (didakwa) rasuah. Tangkap pemimpin kami (BN), ini politik (BN), ini
perancangan (BN), (BN) ini mafia," tegas Noh.
Lim yang juga setiausaha agung DAP didakwa atas dua tuduhan rasuah
di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kelmarin.
Semalam, Lim yang mengaku tidak bersalah dan minta
dibicarakan atas kedua-dua tuduhan itu, dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan
seorang penjamin.
Mahkamah tidak memerintahkan Lim menyerahkan pasportnya
tetapi beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah dan Jabatan Peguam Negara, dua hari sebelum ke luar negara.
Mahkamah Tinggi menetapkan 22 September depan untuk
pengurusan kes.
No comments:
Post a Comment