Thursday, September 19, 2013

Mukhriz Mahathir Umum Bertanding Naib Presiden UMNO

"Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia; "Kedah yang DYMM Tuanku Sultannya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, bagi pemilihan kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO."
 - Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir 

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini (Khamis 19 September 2013) mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Mukhriz berkata beliau membuat keputusan itu setelah menerima banyak nasihat daripada setiap lapisan kepimpinan dan setelah memikirkan jawatan yang sesuai untuk beliau dipertanggungjawabkan.

"Saya telah tanyakan diri saya, apakah saya bersedia. Saya telah menimbangkan perkara ini dari setiap sudut.

"Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan UMNO, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia; "Kedah yang DYMM Tuanku Sultannya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, bagi pemilihan kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden UMNO," katanya.

Beliau mengumumkan hasratnya itu pada majlis memperkenalkan calon-calon dari Kedah bagi pemilihan UMNO peringkat pusat, di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di Alor Setar.

Jawatan naib presiden UMNO kini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan).

Ketiga-tiga mereka telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Selain Mukhriz, dua lagi pemimpin yang telah mengumumkan akan bertanding ialah Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata sebagai pemimpin negeri, beliau tidak dapat tidak perlu mendengar nasihat dan menerima desakan daripada pengikut.

"Antara nasihat yang banyak saya terima ialah untuk memastikan saya terus memberi khidmat, jika boleh, ke peringkat yang lebih tinggi. Nasihat-nasihat ini, semakin menjadi satu harapan.

"Sebagai pemimpin, saya semestinya tidak boleh lari daripada perkara ini, yang juga merupakan tanggungjawab," katanya.

Dalam ucapannya, Mukhriz juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

No comments:

Post a Comment