Sunday, September 15, 2013

Pemilihan Umno - Menteri Besar, Ketua Menteri Tidak Wajar Rebut Kerusi MT?

"Bagi mereka yang bukan anggota MT dan anggota yang dilantik, kehadiran dalam mesyuarat MT adalah atas 'turut hadir'...sebagai turut hadir, mereka tidak boleh bercakap melainkan dengan izin presiden dan tidak boleh mengundi."
- Datuk Seri Mohamad Hasan 

Semakin dekat tarikh pemilihan Umno, semakin banyak pandangan dan pendapat yang dilontarkan pelbagai pihak, kononnya atas nama memastikan usaha 'transformasi' parti Melayu itu menjadi.

Antara saranan yang dikemukakan ialah supaya menteri besar dan ketua menteri tidak bertanding merebut kerusi anggota Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti Oktober ini bagi memberi ruang kepada lebih ramai calon mengisi kerusi pentadbiran parti itu.


Ada pemerhati politik bersetuju dengan saranan itu atas dasar ruang dan peluang lebih afdal diberikan kepada anggota lain untuk berkhidmat dalam parti.

Namun ada pula yang berpendapat, tidak perlu menyekat mana-mana pihak untuk bertanding, selari dengan semangat demokrasi yang cuba diterapkan Umno pada pemilihan kali ini, yang memberi peluang sama rata kepada anggota parti untuk bertanding mana-mana jawatan, selagi mereka memenuhi syarat yang cukup minimum.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata ruang kepada pemimpin baharu patut diberikan supaya parti mempunyai barisan pelapis.

"Bagi saya menteri besar atau ketua menteri dan pemimpin yang telah lama memegang jawatan, saya cadangkan tak payah tawar diri, biarlah muka baharu... kerana kita perlu muka baharu, bukan nak tolak, tapi yang dah lama sangat tu tak payah la, bantu presiden transform parti," katanya ketika dihubungi.

Berbeza dengan tanggapan banyak pihak, menteri besar dan ketua menteri sebenarnya tidak dilantik secara automatik sebagai anggota MT, sebaliknya perlu bertanding jika mahu bersuara dalam majlis itu. 

Menjelaskan kedudukan menteri besar dan ketua menteri dalam MT, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka tidak secara automatik menjadi anggota MT.

Bercakap kepada sebuah portal berita baru-baru ini, Mohamad dipetik berkata bagi mereka yang bukan anggota MT dan anggota yang dilantik, kehadiran dalam mesyuarat MT adalah atas 'turut hadir'.

Katanya sebagai turut hadir, beliau tidak boleh bercakap melainkan dengan izin presiden dan tidak boleh mengundi.

 Menteri besar yang kini 'turut hadir' dalam MT ialah Mohamad, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Perlis Azlan Man.


Setakat ini hanya Mohamad dan Azlan yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan MT, manakala Mohamed Khaled, Zambry, Ahmad Said,  Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Amandan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob memutuskan untuk tidak bertanding.

Musa dalam kenyataan, di Kota Kinabalu,  berkata: "Selepas mempertimbangkan sedalam-dalamnya selain berbincang dengan rakan-rakan dalam parti termasuk exco Umno Sabah, saya memutuskan untuk tidak bertanding bagi kedua-dua jawatan itu."

Musa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Sabah berkata masih ada terlalu banyak perkara yang harus dilakukannya untuk membangunkan Sabah dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri itu.

Dua  lagi masih bermain teka-teki ialah Mukhriz serta Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.


Yang nyata Musa yang dikatakan akan bertanding merebut kerusi Naib Presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan berbuat demikian.

'Otai' Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad menuntut sikap terbuka dalam soal ini dengan berpendapat semua pihak perlu diberi peluang sama rata untuk bertanding apa-apa jawatan asalkan mereka yakin layak untuk menerajui parti.

"Tidak ada masalah...terpulang kepada masing-masing kerana sekarang siapa pun boleh tawarkan diri untuk bertanding.

"Takkan kerana nak beri ruang kepada golongan yang lebih muda untuk menang, harus ada sekatan untuk orang lain bertanding. Sebaliknya kalau anak muda itu rasa mereka ada kelayakan, mereka boleh bertanding bukan sahaja di peringkat MT tetapi banyak peringkat lain," kata Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Baharu.

Pensyarah Politik Universiti Malaya Dr Sulastry Ahmad pula berpendapat saranan itu ada pro dan kontranya mengambil kira budaya dalam Umno. Katanya eloknya cadangan itu kerana ia akan memberi laluan kepada muka baharu, khususnya golongan muda untuk berada dalam MT.

Bagaimanapun jika sekatan itu dibuat, dikhuatiri akan timbul perpecahan dan kemarahan anggota di peringkat akar umbi yang lazimnya pasti mahu pemimpin negeri mereka terpilih dalam MT.

"Kecuali menteri besar dan ketua menteri itu sendiri berpendirian untuk tidak bertanding, mungkin itu satu demonstrasi bahawa Umno benar-benar bersedia berubah.

Tetapi dalam MT perlu ada variasi," tegasnya. Dr Sulastry bagaimanapun tidak menolak kemungkinan saranan itu ditimbulkan dengan tujuan menyekat menteri besar atau ketua menteri tertentu untuk bertanding di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

Sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment