Saturday, December 17, 2016

Salleh Jangan Susah Hati Pasal HARAPAN, Jaga Najib Jangan Tumbang Sudahlah...

 
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang juga Bendahari UMNO tidak payah sibuk-sibuklah mengenai Pakatah Harapan (HARAPAN) , sebaliklah fikir dan ambil pedulilah pasal UMNO dan Presidennya.

HARAPAN bukan parti pemerintah dan bertugas membela rakyat. Hanya sebagai kumpulan parti yang sedang mengintai untuk membentuk kerajaan.

itupun kalau memang pilihan raya akan datang, jika tidak kekallah mereka sebagai pembangkang.

Sebagai Menteri dan pemimpin UMNO, Salleh sewajarnya menilai kedudukan diri dan partinya yang kini terancam hebat oleh ‘kemarahan rakyat’. Bukan rakyat Semenanjung sahaja tidak berpuashati dengan UMNO tetapi juga rakyat di Sabah.

Kenapa Salleh nak tahu sangat berbagai perkara umpamanya Kabinet bayanganlah, siapa Perdana Menteri HARAPANlah dan sebagainya.

1.      Salleh patut fikir apakah Datuk Seri Najib Razak akan kekal Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang. Salleh patut fikir apakah UMNO Sabah akan terus menjadi ‘fixed deposit’ kepada UMNO atau akan jadi mesin pengeluaran wang yang mudah dibom untuk diambil isi di dalamnya.

2.      Salleh perlu memainkan peranannya untuk menjelaskan berbagai isu rakyat seperti kesan GST terhadap kehidupan rakyat (bukan berapa banyak cukai dikumpul), harga barangan keperluan dan makanan yang melambung naik, kos kehidupan yang menekan kehidupan warga bandar, kenaikan gaji dan kenaikan harga barang yang tidak seimbang serta banyak lagi.

3.      Juga tepiskan semua ‘pendapat serta persepsi buruk’ terhadap negara sama ada dalam konteks kleptokrasi, rasuah dan penyelewengan, pengubahan wang haram dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau apa sahaja yang mencemarkan imej baik negara.



4.      Salleh juga sewajarnya memainkan peranan untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana kejatuhan nilai Ringgit tidak mendatangkan kesan besar kepada kehidupan rakyat jelata.

5.      Tunjukkan bukti di tv1, tv2 dan semua stesen radio milik kerajaan bahawa kejatuhan nilai Ringgit menggandakan aktiviti pelancongan, eksport yang bertambah dan sebagainya yang dikatakan ‘rahmat’ daripada kenaikan dolar Amerika Syarikat dan mata wang lain.

6.      Salleh sebagai menteri yang ditugaskan mengenai multimedia juga perlu mengawal berbagai kegiatan buruk internet yang mencemarkan institusi Diraja dan Islam serta mengawal viral yang tidak mendatangkan keuntungan kepada masyarakat dan negara.

7.      Salleh sewajarnya berusaha menjamin orang bukan Melayu tidak takut dengan Akta 355 yang hanya dikaitkan dengan orang Islam serta isu perbezaan agama yang lain.

8.      Salleh juga wajar memperbaiki kebimbangan wujudnya polarisasi kaum akibat dasar kerajaan dan kenyataan pemimpin UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang dikatakan mengancam masa depan bukan Melayu.

9.      Itu belum lagi tugasnya sebagai Bendahari UMNO. Mana nak cari duit untuk PRU14? Apakah akan dapat derma lebih besar daripada RM2.6 bilion dari negara Arab sekali lagi?

10.   Banyaklah lagi perkara kalau hendak di sebut.


Sebaliknya Salleh bimbang  dan menyibuk tidak tentu pasal ‘apa jadi jika Anwar tak diampunkan’ bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Tidak payahlah nak menasihati pembangkang supaya memikirkan atau menunggu Anwar untuk dibebaskan untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Atau dengan sikapnya sibuk tidak menentu itu apakah Salleh juga berminat agar Anwar menggantikan Najib?

Biarlah pembangkang mahu  cadang apapun, sama ada mahu mengadakan mesyuarat khas untuk membuat keputusan mengenai calon perdana menteri yang "komited kepada agenda reformasi", atau mengenai saranan pemimpin DAP Lim Kit Siang,  yang mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik perdana menteri sementara.

Salleh mengutuk HARAPAN kononnya berkalau tetapi dia sendiri turut mempertikaikan cadangan Lim seolah-olah isu itu telah "diselesaikan" sebaliknya juha berkalau sekiranya rancangan pembangkang jika Anwar tidak mendapat pengampunan.

Malah Salleh turut mempersoalkan jika cadangan Lim itu dipersetujui komponen lain dalam HARAPAN dan PPBM.

Kelmarin Salleh mempersoalkan HARAPAN mengenai Kabinet bayangan. Ada ke tidak ada, apa kena mengena dengan UMNO dan Salleh?

Salleh berkata HARAPAN perlu menunjukkan Kabinet bayangannya terlebih dahulu sebelum bercita-cita menubuhkan sebuah kerajaan selain mempersoalkan jika isu mudah seperti itu yang merupakan amalan biasa dalam kerajaan yang menggunakan sistem Westminster, tidak boleh diselesaikan, bagaimana pembangkang hendak melaksanakan perkara yang lebih besar.

Salleh turut  menekankan banyak lagi soalan  yang perlu dijawab seperti siapa yang bakal menjadi timbalan perdana menteri, adakah akan ada lebih daripada satu timbalan perdana menteri dan siapa akan dilantik ke dalam Kabinet dan sebagainya.
  

Kata Salleh, HARAPAN tidak mampu untuk menubuhkan satu Kabinet bayangan walaupun sudah lapan tahun kewujudannya dan bagaimana ia akan menubuhkan kabinet kalau mereka menang pilihan raya?

Hakikatnya pembangkang telah melahirkan lima gabungan sejak 1990, dan nampaknya sekarang ia masih belum lagi mengubah fikiran terhadap PPBM, menunjukkan selepas lebih dari 26 tahun pembangkang masih lagi tidak stabil kedudukan mereka, demikian kata Salleh.

Persoalan yang ditimbulkan Salleh hanyalah untuk memperkecil dan mempersenda pembangkang. Namun pada ketika yang sama UMNO dan kepimpinan Najib kini turut dipersendakan dengan berbagai isu yang memalukan negara.

Isu Perdana Menteri yang dituduh mengamalkan rasuah, yang kini tersebar di seluruh dunia, kerajaan yang gagal menguruskan ekonomi dan kewangan dengan baik serta hutang yang banyak, sewajarnya dijawab dengan baik.

Rakyat mahu mendengar penjelasan bukan menjawan persoalan dengan menghukum pembangkang sebagai ‘pengkhianat’, berkonspirasi atau bersekongkol dengan individu dan negara sassing untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang.

Tugas Salleh adalah menjawab bagi pihak kerajaan bukan mempersoalkan kedudukan pembangkang dan bimbang siapa akan menjadi Perdana Menteri di kalangan mereka.

Pilihan raya semakin hampir dan Salleh perlu menggunakan semua tenaga dan jentera bagi mempertahankan UMNO dan Najib.

Jangan sampai Najib tersungkur kerana akan juga membahayakan pemimpin UMNO lain turut tercalar dengan berbagai isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Jika ketua ibarat kepala ikan yang sedang  memburuk di kepala, pengikutnyasama ada di badan atau di ekor akan turut menjadi busuk.

Dan bangkai inilah yang sedang mahu dibuang oleh rakyat agar negara kembali bersih.

Apakah peranan Salleh sebenarnya?

Dengan kedudukannya di badan ikan yang sedang membusuk, Salleh tidak ada jalan lain selain ‘melompat lari’.

Namun mahu lari ke mana dia? Salleh yang kini memburuk dan membusung bersama ikan yang semakin hari bertukar menjadi bangkai, ternyata tidak lagi mampu menyelamatkan dirinya, apalagi kepala ikan yang beliau turut tumpangi itu tiada harapan lagi untuk diselamatkan.

Bagi menutup kelemahan diri dan kegagalannya  memperbaiki suasana politik dan ekonomi dalam UMNO dan kerajaan, Salleh terpaksa menggunakan taktik memperakatakan menngenai rumah tangga orang lain yang kononnya ‘berselerak’.

Namun hakikatnya, Salleh dan rumahnya sendiri – UMNO dan Barisan Nasional – kini bukan sahaja ditimbuni sampah berulat tetapi tiang dan atapnya semakin runtuh satu persatu.


Hanya menunggu kesemuanya ranap dan menyembah bumi selepas PRU ke-14 nanti!

Tuesday, November 29, 2016

Dr Ahmad Zahid Ingatkan UMNO Agar Waspada ‘Pembangkang Senyap’


Ahli UMNO diingatkan supaya berwaspada dengan kehadiran musuh baharu politik yang bersembunyi menerusi platform digital.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu kini bukan sahaja berhadapan musuh tradisi yang boleh dibezakan dengan lambang politik sebaliknya turut diancam pihak yang menyembunyikan identiti sebenar mereka.

"Musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan ini wujud tanpa kita sedari melalui platform dan gajet IT (teknologi maklumat).

"Kita perlu berhati-hati dan berwaspada kerana penanaman bibit-bibit ke arah mewujudkan komunKuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2016 pada Selasa malam.

Selain itu, menerusi ucapan yang bertemakan ‘Dasawarsa Politik Mencabar’, Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas timbalan presiden UMNO berkata, kehadiran komuniti pembangkang baharu itu dapat dirasai dengan jelas menerusi alam maya.

"Abad ke-21 ternyata telah mengubah landskap pembangkang kepada wujudnya suatu kelompok kepembangkangan, yang berpaksikan kepada dunia digital.

"Kita tidak nampak mereka secara jelas, tetapi kita dapat merasai kehadiran golongan kepembangkangan ini menerusi alam maya,” katanya.


Sehubungan itu, katanya, ahli UMNO juga tidak boleh ketinggalan dalam penggunaan teknologi maklumat bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan kepada parti.

"Saya ingin menggagaskan kepada ahli-ahli sayap UMNO supaya bijak menguasai ruang siber atau cyberspace secara serius dalam menangkis pelbagai fitnah, tohmahan, kritikan dan serangan dari pihak seteru politik kita.

"Kita perlu keluar dari kepompong lama yang hanya pandai melihat dan memadam api, sebaliknya kita perlu proaktif mencari kelemahan pihak lawan dengan peluru-peluru fakta yang boleh menyedar dan menyakinkan khalayak,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid menggesa gerakan cybertrooper UMNO supaya bersatu merancang strategi bagi menentang musuh baharu berkenaan.

"Angkatan cybertrooper perlu bersatu dalam menyusun strategi menentang musuh, bukannya sering berbalah sesama sendiri.

"Malah, saya tahu terdapat di kalangan mereka terjebak dengan agenda mempromosikan saudagar-saudagar politik yang menjenamakan tokoh-tokoh tertentu. Seharusnya kita perlu mencari titik pertemuan dan penyatuan pemikiran dan mengenepikan jurang perbezaan,” katanya.

Friday, November 25, 2016

Tidak Pernah Bincang Kerjasama Politik Dengan PAS – Dr Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR 25 November 2016):  Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan PAS tidak pernah berbincang mengenai kerjasama politik atau 'tahaluf siyasi'.

Sebaliknya kedua-dua parti itu hanya berbincang tentang isu-isu yang menyentuh aspek kepentingan ummah.

Dr Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden parti berkata, perbincangan itu lebih tertumpu kepada mencari titik persamaan termasuk dalam soal undang-undang yang melibatkan umat Islam.

"Tentang soal orang Islam, tentang soal isu-isu yang tidak terselesai yang harus didukung bersama dan saya fikir ini satu pendekatan yang baik oleh kepimpinan utama PAS (untuk berbincang)," katanya dalam temu bual dengan Bernama dalam program Ruang Bicara Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang akan disiarkan malam esok (26 November) menerui saluran televisyen Bernama News Channel (BNC).

Timbalan perdana menteri berkata, kepimpinan Islam dalam parti-parti politik serta organisasi lain juga perlu bersama-sama memainkan peranan dengan mengenepikan perbezaan pendapat atau pegangan politik demi mencapai titik persamaan.

"Saya fikir kematangan politik dilihat bukan hanya soal tahaluf siyasi, tetapi tentang soal keikhlasan kita menangani isu kepentingan sejagat dan kepentingan ummah keseluruhan berbanding kepentingan peribadi kita atau kepentingan sempit sesebuah organisasi itu," katanya.

Dr Ahmad Zahid berkata, proses konsultasi sering kali menjadi amalan beliau dengan melibatkan pelbagai pihak, sama ada kawan ataupun lawan, dalam menentukan kaedah terbaik bagi merungkai setiap permasalahan yang timbul.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan parti itu mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik termasuk UMNO.

Abdul Hadi berkata kerjasama dengan UMNO adalah lebih tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar Islam demi kepentingan umat Islam di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik.

Sementara itu, Dr Ahmad Zahid mengakui cabaran getir yang dihadapi UMNO parti tunjang Barisan Nasional (BN), berikutan pelbagai serangan daripada pembangkang termasuk daripada bekas pemimpin utama UMNO.

Katanya, gelombang politik yang melanda UMNO ketika ini menuntut anggota bersama-sama barisan kepimpinan mempertahankan organisasi itu demi memastikan UMNO terus utuh dan dapat mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.  

Dalam nada berterus terang menyingkap keadaan politik semasa negara, Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa solidariti dan kebersamaan anggota UMNO untuk bertindak seiring dengan kepimpinan parti, sekali gus mempertahankan institusi politik negara yang bertanggungjawab bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi seluruh kaum di Malaysia.  
    
Mengimbas pengalaman pahit dan permasalahan yang pernah dihadapi UMNO  apabila kepimpinan UMNO tidak lagi bersama parti seperti pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pada suatu ketika Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam sehingga menimbulkan polemik, Ahmad Zahid berkata UMNO berjaya melayari dan menempuhi gelombang itu dan tidak tenggelam.   

"Ia bergantung kepada bagaimana kepimpinan parti, bukan hanya Presiden dan Timbalan Presiden mendepani permasalahan itu tetapi yang penting adalah rasa kekitaan dan kebersamaan untuk menjawab, menyelesai dan mengatasi permasalahan yang dibangkitkan dengan cara penuh kebijaksanaan dan ketatasusilaan kita sebagai orang Islam dan Melayu," katanya. 

Ahmad Zahid berkata serangan bertubi-tubi yang mengandungi fitnah dan tohmahan terhadap pemimpin UMNO serta keseluruhan organisasi parti terbesar Melayu ini semakin hebat menjelang pilihan raya umum ke-14, yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
   
"Kita harus memperkukuhkan pasukan dan angkatan kita bukan hanya mempertahankan tetapi melakukan sesuatu tindakan yang lebih bersikap positif untuk menentukan kita di pihak yang benar," katanya.


Oleh itu, adalah menjadi tugas setiap ahli UMNO untuk membalas setiap serangan termasuk perang saraf yang dilakukan terutama menerusi dunia maya serta menangani setiap isu yang dibangkitkan dengan segera dan cekap.