Monday, April 23, 2012

Shafie Nafi Beri Zahida ‘Wang Begitu Banyak’

 
Datuk Seri Shafie Apdal hari ini secara terbuka menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan bekas pemandunya, Noor Azman Azemi yang mengaitkan beliau dengan pembayaran wang dalam jumlah yang besar kepada seorang artis Zahida Rafik sejak beberapa tahun lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, segala maklumat yang disebutkan dalam laporan polis yang dibuat oleh Noor Azman, yang dibuat bulan lalu, adalah tidak benar sama sekali.

“Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman bin Azemi yang bertarikh 13 Mac 2012, yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik,” kata beliau yang juga Naib Presiden Umno.

Shafie berkata, tindakan segelintir pihak yang menyebarkan laporan polis tersebut sebagai berniat jahat yang bermotifkan kepentingan politik pihak tertentu.

Dalam kenyataannya, Shafie turut menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berterusan memfitnah dan mengaitkan namanya dengan isu tersebut.

Zahida sebelum ini membuat laporan polis terhadap Noor Azman yang dikatakan telah melarikan sejumlah RM200,000 wang syarikatnya setelah meminta pemandunya itu memasukkan wang tersebut dalam akaun syarikat perniagaan milik keluarganya.

Minggu lalu, Noor Azman pula membuat laporan polis mendakwa bahawa seorang menteri Kabinet menyerahkan wang sejumlah RM1.5 juta kepada Zahida.

Spekulasi itu terus meruncing apabila beberapa pemimpin parti politik pembangkang membuat sidang akhbar menyebarkan dakwaan tersebut dengan mengaitkan nama Shafie sebagai menteri terbabit yang memberikan wang beberapa kali kepada Zahida dalam jumlah yang besar.

Noor Azman, 38, yang bekerja sebagai pemandu peribadi Zahida sejak tiga tahun lalu mendedahkan skandal itu dalam laporan polis terhadap artis itu, yang menuduhnya melarikan wang RM200,00. Tuduhan Zahida terhadap Noor Azman itu dilaporkan sebuah akhbar pada 3 Mac lalu.

Berikut kenyataan penuh Datuk Seri Shafie:
“Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman bin Azemi (No. K/P: 740214146237) No report AMPANG/007017/12 yang bertarikh 13 Mac 2012 yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik,”

“Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam laporan polis berkenaan adalah TIDAK BENAR sama sekali dan kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan salinan laporan polis berkenaan adalah BERNIAT JAHAT dan BERUNSUR POLITIK semata-mata.

“Sehubungan dengan itu, saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan perkara ini.

 Sinar Harian

Wednesday, March 28, 2012

Buka Pintu Bagi Golongan Profesional Cerdik Pandai Sertai Umno - Tun Dr Mahathir

Kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan Umno perlu membuka pintu seluas-luasnya untuk golongan profesional cerdik pandai menyertai parti itu dan seterusnya diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat parti itu kini mempunyai masalah ketandusan pemimpin gara-gara kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan yang menyekat kemasukan mereka ke dalam Umno.

"Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk Umno, sebab itu kebanyakan doktor masuk PAS.

"Ini akhirnya menyukarkan Umno mencari calon sesuai bagi menentukan kemenangan pada pada pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Budaya Global anjuran Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah di Melaka, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Monday, March 19, 2012

Seramai Lebih 12.5 Juta Layak Mengundi Pada PRU 13

Seramai 12,595,268 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 selepas nama mereka diperakui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, jumlah pemilih berdaftar itu adalah daripada Daftar Pemilih Induk Tahun (DPT) 2010 dan empat DPT sepanjang 2011 mengikut Peraturan 22 (1) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

DPT Suku Tahun 4/2011 bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Dis 2011 mengandungi 259,590 permohonan untuk menjadi pemilih yang terdiri daripada 188,654 pendaftaran baru dan 70,936 pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.

"Daftar ini akan diwartakan pada 20 Mac depan. Pewartaan ini melibatkan permohonan pendaftaran baru atau bertukar alamat pusat mengundi bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang tidak terlibat dengan tuntutan atau bantahan," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, semalam.

Bagi pemohon yang nama mereka terlibat dengan bantahan, beliau berkata, SPR menangguhkan pemerakuan permohonan itu sehingga selesai siasatan awam SPR ke atasnya.

Sabri berkata, sepanjang tempoh pameran Rang DPT ST4/2011 dari 8 hingga 14 Februari lepas, SPR menerima 804 bantahan yang melibatkan 17 bahagian pilihan rayaParlimen dan kesemua bantahan itu masih belum diselesaikan.

Kawasan yang terlibat ialah Jerlun dan Bandar Baru Kulim (Kedah), Bachok dan Ketereh (Kelantan), Marang dan Hulu Terengganu (Terengganu), Tanjong Karang,Gombak, Pandan, Hulu Langat, Serdang, Puchong, Subang, Shah Alam, Kapar dan KotaRaja (Selangor) serta Seremban (Negeri Sembilan).

Beliau berkata, pemilih berdaftar dalam tempoh suku tahun berkenaan boleh menyemak maklumat pendaftaran mereka di talian 03-8885 6565 atau di laman web www.spr.gov.my atau melalui sistem pesanan ringkas dengan menaip SPRSEMAKNo Kad Pengenalan dan hantar ke 15888 mulai 20 Mac ini.
Sumber - Bernama