Wednesday, February 1, 2017

Kedudukan Annuar Dalam UMNO Setakat Ini Tidak Berubah - Najib


Tan Sri Annuar Musa masih kekal sebagai Ketua Penerangan UMNO, kata Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO berkata, beliau mahu semua pihak tidak membuat sebarang tanggapan dan tafsiran ke atas Ahli Parlimen Ketereh yang bercuti sebagai Pengerusi MARA.

 "Beri peluang kepadanya (Annuar) untuk bersihkan diri daripada tuduhan terhadapnya. "Beliau sanggup disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan biarlah proses siasatan yang sedang berjalan selesai.... tidak perlu buat tanggapan dan pelbagai andaian, " katanya.

Perdana menteri berkata peluang harus diberikan kepada anggota Parlimen Ketereh, Kelantan itu untuk membersihkan namanya daripada tuduhan berkaitan salah guna kuasa berkaitan penajaan agensi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk pasukan bola sepak Kelantan.

"Beliau sanggup disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi diri beliau peluang untuk bersihkan nama daripada sebarang tuduhan.

"Biarlah proses (siasatan) ini berjalan dan kita tidak boleh buat apa-apa tafsiran dan anggapan sehingga proses ini selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kedudukan Annuar dalam UMNO susulan disiasat SPRM, selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Paloh Hinai di Pekan, hari ini.

Najib yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor turut bertanya khabar kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat itu sejak Isnin lepas. Terdapat 74 mangsa banjir daripada 19 keluarga ditempatkan di situ.

Najib bersama Rosmah menaiki bot melihat keadaan Sekolah Menengah Paloh Hinai.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kedudukan Annuar selaku Ketua Penerangan UMNO selepas penggantungannya sebagai Pengerusi MARA  terserah kepada keputusan presiden parti.

Ini kerana jawatan Annuar itu adalah lantikan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jawatan beliau dalam UMNO dilantik presiden dan penggantungan Tan Sri Annuar adalah dalam agensi kerajaan.

"Tidak berbangkit jawatannya dalam UMNO, tetapi ia terpulang kepada pandangan presiden," katanya.

Mara semalam (31 Januari 2017)  menggantung tugas Anggota Parlimen Ketereh sebagai pengerusi agensi itu dan pengerusi Pelaburan MARA Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta.

Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini berkata penggantungan tugas Annuar sebagai Pengerusi MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) diyakini tidak akan memberi kesan kepada UMNO Kelantan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu berkata  keputusan penggantungan dan siasatan ke atas Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO berhubung isu itu bukan tindakan UMNO dan tidak ada kaitan dengan parti.

Katanya, tindakan itu sebaliknya dilihat selaras kenyataan menteri berkaitan sebelum ini yang berhasrat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap MARA sebagai agensi diamanahkan untuk memperjuangkan kepentingan Bumiputera.

"Yang penting, bukan kita, kerajaan BN yang bertindak tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempunyai peranan besar dalam hal ini dan mereka menjalankan tugas.

"Tak ada kaitan dengan UMNO atau parti tetapi ia (siasatan) berkaitan sebuah institusi yang khusus ditubuhkan oleh untuk meningkatkan integriti dan memastikan segalanya berjalan baik," katanya kepada pemberita.

Berikutan penggantungan itu, kedudukan Annuar sebagai Ketua Penerangan UMNO telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan anggota dan kepimpinan parti itu.

SPRM semalam mengesahkan telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Annuar.

No comments:

Post a Comment