Pelepasan status atau kuota Bumiputera dibenarkan untuk
rumah-rumah mewah dan bukannya dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ)
atau rumah kos rendah.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
menjelaskan, ia terpakai kepada rumah-rumah mewah dan harganya di luar
kategori RMMJ yang telah melepasi tempoh dan syarat tertentu, bagi mengelakkan
lambakan rumah sedemikian yang tidak terjual kepada pembeli Bumiputera.
“Permohonan ini lazimnya dibuat oleh pemaju perumahan
untuk mengelak kerugian yang besar dan menjadi beban kepada komitmen pembiayaan
projek pembangunan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Mohamed Khaled sekali gus menafikan dakwaan pembangkang bahawa penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera di
negeri itu melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik.
Mohamed Khaled menegaskan bahawa dana yang dikumpul
melalui dasar itu menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan negeri untuk
menjayakan lebih banyak projek perumahan untuk Bumiputera.
Jelasnya, sejak 2013, kerajaan negeri telah menetapkan
salah satu syarat yang mesti dipenuhi pemaju dalam permohonan pelepasan status
Bumiputera ialah memberi sumbangan kepada kerajaan negeri, iaitu sebanyak 7.5
peratus iaitu bersamaan dengan 50 peratus daripada 15 peratus diskaun
Bumiputera.
Beliau menambah, terdapat juga permohonan untuk membayar
atau membuat sumbangan pada jumlah lebih rendah daripada peratusan yang
ditetapkan terutama bagi projek-projek lama sebelum 2013.
"Sumbangan atau kutipan hasil bayaran penukaran
status Bumiputera ini kemudiannya dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan
Bumiputera. Sumbangan yang diperolehi sejak 2013 adalah kira-kira RM600 juta.
“Dana ini seterusnya digunakan kerajaan negeri melalui
syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) seperti PIJ Holding dan Kumpulan
Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai sumber dana dan perbelanjaan,” katanya.
Mohamed Khaled menjelaskan bahawa antara dana itu
digunakan untuk mengenal pasti dan membeli tanah-tanah yang bersesuaian untuk
dibina rumah mampu milik di seluruh Johor dan membina lebih banyak rumah kos
rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor seperti yang ditawarkan dalam
skim RMMJ.
Katanya, ia termasuk membina gerai-gerai atau pusat
berniaga mampu milik untuk golongan Bumiputera dan membolehkan kerajaan membeli
tanah-tanah milik Bumiputera yang strategik dan bersesuaian supaya ia kekal
dimiliki Bumiputera serta menjadi sebahagian daripada sumbangan dana pusingan
di bawah skim pembiayaan perumahan rumah mampu milik Johor di bawah AmBank
Islamic.
Sehubungan itu katanya, penjelasan ini sekali gus
menjawab tuduhan tidak berasas wakil DAP bahawa kes yang kini disiasat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan rumah-rumah mampu
milik Bumiputera sehingga mengakibatkan kekurangan yang serius dalam jumlah
rumah mampu milik yang boleh dibeli Bumiputera.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri memandang serius
siasatan dan penangkapan terhadap beberapa individu oleh SPRM berkaitan dengan
penyelewengan dalam urusan hartanah dan perumahan di negeri itu.
“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh kepada
SPRM. Adalah menjadi komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tidak ada campur
tangan dari mana-mana pihak bagi memastikan ketelusan dan kelancaran dalam
siasatan,” katanya.
Sabtu lalu, enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas
seorang pegawai kerajaan negeri, dua pemaju, seorang peguan dan seorang awam
ditahan kerana disyaki terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri
itu, dipercayai terbabit dalam penukaran status rumah-rumah bumiputera kepada
bukan bumiputera.
Selain tangkapan, turut dirampas 21 kereta mewah, lima
motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang
asing dan dokumen. Sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan
jumlah kira-kira RM15.5 juta turut dibekukan.
Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek
melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.
Berikut merupakan kenyataan penuh Menteri Besar Johor, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin berhubung isu penukaran status rumah Bumiputera dan
siasatan SPRM.
Kerajaan Negeri Johor amat mengutamakan tadbir urus dan
tatakelola pentadbiran Kerajaan yang telus, bersih dan beramanah.
Justeru Kerajaan Negeri memandang serius siasatan dan
penangkapan terhadap beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) berkaitan dengan penyelewengan dalam urusan hartanah dan
perumahan di Negeri Johor.
Setelah meneliti dan mengambil kira perkembangan mutakhir,
Kerajaan Negeri Johor ingin membuat beberapa penjelasan dan penegasan.
Pertama: Kerajaan Negeri Johor akan memberi
kerjasama penuh kepada SPRM.
Kerajaan Negeri Johor berpendirian bahawa SPRM harus
diberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjalankan siasatan.
Adalah
menjadi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tidak ada campur tangan dari
mana-mana pihak. Ini bagi memastikan ketelusan dan kelancaran dalam siasatan
yang dijalankan.
Semua jabatan
dan agensi Kerajaan Negeri juga akan dipastikan memberi kerjasama terbaik agar
siasatan yang adil dapat dilakukan.
Kerajaan
Negeri turut ingin memaklumkan bahawa Datuk Haji Abd Latif bin Haji Bandi, Exco
Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab tentang hal ehwal perumahan dan kerajan
tempatan telah memohon untuk bercuti dari perkhidmatannya dalam Kerajaan
sehingga siasatan ini selesai.
Tindakan ini
amat bersesuaian agar proses siasatan dapat berjalan dengan lancar dan bebas
demi mengangkat integriti dan ketelusan yang senantiasa menjadi pegangan kukuh
Kerajaan Negeri.
Kedua:
Pelepasan Status Bumiputera adalah dasar yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri.
Kerajaan
Negeri berasa bertanggungjawab untuk ambil kesempatan bagi menjelaskan
kekeliruan tentang isu yang melibatkan penukaran atau pelepasan status
rumah-rumah Bumiputera kepada status awam atau bukan Bumiputera.
Dasar yang
membenarkan pelepasan ini tidak sama sekali melibatkan rumah kos rendah dan
mampu milik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Secara
asasnya, penukaran dan pelepasan status atau kouta Bumiputera untuk rumah-rumah
mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau Rumah Kos
Rendah adalah dibenarkan dan menjadi amalan Kerajaan Negeri dari dahulu lagi.
Ia terpakai
kepada rumah-rumah mewah dan harganya di luar kategori RMMJ yang telah melepasi
tempoh dan syarat tertentu, bagi mengelakkan lambakan rumah sedemikian yang
tidak terjual kepada pembeli Bumiputera.
Permohonan
ini lazimnya dibuat oleh pemaju perumahan untuk mengelakkan kerugian yang besar
dan menjadi beban kepada komitmen pembiayaan projek pembangunan mereka.
Sejak akhir
tahun 2013, penambahbaikan dilakukan oleh Kerajaan Negeri dengan menetapkan
bahawa salah satu syarat yang mesti dipenuhi oleh pemaju dalam membuat
permohonan pelepasan status Bumiputera tersebut ialah dengan pemaju memberi
sumbangan kepada Kerajaan Negeri.
Jumlah yang
ditetapkan ialah sebanyak 7.5%, iaitu bersamaan dengan 50% daripada 15% diskaun
Bumiputera.
Selain itu,
terdapat juga permohonan untuk membayar atau membuat sumbangan pada jumlah yang
lebih rendah daripada peratusan yang ditetapkan ini terutamanya bagi
projek-projek lama sebelum tahun 2013.
Kesemua
keputusan berhubung kelulusan bagi setiap permohonan sebegini diputuskan oleh
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan
Tempatan.
Sumbangan
atau kutipan yang diperolehi hasil bayaran penukaran dan pelepasan status
Bumiputera ini kemudiaannya dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan Bumiputera.
Sumbangan yang diperolehi sejak 2013 adalah sebanyak kira-kira RM600 juta.
Dana ini
seterusnya digunakan oleh Kerajaan Negeri melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan
Negeri (GLC) seperti PIJ Holding dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ)
sebagai sumber dana dan perbelanjaan untuk, antara lain:
(a)
Mengenalpasti dan membeli tanah-tanah yang bersesuaian untuk dibina rumah mampu
milik di seluruh Johor;
(b) membina
lebih banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor seperti
yang ditawarkan dalam skim Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ);
(c) membina
gerai-gerai atau pusat berniaga mampu milik untuk golongan Bumiputera;
(d)
membolehkan Kerajaan Negeri membeli tanah-tanah milik Bumiputera yang strategik
dan bersesuaian supaya ia kekal dimiliki Bumiputera;
(e) menjadi
sebahagian daripada sumbangan dana pusingan di bawah skim pembiayaan perumahan
rumah mampu milik Johor di bawah AmBank Islamic.
Maka, adalah
ditegaskan, dana yang dikumpul hasil dari dasar ini, telah menjadi sumber
pendapatan kepada Kerajaan Negeri untuk menjayakan lebih banyak lagi projek
perumahan golongan Bumiputera.
Penjelasan
ini sekaligus menjawab tuduhan tidak berasas wakil DAP bahawa kes yang dalam
siasatan SPRM ini melibatkan rumah-rumah mampu milik Bumiputera dan kerana itu,
terdapat kekurangan yang serius dalam jumlah rumah mampu milik yang boleh
dibeli oleh Bumiputera.
Ketiga:
Kerajaan Negeri akan memperkemas prosedur dan tadbir urus
Pada masa
yang sama, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya
untuk memastikan pemantapan prosedur dan tadbir urus Kerajaan Negeri
diperkemaskan.
Kerajaan
Negeri akan membuat pengumuman selanjutnya dalam sedikit masa lagi tentang
langkah-langkah penambahbaikan tadbir urus dan tatakelola pentadbiran Kerajaan
Negeri bagi mengelakkan segala bentuk ketirisan dan penyalahgunaan.
Pihak
Kerajaan Negeri berharap yang siasatan ini akan berjalan dengan lancar dan
dapat dilengkapkan dengan sebaiknya. Adalah menjadi harapan kerajaan Negeri
agar ia membuahkan keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.
No comments:
Post a Comment