KUALA LUMPUR 25 November 2016): Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi berkata, UMNO dan PAS tidak pernah berbincang mengenai kerjasama
politik atau 'tahaluf siyasi'.
Sebaliknya kedua-dua parti itu hanya berbincang tentang
isu-isu yang menyentuh aspek kepentingan ummah.
Dr Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang kini
menjalankan tugas Timbalan Presiden parti berkata, perbincangan itu lebih
tertumpu kepada mencari titik persamaan termasuk dalam soal undang-undang yang
melibatkan umat Islam.
"Tentang soal orang Islam, tentang soal isu-isu yang
tidak terselesai yang harus didukung bersama dan saya fikir ini satu pendekatan
yang baik oleh kepimpinan utama PAS (untuk berbincang)," katanya dalam
temu bual dengan Bernama dalam program Ruang Bicara Khas sempena Perhimpunan
Agung UMNO 2016 yang akan disiarkan malam esok (26 November) menerui saluran
televisyen Bernama News Channel (BNC).
Timbalan perdana menteri berkata, kepimpinan Islam dalam
parti-parti politik serta organisasi lain juga perlu bersama-sama memainkan
peranan dengan mengenepikan perbezaan pendapat atau pegangan politik demi
mencapai titik persamaan.
"Saya fikir kematangan politik dilihat bukan hanya
soal tahaluf siyasi, tetapi tentang soal keikhlasan kita menangani isu
kepentingan sejagat dan kepentingan ummah keseluruhan berbanding kepentingan
peribadi kita atau kepentingan sempit sesebuah organisasi itu," katanya.
Dr Ahmad Zahid berkata, proses konsultasi sering kali
menjadi amalan beliau dengan melibatkan pelbagai pihak, sama ada kawan ataupun
lawan, dalam menentukan kaedah terbaik bagi merungkai setiap permasalahan yang
timbul.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini
menegaskan parti itu mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa
sahaja atau mana-mana parti politik termasuk UMNO.
Abdul Hadi berkata kerjasama dengan UMNO adalah lebih
tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar Islam demi kepentingan umat Islam
di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik.
Sementara itu, Dr Ahmad Zahid mengakui cabaran getir yang
dihadapi UMNO parti tunjang Barisan Nasional (BN), berikutan pelbagai serangan
daripada pembangkang termasuk daripada bekas pemimpin utama UMNO.
Katanya, gelombang politik yang melanda UMNO ketika ini
menuntut anggota bersama-sama barisan kepimpinan mempertahankan organisasi itu
demi memastikan UMNO terus utuh dan dapat mengekalkan kemenangan pada pilihan
raya umum akan datang.
Dalam nada berterus terang menyingkap keadaan politik
semasa negara, Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa solidariti dan
kebersamaan anggota UMNO untuk bertindak seiring dengan kepimpinan parti,
sekali gus mempertahankan institusi politik negara yang bertanggungjawab bukan
sahaja untuk orang Melayu tetapi seluruh kaum di Malaysia.
Mengimbas pengalaman pahit dan permasalahan yang pernah
dihadapi UMNO apabila kepimpinan UMNO tidak lagi bersama parti seperti
pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pada
suatu ketika Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam sehingga menimbulkan
polemik, Ahmad Zahid berkata UMNO berjaya melayari dan menempuhi gelombang itu
dan tidak tenggelam.
"Ia bergantung kepada bagaimana kepimpinan parti,
bukan hanya Presiden dan Timbalan Presiden mendepani permasalahan itu tetapi
yang penting adalah rasa kekitaan dan kebersamaan untuk menjawab, menyelesai dan
mengatasi permasalahan yang dibangkitkan dengan cara penuh kebijaksanaan dan
ketatasusilaan kita sebagai orang Islam dan Melayu," katanya.
Ahmad Zahid berkata serangan bertubi-tubi yang
mengandungi fitnah dan tohmahan terhadap pemimpin UMNO serta keseluruhan
organisasi parti terbesar Melayu ini semakin hebat menjelang pilihan raya umum
ke-14, yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
"Kita harus memperkukuhkan pasukan dan angkatan kita
bukan hanya mempertahankan tetapi melakukan sesuatu tindakan yang lebih
bersikap positif untuk menentukan kita di pihak yang benar," katanya.
Oleh itu, adalah menjadi tugas setiap ahli UMNO untuk
membalas setiap serangan termasuk perang saraf yang dilakukan terutama menerusi
dunia maya serta menangani setiap isu yang dibangkitkan dengan segera dan
cekap.
No comments:
Post a Comment