Wednesday, October 12, 2016

Apabila Pemimpin UMNO Sokong Kasino, Menentang BN Di Pulau Pinang...

 

Pulau Pinang akan dijadikan seperti Macau, pusat pelancongan yang bertunjangkan kasino?

Memalu dan menyedihkan apabila yang terbabit dengan usaha itu adalah pemimpin UMNO yang mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak.

Apa sudah jadi dengan pemimpin UMNO sekarang? Kerana sesuatu kepentingan atau sudah tidak tahu apa yang wajar diperjuangkan.

Mengejutkan apabila orang luar Pulau Pinang sedang melakukan sesuatu kononnya 'demi kepentingan rakyat Pulau Pinang'.

Sebelum ini orang yang dikaitkan dengan isu kasino dan parti baharu di Pulau Pinang - Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin - pernah menimbulkan kontroversi apabila sebagai Pengerusi RISDA beliau mencadangkan supaya tanaman ketum di komersilkan..

Tepat sekali jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan pertanyaan apakah UMNO menyokong  dasar diperjuangkan parti baharu, Penang Front Party (PFP) yang mahu menjadikan Pulau Pinang seperti Macau?

Penubuhan PFP bertujuan mendapatkan sokongan orang Cina di negeri itu bagi menentang DAP dan menggantikan pemerintahan sekarang.


Berkaitan ini Guan Eang bertanya: “Adakah ini dasar baharu UMNO yang menyokong mereka (PFP) untuk membuka kasino di negeri ini?

"Kalau nak tumbangkan kerajaan negeri itu terpulang kepada mereka namun tapi adakah UMNO bersetuju untuk PFP membuka kasino di negeri ini?

Zahidi dan UMNO perlu jawab persoalan ini," katanya pada sidang media semalam.

Pengerusi Penaja PFP, Lee Poh Kong berjuang untuk membawa suara rakyat bagi menentang DAP yang dilihat gagal menerajui kerajaan negeri dengan baik.

Selain itu Poh Kong berkata, pihaknya juga akan memohon lesen daripada kerajaan persekutuan untuk mewujudkan kasino di negeri ini dalam meningkatkan lagi industri pelancongan di mata dunia.

"Sekiranya kita menang, kita akan mohon kepada kerajaan persekutan untuk  menimbangkan cadangan kita ini bagi menggalakkan lagi industri pelancongan dan menjadikan Pulau Pinang sama seperti Macau,"katanya.

Guan Eng menegaskan  kerajaan negeri tidak sama sekali bersetuju untuk membuka kasino di negeri itu.

Reezal..pastikan tidak ada satu pun kasino.
Malang sekali apabila PFP yang disokong oleh Ahli Parlimen UMNO itu dikatakan mahu memohon lesen daripada kerajaan persekutuan mewujudkan kasino di negeri ini.

Soal diluluskan atau tidak itu soal lain tetapi apakah wajar seorang pemimpin penting UMNO menyokong diwujudkan kasino?

Menyokong PFP bermakna menyokong parti itu mewujudkan kasino dan menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.

Membantah cadangan itu,  UMNO Kepala Batas dalam satu kenyataan berkata, UMNO Bahagian itu menolak sekeras-kerasnya untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang.

Ketua UMNO Bahagaian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata selagi beliau menjadi Ketua UMNO Kepala Batas dan Ahli Parlimen Kepala Batas, akan dipastikan tiada sebuah pun kasino akan wujud di atas bumi Pulau Pinang.

"Cadangan Penang Front Party untuk mewujudkan sebuah kasino di Pulau Pinang sekiranya mereka menang dalam Pilihanraya Umum 14 adalah cadangan yang dangkal dan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan," katanya.

Mengulas mengenai pembabitan Zahidi sebagai penasihat PFP, katanya penglibatan Zahi di atas kapasiti peribadinya sendiri dan tidak mewakili parti UMNO.

Zainal (kiri), Zahidi (kanan)
Sementara  UMNO Pulau Pinang pula menyatakan kesalnya  dengan penglibatan Zahidi dalam parti baharu itu.

Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, penglibatan Zahidi sama sekali tidak mewakili UMNO malah beliau dilantik sebagai Penasihat PFP atas kapasiti peribadi beliau sendiri.

Walaupun dalam kapasiti peribadi, apakah Zahidi tidak sedar atau peka dengan penggalakkan judi dan  sensitiviti umat Islam dan rakyat Pulau Pinang dengan aktiviti judi?

Juga cadangan PFP untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang akan menyebabkan  UMNO terpalit, selain perbuatannya bergabung dengan PFP akan meresah dan menimbulkan persoalan di kalangan pemimpin dan penyokong Gerakan di MCA di negeri itu?

Zainal Abidin menegaskan UMNO Pulau Pinang turut kesal dan kecewa dengan tindakan Zahidi yang membenarkan dirinya dipergunakan oleh PFP yang mampu menggugat kerjasama dan persefahaman antara parti-parti komponen BN yang sekian lama terjalin di Pulau Pinang.

Penubuhan parti PFP  dan pelantikan Zahidi sebagai penasihat PFP tidak pernah dirujuk kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO ataupun UMNO Pulau Pinang malah tiada sebarang  persetujuan diberikan UMNO kepada beliau untuk dilantik ke jawatan itu.

Jelas Zahidi sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen UMNO/BN dan yang mendapat perhatian Perdana Menteri tifak beretika.

Soal mesra BN atau tidak, PFP yang dikatakan berhasrat untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan berdepan dengan parti BN sendiri dan ini cara yang tidak betul.

Mana mungkin parti mesra BN boleh  meletakkan calon bertanding menentang calon BN kerana ia bertentangan dengan prinsip dan semangat setiakawan yang didokong kukuh oleh parti-parti dalam BN.

Juga mana mungkin parti mesra BN, khususnya UMNO menyokong diwujudkan kasibno kerana judi adalah haram di sisi Islam, malah kepimpinan bukan Islam di Pulau Pinang turut menolak kasino.


Apa kena dengan Zahidi dan apa tindakan UMNO dan BN terhadap beliau selepas ini?

No comments:

Post a Comment