Monday, September 19, 2016

Tukar 4 MB – Khabar Angin Yang Meresahkan Penyokong UMNO/BN...



"Mengejutkan lagi apabila ada khabar angin semakin kencang mengatakan Perdana Menteri akan memulakan tindakan menukar Menteri Besar di empat negeri mulai esok (Rabu 21 September 2016)."

Putrajaya wajar menafikan segera khabar angin yang mengatakan empat Menteri Besar akan ditukar sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Keadaan ini meresahkan banyak pihak dan menimbulkan perdebatan yang tidak diundang dan menimbulkan ‘kekecohan’ dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri.

Bagi penyokong menteri besar yang terbabit, keadaan itu boleh menyebabkan wujudnya keadaan tidak selesa dan bermasam muka.

Bagi penyokong yang ketua mereka dijangka dilantik menjadi Menteri Besar akan memasang pelbagai angan-angan yang kadangkala boleh merosakkan perhubungan dalam parti.

Mengejutkan lagi apabila ada khabar angin semakin kencang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memulakan tindakan menukar Menteri Besar di empat negeri mulai esok (Rabu 21 September 2016).

Pertukaran pertama adalah Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob dan penggantinya dikatakan akan mengangkat sumpah pada hari yang sama.

Tiga lagi Menteri Besar akan turut digantikan selepas ini untuk membolehkan Najib memperkukuhkan BN yang dilihat semakin lemah di empat negeri berkenaan.

Menurut seoran kolumnis The Star yang memetik sumber berkata, perubahan yang akan dilakukan termasuk menukar menteri besar di empat negeri- Pahang, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan.

"Perdana Menteri perlu pemimpin baru untuk menerajui jentera di negeri tersebut," kata sumber itu yang dipetik kolumnis berkenaan, sebagai berkata.


Pertukaran itu, selain Menteri Besar Terengganu juga dikatakan berasaskan kedudukan kesihatan menteri besar berkenaan yang disifatkan ‘kurang sihat’.


Adnan baru-baru ini menunjukkan beliau berada dalam kesihatan yang baik apabila Sidang DUN Pahang dikejutkan dengan aksi beliau menanggalkan kasut dan mengangkat kaki ke mukanya.

Adnan kemudian meletakkan pen di celah jari kaki ketika kakinya diangkat dan bertanya sama ada anggota di dalam dewan boleh melakukan perkara yang sama.

Menteri besar Pahang itu membuat aksi pelik itu bagi menunjukkan dia berada dalam kesihatan yang baik.

Pada 10 September beliau meminta supaya hasratnya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak diperbesar-besarkan.

Adnan berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana semuanya bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti dan persetujuan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Dan yang paling penting adalah Tuhan, yang akan menentukan segala-galanya," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kuala Krau.  Adnan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai sejak 1986.

Adnan dilaporkan menyatakan hasratnya untuk bersara sebagai Menteri Besar pada perasmian mesyuarat Umno Bahagian Ketereh, pada 9 September.


Sementara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula menolak dakwaan beliau tidak sihat apabila mengatakan tahap kesihatannya baik dan tidak pengsan.

Pada Ahad lalu (18 September 2016), Ahmad Bashah meminta pihak-pihak tertentu berhenti menyebarkan maklumat tidak benar mengenai tahap kesihatannya di laman sosial.

Beliau mengakui memang ada ke hospital bagi menjalani pemeriksaan susulan selepas menjalani pembedahan kecil di Hospital Pulau Pinang pada 6 Jun lalu akibat komplikasi usus, namun keadaan kesihatannya semakin baik.

"Tahap kesihatan saya baik dan apa yang diviralkan di laman sosial tidak benar kerana selepas menjalani pembedahan, mana ada saya pengsan seperti yang diuar-uarkan.

"Saya boleh terima maklumat tidak benar mengenai diri saya ini tetapi ia mungkin tidak boleh diterima oleh keluarga saya," katanya.

Bernama melaporkan pada 7 September lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, dibenarkan pulang.

Dalam satu kenyataan, Mohamad berkata ini berikutan pakar kardiologi IJN Datuk Dr Amin Arif berpuas hati terhadap tahap kesihatannya.

Mohamad dimasukkan ke IJN selepas mengadu kurang sihat ketika merasmikan Persidangan Umno Bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah Paroi. Beliau dilapor mengalami pening dan bukan sakit teruk seperti yang disebarkan melalui media sosial.


Beliau berkata rasa pening itu mungkin disebabkan pengambilan ubat sakit perut yang terlalu kuat selain kekurangan rehat dan tidur.

Persoalannya, apakah Najib akan melakukan pertukaran secara tergesa-gesa tanpa memaklumkan kepada pihak terbabit mengenai pertukaran dan perlantikan menteri besar baharu?

Perdana Menteri pasti akan memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak terbabit jika benar aka nada pertukaran. Namun sejauh ini tidak ada sebarang berita.

Sejauh ini tidak diketahui sama ada khabar angin yang bertiup kencang akibat laporan The Star yang dipetik Malaysiakini itu cuba ditepis oleh Pejabat Perdana Menteri atau juga Ibu Pejabat UMNO.

Realitinya tindakan menyebarkan khabar angina, sama ada oleh pihak media serta pihak-pihak tertentu memberi kesan kepada UMNO dan BN.


Jika tiada penafian sudah pasti orang ramai akan menganggap ia sesuatu yang benar dan semakin lama dilakukan tindakan, semakin banyak kesan tidak baik akan mengganggu parti sama ada di peringkat negeri, bahagian atau juga cawangan.

No comments:

Post a Comment