Friday, September 9, 2016

Ancaman Daesh Benar, Orang Ramai Perlu Sentiasa Berwaspada


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada semasa berada di tempat terbuka seperti pusat hiburan, rumah ibadat bukan beragama Islam dan tempat yang menarik kunjungan ramai.

Bagaimanapun kerajaan menerusi pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga bagi memastikan kawalan keselamatan negara terjamin.

Menteri Dalam Negeri itu menegaskan bahawa ancaman kumpulan militan Daesh di Malaysia bukanlah suatu manipulasi, publisiti atau sengaja diada-adakan.

"Saya ingin memberitahu rakyat bahawa ancaman Daesh ini memang benar," katanya di Bagan Datoh.


Kelmarin (7 September 2016), Bahagian Antikeganasan Bukit Aman dilapor menahan beberapa individu di Malaysia yang dipercayai menjadi anasir kumpulan pengganas bersenjata Tentera Islam (IS).

 Mereka dilatih sebagai pengebom berani mati.

Penolong pengarah bahagian itu Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis sedang menangani isu itu berdasar risikan terbaru, lapor The New Straits Times.

Mereka, katanya, terdiri daripada lapan rakyat Malaysia yang pulang daripada Syria untuk melancarkan serangan bagi pihak kumpulan itu.

Mereka cuba memasuki negara ini melalui pelbagai cara, cara biasa atau menggunakan laluan haram, tetapi berjaya diberkas polis yang memantau pergerakan itu.


Dua daripadanya, merancang menyerang Putrajaya manakala selebihnya mahu menyerang tempat pertemuan Freemason di Bukit Jalil dengan bahan letupan.

Seorang remaja 18 tahun antara ditahan. Dia dikatakan mempunyai beratus-ratus jam pengalaman berlawan dengan rejim Syria.

Susulan tindakan keras Syria terhadap kumpulan pengganas, Ayob menjangkakan lebih ramai anggota IS akan pulang ke negara masing-masing, termasuk Malaysia.


Pada 8 Mac lalu, Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Dewan Rakyat, terdapat cubaan untuk menculik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu oleh kumpulan militan Daesh.

Kumpulan pengganas tersebut turut menjadikan beberapa orang pemimpin tertinggi negara sebagai sasaran mereka untuk diculik.

Menurutnya, pada 30 Januari 2015 seramai 13 orang dengan elemen Daesh telah merancang untuk menculik pemimpin termasuk perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan," katanya.

Pada sidang yang sama, Dr Ahmad Zahid berkata bahawa terdapat beberapa cubaan serangan yang dilancarkan termasuk cubaan untuk mengebom Putrajaya dan sebuah bangunan di Bukit Jalil pada April 2015.


Malah, 11 militan juga didakwa cuba untuk memusnahkan pusat hiburan, pusat maksiat dan perjudian di Kuala Lumpur pada April tahun lalu.

Cara pelaksanaan yang dilakukan oleh kumpulan pengganas itu termasuk cuba untuk mencuri senjata api dari kem tentera, merompak wang dan membuat bahan letupan.

Menurut Dr Ahmad Zahid semalam, Polis DiRaja Malaysia melalui Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas itu sentiasa melakukan pemantauan pelbagai kaedah termasuk melalui media sosial bagi membendung pengaruh ancaman Daesh di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan 130 ekor lembu korban sempena Aidiladha untuk diagihkan kepada masjid, surau serta agensi kerajaan dalam Bagan Datoh, semalam.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai tindakan ketua militan Malaysia yang berpangkalan di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, yang lantang mengulangi ancaman untuk terus menimbulkan kekacauan di negara ini.

"Kita tahu ada dalam kalangan pengikut (Daesh) di Malaysia mahu mengambil tindakan sebagaimana yang diarahkan bagi menunjukkan tentang Katibah Nusantara, yang kononnya sebuah kerajaan Islam di nusantara meliputi Malaysia, Indonesia, Selatan Thai, Selatan Filipina dan mungkin juga Singapura dan Brunei.

"Atas kebersamaan pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera di seluruh negara ASEAN, kita sentiasa berkongsi maklumat tentang apa yang Wanndy lakukan...kita tahu arahan yang dikeluarkan Wanndy adalah arahan untuk memperlihat barisan kepimpinan atasan Daesh di Syria dan Iraq," katanya.



Menurutnya tindakan seperti pengeboman terbuka adalah bagi menentukan Wanndy berada di tahap pemimpin Daesh, yang menyumbangkan keganasan dan ancaman serta perlakuan di nusantara ini.

Ahmad Zahid juga berkata rakyat negara ini yang menyertai kumpulan militan tidak mempunyai latar belakang agama atau pendidikan yang kukuh.

"Mereka ni orang yang kecewa terhadap sesuatu yang mereka sahaja ketahui. Jadi, kekecewaan itu diterjemahkan dengan memperlihat eskapisme," katanya

No comments:

Post a Comment