Oleh DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
.
Tanggapan orang ramai yang
selalu tersilap ialah menganggap PAS hanyalah sebuah parti politik.
PAS sebenarnya lebih dari
itu. Pada asasnya PAS ialah gerakan dakwah dan tarbiyah ummah yang bertujuan
mengajak kembali kepada ketauhidan dan menjauhi syirik.
Selain itu, PAS juga
mengajak ummah untuk menentang perhambaan kepada harta, pangkat kebesaran dan
menentang perhambaan kepada manusia dan sistem ciptaan manusia.
Politik membentuk
sebahagian dari asas perjuangan PAS.
Penyertaan PAS dalam
pilihan raya tidak sama matlamatnya dengan parti politik lain.
Dalam apa juga keadaan,
PAS berusaha menzahirkan Islam di dalam semua aspek kehidupan, termasuklah
politik.
PAS terus bekerja
menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh sendi masyarakat. Dakwah bukan hanya
mengajak kepada Islam sebagai akidah tetapi seluruh sendinya.
Tidak
terikat dengan pilihan raya
Jika kita menggunakan
kebersihan awam dan tandas awam di Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama
Islam sebagai piawai, begitulah jauhnya lagi amalan Islam dipraktikkan di
Malaysia.
Ini menjadikan persoalan
seperti kebajikan, kebersihan, keselamatan pekerja, pembelaan golongan
tertindas, tadbir urus kerajaan, sistem kenegaraan sebagai medan dakwah yang
sangat luas.
Bukankah semua ini
adalah manhaj Islam sebagai penyelamat ummah?
Pembinaan tarbiyah ummah
bermula seawal kelahiran. Semua medan besar dakwah ini tidak terikat dengan
pilihan raya.
Kerana itu, ahli dan
pimpinan PAS yang memahami perjuangan besar PAS sebagai satu gerakan dakwah
tidak akan terbelenggu dengan dogma bahawa "kalau tewas maka habislah
perjuangan".
Selain dakwah, PAS juga
berusaha untuk memperbaiki diri.
PAS juga berusaha untuk
menentang kemungkaran, menukar parti yang korup, rasuah dan pelbagai kelemahan
yang ada, dengan Islam sebagai pemandu.
PAS bekerja keras bagi
mencapai kemenangan setiap kerusi yang dipertandingkan. Kerana itu, PAS
berdaftar sebagai sebuah parti politik. Bukan macam jemaah dakwah lain.
Ia kerana mendapatkan
kekuasaan adalah sebahagian dari kesempurnaan penghayatan Islam. Kuasa ialah
alat bukannya matlamat akhir perjuangan PAS.
Inilah yang membezakan
kita dengan parti politik lain.
Golongan
yang kecewa
Mereka yang hanya berfikir
mengenai kerusi pilihan raya akan meroyan apabila hanya memikirkan soal menang
kalah perjuangan berdasarkan pilihan raya sahaja.
Aspek kemenangan pilihan
raya hanyalah sebahagian daripada wasilah perjuangan PAS yang luas.
Penetapan tiga tunggak
utama perjuangan - dakwah, tarbiyah dan siasah - membuktikan jauhnya pandangan
politik PAS.
Di saat memburu kemenangan
pilihan raya, PAS wajib memperkasakan kesemua dimensi perjuangannya iaitu
dakwah dan tarbiyah.
Ketiga-tiga tunggak ini
mestilah seimbang bagi memastikan perubahan secara seimbang dan bersepadu.
Fokus yang besar kepada
gerak kerja politik sahaja, dengan mengabaikan tarbiyah akan hanya melahirkan
golongan yang kecewa dan putus asa apabila tewas dalam pilihan raya hatta
pemilihan parti di muktamar.
Ia akan mula menyalahkan
pelbagai pihak atas kekalahannya, lantas ia menjadi golongan yang mudah futur dalam
perjuangan. Di saat inilah syaitan akan menghasutnya dan menjauhkan ia daripada
perjuangan dan jihad.
Sebuah
kerajaan menanti
Andainya ukuran kejayaan
hanya kepada kalah atau menang pilihan raya sahaja, maka sangat murahlah
perjuangan ini. Hampir tiada beza dengan parti lain yang dasarnya tidak
berpijak kepada akidah dan syariat Allah.
Apabila lujnah dakwah
dipisahkan daripada lujnah penerangan PAS, maka ia telah menghantar isyarat
jelas perlunya diperkasakan peranan dakwah dalam parti.
Lujnah kanan dalam parti
ini mempunyai fungsinya tersendiri. Ia berkait rapat dengan hala tuju parti dan
pemerkasaan organisasi parti.
Lujnah ini menjadi pilihan
kepada ahli yang berminat dalam medan dakwah melebihi medan politik
pilihanraya. Ia mesti menyediakan ruang dan peluang yang terbuka kepada
petugasnya.
Medan dakwah yang sangat
luas ini memerlukan kesungguhan kerja dan mujahadah yang sangat tinggi.
Medan ini memerlukan dana
yang besar bagi menggerakkan aktiviti sama ada di kalangan umat Islam atau
mereka yang belum menerima Islam sebagai akidah mereka.
Kita mesti bekerja sebagai
sebuah kerajaan menanti yang tersusun teguh samada fizikal jemaah (organisasi)
atau ruhiyyah jamaah yang dibuktikan melalui kepatuhan,
ketaatan, dan keikhlasan dalam perjuangan.
Bahtera besar ini mesti
terus belayar. Di saat gelombang besar, mungkin perjalanannya perlahan dan
lebih berhati-hati, manakala di saat lautan tenang ia boleh meluncur laju ke
destinasi.
Nakhoda kapal akan
memastikan laluan kapal akan belayar dengan betul walau sesekali membelok ke
kiri atau kanan bagi mengelak batu karang atau gelombang besar. Ia tahu apa
yang perlu dilakukan.
Anak-anak kapal tidak
perlu mengambil alih tugas nakhoda. Kerana nakhoda jemaah ini mempunyai pasukan
bagi membincang, merangka dan membuat keputusan bagi membantu tepatnya
keputusan dan benarnya tindakan.
Tarbiyah adalah tunggak
utama dalam parti. Ia bukan hanya berlegar di sekitar kepimpinan melalui medan
sedia ada, seperti usrah, tamrin, rehlah, muqayyam dan liqa
fikri.
Cara
lapuk, ketinggalan
Tarbiyah meliputi
pendidikan politik Islam kepada rakyat. Mendidik agar berfikir secara Islam
agar boleh bertindak secara Islam.
Apabila PAS memperkenalkan
BPMS (Budaya Politik Matang dan Sejahtera), ia bukan sekadar anjakan pendekatan
politik, tetapi ia adalah perubahan cara berfikir di kalangan masyarakat.
Ia dijadikan dorongan
untuk mendidik rakyat agar berfikir secara Islam, berdasarkan wahyu Ilahi.
Penilaiannya bukan hanya hitam dan putih. Tetapi yang hak sebagai hak, yang
batil sebagai batil.
Anjakan ini bersifat
mendidik rakyat agar berani menyokong kebenaran seandainya ia sesuatu yang
benar, walaupun ia dilakukan oleh pihak yang tidak disukai mereka.
Gambaran bahawa
pembangkang perlu membangkang kerajaan secara totok, dan kerajaan perlu mempertikaikan
segala cadangan pembangkang adalah cara lapuk dan ketinggalan.
BPMS membuat anjakan besar
bahawa kita perlu menyokong apa jua tindakan yang betul dan tepat walaupun ia
daripada pihak yang tidak disukai seperti kerajaan memerintah, selagi tidak bercanggah
dengan syarak.
Namun kita perlu bangkit
menentang sesuatu yang bercanggah dengan syarak, walau dilakukan oleh pihak
yang disukai, seperti parti sendiri.
Penentangan terhadap
kemungkaran tidak semestinya dalam bentuk menyerang peribadi atau memaki hamun
dan mencerca. Lagi tidak munasabah jika kemungkaran dijawab menggunakan fitnah
atau fitnah diguna untuk menjawab satu fitnah yang lain.
Ia boleh dilakukan dengan
menegur, menasihati, memberi cadangan, menyerah memo, demonstrasi, atau
menggerakkan rakyat agar mengundi dengan betul di dalam pilihan raya.
Pendekatan yang lebih
matang ini insya-Allah menjadikan perubahan yang dicari tidak mendatangkan
kemudharatan yang lebih besar kepada rakyat dan negara. Tragedi perubahan yang
malang yang telah banyak berlaku di pelbagai negara perlu dijadikan panduan.
Betapa banyak rakyat yang
lebih menderita selepas perubahan yang dicari. Mereka ditekan dengan kezaliman
pemimpin, rasuah dan salah guna kuasa, penyelewengan harta negara sehingga
sangat membebankan rakyat lalu mereka bangkit.
Sayangnya selepas berjaya
dilakukan pertukaran kerajaan yang zalim dan menindas itu, mereka baru sedar
penggantinya sebenarnya jauh lebih teruk menjadikan mereka lebih menderita dari
sebelumnya. Inilah yang berlaku di Iraq, Libya dan Mesir.
Ini semua memberi petunjuk
bahawa mengurus perubahan lebih penting dari perubahan itu.
Maaf
jadi murah
Anjakan pendekatan BPMS,
malangnya telah menyebabkan PAS dilihat mesra Umno/BN. Lalu pelbagai serangan
dihalakan kepada parti dan kepimpinannya untuk terus menanam persepsi tersebut.
Pimpinan PAS menyedari dan
sudah menjangkakan hal ini, kerana rata-rata pembangkang masih berfikiran lama,
dan hanya selesa dengan politik warisan penjajah yang berpaksi kepada politik
sekular yang tidak ada kawalan akhlak dan adab Islam.
Ceramah yang tradisinya
mesti ada maki hamun, cerca dedah keaiban peribadi, dan sengaja mewujudkan
persepsi negatif walaupun berdasarkan fakta yang tidak betul sekali pun.
Permohonan maaf atau
menarik balik tuduhan menjadi perkara murah yang boleh dijual beli dalam politik.
Satu-satu fitnah hari ini
sanggup dipertahankan sehingga ia dibicarakan di mahkamah bertahun kemudian
sebelum meminta maaf. Bagi golongan ini, yang penting ialah membina persepsi
semasa bagi meraih sokongan pada waktu itu sahaja.
Beginilah budaya politik
negara bertahun lamanya yang semakin menjadi-jadi saban hari kerana adanya
media sosial sehingga memualkan. Tidak hairan apabila munculnya gambaran bahawa
politik itu kotor. Politik yang tiada kena-mengena dengan agama. Politik suku
agama suku dan sebagainya.
Negara dikatakan sedang
menuju kepada negara maju. Kemajuan bukan hanya dalam aspek pembangunan, ia
juga mesti meliputi politik kepartian.
Kalau di negara maju
menjadi kebiasaan perdana menteri boleh menjemput ketua pembangkang hadir
mendengar taklimat sesuatu projek besar negara. Peruntukan yang sama akan diberi
kepada parti kerajaan atau pembangkang yang memenangi pilihan raya.
Pembangkang juga akan
dilantik dalam sesuatu jawatankuasa bagi memantau perjalanan kerajaan.
Tanpa budaya BPMS, ini
mustahil diamalkan di negara ini. Jika ada ahli parlimen setempat daripada
pembangkang yang hadir dalam program kerajaan seperi majlis bantuan kepada
nelayan di bawah parlimennya, mereka terus dicop kononnya hendak bersama
kerajaan. Ini yang terjadi pada PAS.
Apabila pimpinan PAS
menghadiri majlis menentang kezaliman umat Islam Rohingya, pelancaran kapal
flotilla maka terus diserang sebagai ' PAS dan Umno sekapal'. Beginilah cara
berpolitik hari ini sehingga melahirkan kenaifan fikiran sebahagian masyarakat
kita.
Namun begitu, PAS akan
terus membudayakan BPMS.
PAS berbangga bahawa kita
telah berjaya membuat anjakan cara berfikir dan berpolitik di negara ini.
Apa-apa yang baru yang
melanggar amalan hari ini akan pasti mendatangkan pelbagai reaksi. Insya-Allah,
kita pasti akan berjaya dengan izin Allah.
PAS percaya bahawa budaya
BPMS ini sangat diperlukan sebelum negara boleh bergerak ke depan, dan supaya
perubahan yang dicari tidak akan bersifat separa dan tergantung.
Faham
situasi berlaku
Hampir semua rakyat
bersetuju, negara memerlukan pemandu baru.
Pemandu yang lama ini
sengaja mengekalkan rakyat dalam keadaan sakit, pada masa yang sama berlakon
menjadi doktor tunggal yang dapat memberikan panadol menyebabkan rakyat
terpaksa bergantung padanya. Itulah kaitan sebenar antara GST dan BR1M.
Kita mengakui bahawa kepimpinan
negara yang diterajui oleh Umno-BN adalah punca kepada masalah negara. Namun,
perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami
situasi yang berlaku dalam negara kini.
Rakyat memerlukan pemandu
baru yang bukan sahaja tahu jalan yang ingin dilalui, tetapi turut memahami
jalan mana yang selamat bagi rakyatnya di dunia dan akhirat.
Pemandu ini tidak hanya
sibuk membina dunia, tapi juga sibuk membina akhirat bagi negara dan rakyatnya.
Oleh itu, pemandu yang
baru mesti juga bertindak mengikut panduan al-Quran dan hadis.
PAS telah mengutarakan
kerajaan teknorat sebagai penyelesaian.
Kerajaan teknokrat adalah
satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan
negara menerajui hala tuju baru dan pentadbiran negara, manakala parti dan ahli
politik menjadi wadah perubahan tersebut.
Maksud kerajaan teknorat
ialah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara
hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir
negara bermula daripada perdana menteri hingga ke peringkat terbawah.
Sebelum ini, pemimpin
parti politik yang biasa menjawat jawatan perdana menteri dan menteri. Tetapi
idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan
akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya.
Kuasa politik yang
didapati melalui pilihan raya hanyalah sekadar kuasa untuk melantik siapa yang
sesuai di kalangan professional untuk mentadbir negara.
Berdasarkan sejarah
politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa bukan semua teknokrat tahu
berpolitik dan bukan semua ahli politik itu berminda teknokratik.
Seperti BPMS, PAS akan
berusaha melanjutkan idea kerajaan teknorat ini sebagai satu model pentadbiran
untuk negara. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment