BERSATU tiada kemampuan
mengamalkan politik naungan kerana ia bukan berada dalam kerajaan, kata
timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tetapi kalau ia boleh
melakukannya sekali pun, sistem naungan itu adalah sesuatu yang akan diubah
bagi memastikan wujud peluang yang sama rata untuk semua orang, jelas bekas
menteri besar Kedah itu.
Atas sebab itu, BERSATU
tidak boleh menjadi UMNO 2.0, katanya kepada dalam satu wawancara dengan The
Malaysian Insight.
Beliau menjawab soalan
bagaimana parti baharu yang diketuai ayahnya yang juga bekas perdana menteri Dr
Mahathir Mohamad, berbeza berbanding UMNO.
Dr Mahathir menjadi
presiden UMNO selama 22 tahun beliau memimpin kerajaan Malaysia. Mukhriz pula pernah jadi anggota Majlis
Tertinggi UMNO semasa memegang jawatan
menteri besar Kedah.
Selepas lantang
mengkritik Perdana Menteri Najib Razak, si ayah mengumumkan keluar UMNO pada
akhir Februari tahun lalu. Empat bulan kemudian, si anak pula dipecat UMNO
bersama bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin kerana sepentas dengan
pembangkang menentang kerajaan.
Mereka kemudian
menubuhkan BERSATU yang kini membentuk gabungan bersama PKR, DAP dan Amanah,
dengan nama Pakatan Harapan (PH).
Walaupun parti baharu, BERSATU
berjaya menarik pengikut yang besar terutamanya di Kedah, Johor dan Melaka. Dr
Mahathir dan Mukhriz dari Kedah; Muhyiddin asal Johor.
Tetapi ada kebimbangan di
kalangan pengkritik yang parti baharu itu terpalit beban sejarah dipikul bekas
tokoh UMNO itu, di mana BERSATU akan menjadi tidak ubah seperti UMNO yang kuat
dan berkuasa kerana naungan politik.
“Kita tiada kemampuan
untuk jadi semacam itu. Sistem naungan dalam UMNO bermakna pemimpin akan selalu
mengambil berat anak buahnya dalam semua perkara, baik mereka memerlukan wang
atau bantuan untuk anak masuk universiti dan hal seperti itu. Kita tidak ada
itu,” kata Mukhriz dalam wawancara di pejabat BERSATU di Alor Star pada Jumaat.
Pada pertemuan itu,
Mukhriz juga bercakap tentang pilihan raya umum akan datang dan bersikap
diplomatik apabila ditanya di mana BERSATU mahu mendirikan kubu kuatnya.
“Kita berminat dengan
Kedah. Tetapi kita perlukan persetujuan daripada tiga parti lain,” katanya.
Berikut petikan wawancara
tersebut.
TMI: Apa peranan
anda dalam BERSATU?
Mukhriz: Kebanyakannya "groundwork" dan
kerja di belakang tabir. Saya pengarah pilihan raya BERSATU. Kami cuba untuk
menubuhkan jentera pilihan raya di semua negeri dan bahagian. Datang daripada UMNO,
(saya tahu) mereka ada jentera yang terbaik. Wanita UMNO tulang belakang
mereka, terutamanya apabila sampai pilihan raya. PAS kurang sedikit berbanding UMNO.
Dan kita lihat pencapaian
pembangkang. Mereka berjaya biarpun bukanlah mudah. (Mereka dapat) 52% undi
popular (dalam PRU13) tetapi itu masih tidak mencukupi untuk menang.
Jadi kita fikir formula
untuk menang ialah dengan jentera yang lebih kukuh. Saya diberikan mandat untuk
menubuhkannya bagi BERSATU dan kita sudah mula bekerjasama dengan tiga parti
lain dalam PH. Kita harap akan dapat menyelaraskannya dalam pilihan raya akan
datang dan melakukan segala upaya bagi memastikan pengundi keluar mengundi.
Kami tidak mahu serah
pada nasib dan sentimen. Kami perlu lebih teratur.
TMI: Negeri mana BERSATU
paling kuat?
Mukhriz: Paling ketara Kedah dan Johor. Tetapi
apa yang mengejutkan kami ialah Melaka. Setiap kali kita ada di sana, sokongan
terbuka itu sangat mengujakan. Bukan hanya apabila Dr Mahathir ada tetapi kalau
saya atau Muhyiddin pun, orang datang terutama pada malam hari.
TMI: Panel diskusi
di Sinar Harian baru-baru ini menyebut 55% ahli BERSATU anak muda tetapi ia
dipimpin orang tua. Apa faktor penariknya?
Mukhriz: Dr Mahathir pengerusi dan beliau seorang
saja sudah menaikkan purata umur dalam parti. Tetapi sebenarnya apabila kami
bercakap dengan anak-anak muda yang tiada pada waktu beliau atau
sekurang-kurangnya pada penghujung karier beliau, mereka begitu menghormati (Dr
Mahathir). Apabila kami bercakap dengan mereka, mereka kata Dr Mahathir
memberikan mereka inspirasi untuk jadi sebahagian daripada gerakan ini.
Mereka tidak lihat kami
sebagai hanya sebuah parti politik tetapi juga sebuah gerakan.
Kami datang daripada
kerajaan. Itu satu perbezaan yang jelas antara kami dengan parti lain. Kami
datang dari perspektif lain. Kami tiada mentaliti pembangkang semata-mata.
Gabungan kami dan mereka
ini memberikan kekuatan. Pengalaman dalam kerajaan membantu pembangkang dengan
kredibiliti yang kami juga boleh mentadbir dan ada rekod prestasi sangat baik
dalam urus tadbir. Ia memberikan keyakinan kepada rakyat yang kami bukan
sekadar mengucapkan retorik tetapi sesuatu yang lahir betul-betul daripada
keputusan dibuat oleh para pemimpin kami.
Anak-anak muda berkata
semasa zaman Dr Mahathir kita tiada masalah ini -- gaji ibu bapa mereka tidak
tinggi tetapi kos sara hidup rendah dan cukup belanja. Mereka tidak susah
hendak ada duit lebih untuk dibelanjakan. Mereka ingat itu.
Dr Mahathir ada cara
sendiri apabila bercakap dengan anak muda. Beliau datang dari zaman lain tetapi
ada daya tarikan. Mereka boleh tanya apa saja soalan kepadanya dan Dr Mahathir
akan memberi jawapan yang memuaskan hati mereka.
TMI: Apakah BERSATU
ada DNA naungan seperti UMNO?
Mukhriz: Tiada, kerana kita tidak ada kemampuan
untuk jadi seperti itu. Sistem naungan dalam UMNO bermakna pemimpin akan selalu
mengambil berat anak buahnya dalam semua perkara, baik mereka memerlukan wang
atau bantuan untuk anak masuk universiti dan hal seperti itu.
Kita tidak ada. Kita
bukan dalam kerajaan. Kalau kita nanti dalam kerajaan pun kita perlu mengubah
sistem itu supaya ia adil kepada semua orang. Ini sesuatu yang kami akan bawa
dalam agenda reformasi bersama kerajaan baru.
Jadi, tidak betul kalau
kata BERSATU juga mengamalkan politik naungan seperti UMNO.
TMI: Apakah ada
usaha yang jelas untuk memastikan BERSATU tidak menjadi seperti UMNO?
Mukhriz: Dalam ucapan dasar presidennya ketika
Perhimpunan Agung UMNO pada 1996, Dr Mahathir menyuarakan beberapa kebimbangan
yang UMNO sedang berubah daripada sebuah parti yang (pada suatu masa) ahlinya
terdiri daripada guru-guru, kepada sebuah parti yang ada ramai ahli perniagaan.
Dan tidak ada orang faham
apa yang beliau maksudkan pada masa itu. Sesetengah orang berkata: “Apa yang
salahnya? Itu lambang kemajuan…” Tetapi sekarang kita nampak masalahnya.
Apabila bisnes masuk ke
dalam politik, keadaan jadi huru-hara dan sekarang guru-guru yang pernah jadi
orang kuat UMNO kini menjauhkan UMNO. Mereka tidak boleh membayangkan diri
sebagai ahli UMNO. Mereka lebih cenderung kepada pembangkang, dan
harap-harapnya kami.
Beliau (Dr Mahathir)
nampak lebih ramai orang korporat masuk UMNO dan meramalkan akan jadi masalah.
Jadi saya tidak nampak ini berlaku dalam BERSATU. Kami faham mesej jelas yang
disuarakan rakyat dalam pilihan raya dan tidak akan mengulangi semua kesilapan UMNO.
TMI: Bolehkah BERSATU
bertahan tanpa Dr Mahathir?
Mukhriz: Terpaksalah.
Beliau cakap kepada
kepada kami tentang ini setiap masa yang ini bukan tentang dirinya atau kami,
tetapi setiap seorang daripada kami secara kolektif dan tentang perjuangan. Perjuangan
itulah satu-satunya persamaan dengan UMNO kerana kami juga berpegang kuat
kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi kita lihat UMNO sudah membuangnya.
Mereka gunakan itu sebagai semboyan tetapi bukan itu yang mereka maksudkan.
TMI: Negeri mana sasaran
BERSATU?
Mukhriz: Ada tetapi bukan untuk kami katakan
sekarang kerana kami perlu dapatkan persetujuan daripada yang lain tentang
keputusan besar ini. Kami sedang berusaha mendapatkan persetujuan itu. Semangat
tolak ansur sangat kuat antara empat parti ini. Pada akhirnya kami akan ada
barisan calon yang padu bagi setiap satu kerusi (yang akan ditandingi) di
Semenanjung. Saya tidak begitu bimbang tentang itu.
Kami agak ke hadapan
dalam rundingan -- dari negeri ke negeri. Akhirnya nanti, pimpinan atasan
(dalam Pakatan Harapan) yang akan memutuskan beberapa kerusi yang sukar,
misalnya jika ada dua atau tiga parti yang berkehendakkan kerusi tertentu.
TMI: Adakah BERSATU
sedang "mengintai" Kedah?
Mukhriz: Kita berminat dengan Kedah. Tetapi kita
perlukan persetujuan daripada tiga parti lain.
TMI: Kenapa anda
popular di kalangan anak muda? Adakah kerana bola sepak Kedah?
Mukhriz: Salah satunya sebabnya semasa saya
menjadi menteri besar Kedah, saya selalu cuba menarik FDI (pelaburan langsung
asing) ke Kedah bagi mencipta lebih banyak peluang kerja. Bukan kerja jenis
yang akan bayar RM400 atau RM500 tetapi kerja yang gajinya enam, tujuh ribu
ringgit.
Jadi semua usaha itu
menarik minat anak-anak muda di Kedah.
Keduanya, saya juga muda
walaupun saya tidak nampak muda. Saya 52 tahun sekarang tetapi orang masih
panggil saya boboi...hahahaha.
Saya suka berinteraksi
dengan anak-anak muda di gelanggang mereka, baik berbasikal, main badminton
atau duduk melepak di kedai kopi.
Dan tentunyalah, bola
sepak. Itu agenda peribadi saya untuk naikkan maruah bola sepak Kedah yang pada
suatu masa dahulu begitu gah. Apabila saya mengambil alih Kedah FA, ia ada
isu-isunya dan bagi Kedah, bola sepak sangat dekat di hati. Dan kerana kami
pernah mengecapi kejayaan dalam bola sepak, ia menyebabkan mereka lebih dekat
dengan saya.
TMI: Apa beza UMNO
dan BERSATU?
Mukhriz: Satu menyelamatkan negara dan yang satu
lagi menyelamatkan seorang kleptokrat.
Disiarkan oleh The Malaysian Insight – 8
Ogos, 2017.
No comments:
Post a Comment