Umno Kedah diminta bekerja keras supaya negeri ini terus
kekal di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum
akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
berkata, amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah menyuruh UMNO
Kedah bersiap sedia kerana `kerja yang lebih besar' sudah pun dekat.
Najib memberitahu demikian pada pertemuan dengan
kepimpinan Umno Kedah termasuk Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri dan
Parlimen di TH Hotel & Convention Centre Alor Setar semalam.
"Jadi, persiapannya semua peringkat parti kena turun
bawah, kena turun ke Pusat Daerah Mengundi (PDM), masuk ke cawangan-cawangan
dan memastikan untuk perkemas daftar pemilih untuk mendapat pengundi
baharu," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Turut hadir pada pertemuan tertutup lebih sejam itu
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang juga Menteri Pendidikan,
Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno
Kedah berkata dalam pertemuan itu, Najib yang juga Presiden Umno turut
mengulang beberapa kali mengenai pilihan raya umum dan mahukan Umno Kedah
memberikan penekanan terhadap perkara itu.
"Siapa yang banyak mendapat undi maka dialah yang
akan menang. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian oleh anggota parti,"
katanya.
Beliau berkata, Najib turut menekankan tentang perpaduan
dalam parti dan perlu bekerja secara berpasukan di semua peringkat.
"Yang penting, kita wajib pertahan kerusi yang ada
baik di peringkat DUN dan Parlimen dan selain itu masa yang sama untuk menambah
lagi kerusi.
"Ini adalah maruah kita untuk pertahankannya dan
untuk memastikan parti bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak mendapat
tempat di negeri ini," katanya.
Ahmad Bashah berkata, beliau telah memberi laporan
tentang sasaran Umno Kedah untuk memperoleh dua pertiga undi pada pilihan raya
umum kelak dan perdana menteri meminta mereka berusaha mencapai sasaran itu.
Sempena lawatannya, Perdana Menteri turut menghadiri Majlis Jamuan Negeri sempena Ulang
Tahun Hari Keputeraan ke-89 Sultan Kedah di Istana Anak Bukit di Alor Setar
malam semalam.
Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba
kira-kira 9 malam bersama Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah dan
Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah.
Turut berangkat hadir Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku
Sallehuddin Sultan Badhlishah, Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha Tengku Ariff,
Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani, dan Tunku Temenggong
Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.
Menteri Besar Kedah dan isteri Datin Seri Hizam Awang
Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din dan anggota-anggota exco
kerajaan negeri turut menghadiri majlis tersebut yang dimeriahkan dengan
kehadiran lebih 200 tetamu.
Terdahulu, Najib dan Rosmah tiba di Lapangan Terbang
Sultan Abdul Halim pada 3.45 petang untuk turut mengadakan lawatan kerja dua
hari ke Kedah.
No comments:
Post a Comment