Monday, May 16, 2016

Pecat Muhyiddin, Mukhriz - Kenapa Tengku Adnan Beria-ia?


Sebelum ini ada mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan dipecat selepas pilihan raya negeri Sarawak.

Mungkin benar pendapat demikian kerana selalunya pengumuman pemecatan akan dilakukan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Namun kedatangan dua Pilihan Raya Kecil serentak di dua kawasan Parlimen – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – pada 18 Jun depan, mungkin hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

Tarikh penamaan calon ialah pada 5 Jun sementara pengundian awal pada 14 Jun. Ia diadakan semasa bulan puasa.

Sebelum ini calon  UMNO menang tipis dengan mendapati majoriti 399 undi di Sungai Besar manakala di Kuala Kangsar pula majoriti hanya kira-kira 1,000 undi.

Pada ketika UMNO sedang bergelut dengan krisis kepimpinan ditambah dengan penolakkan peringkat akar umbi, tindakan pecat hanya akan mengundang bencana kepada parti.

Majoriti yang kecil dimenangi oleh UMNO sebelum ini, tidak cukup untuk menjamin UMNO menang dengan keadaan politik sekarang.

Apapun, semakin jelas bahawa ketiga-tiga pemimpin itu akan menerima padah kerana menentang dan mengkritik pucuk pimpinan khususnya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Muhyiddin disingkir daripada jawatan timbalan perdana menteri Julai lalu dan Mukhriz ditukar sebagai menteri besar pada awal tahun ini, dipercayai kerana kritikan mereka berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.



Namun persoalan timbul ialah, apakah yang  cuba ditunjukkan oleh Setiausaha Agong UMNO  yang memegang jawatan itu kerana dilantik (jawatan yang dilantik) sehingga bercakap mahu memecat  Muhyiddin dan Mukhriz?

Tengku Adnan sepatutnya sebagai pentadbir parti yang dilantik wajar menutup mulut dan biarkan mereka yang berjawatan melalui pemilihan menentukan kedudukan seseorang dalam parti, bukan oleh orang seperti beliau yang hanya dilantik.

Amat nyata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor seperti tidak sabar-sabar dan terlalu geram sehingga menegaskan bahawa dan sewajarnya dipecat daripada UMNO.

Tidak cukupkah dengan kenyataan Ahli Majlis Tertingi yang senior dalam parti – Datuk Seri Mohd Nazri Aziz - meminta Presiden bertindak ke atas tiga pemimpin UMNO itu?

Tengku Adnan bagai menyimpan dendam apabila mengatakan : "Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir patut dipecat daripada parti. “

“Pada saya, saya mahu pecat mereka. Jawatankuasa disiplin sudah pulangkan kembali kepada Majlis Tertinggi untuk diputuskan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

“Kertas siasatan telah diberikan kepada kita (MT) dan biarlah mereka yang tentukan,” katanya lagi.

Kenyataan Tengku Adnan itu sebetulnya tidak ‘manis’ daripada seseorang yang menduduki kerusi kerana dilantik. Lainlah kalau beliau bercakap dalam kapasitinya sebagai Ketua Bahagian UMNO Putrajaya.

Sebelum ini Nazri menegaskan tetap akan membawa usul supaya Muhyiddin, Mukhris dan Mohd Shafie dipecat dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) UMNO akan datang.

"Tetap (akan bawa usus pemecatan), saya hanya tunggu saja bila tarikh mesyuarat MT," katanya.

Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu beliau sedang menunggu makluman mengenai tarikh mesyuarat berkenaan akan diadakan.

"Apabila saja saya diberitahu (tarikh mesyuarat MT), saya akan bawa usul untuk buang mereka (Muhyiddin, Mukhriz, Shafie)," katanya.

Apakah kenyataan Nazri ini tidak cukup buat Tengku Adnan? Atas faktor apa beliau begitu geram kepada Muhyiddin?

Muhyiddin sebelum ini tidak bagi sangat muka kepada beliau? Atau atas kepentingan peribadi apa Tengku Adnan sehingga sanggp menyatakan pendiriannya sebegini?

Ada pendapat mengatakan Mohd Shafie mempunyai harapan untuk terlepas berdasarkan kenyataan Tengku Adnan bahawa berdasarkan laporan yang diterima Ibu Pejabat UMNO, dia tidak bersama dengan pembangkang.

 Namun demikian, ketiga-tiga mereka, yang kini dikenali sebagai Team B Umno yang sering bergerak bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata anggota MT UMNO berhak menyuarakan pandangan dan mengemukakan usul pemecatan pemimpin parti itu.


Ab Rauf berkata pandangan berkenaan juga selaras dengan rasa hormat ahli-ahli MT terhadap institusi UMNO yang menerima pelbagai tohmahan dan fitnah yang menjejas reputasi parti berkenaan.

No comments:

Post a Comment