Friday, February 28, 2014

BN Pilih Calon Paling Sesuai Bagi P/raya Kecil DUN Balingian - Najib


Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dan akan memilih calon paling sesuai untuk bertanding di kawasan tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita sedang tunggu tarikh pilihan raya yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta BN Sarawak akan sediakan calon yang paling sesuai untuk kawasan tersebut," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin tertinggi parti komponen BN.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Tan Sri Abdul Taib Mahmud kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, hari ini.

Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima bagi menggantikan Taib.

Najib berkata Adenan dilantik menjadi Pengerusi BN Sarawak atas kapasitinya sebagai ketua menteri baharu.

Mengenai pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac depan, Najib berkata segala persiapan berjalan lancar dan jentera parti amat komited untuk memberi sokongan padu kepada calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun.

"Kita lihat bahawa sambutan adalah menggalakkan walaupun kita tidak nafikan bahawa BN akan menerima tentangan yang hebat daripada calon (pembangkang) yang akan bertanding.

"Tetapi kita tahu bahawa calon kita ini seorang yang disenangi masyarakat tempatan dan mempunyai track record yang baik, mempunyai pendirian yang tegas serta seorang yang mahu memberi khidmat bakti kepada pengundi di DUN Kajang," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

Najib berkata BN juga menyelaraskan strategi antara parti komponennya, selain mengatur pelbagai program bagi memperoleh keputusan terbaik pada pilihan raya kecil itu.

Mesyuarat itu turut bersetuju untuk menerima Persatuan India Malaysia dan Parti Punjabi Malaysia sebagai anggota gabungan BN, katanya.

No comments:

Post a Comment