Friday, January 20, 2017

Siapa Yang Cuba ‘Memalukan Mukhriz’ Pada Ceramah PPBM Di Dungun?


Apakah ada pihak dalam partinya sendiri yang mahu memalukan kehadiran Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Terengganu?

Persoalan ialah kenapa kedatangan itu mahu dibolot oleh satu bahagian Parlimen PPBM sahaja iaitu Dungun?

Sedangkan Mukhriz adalah pemimpin untuk semua yang menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.

Siapa yang bertanggungjawab?

Siapa yang menganjurkan majlis berkenaan? Kenapa tiada jemputan rasmi kepada pemimpin PPBM lain di seluruh daerah di negeri berkenaan?

Apakah pemimpin di Dungun hanya mahu ‘membolot populariti’ atau menjadikan kehadiran Mukhriz dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM untuk menonjolkan dirinya sahaja?

UMNO dan BN boleh bertepuk tangan kerana penganjurnya jelas tidak 'cerdik' dan berlagak pandai sendirian.

Sudah ada kedengaran bahawa PPBM di Terengganu kini bercelaru dan berpecah menjadi beberapa kumpulan.

Ia gara-gara ada ‘permainan’ seorang pemimpin yang bimbang dengan kemunculan kumpulan penggerak yang lain.

Mereka tidak bersetuju dengan kepimpinan seseorang yang menganggap dirinya sebagai ketua parti di Terengganu sedangkan beliau hanya Ketua Pendaftar (ahli).

Banyak cerita mengenai orang ini, termasuk kisah peribadi yang tidak sedap didengar.

Citi-ciri kepimpinannya ialah menekan sebarang perbincangan terbuka dan perlu menurut arahannya sahaja. Beliau menganggap pihak lain sebagai ‘tidak berpengaruh sepertinya’.

Sedangkan di pihak atau  kalangan penyokong lain PPBM Terengganu, mereka pernah menjadi calon pilihan raya. Bukan sahaja calon UMNO, malah ada calon pembangkang dan Bebas.

Juga  ada di kalangan mereka yang pernah menang pun dan tahu semua taktik pergerakan parti dan pilihan raya.

Sedangkan orang yang  mengatakan dirinya hebat itu sebenarnya hanya pekerja parti yang menumpang populariti seorang wakil rakyat yang kalah dalam pilihan raya umum lalu (bertanding di atas tiket UMNO/BN).

Katanya antara orang yang disifatkan ‘mabuk kuasa’ ini ada pertalian keluarga dengan wakil rakyat UMNO/BN yang kalah dalam pilihan raya dalam Parlimen Dungun.

Memalukan apabila Terengganu Times mendedahkan  tidak sampai 100 orang hadir.


Malah, menurut laporan itu, lebih memalukan, lebih separuh daripada yang hadir malam itu merupakan orang dari luar Terengganu.

“Nyata sekali aura Mukhriz di negeri Terengganu tiada dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghantar anaknya itu hanya sia-sia dan gagal sama sekali kerana Mahathir telah banyak menguriskan hati orang Melayu terutamanya di Terengganu ini yang mempunyai purata 98 peratus Melayu,” lapor Terengganu Times.

Mungkin Terengganu Times (milik UMNO Terengganu) turut berniat memperkecilkan Mukhriz, namun sumber menyebut, sememangnya tidak sampai 200 orang yang hadir.

Jumlah kira-kira 200 orang itu terlalu kecil dibandingkan dengan kedudukan Mukhriz di mana paling tidak pun majlis seperti itu sepatutnya dihadiri oleh lebih 1,000 orang jika di war-warkan dengan baik.

Dalam ucapannya, Mukhriz turut membaca beberapa manifesto PPBM jika menang PRU14 antaranya mahu meneruskan pemberian BR1M seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan BN ketika ini.

Mukhriz dikatakan tetap bersemangat berucap walaupun hadirin kecil demi mengembangkan parti itu di Terengganu.

Kepada Mukhriz, pengalamannya itu mungkin dibawa ke pengetahuan majlis pimpinan tertinggi parti bahawa penyelesaian segera perlu dilakukan terhadap pergolakan kepimpinan dalam PPBM Terengganu ketika ini.

Jika tidak lupakanlah dengan kehadiran PPBM di Terengganu. Apalagi UMNO dan PAS sudah lama diterima rakyat di negeri itu.

Malah, menurut satu sumber, PPBM sepatutnya bimbang dengan keadaan di mana yang mendekati PPBM kini ramai yang ‘mula tawar hati’ akibat tindak tanduk pemimpin ‘gila kuasa’ berkenaan.

Apakah kepimpinan pusat PPBM akan terus membiarkan keadaan sebegini berterusan?

Yang pasti, menurut sumber itu, semakin dibiarkan, keadaan akan menjadi lebih buruk, dan PPBM di Terengganu tidak akan ke mana-mana.

Akhirnya UMNO juga yang dominan!

Monday, January 16, 2017

Najib Mahu Kedah Kekal Milik BN, Cabaran Kepada Ahmad Bashah

 

Umno Kedah diminta bekerja keras supaya negeri ini terus kekal di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah menyuruh UMNO Kedah bersiap sedia kerana `kerja yang lebih besar' sudah pun dekat. 

Najib memberitahu demikian pada pertemuan dengan kepimpinan Umno Kedah termasuk Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di TH Hotel & Convention Centre Alor Setar semalam.

"Jadi, persiapannya semua peringkat parti kena turun bawah, kena turun ke Pusat Daerah Mengundi (PDM), masuk ke cawangan-cawangan dan memastikan untuk perkemas daftar pemilih untuk mendapat pengundi baharu," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Turut hadir pada pertemuan tertutup lebih sejam itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang juga Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata dalam pertemuan itu, Najib yang juga Presiden Umno turut mengulang beberapa kali mengenai pilihan raya umum dan mahukan Umno Kedah memberikan penekanan terhadap perkara itu.

"Siapa yang banyak mendapat undi maka dialah yang akan menang. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian oleh anggota parti," katanya.

Beliau berkata, Najib turut menekankan tentang perpaduan dalam parti dan perlu bekerja secara berpasukan di semua peringkat.

"Yang penting, kita wajib pertahan kerusi yang ada baik di peringkat DUN dan Parlimen dan selain itu masa yang sama untuk menambah lagi kerusi.

"Ini adalah maruah kita untuk pertahankannya dan untuk memastikan parti bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak mendapat tempat di negeri ini," katanya.


Ahmad Bashah berkata, beliau telah memberi laporan tentang sasaran Umno Kedah untuk memperoleh dua pertiga undi pada pilihan raya umum kelak dan perdana menteri meminta mereka berusaha mencapai sasaran itu.

Sempena lawatannya, Perdana Menteri turut  menghadiri Majlis Jamuan Negeri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-89 Sultan Kedah di Istana Anak Bukit di Alor Setar malam semalam.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba kira-kira 9 malam bersama Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah.

Turut berangkat hadir Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badhlishah, Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha Tengku Ariff, Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani, dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.
Menteri Besar Kedah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din dan anggota-anggota exco kerajaan negeri turut menghadiri majlis tersebut yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 200 tetamu.  


Terdahulu, Najib dan Rosmah tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada 3.45 petang untuk turut mengadakan lawatan kerja dua hari ke Kedah.

Friday, January 13, 2017

Annuar Musa Semakin Menjadi Liabiliti, Barah Kepada UMNO?


Annuar Musa mengejar apa sebenarnya?

Jawatan Tan Sri itu  kini ialah Ketua Penerangan UMNO selain Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang begitu penting berbanding daripada kerja-kerja lain, termasuk bolasepak.

Annuar memang lebih dikenali kerana bolasepak ketika menjadi Presiden KAFA. Tetapi itu hanya batu loncatan untuk beliau menang dalam pilihan raya di Parlimen Ketereh dan kedudukan baik dalam UMNO.

Setelah diberikan tugas parti dan pentadbiran, Annuar jangan berlebih-lebih. Ini kerana kesannya,  beliau kini dilihat semakin menjadi liabiliti kepada UMNO.

Sepatutnya kebolehannya dari segi kepetahan bercakap dengan idea bernas,  beliau digunakan untuk menentang pembangkang. Namun kini digunakan untuk menyerang dan mempertahankan diri dalam polimik yang semakin kerap dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ),  Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Apa gunanya menimbulkan kontroversi dan bertikam lidah dengan pihak istana?

Ironinya pertikaman lidah bukan kerana isu membabitkan perjuangan parti demi mempertahankan UMNO atau orang Melayu, juga untuk memperkukuhkan fungsi MARA tetapi lebih kepada isu bolasepak.

Semua gara-gara beliau mahu menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Berapa banyak lagi mahu jawatan?

Dengan tidak habis-habis bertelagah dengan TMJ, semakin menjelaskan beliau mahu menunjukkan siapa lebih popular dan ‘berotak’ untuk mentadbir badan bolasepak negara itu.


Pada 25 November 2015 lalu, bekas Presiden KAFA itu secara terbuka menawarkan diri menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai presiden Persatuan FAM.

Namun, Annuar yang juga bekas timbalan presiden FAM sebelum ini, berkata jika ada individu lebih layak seperti TMJ, beliau tidak mahu berebut jawatan tersebut.

Katanya,  beliau perlu mendapatkan sokongan daripada anggota gabungan dan perwakilan FAM pada Kongres FAM ke-53, Mac depan, jika mahu meneruskan niatnya itu.

FAM sebelum ini, mengesahkan Kongres FAM itu adalah bagi mengadakan sesi pemilihan presiden baharu badan induk tersebut, dan nama calon yang ingin bertanding perlu dihantar selewat-lewatnya 23 Januari depan, sebelum senarai akhir dikeluarkan pada 20 Februari.

Semua jawatan akan dibuka untuk pemilihan yang baharu bagi sesi 2017-2021. Sebelum ini, antara calon yang menjadi sebutan mengisi jawatan tertinggi badan induk kebangsaan itu ialah TMJ, Tan Sri Tony Fernandes dan Tan Sri Aseh Che Mat.

Sekali lagi, Tidak cukupkah dengan dua jawatan itu? Mahu jadi Presiden FAM pula?

Annuar juga sibuk dengan perniagaannya. Beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat yang agak besar dan dibimbangi ada 'kepentingan bertelagah' antara jawatan politik, MARA dan perniagaannya.

Kenyataan mengenai bolasepak oleh Annuar sudah mengundang dua teguran TMJ melalui tajuk ‘Jangan jolok sarang tebuan' dan ‘Jangan kejutkan rimau tidur’.

TMJ melalui kenyataan pada 2 Januari 2017 lalu melalui ‘Jangan jolok sarang tebuan’ mengingatkan Annuar jangan sampai buruk padahnya.

Pesan TMJ: "Kepada Tan Sri (Annuar), jangan jadi liabiliti kepada parti anda. Anda sendiri jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dalam parti."

Peringatan itu dibuat atas kegagalan Annuar menguruskan KAFA dan TMJ idak akan menerima nasihat daripada pemimpin yang gagal berhubung cadangan agar FAM ditadbir secara proksi.

Kenyataan Tunku Ismail adalah jelas merujuk Annuar yang dilapor mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) supaya FAM ditadbir secara proksi.

TMJ turut menasihatkan Annuar, sebelum mahu memberikan komen mengenai kelab (bola sepak) atau negeri lain, pihaknya menasihatkan beliau agar uruskanlah KAFA terlebih dahulu.

"Tidak payah buang masa untuk sibuk mengenai urusan pasukan atau kelab lain. Selesaikan dulu hutang-piutang sebanyak RM6.7 juta terlebih dahulu sebelum bercakap hal-hal yang lain.Janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati.”

Malah TMJ ingatkan Annuar, “Pandangan ikhlas dari saya, dulu masa Tun Dr Mahathir (Mohamad) bagi awak duit yang banyak untuk menangkan kembali Kelantan, untuk anda gunakan wang tersebut sebaiknya demi kebajikan rakyat, bukan untuk beli sebuah kereta Porsche Panamera."

Sepuluh hari selepas tembakan pertamanya, TMJ pada tembakan kedua pada 12 Januari lalu ingatkan Annuar, ‘Jangan kejutkan rimau tidur’.

Pemilik kelab bola sepak JDT itu mendakwa, Annuar sentiasa tidak berpuas hati dengannya dan ini perlu diselesaikan.

"Sebelum menggunakan kejayaan Faiz Subri untuk populariti anda dengan mengatakan saya angkuh kenapa tidak Tan Sri (Annuar) tampil memberi keterangan mengenai duit tajaan daripada Pelaburan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dipaksa untuk menaja pasukan The Red Warriors (TRW),” tegasnya.

Merujuk kepada keadaan ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, beliau mempersoalkan Annuar yang tergamak menggunakan duit rakyat untuk pasukan TRW yang mana Annuar adalah pengerusi MARA.

Tidak cukup dengan itu, TMJ juga menyelar Annuar berkaitan dakwaan bahawa  Annuar paksa UniKL untuk menaja TRW.

UniKL didakwa terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 billion kepada RM1.3 billion bagi tahun 2016.

Mengulas isu penajaan pasukan TRW, Annuar berkata  ia di lakukan dengan begitu teratur dengan adanya surat tawaran, ada rundingan dan tawar menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain.

Kesan segera semalam,  UniKL dan MARA diarah menanguhkan sebarang penajaan tahun ini melainkan untuk pendidikan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri dilapor berkata sebarang penajaan lain perlu diteliti terlebih dahulu.


Yang nyata, perbalahan oleh Annuar dengan TMJ di media dilihat merugikan dirinya dan UMNO,  selain nasihat TMJ menumpukan tugas kepada memperkasakan parti, ada kebenarannya.

Malah, tindakan berbalas kenyataan media membabitkan isu penajaan TRW akan menyebabkan kemelut lebih buruk dengan adanya laporan-laporan yang dibuat terhadap Annuar serta pembangkang yang mula mempersoalkan kredibiliti beliau.

Ia pastinya  tidak mendatangkan manfaat kepada UMNO sebaliknya memberikan persepsi negatif rakyat kepada parti kerajaan itu.

Pemimpin UMNO Johor terutamanya Pemuda UMNO menganggap polimik dengan TMJ tidak akan menguntungkan sesiapa, malah lebih merugikan UMNO Johor dalam usaha menarik golongan muda mendekati parti itu ketika detik pilihanraya umum sudah hampir.

Tindakan Annuar 'cari pasal' dengan keluarga diraja Johor yang terkenal itu dilihat akan menghakiskan sokongan golongan muda di Johor kepada UMNO, walaupun isu asaskanya hanya berkisar sekitar isu bolasepak.

Kenyataan Annuar dilihat sebagai kenyataan mewakili parti kerana kedudukannya sebagai Ketua Penerangan UMNO, sedangkan Annuar mencari publisiti hanya kerana mahu menjadi Presiden FAM – jawatan ketiga penting untuk peribadinya.

Hakikatnya sejak akhir-akhir ini, ada kenyataan ‘gagah’ Annuar melawan pembangkang atau mempertahankan Perdana Menteri dalam isu-isu negara?

Yang banyak diulas oleh Ketua Penerangan UMNO ialah sekitar isu bolasepak.

Mengecewakan apabila kenyataannya boleh membawa imej kurang baik apabila dituduh menggunakan kedududkannya sebagai Pengerusi MARA menggunakan wang MARA dan UniKL untuk menaja pasukan Kelantan – pasukan negerinya.

Tidakkah ini ada kebenaran kepada tuduhan beliau menggunakan kedudukan untuk menaja pasukan Kelantan dan TRW itu turut dikatakan milik beliau.

Ahli Parlimen Ketereh sepatutnya tidak menunjukkan kepentingan dirinya, apa lagi isu ‘skandal pembelian bangunan di Australia’ masih tidak jelas sejauh mana diatasinya.

Annuar sepatutnya fokus kepada kerja UMNO bukan berbalah dengan TMJ yang menjadi anak raja kesayangan Bangsa Johor itu.

Yang nyata Annuar kini menunjukkan dia menonjolkan diri hanya untuk kedududkan dirinya dan bukan parti dan perbuatannya itu sangat-sangat merugikan parti.

Ternyata, Annuar sengaja mewujudkan polimik untuk popularkan dirinya untuk menjadi Presiden FAM tetapi tidak menumpukan kepada kerja parti yang akan berdepan pembangkang dalam keadaan sengit pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden UMNO wajar menilai apakah Annuar liabiliti kepada UMNO atau sebaliknya.

Jika merugikan parti dengan sikap dan tamakkan jawatan, elok dibedah dan dibuang sahaja kanser atau barah yang sudah diketahui semakin menular dan membahayakan hayat UMNO yang memang pun kini sudah kritikal!!!

Saturday, January 7, 2017

Kedatangan Shahrir ke FELDA Hanya Bagai ‘Tikus Membaiki Labu?’


Maka gegar gempitalah akan berlaku rombakan di FELDA untuk menggembalikan kedudukan agensi itu seperti dilaporkan media semalam.

Malah FELDA dikatakan  bakal menyaksikan rombakan pengurusan dalam usaha agensi itu mengembalikan kedudukannya untuk meningkatkan kesejahteraan dan menyelesaikan permasalahan warganya masa kini.

Pertanyaan ialah apakah yang diwar-war itu lebih kepada publisiti semata-mata atau memang bertujuan mengatasi masalah dan kebimbangan peneroka FELDA dari segi pendapatan, beban hutang dan perumahan generasi kedua?

Juga apakah Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan mampu memperbetulkan perkara-perkara berkaitan pelaburan FELDA dalam konteks faedah dan risiko serta impak daripada penyenaraian  FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan mengambil pandangan semua pihak.

Apakah akan berlaku penyahsenaraian FGV yang selama ini tidak pun diberikan perhatian oleh pengerusi sebelum ini, Tan Sri Isa Samad?

Juga apakah akan ada jawapan kepada kehilangan dan kerugian jutaan ringgit disebabkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan projek pemerolehan perkhidmatan pengumpulan data LiDAR atau Light Detection and Ranging, projek jalur lebar serta tiga projek lain?

Audit yang dijalankan antara Januari dan Jun tahun ini, mendapati perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengurusan projek oleh Felda dan subsidiarinya tidak memuaskan serta tidak mencapai objektif yang ditetapkan.


Sebagai Pengerusi yang baru dilantik, Shahrir yang mendapat perhatian media dan netizen berkata langkah awalnya termasuk meneliti semula barisan anggota lembaga pengarah untuk memberi nafas baharu dan nilai tambah kepada proses rombakan itu sendiri.

Publisiti meluas itu bukan kerana Shahrir dilihat sebagai orang yang diyakini mampu memperbaiki FELDA tetapi lebih kepada persoalan apakah yang akan terjadi kepada FELDA yang kini dilihat ‘tenat’ selepas ini.

Shahrir dilantik ke dalam FELDA selepas tempoh khidmat Isa sebagai pengerusi tamat pada 31 Disember, 2016.

Isa bagaimanapun kekal sebagai Pengerusi FGV dan sebelum ini Isa dipersalahkan kerana menyebabkan  prestasi kewangan lemah FGV.

Apakah melalui kepimpinan Shahrir, FELDA akan menjadi bertambah baik atau berterusan dalam keadaan yang sama. Dibimbangi akan berlaku ‘tikus membaiki labu.”

Juga dengan menyebut akan melakukan rombakan, apakah itu menggambarkan bahawa FELDA di bawah pentadbiran Isa memang ‘teruk’ atau ia sesuatu untuk menambah baik.

Selain berdepan dengan Isa yang masih menguasai FGV yang menjadi tunjang atau ibu kepada masalah FELDA yang banyak diperkatakan, apakah agensi seperti FELDA yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini ‘lembaga pengarah dan pengurusan FELDA dan FGV?

Bagaimana dengan pelan pemulihan FGV yang sudah dirangka dan apakah Shahrir akan akur dengan pelan yang sedia ada?

Juga FELDA mempunyai Pengarah Besarnya sendiri dan apakah tidak akan berlaku pertentangan pendekatan dalam menguruskan isu yang membabitkan FELDA?

Isa Samad....kekal Pengerusi FGV
Selain pengarah besar, Shahrir juga berdepan dengan ketua-ketua di 20 bahagian dalam FELDA termasuk ta bidang pembangunan – ekonomi, komuniti dan pengurusann – yang memang berpengalaman dan ‘hidup mati’ mereka dengan hal ehwal FELDA.

Ini belum lagi jabatan-jabtan seperti pengurusan tanah, perladangan, tanam semula, makanan negara, usahawan dan sebagainya.

Apakah mereka akan ‘mendengar serta mematuhi’ saranan dan rancangan Pengerusi yang merupakan lantikan politik berbanding mereka yang merupakan penjawat awam?

Tidakkah Shahrir akan merasa ‘rimas’ berdepan dengan kakitangan kerajaan dan agensi ini kerana pendekatan yang berbeza?

Harapan ialah apabila bertemu peneroka dan pengurusan FELDA, Shahrir akan akur dengan kebimbangan di atas banyak perkara yang diperkatakan selama ini, khusnya hala tuju agensi itu.

Bukan sekadar isu FELDA membeli 37% pegangan dalam PT Eagle High Plantation Tbk daripada Rajawali Group, sebuah daripada syarikat minyak sawit terbesar di Indonesia, pada harga AS$505.4 juta juga perlu diteliti.

Untuk rekod pengambilalihan itu dibuat setahun selepas FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membatalkan rancangan membeli kepentingan sama di Eagle High pada harga AS$680 juta.

Ahli politik dan pelabur mengkritik perjanjian itu terlalu mahal.


Malah, Shahrir boleh juga meneliti cadangan bahawa  FELDA perlu kembali kepada perniagaan terasnya, iaitu minyak sawit dan menumpukan peningkatan produktiviti ladang serta kadar perahan minyak daripada purata 17% hingga 18% kepada 20%.

Semalam Shahrir menegaskan rombakan diperlukan dibuat dengan munasabah dan sesuai dengan matlamat yang mahu dicapai, terutama dalam mengembalikan kesejahteraan hidup warga FELDA supaya lebih terjamin pada masa hadapan.

"Anggota lembaga (pengarah) FELDA mesti kuat, dan mesti memahami tentang segala kekuatan dan kelemahan FELDA. Jadi, barulah kita tahu ke mana hala tuju FELDA," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Selain itu, model perniagaan FELDA ketika ini juga perlu diteliti semula secara keseluruhan.

Ketika ini, FELDA merupakan pemegang saham majoriti dalam FGV iaitu sebanyak 20 peratus.

Shahrir akan melakukan lawatan kerja ke kawasan rancangan, selain bertemu pengurusan FELDA mulai esok.

Shahrir menghargai peluang yang diberikan oleh kerajaan kepada beliau dalam keadaan FELDA dan kerajaan dikritik pihak tertentu dengan berjanji akan memperbaiki  dan menyelesaikan masalah yang dihadapi warga FELDA.

"Biasalah, orang cakap lebih mudah. Kalau kita nak kritik, nak katakan FELDA ini tak baik, itu ini masalah, bercakap lebih mudah. Tetapi, saya sebenarnya berterima kasih kerana diberi peluang untuk menyelesaikan masalah bukannya setakat bercakap tapi berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan," katanya.

Apapun dengan persetujuan untuk menerajuinya, Shahrir perlu berbuat sesuatu dan membuktikan beliau boleh melakukannya.

Jika Shahrir dapat menyediakan jawapan baik dan pengurusan FELDA menyokong usaha pemulihan agensi itu beliau akan mendapat sokongan peneroka dan dihargai sumbangannya.


Jika tidak, jadilah seperti tikus membaiki labu, atau kalaupun tidak seteruk itu, keadaan FELDA akan ‘pi mai, pi mai, tang tu jugak’.