Sunday, January 26, 2014

Umno Perlu Teliti Perubahan Elak Ditolak Masyarakat Bandar - Najib


Umno perlu bijak meneliti perubahan demografi dan melakukan penyesuaian terhadap dasar-dasar yang ditunjanginya untuk mengelakkan parti itu ditolak masyarakat bandar dan dilihat hanya sebagai sebuah parti untuk orang luar bandar sahaja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan luar bandar tetap merupakan teras kepada parti itu, namun dalam masa yang sama dengan penghijrahan dan perubahan demografi mereka yang berpindah ke kawasan bandar, Umno perlu meneliti dan memahami perubahan itu untuk terus meraih sokongan rakyat tanpa mengira di mana mereka berada.

"Perubahan ini Umno mesti teliti, Umno mesti lakukan penyesuaian terhadap dasar-dasar yang ditunjanginya dengan pendekatan serta tindakan dilakukan di peringkat bahagian dan cawangan. Ia supaya dapat mengenali hati dan nurani serta sokongan masyarakat luar bandar terhadap kita dan dalam masa yang sama supaya tidak ditolak masyarakat bandar.

"(Seorang daripada mereka) yang berjaya (melakukan penyesuaian) ialah (di bawah) kepimpinan Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan oleh sebab itu semasa pilihan raya umum lepas, walaupun mereka meletakkan seorang jeneral empat bintang, saya tetap meletakkan Johor Baharu sebagai kawasan putih dan terbukti Ketua Umno Bahagian Johor Baharu ini menang sekali lagi di kawasan ini.

"Oleh itu, strategi dan pendekatan kita untuk menjadikan parti ini `laku' di kawasan bandar (ialah menjadikan ia) boleh diterima dan disambut sebagai parti orang bandar di samping mengekalkan sokongan luar bandar," katanya ketika merasmikan bangunan baharu Umno Johor Baharu yang dihadiri lebih 5,000 orang.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Anggota Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan Naib Presiden MIC Datuk S. Balakrishnan.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, walau sehebat mana sejarah parti itu, namun ia bukan jaminan penerusan kuasa dan kejayaan parti berkenaan jika ia tidak berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan semasa.

"Kita tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah tetapi kita mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang telah lahir 68 tahun lalu, kita tetap relevan, tetap sesuai, tetap jadi parti pilihan rakyat pada mana-mana tempat dan keadaan.

"Kita mesti akur dan mesti insaf, mana-mana parti yang tidak menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa meskipun parti itu sehebat mana, budi sebesar mana, kejayaan setinggi mana sekalipun, parti itu akan tetap tergugat kedudukannya.

Alhamdulillah Umno menyedari hal ini dan kerana itu dalam pilihan raya lepas Umno muncul sebagai parti terkuat apabila berjaya menambah kerusi," katanya.

Jaga Kepentingan Rakyat Penanda Aras Utama KPI UMNO - Tengku Adnan

Menjaga kepentingan rakyat di peringkat akar umbi merupakan antara penanda aras utama dalam Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) UMNO yang diluluskan Majlis Tertinggi (MT) parti Jumaat, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata melalui penanda aras ini, setiap bahagian dan cawangan UMNO diminta meninjau keperluan rakyat di kawasan mereka dan memaklumkannya kepada kerajaan.

Beliau berkata bahagian dan cawangan parti perlu melakukan pemantauan agar bantuan kerajaan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Semua diminta memantau keadaan dan kaedah yang berlaku di peringkat akar umbi bagi memastikan kerajaan dapat membantu rakyat dengan berkesan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Transformasi Luar Bandar Kuala Linggi, semalam.

Terdahulu, Tengku Adnan merasmikan karnival sehari UMNO Bahagian Masjid Tanah yang juga dihadiri Setiausaha Kerja parti Datuk Ab Rauf Yusoh, Ketua Bahagian Masjid Tanah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Mas Ermieyanti Samsuddin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO berkata pada Jumaat, KPI itu akan memastikan semua kerja dapat dilaksana dengan lebih aktif dan sistematik, dan setiap anggota MT akan diberi tanggungjawab memantau KPI bahagian manakala ketua bahagian ditugaskan memantau KPI cawangan.

Tengku Adnan berkata selain menjaga kepentingan rakyat, penanda aras utama lain dalam KPI berkenaan ialah menambah anggota UMNO dan bilangan pengundi baharu.

"Peringkat asasnya kita mahu setiap anggota kita pastikan anggota keluarga mereka pengundi dan anggota UMNO, kemudian rakan mereka juga begitu. Kita harap setiap bahagian ada penambahan (anggota dan pengundi baharu) setiap bulan.

"Berapa penambahan itu bergantung pada bilangan penduduk di setiap bahagian, sekiranya bahagian itu gagal berbuat demikian, kita akan panggil dan lihat dengan teliti mengapa dan bantu mereka capai KPI," katanya.

Beliau berkata setiap anggota MT akan diberi antara lima hingga enam bahagian untuk dipantau KPInya, dan individu berkenaan perlu memberi laporan berkala dua bulan sekali kepada UMNO pusat.