Saturday, April 6, 2013

Manifesto BN - Sarat Dengan Projek, Program & Tindakan Khusus Demi Kemajuan Rakyat


"Marilah berganding bahu dengan saya dan rakan-rakan saya untuk memanfaatkan potensi kita ke arah memajukan sebuah negara yang benar-benar boleh kita banggakan...Sebuah negara di mana yang lemah diberi perlindungan, mereka yang memerlukan, diberi bantuan, yang paling kuat, diberi perlindungan, yang muda disayangi, yang tua dihargai, mereka yang memerlukan tumpuan, diberi perhatian dan mereka yang memiliki potensi, diberi peluang untuk berkembang."
 - Datuk Seri Mohd Najib Razak

Daripada www.ohsedapnya.blogspot.com

Mentransformasi seluruh negara kepada keadaan lebih baik dan mendekati semua lapisan masyarakat - demikian intipati manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Daripada menarik pelaburan bernilai RM1.3 trilion dan mewujudkan 3.3 juta pekerjaan baharu dengan pendapatan lebih tinggi, hinggalah kepada memanfaatkan sepenuhnya potensi dan keupayaan rakyat yang mempunyai keperluan khusus dan mengambil langkah proaktif bagi memulihara alam sekitar dengan lebih berkesan, dokumen ini sebenarnya mengandungi satu aspek yang amat penting.

Apakah aspek yang dimaksudkan ini? Ia adalah segala janji yang diikrarkan bersifat realistik dan mampu dipenuhi oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dalam tempoh empat tahun lepas, telah membuktikan kemampuan dan keupayaannya melaksanakan semua komitmen yang diberi sebelumnya.

Dalam memperkenalkan program transformasi kerajaan dan ekonomi (GTP dan ETP) ketika menyandang jawatan, Najib memastikan semua program itu mencapai hasil yang diharapkan dan berdasarkan hakikat inilah beliau dengan yakin menegaskan bahawa kesemua janji PRU13 boleh dikotakan.

Dalam sejarah manifesto pilihan raya di negara ini, manifesto kali ini merupakan satu-satunya manifesto yang sarat dengan projek, program dan tindakan khusus yang bakal dilaksanakan bagi meliputi setiap aspek kehidapan rakyat.

Manifesto 32 muka surat ini mengandungi lebih 150 komitmen, kebanyakannya melibatkan projek dan program khusus.

Ini amat berbeza dengan manifesto pembangkang yang diumumkan baru-baru ini, yang mengikut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, mengandungi dasar, arah tuju dan sasarannya secara umum.

Sebaliknya, BN berjaya membentangkan satu manifesto menyeluruh yang mengandungi segala maklumat yang benar-benar ingin diketahui pemilih, dalam kata lain, semua komitmen dihurai secara khusus berdasarkan projek dan program yang begitu realistik kerana BN telah menunaikan komitmen serupa dalam tempoh empat tahun lepas.

Perkara paling menyerlah dalam manifesto BN ini ialah penegasan Najib bahawa "kami tidak akan sekali-kali meminggirkan sesiapa" dalam mentadbir negara dan mencapai agendai nasional.

Sambil menggesa rakyat Malaysia supaya menghakimi BN berdasarkan merit, beliau berkata: "Marilah berganding bahu dengan saya dan rakan-rakan saya untuk memanfaatkan potensi kita ke arah memajukan sebuah negara yang benar-benar boleh kita banggakan..."


"Sebuah negara di mana yang lemah diberi perlindungan, mereka yang memerlukan, diberi bantuan, yang paling kuat, diberi perlindungan, yang muda disayangi, yang tua dihargai, mereka yang memerlukan tumpuan, diberi perhatian dan mereka yang memiliki potensi, diberi peluang untuk berkembang."

Antara komitmen utama yang akan dipenuhi dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya BN kembali berkuasa ialah:

* Menambah nilai BR1M kepada RM1,200 bagi setiap isi rumah, baucer buku dan bayaran bantuan persekolahan

* Satu dasar automotif yang secara beransur-ansur akan menurunkan harga kereta sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus dan menjadikan kereta nasional lebih kompetitif

 * Menurunkan kadar caj jalur lebar sekurang-kurangnya sebanyak 20 peratus dengan jaminan lebarjalur (bandwith)

* Melaksanakan pelbagai langkah berorientasikan pengguna untuk membantu meringankan kos sara hidup

* Memberi lebih banyak fokus untuk menangani perubahan berkaitan bandar yang ketara termasuk menubuhkan sebuah kementerian baharu dan menyediakan perumahan awam berkualiti

* Membina satu juta rumah mampu milik dan membantu golongan miskin dan golongan berpendapatan rendah membaik pulih rumah


* Menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk setiap rakyat Malaysia, harga diskaun bagi rawatan perubatan tertentu bagi rakyat yang memerlukannya dan penjagaan paliatif di rumah bagi golongan berusia lanjut dan sakit teruk

* Membina terminal bas, rel dan teksi di semua bandar dan bandar raya serta memastikan wujudnya perkhidmatan bas yang lebih cekap

* Meluaskan rangkaian lebuh raya, membina Lebuhraya Pan Borneo

* Mewajibkan penyedia perkhidmatan memastikan mereka memberi perkhidmatan telefon mudah alih dan akses tanpa wayar yang boleh diharapkan

* Melaksanakan konsep Kampung Abad Ke-21 bagi merangsang transformasi luar bandar dan membawa masyarakat luar bandar ke dalam pembangunan arus perdana. 

* Mewujudkan 3.3 juta pekerjaan baharu, dua juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi * Berusaha ke arah mencapai pendapatan perkapita RM45,000 menjelang 2020

* Melaksanakan program transformasi bagi perusahaan kecil dan sederhana

* Melaksanakan perubahan terhadap struktur percukaian agar ia mempunyai asas lebih luas dan secara beransur-ansur memberi potongan kepada cukai pendapatan peribadi dan korporat

* Meningkatkan keberkesanan agenda Bumiputera dengan menyediakan sistem sokongan lebih kukuh serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan

* Menggubal dasar yang lebih adil dan saksama bagi semua kaum

* Menambah baik sistem pendidikan agar menjadi antara yang terbaik di dunia


* Meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar, memantapkan lagi prestasi dalam pengajian Matematik dan Sains serta menjadikan bahasa Inggeris mata pelajaran wajib lulus di peringakat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

* Mewujudkan kehadiran polis yang lebih ketara agar rakyat berasa lebih selamat dan terjaga

* Meningkatkan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan

* Mengadakan program untuk memupuk kepimpinan berkualiti dan kreatif dalam kalangan belia

* Mewartakan semua tanah adat pribumi dan mewujudkan lebih banyak peluang menjana pendapatan untuk masyarakat pribumi

* Melantik seorang menteri untuk mentadbir hal-ehwal orang bukan Islam

* Mendedahkan kepada umum perkara berkaitan kontrak bagi meningkatkan ketelusan dalam pemerolehan kerajaan

* Mewajibkan Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri menandatangani pek integriti

* Memastikan keanggotaan secara adil oleh semua kaum dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan

* Menambah baik kualiti perkhidmatan awam melalui, antara lain, pembangunan bakat

* Mewujudkan pusat transformasi bandar di semua bandar dan pekan utama

* Berusaha mendapatkan kerusi dalam Majlis Keselamatan PBB bagi membolehkan Malaysia memainkan peranan penting bagi keamanan serantau dan keselamatan antarabangsa melalui dasar kesederhanaan kerajaan

* Memperuntukkan ruang bagi kawasan hijau di bandar raya utama, memberi nafas baharu kepada sungai dan anak sungai, menambahkan lagi sumber tenaga hijau boleh diperbaharui dan memodenkan pengurusan pelupusan sampah.

Berikutan itu, ada enam sebab mengapa rakyat perlu terus memberi mandat kepada parti itu pada pilihan raya umum ke-13 ini:

Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat, rekod pencapaian, pengalaman, gerakan kesederhanaan, perkongsian kuasa telah teruji dan memenuhi kehendak rakyat.

Rakyat perlukan sebuah kerajaan kukuh yang berupaya melaksanakan Agenda Transformasi Negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi yang maju sepenuhnya, menurut manifesto bertajuk "Menepati Janji Membawa Harapan" itu.

BN sentiasa melakukan penambahbaikan dan sepanjang empat tahun lepas, kerajaan BN mencapai banyak kemajuan besar dalam meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian, menurutnya.

"Kejayaan yang dikecapi dalam tempoh 55 tahun tidak boleh dinafikan, kami adalah parti yang mempunyai rekod pencapaian mantap dan menunaikan segala janji. Selama ini, kerajaan yang diterajui BN telah membawa kemakmuran kepada segenap segmen masyarakat Malaysia," menurut manifesto berkenaan.

"Kami akan meneruskan rekod kecemerlangan ini. Sekarang bukan masa untuk bereksperimen. Jangan sesekali melakukan uji kaji dengan masa depan kita."

Menurut manifesto itu, politik yang dibawa BN ialah politik perpaduan yang berpengalaman mengurus masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

"Parti komponen mengamalkan formula perkongsian kuasa yang efektif dan menolak politik benci membenci, pecah-belah serta menentang eksploitasi kaum dan agama untuk keuntungan politik".

Gabungan pelbagai parti BN telah teruji yang mana selepas 55 tahun, ia masih mewakili seluruh lapisan rakyat dari semua negeri di Malaysia kerana mengamalkan politik konsensus dan keterangkuman.

BN juga terus memperkasakan rakyat melalui peralihan yang terurus ke arah masyarakat progresif, moden dan demokratik dengan iltizam untuk melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar, menurut manifesto itu

Friday, April 5, 2013

Muhyiddin Beri Amaran - Calon Buat Hal, Bermasalah Akan Digugur

"Penilaian lebih terperinci dilakukan di peringkat Parlimen atau Dun bagi menentukan siapa calon sesuai dan diterima serta mendapat sokongan besar seterusnya capai kemenangan...Selain faktor penapisan itu katanya, calon juga mesti mengemukakan laporan kesihatan yang terkini bagi memastikan kelayakan mereka kerana tidak mahu masalah tersebut akan mengganggu perkhidmatannya nanti."
 - TS Muhyiddin Yassin

Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan akan menggugurkan calonnya jika didapati mereka bermasalah walaupun penilaian senarai calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kini boleh dikatakan sudah selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian peringkat akhir masih dijalankan bagi meneliti calon terpilih mempunyai kes atau tidak dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi dan pihak polis.

“Senarai yang diputuskan walaupun belum muktamad lagi, ada masa untuk dapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan. Jika didapati terbabit kes, ada sedikit sebanyak perubahan akan dilakukan selepas terima laporan pihak itu.

“Walaupun masa lalu juga dibuat pemilihan calon dengan rapi tetapi kali ini terlalu rapi, kerjasama dengan semua pemimpin di peringkat negeri dan komponen parti dibuat dengan begitu fokus.

Kita bertemu mereka banyak kali dan bukan sekali,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya BN Bahagian Pagoh, di Kompleks Sri Pekembar, semalam. Turut hadir Pengerusi BN Pagoh Datuk Tahir Mohd Taat.

Muhyiddin berkata, penilaian lebih terperinci dilakukan di peringkat Parlimen atau Dun bagi menentukan siapa calon sesuai dan diterima serta mendapat sokongan besar seterusnya capai kemenangan.

Selain faktor penapisan itu katanya, calon juga mesti mengemukakan laporan kesihatan yang terkini bagi memastikan kelayakan mereka kerana tidak mahu masalah tersebut akan mengganggu perkhidmatannya nanti.

Katanya, BN tidak mahu tumpuan perkhidmatan bakal wakil rakyat itu nanti menjejaskan prestasinya dan bertambah teruk disudahi dengan pilihan raya kecil (PRK).

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, semua yang dilakukan itu adalah bagi membolehkan calon diterima, tidak mewujudkan banyak bantahan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa pemilihan itu adalah terbaik untuk kawasan mereka.

Muhyiddin turut mengingatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional(BN) supaya tidak mengamalkan sikap berpuak-puak sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau berkata sikap itu perlu dihindari kerana ia akan memberi kesan negatif kepada hasrat BN untuk mencapai keputusan terbaik pada PRU13.

"Kebimbangan kita adalah amalan factionalism (berpuak-puak)...ini berlaku dalam banyak parti...kalau ada kawasan tak bersatu sebab mungkin proses pemilihan peringkat parti, peringkat bahagian belum selesai...maka kita bimbang ia akan bawa kesan kepada kejayaan calon.

"Ia akan jadi halangan kepada matlamat capai kejayaan dalam pilihan raya. Sehubungan itu saya ingatkan semua pemimpin parti di setiap peringkat supaya beri perhatian kepada perkara ini," katanya.

Sumber - Sinar Harian