Monday, June 25, 2012

Cara Jatuhkan Kerajaan Melalui 'Arab Spring' Tidak Akan Berjaya - Dr Mahathir

Apakah mereka yang mahu mengguling kerajaan Malaysia tidak terfikir bahawa dengan mengambil contoh demokrasi  di negara Asia Barat sebenarnya menyebabkan mereka tersilap langkah?

Ini kerana kebanyakan negara Asia Barat masih belum setanding dengan demokrasi di Malaysia dan Tunjuk-tunjuk perasaan yang berlaku itu adalah kerana ketiadaan demokrasi di negara berkenaan.

Dengan kata lain tunjuk perasaan ala 'Arab Spring' tidak akan mendatangkan apa-apa kesan di Malaysia malah usaha menjatuhkan kerajaan ala "Arab Spring" tidak seharusnya berlaku di negara ini.

Ini kerana Malaysia jelas mempunyai sistem demokrasi lebih baik berbanding negara Asia Barat.

 Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata semalam jika perbandingan demokrasi antara Malaysia dan negara Arab dibuat, jelas membuktikan negara mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap perkara.

"Arab Spring ini adalah pemberontakan rakyat menjatuhkan kerajaan di negara tersebut, jika kita bandingkan negara-negara Arab ini, mereka tidak pernah demokratik dan pemimpin mereka menerajui negara untuk kepentingan diri dan tidak memberi keutamaan kepada rakyat.

"Rakyat semakin menderita, kadar peratusan kemiskinan meningkat, malahan ada lulusan universiti tidak mendapat pekerjaan yang seterusnya menjadi punca rakyat memberontak," katanya ketika menjawab soalan pada Majlis Bicara Bersama Negarawan bertajuk "Komitmen Graduan Pemangkin Kemajuan Negara" di Auditorium Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),semalam.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Tan Sri Hassan; dan Dekan Fakulti Perubatan yang juga Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali.

Kira-kira 700 pelajar UKM daripada pelbagai jurusan hadir pada majlis anjuran bersama Kolej Tun Dr Ismail, UKM dan JASA itu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata "Arab Spring" mendedahkan pemerintah negara tidak demoratik, memerintah secara autokratik hingga menyebabkan rakyat menjatuhkan kerajaan.

"Kita di sini ingin 'Arab Spring' tapi soalnya adakah kerajaan terlalu zalim?

Adakah kerajaan tidak beri perhatian kepada nasib rakyat, tidak membangunkan dan memajukan negara?

"Kita buat perbandingan dengan negara Arab yang agak berlainan dengan Malaysia, justeru tidak perlu untuk kita bertindak di luar undang-undang untuk menjatuhkan kerajaan," katanya.

Dr Mahathir berkata, seharusnya rakyat sedar, usaha menjatuhkan kerajaan adalah agenda pihak yang tidak yakin akan kemampuan untuk memenangi pilihan raya.

"Saya faham perasaan mereka yang tidak dapat menjadi kerajaan, mereka berfikir jika bertindak secara 'Arab Spring' dapat menjatuhkan kerajaan tanpa bergantung kepada proses pilihan raya," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat bahawa penilaian menggunakan akal fikiran yang waras perlu sebelum melakukan sesuatu tindakan. \

Sementara itu, mengulas isu pergolakan yang berlaku dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Mahathir berkata PKR Selangor sebenarnya dipimpin oleh seorang yang kurang berkemampuan. \

"Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebenarnya orang UMNO dan memilih parti lawan kerana kecewa tidak mendapat sesuatu.

Dia masuk parti lawan bukan sebab percaya kepada prinsip perjuangan tetapi lebih kepada kerana kecewa.

"Dia ada sedikit kebolehan mengenai pentadbiran tetapi tidak akan berjaya kerana dia bukan orang politik, tetapi masuk politik kerana kecewa," katanya.

Beliau berkata, pergolakan tersebut sedikit sebanyak akan mengganggu perjalanan PKR Selangor, namun meminta Barisan Nasional (BN) untuk tidak terlalu gembira dengan situasi tersebut.

"Sedikit sebanyak pergolakan yang berlaku akan menjejaskan PKR, namun BN perlu terus berusaha mendapatkan kembali Selangor pada pilihan raya nanti, tak usaha pun tak boleh, dan jangan harap orang lemah saja untuk menang," katanya.

Wednesday, June 20, 2012

BN Mungkin Kekalkan 137 Kerusi Parlimen Yang Dikuasainya


"Cabaran terbesar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam BN adalah bagaimana untuk menterjemahkan populariti beliau kepada undian untuk Umno dan BN, terutama di kawasan bukan Melayu dan di kawasan bercampur di Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak..."
- Centre of Strategic Engagement


Oleh Alan Ting (Bernama, 19 Jun 2012)

Barisan Nasional (BN) mungkin mengekalkan 137 kerusi Parlimen yang dikuasainya sekarang dengan margin lima peratus lebih atau kurang, tetapi tidak cukup mencapai majoriti dua pertiga, menurut kajian dan analisis terperinci Centre of Strategic Engagement (CENSE).

Kajian terbaru itu menunjukkan masih ramai yang bergantung kepada kekuatan dan organisasi jentera pilihan raya BN. "Berdasarkan sentimen semasa, ramalan CENSE ialah BN mungkin akan kehilangan 10 kerusi di kawasan pilihan raya yang didominasi kaum Cina di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Media Cina telah membuat pendirian tegas tentang 'kekejaman polis' ketika Bersih 3.0 dengan mencetak akhbar dengan warna hitam dan putih, dan menggalakkan wartawan dan mereka yang bersimpati memakai pakaian hitam pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia," katanya.

Ia berkata tindakan itu telah meletakkan kerusi Cina di Johor, Sabah dan Sarawak lebih terancam kedudukannya bagi BN.


Sebaliknya, CENSE berkata terdapat peningkatan sokongan pengundi Melayu, kira-kira lapan peratus sejak 2008, yang akan menyaksikan sokongan di kawasan pengundi Melayu dan di kerusi yang didominasi pengundi Melayu dan campuran, terutama bagi Umno.

Berikutan itu, parti pembangkang yang mungkin terjejas adalah PKR. Pusat itu berkata faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 termasuk - sentimen, isu, kepimpinan, infrastruktur, logistik, pembiayaan dan jentera kempen, dan kempen juga akan menunjukkan jika jentera BN benar-benar menyesuaikan lanskap baru politik, yang didominasi pembangkang, perang siber.

"Pembangkang tahu cara memainkan sentimen orang ramai dan mengakui kuasa media sosial untuk menyampaikan kepada pengundi muda. BN, sebaliknya, mempunyai kelebihan dengan logistik dan infrastruktur jenteranya, terutama di kawasan luar bandar di Sabah, Sarawak, Pahang dan sebahagian kawasan di Johor," katanya.

Tetapi, BN dilihat memiliki jentera pilihan raya lebih kukuh kerana ia lebih tersusun dan ditadbir oleh andaian yang lebih realistik berbanding 2008.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan BN kali ini adalah moral yang rendah di kalangan anggota parti dan pekerja di kawasan majoriti pengundi Cina atau di kerusi campuran di mana pengundi Cina merupakan sebahagian besar pengundi asal," katanya.

Sehubungan itu, ia percaya BN cukup realistik untuk menyedari ia tidak boleh merampas Pulau Pinang dan Kelantan daripada pembangkang tetapi berharap untuk mengekalkan Perak serta mengambil semula Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun, peluang untuk menawan semula Selangor adalah tipis.

Dalam laporan itu, CENSE juga berkata walaupun peralihan pengundi Melayu kepada Umno, tetapi ia masih 50:50.

Ini adalah kerana pengagihan kerusi pilihan raya di negara ini yang berdasarkan kaum.

Justeru, peningkatan pengundi Melayu akan meningkatkan margin majoriti tetapi ia tidak bermakna lebih banyak kerusi boleh dimenangi.

"Dengan alasan sama, lebih ramai pengundi Cina untuk pembangkang juga mempunyai kesan yang terhad kerana ia hanya terbatas di kerusi majoriti Cina seperti Seputeh di Wilayah Persekutuan, Petaling Jaya Utara di Selangor, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuching di Sarawak," katanya.

"Laporan itu juga menunjukkan cabaran terbesar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam BN adalah bagaimana untuk menterjemahkan populariti beliau kepada undian untuk Umno dan BN, terutama di kawasan bukan Melayu dan di kawasan bercampur di Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Beliau masih memerlukan sokongan kumpulan minoriti untuk parti beliau bagi memastikan keputusan lebih baik berbanding 2008.

CENSE juga berkata berdasarkan kajian mereka selepas perhimpunan Bersih 3.0 28 April, golongan Melayu telah memberi sokongan kuat kepada Umno, bermakna Umno harus memenangi lebih daripada 79 kerusi pada pilihan raya akan datang.

Analisis daripada penganjuran Bersih 3.0 juga menyatakan isu kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun akan menjadi sebahagian daripada arus perdana politik manakala kuasa media sosial tidak boleh diperlekehkan dalam mobilisasi khalayak yang besar.

Ini tanpa mengira sama ada ia untuk menunjukkan perpaduan tulen atau semata-mata pengalaman kebebasan demokrasi.

Kajian CENSE juga menunjukkan sebahagian pengundi Cina kekal tidak terpengaruh dengan Bersih 3.0 berikutan 'kekecewaan' berterusan tentang isu yang telah lama wujud seperti sistem penyampaian yang lemah, tadbir urus dan meritokrasi.

Bersih 3.0 mungkin, pada tahap terbaik telah mempengaruhi pengundi Cina yang tua agar kembali semula kepada BN kerana bimbang potensi berlaku rusuhan dan kekacauan.

Laporan itu juga berkata tidak semua golongan kelas pertengahan Melayu bersedia untuk menukar kerajaan dan ini boleh memberi tip undian memihak Umno.

Monday, June 4, 2012

Loceng Amaran Muhyiddin Kepada Komponen BN?


"Sekarang saya melihat hanya Umno bertungkus-lumus menjalankan kempen dan giat turun padang untuk meraih sokongan dan undi tapi parti komponen lain seperti lepas tangan serta sangat lemah dan hampir tidak kelihatan mengadakan kempen menghadapi PRU kali ini....Selain itu, sabotaj antara ahli perikatan BN-Umno sendiri sedang berlaku dan mereka seharusnya bersatu padu untuk memenangi PRU kali ini,"
 - Mohd Azizuddin Mohd Sani, Penganalisis Politik UUM

 Oleh  Jamilah Hamzah ( 4 Jun 2012)

 Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima, kanan) merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan menyanyikan lagu "1Malaysia".

Dua bulan lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak minta maaf atas kesilapan-kesilapan lalu Barisan Nasional (BN). Langkah itu tidak pernah diambil oleh mana-mana ketua BN, yang lazimnya bertindak sebagai perdana menteri.

Semalam, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) sebagai penentu hidup atau mati BN.

 Mesej Muhyiddin itu ditafsir dari perspektif dan sudut masing-masing. Ada yang mengatakan BN bimbang, panik dan risau akan masa depannya.

Paling jelas, kenyataan terbuka orang nombor satu dan dua semasa BN itu membawa mesej yang jelas - BN perlu kekal berkuasa dan mahukan mandat untuk terus mentadbir negara ini.

Mengulas kenyataan terbaru semalam, penganalisis melahirkan pandangan yang berbelah bahagi mengenai peluang dan masa depan BN pada PRU13. Ada yang mengatakan bahawa BN semakin bimbang dengan saingan sengit daripada Pakatan Rakyat (PR) menjelang PRU13.

Ketika PR melaungkan mahu Melangkah Ke Putrajaya, BN memberi kenyataan-kenyataan sebaliknya. Mesej itu dilihat dari sudut psikologi.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani, kedudukan BN semakin tergugat dengan saingan yang diberikan oleh komponen PR dan ada kemungkinan akan berhadapan dengan kekalahan.

Beliau juga berkata, kenyataan Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, memberi tanggapan PRU13 akan menentukan nasib antara BN dan PR dalam mengemudi kerajaan pada masa akan datang.

 "Saya melihat BN akan hilang kuasa jika parti komponen tidak bersatu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang. "PR memberi saingan yang sangat sengit untuk merampas kerusi di Wilayah Persekutuan dengan mengenal pasti calon terbaik untuk diletakkan di bahagian itu," kata beliau ketika dihubungi lewat semalam.

Azizuddin turut menekankan bahawa BN memerlukan kerjasama antara satu sama lain termasuklah MIC, MCA dan Gerakan, dan bukan hanya Umno yang bekerja keras untuk memenangi PRU13.

"Sekarang saya melihat hanya Umno bertungkus-lumus menjalankan kempen dan giat turun padang untuk meraih sokongan dan undi tapi parti komponen lain seperti lepas tangan serta sangat lemah dan hampir tidak kelihatan mengadakan kempen menghadapi PRU kali ini.

"Selain itu, sabotaj antara ahli perikatan BN-Umno sendiri sedang berlaku dan mereka seharusnya bersatu padu untuk memenangi PRU kali ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan agar BN turut memberi perhatian ke atas Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri itu menawarkan 56 kerusi Parlimen.

Ini kerana katanya, jika dua negeri itu dimenangi PR bermakna kuasa pusat akan berada dalam tangan perikatan tidak formal itu - yang dianggotai Pas, DAP dan PKR.

 Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata pihaknya kini lebih yakin dan optimis menghadapi PRU13 bersama PR yang tersusun

"BN tidak boleh lepas pandang Sabah dan Sarawak yang turut menjadi negeri jaminan kemenangan bagi mereka, PR juga tidak perlu menang semua kerusi di sana untuk rampas Putrajaya.

"PR semakin giat untuk mengaut kerusi di dua negeri tersebut untuk menang dan jika BN tidak mengambil langkah sewajarnya, tidak mustahil BN akan kalah pada PRU kali ini," kata Azizuddin lagi.

Mengupas isu yang sama, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpandangan bahawa mesej Muhyiddin menunjukkan bahawa BN sedang bekerja keras untuk memenangi PRU13.

"BN semakin bekerja kuat untuk hadapi pilihan raya ini kerana PRU kali ini tidak semudah dulu. "Jika BN kalah pada PRU ini, sistem kerajaan juga akan turut berubah di bawah pemerintah baru nanti," kata beliau.

Bagi penganalisis dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, PRU13 memberi ukuran kepada kemampuan BN untuk terus kekal berkuasa ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, mesej Muhyiddin itu bukan menunjukkan kebimbangan BN sama sekali.

Sebaliknya kata beliau, "memberi keazaman kepada parti kompenan BN untuk terus mempertahankan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen."

"BN juga perlu membuat persiapan yang rapi untuk pilihan raya musim ini untuk mendapat kedudukan yang lebih baik," katanya lagi. Sebelum ini, Muhyiddin juga pernah menarik perhatian dengan mengatakan bahawa PRU13 merupakan ibu kepada segala pilihan raya yang diadakan di negara ini.

Ketika ada yang mengatakan BN semakin panik, peluang untuk perikatan yang memerintah negara ini sejak merdeka masih belum berakhir.

Kerisauan dan kebimbangan ada pada semua parti yang bertanding - BN dan juga PR di mana satu perikatan mahu kekalkan kuasa manakala yang satu lagi mahu menggantikannya. Itu matlamat mereka. Jika tidak apa gunanya bertanding dana arena politik bernama PRU.