Thursday, May 31, 2012

Saham FGVH Yang Disenaraikan Beri Keutamaan Kepada Peneroka - PM


Peneroka Felda tetap mendapat keutamaan dalam langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) apabila lebih 70 peratus saham terbitan penawaran runcit FGVH diperuntukkan kepada golongan peneroka, warga pekerja Felda dan individu yang menyumbang kepada organisasi itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melancarkan prospektus FGVH hari ini sempena penyenaraian gergasi perladangan itu, mengumumkan daripada 255,371,000 saham terbitan penawaran runcit, sebanyak 182,408,000 saham terbitan diperuntukkan kepada peneroka, pekerja dan mereka yang telah memberi sumbangan kepada organisasi tersebut manakala 72,963,000 saham selebihnya adalah untuk pelabur awam.

Sehubungan itu, Najib berkata dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan akan memanipulasikan golongan peneroka dengan penyenaraian tersebut sebagai tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa apa yang kita lakukan ini adalah sebagai menepati amanah yang ditinggalkan oleh ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, saya dan rakan-rakan berjanji tidak akan sekali-kali membiarkan kemudaratan bukan sahaja kepada warga Felda tetapi juga kepada generasi terkemudian dan negara.

Kita tetap akan memperjuangkan Felda sebagai institusi lambang kejayaan rakyat Malaysia," katanya di Kuala Lumpur.


Saham FGVH dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Jun ini.

Najib berkata penyenaraian FGVH mencatat dua detik bersejarah bukan sahaja kepada Felda tetapi juga negara apabila penyenaraian itu merupakan yang terbesar di Asia pada tahun ini dan tawaran awam permulaan (IPO) itu merupakan yang kedua terbesar di dunia pada tahun ini selepas Facebook.

Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila langkah penyenaraian itu telah mencetuskan penerimaan yang luar biasa dan kini pihak Felda berdepan dengan satu masalah baru iaitu memenuhi kepuasan semua pihak yang memohon saham FVGH.

"Walaupun orang kata, ini satu masalah yang menyenangkan, ini adalah masalah kejayaan tetapi juga terpaksa membuat keputusan yang sebaik dan seadil mungkin," katanya.

Beliau berkata penyenaraian itu akan melonjakkan FGVH untuk menjadi sebuah syarikat bertaraf dunia apabila menarik minat dua buah syarikat komoditi utama di Eropah iaitu Louis Dreyfus Commodities Asia dan Vitol Group untuk menjadi rakan kongsi strategik.

Beliau berkata FGVH berada dalam kedudukan yang baik untuk menggunakan kedudukannya sebagai pengendali minyak sawit ketiga terbesar di dunia melalui pemilikan 49 peratus saham dalam Felda Holdings Bhd dan untuk berkembang dengan lebih maju.

Katanya selain akan menguntungkan Felda dan peneroka, penyenaraian itu juga akan membawa keuntungan kepada rakyat Malaysia kerana badan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera juga akan memiliki saham FGVH.

Perdana Menteri berkata langkah itu bukan sahaja dapat melimpahkan kemakmuran dan kejayaan Felda tetapi juga bagi kemakmuran rakyat dan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap agar peneroka Felda terus memberi keyakinan kepada penyenaraian itu dengan melabur dan menyimpan saham mereka bagi jangka panjang.

"Ingatlah, jika kita tabah dan sabar, Insya-Allah, Tuhan akan menambah rezeki kita sepertimana ketabahan sebagai peneroka. Para peneroka hari ini merupakan golongan yang sudah mendapat pendapatan sederhana dan segala kemudahan telah dapat kita sediakan selama ini.

Saya percaya, pemilikan saham ini akan menambah jumlah pendapatan," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bahawa pusingan kedua durian runtuh sebanyak RM5,000 kepada isteri peneroka akan diberi pada 7 Julai ini sempena Hari Peneroka dan perasmian Menara Felda.

Awal bulan ini, Perdana Menteri mengumumkan pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka yang melibatkan tiga fasa, iaitu RM5,000 bagi ketua keluarga yang telahpun diagihkan, manakala RM10,000, iaitu masing-masing RM5,000 kepada isteri peneroka dan anak peneroka akan diagihkan mengikut fasa.

Wednesday, May 30, 2012

Malaysia Ekonomi ke-14 Paling Kompetitif Di Dunia

"...penambahbaikan keseluruhan rangking Malaysia dalam kaji selidik IMD itu mencerminkan kesan daripada langkah yang diambil kerajaan untuk menambah baik daya saing ekonomi....Langkah yang pelbagai ini termasuk menambah baik penyediaan dan kecekapan perkhidmatan awam dan meningkatkan ketelusan dan pertanggungjawapan...daya saing dipertingkat Malaysia itu adalah hasil daripada inisiatif berani dan inovatif yang diambil kerajaan tahun lepas." 
- Mustapa Mohamed

Transformasi ekonomi Malaysia semakin diiktiraf global dengan ekonomi negara sekarang berada di kedudukan ke-14 paling kompetitif di dunia, mengatasi beberapa negara maju.

Menurut Institute for Management Development(IMD) yang berpangkalan di Switzerland, Malaysia memperoleh markah tinggi berbanding Australia, United Kingdom, Korea Selatan, China dan Jepun.

"Malaysia mengukuhkan keseluruhan daya saingnya dengan meningkat daripada kedudukan ke-16 tahun lalu," menurut IMD dalam satu kaji selidik 59 negara yang mengukur sejauh mana negara dunia menguruskan ekonomi dan sumber manusia untuk meningkatkan kemajuan.

 Ranking ini menempatkan Malaysia di hadapan negara seperti Australia (ke-15), United Kingdom (ke-18), Korea (ke-22), China (ke-23), Jepun (ke-27), Perancis (ke-29), Thailand (ke-30), Indonesia (ke-42) dan Filipina (ke-43).

Menurut rangking IMD, 15 ekonomi paling kompetitif di dunia ialah Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Sweden, Kanada, Taiwan, Norway, Jerman, Qatar, Belanda, Luxembourg, Denmark, Malaysia dan Australia. Di kalangan negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita kurang daripada AS$20,000, Malaysia mengekalkan kedudukan keduanya di kalangan 29 negara mengatasi China, Chile dan Thailand.

Di kalangan negara Asia Pasifik, Malaysia naik satu tangga ke kedudukan keempat selepas Hong Kong, Singapura dan Taiwan. Menurut IMD, rangking daya saing "semua ekonomi Asia merosot selain Hong Kong (1), Malaysia (14) dan Korea (22)."

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam satu kenyataan, berkata penambahbaikan keseluruhan rangking Malaysia dalam kaji selidik IMD itu mencerminkan kesan daripada langkah yang diambil kerajaan untuk menambah baik daya saing ekonomi.

"Langkah yang pelbagai ini termasuk menambah baik penyediaan dan kecekapan perkhidmatan awam dan meningkatkan ketelusan dan pertanggungjawapan," katanya.

Mustapa berkata, daya saing dipertingkat Malaysia itu adalah hasil daripada inisiatif berani dan inovatif yang diambil kerajaan tahun lepas bagi memacu pembangunan, pertumbuhan dan mewujudkan sektor swasta berdaya tahan. Kaji selidik IMD itu menilai negara mengikut prestasi ekonomi; kecekapan kerajaan; kecekapan perniagaan; dan prasarana.

Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam kategori kecekapan perniagaan iaitu kedudukan ke-6 daripada ke-14 tahun lalu, dan kategori kecekapan kerajaan iaitu ke-13 daripada ke-17.

Peningkatan rangking dicatatkan dalam subkategori kecekapan dan produktiviti perniagaan, kewangan, peraturan perniagaan dan rangka kerja institusi sosial.

Dalam kategori prestasi ekonomi, walaupun Malaysia mengekalkan kedudukannya dalam 10 rangking utama, namun ia jatuh tiga mata daripada tangga ketujuh tahun lalu.

Ini disebabkan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan dan kebimbangan akan peningkatan harga.

Dalam kategori prasarana, rangking Malaysia naik sedikit ke kedudukan ke-26 daripada 27.

Bahagian yang diberi perhatian ialah kesihatan dan alam sekitar, pendidikan dan prasarana saintifik.

"Kami menyedari bahawa terdapat bahagian di mana kami masih boleh menambah baik daya saing kami. "Perhatian khusus akan diberi bagi menangani bahagian kebimbangan ini.

Objektif keseluruhan kami masih sama: untuk mencapai rangking 10 terbaik dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Tuesday, May 29, 2012

Tarikh Bajet Timbul Spekulasi PRU13 Diadakan Awal

Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan semula spekulasi mengenai pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan diadakan tidak lama lagi apabila beliau mengumumkan Bajet 2013 akan dibentangkan pada 28 September ini.

Ramai yang menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen beberapa minggu lagi untuk diadakan pilihan raya pada lewat Jun atau awal Julai.

Bagaimanapun, tarikh Bajet telah menimbulkan banyak cakap-cakap mengenai pilihan raya akan datang.
Dan sebaliknya, ia telah membawa kepada perbandingan terhadap keputusan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1999.

 “Dr Mahathir membentangkan Bajet pada 15 Oktober tahun itu dan ketika ahli-ahli Parlimen masih lagi memperdebatkan tentang Bajet, beliau pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong dan telah membubarkan Parlimen pada 11 November,” kata ahli politik yang sudah lama menyertai Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya diadakan pada 29 November pada tahun itu. “Najib boleh melakukan perkara yang sama dengan membentangkan satu bajet pilihan raya dan menggunakan manifestonya untuk mengadakan pilihan raya ke-13, seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada PRU-10.”

Najib mengumumkan tarikh Bajet 2013 pada rundingan awal mengenai belanjawan tahunan pada Selasa di mana Kementerian Kewangan telah menerima sebanyak 84 memorandum. Beliau berkata, Bajet 2013 akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang berkualiti dan seimbang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Najib mempunyai hak istimewa untuk meminta supaya Parlimen dibubarkan “pada bila-bila masa yang beliau mahu”.

Abdul Aziz berkata, pilihan raya boleh diadakan pada Jun atau Julai, sambil menambah bahawa Suruhanjaya itu telah bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan pada kedua-dua bulan itu.

SPR akan mengazetkan daftar pemilih pada akhir bulan ini apabila tempoh bantahan tamat. “Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Parlimen tidak pernah tamat dalam tempoh lima tahun penuh.

“Walaupun berhadapan dengan tugas melaksanakan reformasi pilihan raya untuk pemilihan akan datang, kami bersedia dari segi tenaga manusia, latihan dan logistik sekiranya diumumkan pada Julai,” kata beliau.

Abdul Aziz berkata, Dewan Rakyat ketika ini hanya akan berakhir pada 24 April tahun depan dan pilihan raya mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari.

Selain pengumuman mengenai tarikh Bajet, terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan Najib akan mengumumkan pilihan raya akan diadakan sebelum bermulanya bulan Ramadan pada 20 Julai.

Ia menimbulkan spekulasi bahawa “kemungkinan itu juga dilihat sebagai peluang” yang akan dilaksanakan Najib sekiranya mengambil keputusan untuk mendapat nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sejurus selepas satu pertemuan pada 11 Jun ini.

Ketika Dr Mahathir mengumumkan pilihan raya pada 1999, ia diadakan sejurus sebelum bermulanya Ramadan pada Disember tahun berkenaan.

Penganalisis politik berkata, selain petunjuk positif berdasarkan program transformasi politik, ekonomi dan sosial, Najib juga boleh melihat dari aspek agama, yang boleh memainkan peranan dalam masyarakat yang kebanyakannya beragama Islam di negara ini.

Sidang Parlimen yang berikutnya berakhir pada 28 Jun ini dan sekiranya Najib membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen ketika persidangan itu, kempen akan diadakan pada bulan Islam iaitu Rejab, salah satu tempoh yang paling afdal kerana ia mengelakkan dari sebarang ketegangan dan perkara yang tidak baik.

Berkempen sepanjang tempoh ini boleh mengurangkan persaingan politik yang tegang yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Tamatnya pilihan raya akan diikuti dengan Ramadan, sebagai bulan untuk tempoh “bertenang” untuk perdamaian dan menjalinkan hubungan baik.

mStar

Sunday, May 27, 2012

Najib Gesa Belia Negara Undi BN Demi Masa Depan

Datuk Seri Najib Razak menurunkan tandatangan pada plak Himpunan Jutaan Belia 2012 ketika melancarkan majlis itu sempena Hari Belia Negara tahun ini di Putrajaya, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa belia supaya mengawal masa depan mereka dengan mengundi kerajaan yang telah membuktikan keupayaan menerajui negara melalui perubahan progresif sejak kemerdekaan.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh menjadikan esok lebih baik daripada hari ini," katanya.

Katanya, beliau percaya belia Malaysia akan menggunakan kebijaksanaan dan kecerdikan dalam melaksanakan hak-hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam demokrasi negara.

"Kita mesti tahu bagaimana untuk memisahkan antara intan dan kaca dalam membuat keputusan yang boleh menjadikan hari esok kita lebih baik daripada hari ini.

"Selama beberapa generasi, belia Malaysia telah memilih kerajaan yang telah berjaya memacu negara kita ke hadapan, bukan hanya dalam satu pilihan raya umum tetapi 12.

"Belia telah memberikan sokongan dan kepercayaan mereka kepada kerajaan yang sama untuk membawa perubahan kepada negara kita," kata Najib ketika bertemu belia yang berkumpul di Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya semalam.

Turut hadir pada majlis itu termasuk isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan menteri kabinet yang lain.

Mengenai perhimpunan, yang akan berakhir pada Ahad, beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan yang sama-sama menjayakan program menarik yang berlangsung selama lima hari secara besar-besaran, dan menarik pengunjung dari pelbagai negeri.

Ramai belia memakai baju-T perhimpunan atau "I Love PM '.

"Isteri saya tidak akan cemburu dengan cinta yang anda tunjukkan kerana ia mewakili rasa hormat dan kasih sayang untuk pemimpin-pemimpin negara.

"Mengikut laporan yang diberi kepada saya dan dari apa yang saya lihat hari ini, perhimpunan ini telah mencapai sasaran mengumpulkan dua juta belia di Putrajaya.

"Putrajaya telah berjaya ditawan oleh belia," kata Najib dan mendapat sorakan bersemangat daripada orang ramai.

Sunday, May 20, 2012

Nashrudin - PAS, UMNO Perlu Berlapang Dada Jayakan Muzakarah

"Saya antara yang mempromosikannya dari dulu lagi, kerana saya yakin bahawa untuk masa depan negara kita perlu mengurangkan politiking antara dua parti politik besar orang Melayu Islam di negara ini, bukan hanya untuk kepentingan orang Melayu Islam tapi juga untuk kepentingan negara...Walaupun syarat-syarat yang ditetapkan itu mungkin payah untuk diterima oleh tapi saya harap kepimpinan kedua-dua parti berlapang dada dalam mengusahakan sesuatu untuk kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek." Nasharudin Mat Isa

Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata pucuk pimpinan Umno dan PAS perlu berlapang dada agar kedua-dua pihak boleh bermuzakarah dan mengusahakan sesuatu untuk kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek.

Beliau berkata jika kedua-dua parti besar dalam negara itu dapat duduk semeja untuk berbincang, banyak perkara akan dapat dihuraikan.

"Isu muzakarah ni saya rasa semua orang dah tahu pendirian saya. Saya antara yang mempromosikannya dari dulu lagi, kerana saya yakin bahawa untuk masa depan negara kita perlu mengurangkan politiking antara dua parti politik besar orang Melayu Islam di negara ini, bukan hanya untuk kepentingan orang Melayu Islam tapi juga untuk kepentingan negara.

"Walaupun syarat-syarat yang ditetapkan itu mungkin payah untuk diterima oleh tapi saya harap kepimpinan kedua-dua parti berlapang dada dalam mengusahakan sesuatu untuk kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek," katanya yang ditemui pemberita pada majlis perkahwinan anak sulungnya di Bandar Bukit Mahkota, di Bangi hari ini.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mengeluarkan kenyataan bersetuju untuk PAS bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno, yang menerima reaksi positif daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nik Aziz kemudian meletakkan beberapa syarat untuk muzakarah itu termasuk perlu diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 dan Umno perlu menerima rakan pakatan PAS, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat, serta menukar dasar kebangsaan yang diguna pakai ketika ini kepada dasar Islam secara rasmi.

Mengulas mengenai pengharaman program yang melibatkan seorang pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Irshad Manji di negara ini, Nasharudin berkata beliau amat menyokong tindakan itu.

"Kerajaan, NGO, rakyat dan semua pihak harus menolak apa saja program atau individu yang membawa pemikiran sedemikian kerana ini akan membawa kesan negatif kepada masyarakat kita," katanya.

 Manji, 48, merupakan seorang Muslim berfahaman liberalisme, pluralisme dan feminisme dan dia merupakan pendukung LGBT di peringkat antarabangsa yang datang ke negara ini bagi melancarkan buku terbarunya bertajuk 'Islam, Liberty and Love'.

Ditanya mengenai hasrat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Nasharudin berkata perkara itu bergantung kepada keputusan parti.

Saturday, May 19, 2012

Sejauh Mana Lagikah Fatwa Gila PAS Mahu Menyesatkan Umat Islam?

Oleh Aqil Farhan Rafiqin

ABU tidak pandai mahu menghukum atau memfitnah.

Kita dilarang memfitnah tetapi kalau dah berlebih menghukum sesama Islam, terpaksa juga bangkit untuk menyatakan yang dirasakan BENAR.

Semalam, Musyridul Am PAS buat hal lagi.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi lagi kenyataan yang pernah dibuat beberapa kali sebelum ini bahawa mengundi Barisan Nasional (BN) tidak akan masuk syurga. 

Tidak akan masuk syurga. Kalau undi DAP dan PKR tu hamper-hampir dan ada can lah tu.

Nik Aziz mengulangi fatwa gila ni untuk membuktikan bahawa pakatan PAS dan sekutu ‘kafir harbi’ DAP dan PKR itu sebagai boleh dan pengikutnya mungkin ‘layak masuk syurga’.

Bagi Nik Aziz, BN bukan parti yang berteraskan Islam, sebaliknya membawa unsur nasionalisme yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad. “Undi BN tidak undi Islamlah. Dasar BN dasar kebangsaan. Kebangsaan tidak boleh bawa manusia ke syurga kerana kebangsaan ini bukan ajaran Nabi Muhammad saw,” katanya.



Kenyataan bersifat fatwa ini diperkatakan Nik Aziz kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Ibai di Kuala Terengganu semalam.

Yang menghairankan pemimpin PAS Terengganu seperti Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, timbalannya, Datuk Tengku Hasan Tengku Omar dan pimpinan PAS peringkat kawasan mengiakan kenyataan Nik Aziz itu.

Benarlah apabila beberapa pemimpin, khususnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengatakan PAS parti ajaran sesat.

Apa tidaknya?

Nik Aziz menyesatkan dan begitu juga Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui fatwanya turut menyesatkan umat Islam.

Ini bermakna dalam PAS kini ada dua pemimpin utamanya yang menyesatkan umat Islam secara ketara.

Nik Aziz menghukum orang Islam undi BN tidak masuk syurga sementara Hadi pula memecahbelahkan umat Islam di Malaysia melalui fatwanya yang menjadikan sembahyang dua imam, sembelihan orang Islam tidak boleh dimakan, pasangan terpaksa bercerai jika pernikahan dibuat oleh imam bukan PAS dan banyak lagilah.

Sewajarnya apabila ada persetujuan untuk bermuzakarah sesama Islam, Nik Aziz meletakkan di belakang dahulu soal parti politik atau kerjasama PAS dengan DAP dan PKR.

Tetapi ini tidak.

Nik Aziz menunjukkan dendam dan kebenciannya yang mendalam kepada UMNO dan BN apabila mengulangi faktwanya seperti di atas selain meletakkan syarat ‘gila babi’ yang memang tidak masuk akal.

Lebih jauh, Nik Aziz turut menyatakan Umno perlu bersedia untuk menerima parti-parti lain dalam pakatan rakyat iaitu - PKR dan DAP sekiranya masih memasang niat untuk menjalin kerjasama politik dengan Pas.

Nik Aziz berkata,UMNO  wajar menerima ketiga-tiga parti dalam PR memandangkan PAS bukan lagi berseorangan ketika ini dan keputusan perlu dibuat bersama PR.

Beliau meletakkan syarat agar UMNO menukar dasar parti itu terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang usaha ke arah penggabungan antara dua parti.

 “Saya sebut lama dah. Kalau UMNO nak bersatu, parti itu perlu menukar dasar kebangsaan kepada Islam. Ia bukan keputusan seorang tetapi kena buat secara rasmi (bersama PR). UMNO (perlu) tukar dasar daripada kebangsaan kepada Islam secara rasmi. “Kedua, UMNO kena terima PAS sekali dengan pakatan kerana kami sudah ada Pakatan dan Pakatan tidak buat khianat kepada kami. Maka lepas kami (PAS) bersatu dengan UMNO dan selepas UMNO ubah dasar dia, barulah boleh bersama dengan pakatan,” katanya.

Melihat kepada kenyataan Nik Aziz itu, benarlah rumusan seperti yang disebut oleh Hambali Abdul Latiff melalui blognya bahawa:

“Yang pasti kalau PAS tetap dengan keputusan Nik Aziz, kedua-dua parti tidak akan ke mana-mana. Hanya ada dua sahaja kemungkinan. Pertama PAS pujuk atau paksa Nik Aziz jangan meletakkan syarat - rasanya amat sukar. Kedua tunggu Nik Aziz mati dan pemimpin lain tidak meletakkan syarat seperti Nik Aziz barulah UMNO - PAS duduk semeja!!!

Tuesday, May 15, 2012

Najib - Tidak Harus Berlaku Anarki Di Negara Kita...



"Jika anda tidak hiraukan peraturan undang-undang, akan berlaku anarki dalam negara. Tidak harus berlaku anarki di negara kita. Kita boleh terima pertentangan pendapat dam pandangan tapi saya tidak akan hormati jika anda melanggar undang-undang negara. Itulah satu-satunya perlindungan yang kita ada untuk masa depan rakyat Malaysia," 
- Mohd Najib Razak

Warga Malaysia yang tinggal di bandar raya London berkesempatan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin petang.

Ramai daripada mereka berebut-rebut menyapa dan bersalaman dengan beliau selepas perdana menteri berucap.

Sebahagian besarnya mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam sebuah negara demokrasi dan pilihan rakyat melalui pilihan raya.

Najib berkata dalam mana-mana demokrasi akan ada mereka yang mengundi menyokong dan menentang, tetapi akhirnya, apa yang paling utama ialah pilihan rakyat.

"Rakyat Malaysia akan mempunyai pilihan itu. Kita telah membuktikannya. Anda tidak perlu mengadakan demonstrasi jalanan di Malaysia kerana jika diadakan juga, tidak dapat tidak akan timbul masalah, akan berlaku pertelagahan," katanya jelas merujuk kepada demonstrasi Bersih 3.0 di Kuala Lumpur bulan lepas.

Perdana Menteri berucap kepada kira-kira 1,500 warga Malaysia di sini yang sanggup melalui kesesakan lalu lintas di London untuk hadir pada majlis "Sepetang Bersama Perdana Menteri" yang diadakan di dewan konsert 02 Arena di Greenwich, timur London.

Najib berkata seseorang itu mempunyai hak untuk menyokong kerajaan atau pembangkang tetapi "anda harus melakukannya mengikut lunas undang-undang yang ada".

"Jika anda tidak hiraukan peraturan undang-undang, akan berlaku anarki dalam negara. Tidak harus berlaku anarki di negara kita. Kita boleh terima pertentangan pendapat dam pandangan tapi saya tidak akan hormati jika anda melanggar undang-undang negara. Itulah satu-satunya perlindungan yang kita ada untuk masa depan rakyat Malaysia," katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa telah terbukti sejumlah 100,000 orang boleh berkumpul di sebuah stadium, dan melakukannya dengan begitu aman sekali, merujuk jelas kepada perhimpunan besar-besaran yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno pada 11 Mei.

"Itulah caranya yang betul. Jika Bersih mahu mengadakan perjumpaan, kita boleh berikan mereka stadium yang sama, dan kita akan pastikan keamanan dan keselamatannya.

Tiada siapa yang akan dicederakan dan itulah cara yang sebenarnya bagi kita sebagai sebuah negara yang matang. Kita percayakan demokrasi, tetapi demokrasi dengan tangungjawab."

Ucapan Najib, yang disampaikan dalam suasana yang santai, diterima dengan penuh bersemangat oleh warga Malaysia di London  yang berkumpul di dewan konsert itu, dengan sesetengahnya membawa bersama anak-anak mereka.

Ada dua tiga orang yang berbuat bising dalam kalangan audien itu, membuatkan perdana menteri berkata "ini bukan adab orang Malaysia dan tidak sopan untuk mengganggu", bagaimanapun hadirin yang lain amat tekun mendengar ucapan beliau.

Monday, May 14, 2012

Dr M - PRU13 Sesuai Selepas Aidilfitri

"Saya juga amat yakin beliau (Najib) ingin mencapai majoriti dua pertiga, namun sama ada ia boleh dicapai atau tidak, itu adalah perkara yang berbeza. Tetapi saya fikir beliau mungkin boleh melakukannya lebih baik daripada 2008." - 
Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamed yakin Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berupaya memperoleh kemenangan lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang berbanding pencapaiannya pada 2008.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, terdapat beberapa petanda baik untuk membubarkan Parlimen, namun ia terpulang kepada Najib bagi menentukan sama ada BN berupaya mencapai objektifnya untuk memperoleh majoriti dua pertiga.

"Saya juga amat yakin beliau (Najib) ingin mencapai majoriti dua pertiga, namun sama ada ia boleh dicapai atau tidak, itu adalah perkara yang berbeza.

Tetapi saya fikir beliau mungkin boleh melakukannya lebih baik daripada 2008," katanya kepada pemberita selepas diisytihar Ikon Membaca Nasional Keempat di Perpustakaan Negara semalam.

Apabila ditanya masa terbaik untuk Najib membubarkan Parlimen, bekas perdana menteri itu dengan pantas menjawab, "Selepas raya."

 Beliau turut mengulas kenyataan bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik bahawa BN tidak mampu menawan Selangor jika pilihan raya umum diadakan dalam bulan Jun.

"Hendak kata tidak menang tu tidaklah... tetapi kita perlu ambil masa, saya fikir kalau saya masih jadi Perdana Menteri, saya akan ambil masa yang cukup (sebelum membubarkan parlimen), kita ada sampai 2013," katanya.

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata beliau yakin demonstrasi jalanan 28 April di ibu negara baru-baru ini hampir tidak mempunyai sebarang kesan terhadap pilihan raya umum akan datang kerana rakyat menyedari ia bukanlah berkaitan reformasi pilihan raya.

"Ia hanya cuba memberi gambaran bahawa kerajaan negara ini melakukan penindasan dan mengamalkan kekejaman polis agar mereka boleh menumbangkan kerajaan melalui demonstrasi.

"Mereka fikir mereka tidak boleh menang dalam pilihan raya, jadi mereka fikir kita (Malaysia) perlu diperlihatkan seperti Tahrir Square di Kaherah di mana demonstasi diadakan setiap hari sehingga akhirnya kerajaan dapat ditumbangkan, itu sebenarnya yang mereka mahu lakukan," katanya.

Mengulas khabar angin bahawa anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir kini mengintai peluang untuk menjadi Menteri Besar Kedah, Dr Mahathir berkata beliau tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu.
"Yang lebih penting ialah apa yang kepimpinan mahu beliau lakukan."

Thursday, May 10, 2012

Perjuanganan UMNO Memanfaatkan Semua Rakyat Malaysia - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata perjuangan Umno selama ini telah memanfaatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman ideologi di negara ini.

Katanya, Umno yang ditubuhkan 66 tahun lalu dan 55 tahun menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) bersama-sama rakan-rakannya dalam Perikatan dan BN, "telah menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia."

 "(Malah telah juga turut) membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf, merencana kejuruteraan sosial yang menyaksikan pembentukan kelas menengah yang besar.

 "Selain, melaksanakan prakarsa pembaharuan tanah melalui FELDA, melakukan pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan prasarana asas negara dan merubah status negara dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, katanya.


Najib, yang juga Presiden Umno, berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan ulang tahun Umno ke-66 hari ini (11 Mei 2012) yang disiarkan oleh www.umno-online.com malam semalam.

Perdana Menteri berkata, Umno sesungguhnya ialah pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik, dan keunikan Umno ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat.

"Tuduhan liar pihak tertentu bahawa Umno ialah parti rasis, anti demokrasi mahupun parti elitis tidak benar sama-sekali," katanya.

Najib berkata walau bagaimanapun kejayaan yang telah dicapai oleh parti itu tidak boleh menjadikan "kita alpa terhadap keperluan untuk terus memugar semangat yang mendasari penubuhan Umno itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan bumi tercinta."

"Masa berlalu persekitaran berubah cabaran parti era pasca merdeka sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pramerdeka dan ketika awal merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara," tegas Najib.

Presiden Umno itu turut berkata: "Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan Umno ini tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan dinostalgiakan.

"Hari ini Umno mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap Dasar Transformasi Nasional berserta semua komponennya ke arah merealisasikan Wawasan 2020, tetapi juga untuk menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya," katanya.

Beliau berkata inilah masanya untuk ahli Umno mengukuhkan barisan yang ada, demi memastikan masa depan bangsa dan negara dan perjuangan ini tidak boleh berhenti.

"Ahli-ahli Umno mesti memastikan kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur," katanya.

Wednesday, May 2, 2012

Perhimpunan: Kabinet Arah Segerakan Proses Siasatan Dan Pendakwaan


Kabinet semalam mengarahkan polis dan Peguam Negara supaya menyegerakan proses siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang merancang dan mencetuskan keadaan huru-hara di ibu negara Sabtu lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara.

 "Jemaah Menteri bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan mesti mengambil segala langkah serta tindakan yang perlu untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

 "Jemaah Menteri juga membuat ketetapan dan memberi jaminan bahawa keselamatan negara dan rakyat mesti mengatasi kepentingan politik mana-mana individu mahu pun kumpulan sama ada penyokong atau pembangkang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di sini semalam.

Hishammuddin berkata kerajaan kesal dengan tindakan segelintir peserta perhimpunan yang merusuh dan mengganas sehingga mencederakan anggota polis serta merosakkan harta awam.

 "Rusuhan pada Sabtu lepas sebagai peristiwa hitam dalam sejarah tanah air," katanya. Hishammuddin berkata Jemaah Menteri juga merakamkan sokongan padu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab serta memikul amanah menjaga ketenteraman awam dan menangani ancaman dalaman dan luaran.

 "Jemaah Menteri juga ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan anggota keselamatan dan pihak berkuasa lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam mengendalikan perhimpunan yang telah bertukar menjadi rusuhan jalanan pada Sabtu lepas," katanya.

Beliau berkata kabinet yakin majoriti rakyat yang menghargai keamanan akan berdiri teguh bersama kerajaan dalam menangani insiden pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata kementeriannya tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat insiden keganasan yang tercetus semasa perhimpunan tersebut.

Beliau berkata senarai nama anggota panel bebas berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Kita berbincang dalam mesyuarat pasca kabinet, kita tidak mempunyai sebarang halangan dalam membentuk mana-mana panel bebas untuk mengesahkan apa-apa penemuan oleh polis walaupun melibatkan mereka. Ketua Polis Negara juga mahu perkara itu menjadi telus walaupun melibatkan polis.

"Kita mahu ketelusan. Kita mahu keadilan dan segala-galanya akan dilakukan mengikut undang-undang," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pihaknya dan polis akan menyiarkan rakaman video berhubung insiden yang berlaku pada perhimpunan Sabtu lepas agar ia tidak dieksploitasi oleh pembangkang dan media asing.

Beliau berkata rakaman video yang disiarkan khususnya oleh media asing hanya tertumpu ketika polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air tetapi rakaman mengenai penyokong perhimpunan merempuh penghadang di Dataran Merdeka tidak disiarkan.

"Kabinet telah bersetuju agar memaparkan kejadian sebenar...urutan peristiwa tentang bagaimana polis bertindak akan disiarkan. Kita akan dapatkan satu mekanisme (menyiarkan rakaman video).

"Biar orang ramai yang memutuskan sama ada polis mempertahankan diri dan menilai pendekatan mereka kerana terdapat banyak contoh bahawa orang ramai mahu dan inginkan konfrontasi," katanya.

Hishammuddin turut mengalu-alukan Majlis Peguam dan Suhakam supaya tampil mengemukakan bukti berhubung tindakan polis sepanjang perhimpunan itu.

(Bernama)

Sedia Menggempur - Siapa Kata MIC Tidak Sokong BN?

 Sepatutnya Naib Presidennya N.Surendran tu turut diajar kerang sering mengeluarkan kenyataan kurang ajar.

Kehadiran lebih 200 penyokong MIC dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di luar pekarangan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri semalam, dengan masing-masing mendakwa untuk mempertahankan hak masyarakat India, akhirnya menjadi kecoh.

 Akibat pertikaman lidah antara kedua-dua kumpulan, pergaduhan tercetus sehingga mengakibatkan dua cedera dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

Identiti mereka yang cedera tidak diketahui.

Kumpulan penyokong MIC diketuai Ketua Pergerakan Pemuda MIC kebangsaan T.Mohan (gambar kiri) dikatakan hadir bagi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas keprihatinan beliau dalam menyelesaikan isu-isu masyarakat India termasuk sekolah Tamil, kuil, masalah ekonomi dan kewarganegaraan.

PKR pula diketuai Naib Presidennya N.Surendran dan Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin, dikatakan hadir untuk memohon kad pengenalan biru untuk seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang didakwa gagal mendaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya akibat masalah itu.

Kejadian yang bermula pada jam 11.30 pagi itu pada mulanya berlangsung dengan aman apabila kedua-dua penyokong mengadakan perarakan di kawasan itu sambil melaungkan slogan masing-masing.

Mohan ketika ditemui selepas itu berkata, beliau hadir untuk menyerahkan kad ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelbagai bantuan diberikan terutamanya membabitkan isu dokumen pengenalan diri melalui kempen MyDaftar yang dijalankan di seluruh negara.

Beliau berkata, melalui kempen itu 9,529 daripada 24,385 permohonan berjaya diselesaikan dan selebihnya masih dalam proses.

Mengenai isu membabitkan pelajar India yang tiada kad pengenalan biru itu sehingga didakwa gagal mendaftar untuk menduduki SPM, Mohan berkata, MIC sedang menguruskan hal itu secepat mungkin.

Beliau turut menolak dakwaan Surendran bahawa lebih 300,000 kaum India di negara ini masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan meminta supaya dikemukakan bukti sahih.